Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Jumaat, 21 Mac 2025

Lelaki warga asing menyamar 'Ariff Aiman' dituduh rogol remaja perempuan

Lelaki warga asing menyamar 'Ariff Aiman' dituduh rogol remaja perempuan


Pemotong rumput berketurunan Rohingya yang menggunakan nama 'Ariff Aiman' di media sosial, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Muar hari ini, atas tuduhan merogol remaja perempuan dalam garaj sebuah rumah, dua bulan lalu.


Tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 29, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol remaja berusia 17 tahun di Batu Pahat antara jam 12.15 tengah malam hingga 1 pagi, 29 Januari lalu.


Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh mengenali mangsa menggunakan gambar orang lain serta nama palsu di akaun media sosial bagi memancing remaja perempuan yang diminati.


Mangsa menyangka gambar digunakan tertuduh adalah asli sebelum berkenalan dengan lelaki itu.


Pada hari kejadian, tertuduh yang menetap di Muar sanggup datang ke Batu Pahat menggunakan e-hailing semata-mata mahu berjumpa dan melakukan perbuatan itu.


Pada masa sama, tertuduh juga mengugut mahu menyebabkan gambar dan video mangsa jika enggan menuruti arahannya.


Bagaimanapun, kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada rakan yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Faruzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh atas faktor lelaki itu warga asing.


Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 25 April ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam.


Lelaki Rohingya, Mohamad Osman menyamar 'Ariff Aiman' dituduh merogol remaja dikenali melalui gambar palsu di media sosial. - Foto Alias Abd Rani.

Khamis, 20 Mac 2025

Dapat lebih RM183,000 hanya kerja dukung wanita mendaki anak tangga

Dapat lebih RM183,000 hanya kerja dukung wanita mendaki anak tangga


Seorang lelaki di China menjana pendapatan lumayan dengan menawarkan khidmat mendukung wanita kepenatan untuk mendaki gunung, lapor portal berita News.com.au pada 19 Mac 2025.


Xiao Chen, 26, menjalankan perkhidmatan itu di Gunung Tai, tapak Warisan Dunia UNESCO berketinggian 5,029 kaki di wilayah Shandong.


Ramai pelancong wanita mahu Chen mendukung mereka untuk mendaki 1,000 anak tangga terakhir menuju puncak Gunung Tai.


"Saya akan memegang tangan mereka di sepanjang laluan. Apabila mereka letih, saya akan mendukung mereka," kata Chen.


Menurutnya, dia mendapat bayaran sekitar 600 yuan (RM366) pada siang hari dan 700 yuan (RM427) untuk pendakian di sebelah malam.


Pada bulan yang baik, lelaki itu boleh memperoleh sekitar 45,548 yuan (RM27,788).


"Ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mendukung seseorang menaiki 1,000 anak tangga hingga ke puncak.


"Saya sudah memperoleh pendapatan lebih 300,000 yuan (RM183,223) sebagai 'teman pendakian',” tambahnya.


Kebanyakan pelanggan Chen terdiri daripada wanita berumur antara 25 hingga 40 tahun.


Dia juga mula mengupah beberapa pekerja lain selepas perkhidmatannya menerima pemermintaan tinggi. - Sumber News.com.au.


Xiao Chen mendukung beberapa pelangannya yang letih di Gunung Tai, wilayah Shandong. - Foto Jam Press.

Selasa, 18 Mac 2025

Suami tangkap isteri berkhalwat dengan lelaki bujang di Kedah

Suami tangkap isteri berkhalwat dengan lelaki bujang di Kedah


Hancur hati seorang suami melihat isterinya tergamak melakukan perbuatan keji bersama lelaki lain di sebuah bilik hotel bajet di Lunas, Kulim awal pagi hari ini.


Pasangan suami isteri tersebut dikatakan menetap di Pahang dan kedatangan isterinya ke Kedah dengan alasan untuk bertemu sepupu.


Bagaimanapun, lelaki terbabit mengesyaki sesuatu mencurigakan setelah mengesan kedudukan isterinya tidak pulang ke rumah sepupu selepas dikatakan mahu ke dobi.


Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim (PADK) Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, suami wanita terbabit berusia 30-an yang datang bersama ahli keluarganya berjaya mengesan keberadaan isterinya di hotel berkenaan seterusnya menghubungi penguat kuasa PADK dalam kejadian jam 3.40 pagi hari ini.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati, wanita itu bersekedudukan bersama seorang lelaki yang masih bujang dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kulim Hi Tech.


"Wanita itu berusia 33 tahun bekerja di kedai makan di Pahang dan mempunyai tiga anak, suaminya datang dari Pahang 'trace location' isteri dan buat tangkapan kemudian hubungi PADK.


"Difahamkan, wanita dan lelaki itu mengenali antara satu sama lain tujuh tahun lalu sebelum terputus hubungan selepas berkahwin, namun baru-baru ini berhubung kembali setelah diberikan nombor telefon oleh sepupunya," katanya.


Beliau berkata, wanita itu memberi alasan sudah lama tidak bertemu teman lelakinya itu dan mempunyai masalah dengan suaminya.


"Ketika serbuan, lelaki itu hanya memakai seluar denim tanpa baju, manakala wanita itu berpakaian lengkap tanpa tudung.


"Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.


Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki lain. - Foto PADK.

Jumaat, 14 Mac 2025

Lelaki warga asing jadi 'pegawai imigresen', cetak pas khas palsu untuk rakan senegara

Lelaki warga asing jadi 'pegawai imigresen', cetak pas khas palsu untuk rakan senegara


Empat warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana dipercayai menjadi ejen haram sejak setahun lalu yang menawarkan perkhidmatan imigresen kepada golongan bermasalah.


Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, empat suspek lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 22 hingga 38 tahun itu ditahan semasa Operasi Khas pada Rabu (12 Mac) dan Khamis (13 Mac) di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor.


Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan perkhidmatan imigresen kepada warganegara asing yang berada di negara ini seperti pas khas.


Kata beliau, ejen haram itu menyasarkan pelanggan warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang telah tinggal lebih masa ataupun telah tamat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).


"Pas Khas akan diuruskan oleh ejen haram ini untuk membolehkan warga asing yang menggunakan perkhidmatan disediakan untuk terus tinggal dan berada di negara ini.


"Ejen haram ini turut menyediakan perkhidmatan mengubah suai ePASS secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Zakaria berkata, bayaran yang dikenakan kepada pelanggan antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk setiap perkhidmatan ditawarkan.


"Semakan awal mendapati dua suspek yang ditahan ini memiliki PLKS dalam sektor pembinaan manakala dua lagi telah tinggal lebih masa," katanya.


Dalam pada itu katanya, pasukan operasi telah merampas 134 naskhah pasport pelbagai negara di premis yang digunakan suspek.


Jelasnya, ia terdiri daripada 117 pasport Bangladesh, Nepal (4), Myanmar dan Indonesia masing-masing (6) serta India (1).


"Kami juga merampas empat unit telefon bimbit, satu unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM69,380.


"Turut disita dua buah kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza untuk siasatan lanjut," katanya.


Seorang ejen haram warga asing menjelaskan sesuatu kepada pegawai JIM yang menyerbu empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor pada Rabu dan Khamis. Foto: JIM.

Ahad, 9 Mac 2025

Bayi perempuan AS diculik 25 tahun lalu ditemukan di Mexico

Bayi perempuan AS diculik 25 tahun lalu ditemukan di Mexico


Selepas 25 tahun kejadian seorang bayi perempuan diculik di Connecticut, Amerika Syarikat (AS), akhirnya dia ditemukan masih hidup di Mexico.


Mengikut hasil penyiasatan, Andrea Michelle Reyes berusia dua tahun ketika dilarikan oleh ibunya, Rosa Tenorio, pada Oktober 1999, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis New Haven.


The Guardian melaporkan, Tenorio tidak memiliki hak penjagaan sah ke atas Reyes yang pada waktu itu berada di bawah jagaan bapanya, kata pihak polis.


Polis New Haven dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS sudah mengeluarkan waran tangkap jenayah terhadap Tenorio yang disyaki melarikan diri bersama anaknya ke Mexico, menurut pihak polis.


Tenorio membawa Reyes ke Puebla, sebuah bandar di tenggara Mexico City, tetapi mereka tidak pernah ditemui, lapor pegawai.


Sebelum ini, bapa Andrea beberapa kali pergi ke Mexico, namun gagal menghubungi dua beranak itu.


Kes orang hilang itu terhenti sehinggalah pada 2023, apabila seorang detektif polis memulakan semula siasatan mengenai penculikan Andrea.


"Dengan menggunakan kaedah semak silang gabungan temu bual, waran penggeledahan dan media sosial, detektif Kealyn Nivakoff mengesahkan bahawa Reyes tinggal di bandar Puebla, Mexico yang mempunyai lebih satu juta penduduk selepas diculik oleh Tenorio," kata pihak polis.


Ujian padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan hubungan antara Reyes dan bapanya, yang akhirnya dapat bersatu semula selepas lebih dua dekad.


"Sepanjang tahun-tahun itu, bapa Andrea tidak putus asa mencari, tetapi tidak pernah mendengar khabar daripada anak perempuannya atau si ibu," kata syarikat ujian DNA, Othram, yang terbabit dalam kes ini, dalam kenyataan akhbar.


Reyes, yang kini berusia 27 tahun, adalah penduduk Mexico, kata Othram. Waran tangkap untuk Tenorio masih sah dan aktif di AS, menurut pihak polis, yang turut menambah bahawa mereka percaya suspek penculikan itu masih berada di Mexico. - Sumber NDTV World.


Foto Andrea Michelle Reyes (kiri) ketika masih bayi. - Foto DNA Solves.

Selasa, 4 Mac 2025

Isteri didakwa belasah suami guna penyapu, pisau berhadapan hukuman penjara 10 tahun

Isteri didakwa belasah suami guna penyapu, pisau berhadapan hukuman penjara 10 tahun


Seorang pendandan rambut yang patah kaki kanan didakwa di Mahkamah Sesyen, Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap suaminya menggunakan batang penyapu, alat pemberat (dumbbell) dan sebilah pisau pada hujung Februari lalu.


Tertuduh, Sharifah Nurul Ainasama Syed Omar, 40, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Danial Zafri Zairi, 31, yang merupakan suaminya dengan menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau.


Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5 pagi di Taman Iringan Bayu, Seremban pada 26 Februari lalu.


Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Sharifah Nurul Ainasama boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua kali tempoh maksimum atau denda atau sebat.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun jika mahkamah membenarkannya, pihaknya memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.


Norazihah berkata, suami tertuduh mengalami kecederaan lecetan kerana tertuduh menggunakan pisau, selain terdapat beberapa kesan lebam di belakang badan akibat dipukul dengan penyapu dan kesan gigitan serta kecederaan tisu lembut.


Sementara itu, Sharifah Nurul Ainasama yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia menggunakan tongkat kerana kakinya patah selepas bergaduh dan dipukul suaminya terlebih dulu.


Dalam rayuannya, wanita itu memohon jaminan rendah kerana mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, namun belum menimang cahaya mata hasil perkahwinan dengan mangsa.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 14 April depan.


Nurul Ainasama didakwa memukul suaminya di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 2 Mac 2025

Pasar raya rugi lebih RM6,000 selepas wanita 'lepas hajat' demi content

Pasar raya rugi lebih RM6,000 selepas wanita 'lepas hajat' demi content


Sebuah pasar raya mengalami kerugian sebanyak A$1,500 (RM6,693) selepas seorang wanita membuang air kecil di atas produk makanan, lapor akhbar New York Post pada 25 Februari 2025.


Kelli Tedford, 23, dari New Hampshire, Amerika Syarikat didakwa berkelakuan jijik semata-mata demi content atau kandungan untuk meraih populariti.


Jurucakap pasar raya Monadnock Food berkata, berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV), Tedford didapati sengaja merakam dirinya membuang air kecil di atas makanan organik seperti quinoa, kacang walnut dan hirisan buah kelapa yang dipamerkan untuk jualan.


"Akibat tindakan itu, pihak pasar raya terpaksa menarik semua produk yang tercemar dari rak jualan, menyebabkan kami mengalami kerugian besar selain perlu menanggung kos pembersihan menyeluruh.


"Selepas mendapat laporan mengenai insiden itu, saya segera menghubungi pelanggan yang membeli makanan di bahagian tersebut serta memastikan tiada produk segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan makanan sejuk beku terjejas," katanya.


Tambahnya, pihak pasar raya telah mengambil tindakan segera termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Keene dan pihak polis bagi memastikan keselamatan kawasan jualan mereka terjamin.


Rentetan peristiwa itu, Tedford telah ditahan oleh pihak berkuasa dan sedang berdepan tindakan undang-undang atas kesalahan mencemarkan bahan makanan dan mengganggu ketenteraman awam.


Siasatan lanjut mendapati ini bukan kali pertama Tedford melakukan perbuatan menjijikkan tersebut malah wanita itu pernah tular di media sosial selepas dirakam membuang air kecil di tempat awam pada 2021. - Sumber New York Post.


Sebuah pasar raya mengalami kerugian A$1,500 selepas Kelli Tedford (gambar kanan) membuang air kecil di atas produk makanan. - Foto Site News.