Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Sabtu, 29 Mac 2025

Lelaki bakar rumah majikan, kecewa gaji tak dibayar

Lelaki bakar rumah majikan, kecewa gaji tak dibayar


Kecewa gajinya tidak dibayar, seorang lelaki RG, 45, di Kabupaten Tapanuli Tengah (Tapteng), Sumatera Utara bertindak membakar rumah majikannya, lapor laman berita Detik.com pada 28 Mac 2025.


Ketua Polis Daerah Tapteng, Wahyu Endrajaya mengesahkan, kejadian itu berlaku di Jalan Prof M Hazairin, Daerah Pandan, 14 Februari lalu.


Katanya, suspek berjaya ditangkap di Jalan Faisal Tanjung, pada 21 Mac lalu.


"Suspek disyaki sengaja membakar rumah setelah berasa marah kepada majikannya.


"Kejadian berlaku jam 10 malam. Ketika itu mangsa terdengar bunyi letupan.


"Selepas diperiksa, api membakar bahagian hadapan rumah dan mangsa cuba menyelamatkan barang-barangnya yang diletakkan di hadapan rumah," katanya pada sidang media, kelmarin.


Dengan bantuan isteri mangsa, Wahyu berkata, api itu akhirnya berjaya dipadamkan.


"Dalam kejadian itu, sebahagian siling rumah, basikal kanak-kanak dan beberapa barangan lain hangus.


"Mangsa mengalami kerugian sehingga 5 juta rupiah (RM1,339.14).


Polis juga sedang menyiasat kejadian itu berdasarkan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia menunjukkan suspek melakukan perbuatan itu.


"Penjenayah mengaku kebakaran dimulakan dengan menyalakan api menggunakan palam pencucuh.


"Suspek membakar selipar terpakai yang dicampak ke arah barang di hadapan rumah," katanya.


Ketika disoal siasat, suspek itu mengaku nekad berbuat demikian kerana jengkel dengan mangsa kerana mangsa sering memarahinya dan tidak membayar gajinya. - Sumber Detiksumut.


Polis menunjukkan bahan bukti kejadian kebakaran sebuah rumah. - Foto Polis Daerah Tapteng.

Rabu, 26 Mac 2025

Tukang rumah dipenjara enam tahun mengaku terima wang tebusan RM50,000 kes culik wanita

Tukang rumah dipenjara enam tahun mengaku terima wang tebusan RM50,000 kes culik wanita


Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang tebusan dalam kes penculikan seorang wanita di ladang kelapa sawit, Kampung Kuala Akob, dekat Hulu Terengganu, lapan tahun lalu.


Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan bahawa hukuman ke atas tertuduh, Suparman Aman, 46, dijalankan bermula dari tarikh tangkap pada 15 Mac 2022.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima harta tebusan, iaitu wang tunai berjumlah RM50,000 milik sebuah syarikat, CASA HARTAMAS Sdn Bhd dengan mengetahui bahawa harta tersebut adalah harta tebusan.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi tersebut sekitar jam 3 pagi pada 24 Januari 2017.


Dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan balik ke rumah selepas bersarapan di kedai berhampiran sebelum ditahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dibawa ke beberapa tempat.


Mangsa hanya dilepaskan dengan selamat pada jam 1.30 pagi pada 24 Januari 2017 selepas wang tebusan sebanyak RM400,000 dibayar majikannya.


Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5 Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) [Akta 365].


Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi sepuluh tahun serta dikenakan sebatan.


Pada 2 Julai 2020, tiga rakan subahat Suparman, iaitu Mohd Zairol Nizan Md Nor, Mohd Khairul Anuar Musa, dan Abdul Hadi Abu Bakar, masing-masing berusia 40, 42, dan 25 tahun ketika itu, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu.


Hukuman itu diputuskan selepas mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 3 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Mohd Zairol Nizan dihukum tujuh sebatan, manakala Mohd Khairul Anuar serta Abdul Hadi masing-masing menerima hukuman lima sebatan.


Seorang tukang rumah dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang tebusan dalam kes penculikan seorang wanita di ladang kelapa sawit, Kampung Kuala Akob, dekat Hulu Terengganu, lapan tahun lalu. - Foto Sinar Harian.

Rabu, 19 Mac 2025

Pemandu e-hailing, teksi berbalas tumbukkan gara-gara berebut parkir

Pemandu e-hailing, teksi berbalas tumbukkan gara-gara berebut parkir


Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan pergaduhan antara pemandu teksi dengan pemandu e-hailing gara-gara berebut parkir, lapor laman berita Kompas.com pada 16 Mac 2025.


Kejadian berlaku di depan Apartmen Kalibata City, Pancoran, Jakarta Selatan pada Sabtu lalu (15/3/2025).


Ketua Polis Pancoran, Komisioner Mansur berkata, pergaduhan antara dua pemandu itu bermula selepas kedua-dua mereka saling bertikam lidah dan merakam video.


"Mereka berebut parkir yang biasanya digunakan oleh kenderaan e-hailing. 


"Tiba-tiba sahaja ada teksi elektrik mahu parkir di situ dan tiada ruang kosong untuknya. Ia menyebabkan kekecohan berlaku dan mereka saling memukul," katanya.


Tambah Mansur, kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis, manakala kes itu sedang disiasat.


"Kedua-duanya membuat laporan kerana dipukul," jelasnya. - Sumber Kompas.com


Kedua-dua pemandu saling merakam video ketika bertengkar. - Foto Kompas/Seputar Jaksel.

Selasa, 18 Mac 2025

Tiga polis terbun*h ketika serbu judi sabung ayam haram

Tiga polis terbun*h ketika serbu judi sabung ayam haram


Seramai tiga anggota polis Indonesia maut ketika melakukan serbuan ke atas pusat perjudian sabung ayam haram di daerah Way Kanan, wilayah Lampung, yang terletak di hujung selatan Pulau Sumatera.


Ketiga-tiga anggota ditembak oleh individu tidak dikenali pada malam Isnin (17 Mac 2025) ketika mereka berada di Kampung Karang Manik, mukim Negara Batin.


Menurut kenyataan polis, kesemua mangsa cedera parah akibat tembakan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Ketua Polis Negara Batin, Inspektor Lusiyanto, serta dua anggota dari Unit Siasatan Jenayah Way Kanan, Ketua Brigedier Petrus Apriyanto dan Brigedier Dua Ghalib Surya Ganta.


Jurucakap Polis Lampung, Komisioner Yuni Iswandari memaklumkan bahawa seramai 17 anggota dikerah ke lokasi terbabit selepas menerima laporan berhubung aktiviti perjudian haram.


"Ketika tiba di lokasi, pasukan kami diserang individu tidak dikenali, mengakibatkan tiga pegawai terkorban ketika menjalankan tugas," katanya.


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lampung untuk bedah siasat.


Yuni berkata, pegawai kanan Polis Lampung turun ke lokasi kejadian bagi mempercepatkan siasatan dan memburu pihak yang bertanggungjawab.


Sabung ayam masih berleluasa di beberapa kawasan di Indonesia, sering dikaitkan dengan rangkaian perjudian haram. Pihak berkuasa kerap mengadakan operasi bagi membanteras kegiatan itu.


Indonesia menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap perjudian, dengan Artikel 303 Kanun Jenayah menetapkan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam penganjuran atau penyertaan aktiviti itu. - Sumber Kompas.com.


Jenazah tiga anggota polisi tiba di ruang forensik RS Bhayangkara pada Selasa. - Foto Kompas.com.

Jumaat, 14 Mac 2025

Lelaki warga asing jadi 'pegawai imigresen', cetak pas khas palsu untuk rakan senegara

Lelaki warga asing jadi 'pegawai imigresen', cetak pas khas palsu untuk rakan senegara


Empat warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana dipercayai menjadi ejen haram sejak setahun lalu yang menawarkan perkhidmatan imigresen kepada golongan bermasalah.


Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, empat suspek lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 22 hingga 38 tahun itu ditahan semasa Operasi Khas pada Rabu (12 Mac) dan Khamis (13 Mac) di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor.


Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan perkhidmatan imigresen kepada warganegara asing yang berada di negara ini seperti pas khas.


Kata beliau, ejen haram itu menyasarkan pelanggan warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang telah tinggal lebih masa ataupun telah tamat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).


"Pas Khas akan diuruskan oleh ejen haram ini untuk membolehkan warga asing yang menggunakan perkhidmatan disediakan untuk terus tinggal dan berada di negara ini.


"Ejen haram ini turut menyediakan perkhidmatan mengubah suai ePASS secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Zakaria berkata, bayaran yang dikenakan kepada pelanggan antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk setiap perkhidmatan ditawarkan.


"Semakan awal mendapati dua suspek yang ditahan ini memiliki PLKS dalam sektor pembinaan manakala dua lagi telah tinggal lebih masa," katanya.


Dalam pada itu katanya, pasukan operasi telah merampas 134 naskhah pasport pelbagai negara di premis yang digunakan suspek.


Jelasnya, ia terdiri daripada 117 pasport Bangladesh, Nepal (4), Myanmar dan Indonesia masing-masing (6) serta India (1).


"Kami juga merampas empat unit telefon bimbit, satu unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM69,380.


"Turut disita dua buah kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza untuk siasatan lanjut," katanya.


Seorang ejen haram warga asing menjelaskan sesuatu kepada pegawai JIM yang menyerbu empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor pada Rabu dan Khamis. Foto: JIM.

Ahad, 9 Mac 2025

Bayi perempuan AS diculik 25 tahun lalu ditemukan di Mexico

Bayi perempuan AS diculik 25 tahun lalu ditemukan di Mexico


Selepas 25 tahun kejadian seorang bayi perempuan diculik di Connecticut, Amerika Syarikat (AS), akhirnya dia ditemukan masih hidup di Mexico.


Mengikut hasil penyiasatan, Andrea Michelle Reyes berusia dua tahun ketika dilarikan oleh ibunya, Rosa Tenorio, pada Oktober 1999, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Polis New Haven.


The Guardian melaporkan, Tenorio tidak memiliki hak penjagaan sah ke atas Reyes yang pada waktu itu berada di bawah jagaan bapanya, kata pihak polis.


Polis New Haven dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS sudah mengeluarkan waran tangkap jenayah terhadap Tenorio yang disyaki melarikan diri bersama anaknya ke Mexico, menurut pihak polis.


Tenorio membawa Reyes ke Puebla, sebuah bandar di tenggara Mexico City, tetapi mereka tidak pernah ditemui, lapor pegawai.


Sebelum ini, bapa Andrea beberapa kali pergi ke Mexico, namun gagal menghubungi dua beranak itu.


Kes orang hilang itu terhenti sehinggalah pada 2023, apabila seorang detektif polis memulakan semula siasatan mengenai penculikan Andrea.


"Dengan menggunakan kaedah semak silang gabungan temu bual, waran penggeledahan dan media sosial, detektif Kealyn Nivakoff mengesahkan bahawa Reyes tinggal di bandar Puebla, Mexico yang mempunyai lebih satu juta penduduk selepas diculik oleh Tenorio," kata pihak polis.


Ujian padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan hubungan antara Reyes dan bapanya, yang akhirnya dapat bersatu semula selepas lebih dua dekad.


"Sepanjang tahun-tahun itu, bapa Andrea tidak putus asa mencari, tetapi tidak pernah mendengar khabar daripada anak perempuannya atau si ibu," kata syarikat ujian DNA, Othram, yang terbabit dalam kes ini, dalam kenyataan akhbar.


Reyes, yang kini berusia 27 tahun, adalah penduduk Mexico, kata Othram. Waran tangkap untuk Tenorio masih sah dan aktif di AS, menurut pihak polis, yang turut menambah bahawa mereka percaya suspek penculikan itu masih berada di Mexico. - Sumber NDTV World.


Foto Andrea Michelle Reyes (kiri) ketika masih bayi. - Foto DNA Solves.

Jumaat, 7 Mac 2025

Dihasut teman lelaki, gadis letak racun dalam makanan berbuka puasa bapanya

Dihasut teman lelaki, gadis letak racun dalam makanan berbuka puasa bapanya


Seorang remaja perempuan tergamak cuba meracun bapanya sendiri pada ketibaan Ramadan.


Pelaku dikenali sebagai GN, 17, cuba mencampurkan racun di dalam juadah berbuka puasa bapanya JR, 40.


Cubaan itu bagaimanapun tidak berjaya selepas disedari bapanya yang berasa curiga dengan hidangan tersebut ketika kejadian di Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Sabtu lalu (1/3/2025).


"Ibu bapa pelaku curiga, kerana juadah berbuka puasa yang dihidangkan pelaku berbau racun," kata Kasi Humas Polres Bone, Inspektor Rayendra.


Untuk mengesahkan, JR kemudian pergi ke gudang penyimpanan racunnya. Ternyata setelah diperiksa racun yang disimpan di gudang sebelum ini sudah tiada.


"Ternyata pelaku telah mencurahkannya ke dalam juadah berbuka dengan niat untuk membunuh bapanya.


"JR bertindak segera membuang makanan tersebut. Dia turut melaporkan kejadian tersebut, namun enggan meneruskan pendakwaan kerana anaknya masih di bawah umur.


"Racun yang digunakan anaknya adalah jenis sidamethrin (racun rumput atau racun perosak)," jelas Rayendra.


Menurutnya lagi, pelaku mengakui perbuatannya dan mendedahkan telah disuruh teman lelakinya berbuat demikian.


"Dia sempat disoal siasat dan dikembalikan semula kepada keluarganya yang mahu menolak laporan itu. Motif sebenar dia berbuat demikian masih tidak jelas," ujarnya lagi. - Sumber Liputan 6.


Inspektor Rayendra ketika ditemui, Rabu (5/3/2025), di Mapolres Bone, Jl Yos Sudarso, Watampone, Kabupaten Bone, Sulawesi Selatan. - Foto Tribun Timur.