Memaparkan catatan dengan label Terdampar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terdampar. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Mac 2025

Pasangan suami isteri jumpa rangka mirip ikan duyung di tepi pantai

Pasangan suami isteri jumpa rangka mirip ikan duyung di tepi pantai


Penemuan satu rangka yang mempunyai sirip dan mirip ikan duyung mengejutkan pasangan suami isteri di tepi pantai Margate, Britain, lapor akhbar New York Post pada 21 Mac 2025.


Menurut Paula Regan yang menemui rangka itu bersama suaminya, Dave ketika bersiar-siar di tepi pantai, ia adalah perkara yang paling ganjil pernah ditemuinya.


"Pada mulanya, saya fikir ia adalah kayu hanyut atau mungkin anjing laut mati kerana saya dapat melihat sirip ekor," ujarnya.


Penemuan itu telah menarik sekumpulan pengunjung yang kemudian datang untuk melihat rangka pelik tersebut.


"Ada yang menyangka ia mungkin terjatuh dari bot manakala yang lain mencadangkan ia boleh menjadi patung dari kapal, seperti salah satu daripada ikan duyung yang diukir.


"Saya hanya tahu tiada siapa yang akan mempercayai kami jika kami tidak merakamkan gambar itu," ujarnya. - Sumber New York Post.


Satu rangka mirip ikan duyung ditemukan di tepi pantai. - Foto Paula Regan/SWNS.

Ahad, 16 Mac 2025

Seorang nelayan hilang 95 hari di Lautan Pasifik bertahan hidup dengan memakan lipas, burung, penyu laut

Seorang nelayan hilang 95 hari di Lautan Pasifik bertahan hidup dengan memakan lipas, burung, penyu laut


Seorang nelayan Peru yang hilang selama 95 hari di Lautan Pasifik, memakan lipas, burung dan penyu laut untuk terus hidup, lapor akhbar The Straits Times pada 16 Mac 2025.


Maximo Napa memulakan perjalanan memancing dari Marcona, sebuah bandar di pantai selatan Peru, pada 7 Disember.


Dia membungkus makanan untuk perjalanan dua minggu tetapi sepuluh hari kemudian, cuaca ribut telah menghanyutkan botnya dari haluan dan dia akhirnya terdampar di Lautan Pasifik.


Keluarganya melancarkan pencarian tetapi rondaan maritim Peru tidak dapat menemukannya sehingga hari Rabu, apabila rondaan perikanan Ecuador menemuinya kira-kira 680 batu (1,094 km) di luar pantai negara itu, mengalami dehidrasi teruk dan dalam keadaan kritikal.



"Saya tidak mahu mati," kata Napa kepada Reuters selepas bertemu semula dengan abangnya, di Paita, berhampiran sempadan dengan Ecuador.


"Saya makan lipas, burung, yang terakhir saya makan ialah penyu."


Dia berkata dia kekal kuat dengan memikirkan keluarganya, termasuk cucu perempuannya yang berusia dua bulan, walaupun dia bertahan dengan air hujan yang dikumpulkannya di atas bot dan kehabisan makanan, akhirnya menghabiskan 15 hari terakhir tanpa makan.


"Saya memikirkan ibu saya setiap hari," katanya.


"Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya peluang kedua."


Ibunya, Elena Castro, memberitahu media tempatan bahawa walaupun saudara-maranya kekal optimis, dia mula kehilangan harapan.


"Saya memberitahu Tuhan, sama ada dia hidup atau mati, kembalikan dia kepada saya, walaupun hanya untuk melihatnya," katanya kepada TV Peru.


"Tetapi anak perempuan saya tidak pernah kehilangan kepercayaan.


Mereka terus memberitahu saya: Ibu, dia akan kembali, dia akan kembali."


Napa dijadualkan untuk pemeriksaan perubatan lanjut di Paita sebelum menuju ke selatan ke Lima. - Sumber The Straits Times.


Gambar edaran ini dikeluarkan pada 15 Mac 2025 oleh Tentera Laut Peru menunjukkan Maximo Napa (tengah) ketika disambut oleh abangnya semasa ketibaannya di Paita, Peru. - Foto Tentera Laut Peru/AFP.

Sabtu, 30 Mac 2024

Lelaki terkejut jumpa 'ikan puntianak' di tepi pantai

Lelaki terkejut jumpa 'ikan puntianak' di tepi pantai


Seorang lelaki menemui makhluk aneh kelihatan seperti cacing gergasi dalam filem sains fiksyen, Dune ketika dia bersiar-siar di tepi pantai, lapor portal berita MailOnline pada 29 Mac 2024.


Will Miles, 26, terjumpa makhluk aneh itu di pantai dekat Exmouth Marina, Devon, Britain baru-baru ini.


Makhluk tersebut diberi julukan 'ikan puntianak' kerana menghisap darah ikan lain dan mulutnya dipenuhi barisan gigi tajam.


"Saya sedang bersiar-siar selepas bekerja. Ia terdampar di tengah pantai berhampiran garis air pasang surut," katanya.


Berminat untuk berkongsi penemuan anehnya, Will menyiarkan foto di halaman Facebook untuk naturalis.


Walaupun ada yang mengenal pasti spesies itu dengan betul, yang lain berpendapat ia kelihatan seperti sesuatu daripada filem blockbuster Dune, berdasarkan novel sci-fi Frank Herbert.


Will menganggarkan haiwan aneh itu memiliki panjang 80 sentimeter atau menyamai ketinggian purata kanak-kanak umur dua tahun.


"Saya sangat terkejut. Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini," ujarnya.


'Ikan puntianak' pernah wujud di Britain dalam jumlah yang banyak sebelum bilangannya merosot disebabkan oleh kualiti air yang rendah. - Sumber Daily Mail.


Seorang lelaki menemui 'ikan puntianak' di tepi pantai Devon baru-baru ini. - Foto Jarco Havermans/Pen News.

Rabu, 19 Julai 2023

Misteri silinder gergasi terdampar di pantai Australia dipercayai 'jatuh' dari angkasa

Misteri silinder gergasi terdampar di pantai Australia dipercayai 'jatuh' dari angkasa


Sebuah silinder logam gergasi ditemukan terdampar di sebuah pantai di Australia Barat telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan polis, lapor The Guardian pada 17 Julai 2023.


Menurut polis, objek misteri berwarna tembaga itu ditemukan oleh penduduk tempatan pada Ahad lalu setelah terdampar di pantai berhampiran Jurien Bay.


Silinder logam itu kelihatan rosak teruk dan ditemukan dalam keadaan bersandar pada sisinya.



Pada awalnya polis Australia Barat mengesahkan objek itu berasal dari pesawat komersial. Namun, mereka tidak dapat pastikan apa objek itu sebenarnya dan menganggapnya berbahaya.


Bagaimanapun, polis menerusi kenyataan memaklumkan analisis dilakukan oleh pusat kimia jabatan bomba mendapati 'objek itu selamat dan buat masa ini tidak mengundang risiko kepada penduduk'.


Jelasnya, silinder gergasi itu akan dipindahkan sebaik sahaja proses mengenal pasti objek selesai.


Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti maklumat mengenai silinder gergasi itu dan meminta orang ramai untuk menjauhkan diri daripada objek tersebut.



"Langkah ini diambil untuk memastikan bukti yang diperoleh dipelihara secara baik, selain memudahkan pemeriksaan selanjutnya," jelasnya.


Polis juga menolak dakwaan objek itu berasal dari pesawat MH370 yang hilang pada Mac 2014.


Menerusi sebuah video dimuat naik dalam media sosial, silinder gergasi itu yang sebahagiannya rosak, tidak kelihatan berasal dari pesawat biasa.


Ahli teori berpendapat penemuan yang mengejutkan itu sebenarnya 'objek dari langit'. Dipercayai silinder bahan api yang pernah dipasang pada Kenderaan Pelancar Satelit Kutub India.


Agensi Angkasa Lepas Australia, yang turut menyiasat penemuan itu, nampaknya menyokong idea itu mengatakan ia berkemungkinan daripada 'kenderaan pelancar angkasa lepas'.


Menurut news.com.au, ahli arkeologi angkasa lepas Dr Alice Gorman turut menyokong teori tersebut. - Sumber The Guardian.


Objek misteri itu ditemukan terdampar di pantai berhampiran Green Head di Australia Barat. - Foto The Sun.

Sabtu, 15 Julai 2023

Wanita jumpa rangka aneh menyerupai ikan duyung terdampar di tepi Pantai

Wanita jumpa rangka aneh menyerupai ikan duyung terdampar di tepi Pantai


Seorang wanita terkejut apabila menemui rangka makhluk dikatakan menyerupai ikan duyung atau mermaid terdampar di tepi Pantai Keppel Sands di Queensland, lapor akhbar Mirror UK pada 13 Julai 2023.


Bobbi-Lee Oates, 34, memuat naik gambar tersebut di laman Facebook. Ia memaparkan rangka sejenis makhluk memiliki panjang kira-kira 182 sentimeter.


"Kami memandu di sepanjang pantai untuk mencari tapak perkhemahan, dan kami tidak dapat mengelak daripada melihat betapa tengkorak itu kelihatan dalam bentuk manusia.


"Ia mempunyai tengkorak menyerupai bentuk tengkorak manusia dengan garisan rahang yang memanjang dan bulu menyerupai warna lembu atau kanggaru.


"Ia kelihatan amat sama dengan bentuk ikan duyung, namun berbulu dan kelihatan mempunyai ekor," kata Bobbi-Lee Oates.


Wanita itu memuat naik gambar tersebut di laman Facebook, manakala ada pengguna berpendapat bahawa rangka itu milik ikan duyung. Sebilangan netizen lain pula mendakwa bahawa penemuan itu adalah rangka dugong.


Seorang pakar di Persatuan Zoologi di London, Rob Deaville bagaimanapun berkata: "Bagi saya, ia kelihatan seperti cetacean kecil."


"Saya tidak biasa dengan kawasan itu atau spesies mana yang biasa ditemui di sana, jadi saya tidak boleh mengatakan lebih jauh daripada itu."


Cetacean adalah mamalia akuatik yang merangkumi ikan paus dan ikan lumba-lumba.


Bagi Bobbi-Lee Oates, ia masih menjadi misteri: "Saya masih belum mengetahui apa itu.


"Saya berharap seseorang akan mengulas mengatakan apa itu, tetapi komen itu semuanya berbeza.


Dia menambah: "Saya tidak pernah melihat apa-apa dalam hidup saya seperti ini. Ia tidak kelihatan seperti sesuatu yang realistik kepada saya." - Sumber Mirror UK.


Tulang rangka makhluk ini mempunyai anggaran 182 sentimeter panjang. - Foto Bobbi-Lee Oates/Pen News.

Sabtu, 29 April 2023

Nelayan jumpa muntah ikan paus di tepi pantai bernilai RM392,428

Nelayan jumpa muntah ikan paus di tepi pantai bernilai RM392,428


Seorang nelayan bertuah secara tidak sengaja menemui muntah ikan paus seberat 3 kilogram di sebuah pantai di Rayong, timur Thailand, lapor portal berita Thaiger pada 27 April 2023.


Chuwit Senanoi, seorang nelayan berusia 36 tahun dari Rayong, ketika itu sedang mencari udang dan ketam di pantai di mukim Pak Nam Prasae, daerah Klaeng.


"Saya sedang berjalan di pantai sebelum menemui lima ketul ambergris bertaburan di atas pasir. Saya mengenalinya kerana saya pernah melihatnya dalam berita sebelum ini," kata Chuwit.


Jika terbukti tulen, dia boleh menjual muntah paus yang juga diberi jolokan 'emas terapung' itu pada harga tiga juta baht (RM392,428).


Muntah paus atau ambergris ialah bahan berharga yang dihasilkan dalam sistem pencernaan beberapa spesies paus termasuk paus sperma.


Sebaik sahaja menerima sijil yang membuktikannya muntah ikan paus, dia akan segera menjualnya, kata Chuwit.


Jika diklasifikasikan sebagai Gred A, harganya boleh mencecah satu juta baht (RM130,809) untuk satu kilogram. - Sumber The Thaiger.


Seorang nelayan, Chuwit Senanoi menemui muntah ikan paus di pantai mukim Pak Nam Prasae, daerah Klaeng pada Ahad lalu. - Foto Sanook.

Rabu, 26 April 2023

Objek 'misteri' tiba-tiba muncul di pantai Florida

Objek 'misteri' tiba-tiba muncul di pantai Florida


Satu objek misteri dipercayai serpihan daripada bangkai sebuah kapal yang sudah lama karam, ditemukan terdampar tepi pantai di Florida, Amerika Syarikat, baru-baru ini.


Menerusi lapor portal UPI pada 21 April 2023, pihak berkuasa memaklumkan objek itu ditemukan akibat hakisan teruk daripada taufan yang melanda kawasan itu.


Menurut Agensi Pemantauan Pantai Volusia, objek disyaki serpihan bangkai kapal karam itu berukuran kira-kira 25 hingga 30 kaki panjang.


Jelas agensi itu, objek misteri itu ditemukan pada minggu lalu berhampiran bandar Daytona Beach Shores.     


"Objek yang kelihatan seperti serpihan bahagian badan kapal dipercayai dihanyutkan ombak dan terdampar di tepi pantai.


"Ia mungkin disebabkan oleh hakisan terik selepas Taufan Ian dan Fiona melanda kawasan itu tahun lalu," jelas agensi itu.


Pasukan keselamatan pantai memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghampiri objek berkenaan.


Katanya, pasukan penyelidik akan mengunjungi lokasi tersebut untuk memeriksa objek yang ditemukan itu.


Sebelum ini, satu lagi serpihan daripada bangkai kapal yang karam, ditemukan terdampar di Volusia County akibat hakisan taufan pada Disember tahun lalu. - Sumber UPI.


Objek dipercayai serpihan daripada bangkai kapal karam ditemukan pada minggu lalu di Florida. - Foto Volusia County Beach Safety.