Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Rabu, 19 Februari 2025

Terengganu bakal jadi lokasi bina pesawat, sekali gus lahirkan ramai pakar aeroangkasa

Terengganu bakal jadi lokasi bina pesawat, sekali gus lahirkan ramai pakar aeroangkasa


Terengganu bakal menjadi lokasi bagi membina pesawat, sekali gus dapat memacu ekonomi serta membuka ruang melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah menerima kunjungan delegasi Putra Aerospace Industries (PAI) diketuai Tuan Hassanuddin Tuan Kob untuk berbincang mengenai perancangan tersebut.


"Berbesar hati menerima kunjungan daripada delegasi PAI diketuai Tuan Hassanuddin Tuan Kob yang datang bagi menyampaikan hasrat mereka untuk membina pesawat di Terengganu.


"Kita telah kenal pasti lokasi strategik untuk projek fasa pertama ini iaitu dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar (20.2 hektar).


"Manakala cadangan bagi fasa kedua dan seterusnya juga telah dikenal pasti di kawasan sama," katanya menerusi satu kenyataan di hantaran Facebook rasminya hari ini.


Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, PAI bukan hanya mampu membuat alat ganti pesawat bahkan memiliki lesen membina pesawat baharu.


"Semoga kerjasama antara kerajaan negeri dan PAI dapat meningkatkan ekonomi dan membuka ruang melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa serta bermanfaat buat rakyat secara menyeluruh," jelasnya.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAI bakal menjalin kerjasama dengan Terengganu sebagai lokasi membina pesawat.

Khamis, 2 Januari 2025

Seorang terbunuh, tujuh cedera letupan Tesla Cybertruck di hadapan hotel Trump

Seorang terbunuh, tujuh cedera letupan Tesla Cybertruck di hadapan hotel Trump


Seorang maut dan sekurang-kurangnya tujuh yang lain cedera ringan dalam letupan sebuah Tesla Cybertruck di hadapan Trump International Hotel di Las Vegas, lapor media Amerika Syarikat pada Rabu, memetik sumber polis.


Mangsa yang maut dilaporkan berada di dalam kenderaan itu.


Kenderaan elektrik itu dilaporkan berhenti di hadapan pintu kaca Trump International Hotel sebelum berlaku letupan besar, kata Syerif Kevin McMahill dari polis Las Vegas dalam sidang akhbar seperti dipetik New York Times.


Rakaman video menunjukkan trak keluli tahan karat itu diletakkan di pintu masuk hotel sebelum ia meletup dan terbakar, diikuti oleh letupan kecil yang kelihatan seperti bunga api.


Punca letupan pada awalnya tidak jelas, menurut polis. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga sedang menyiasat kejadian itu, menurut CNN.


Cybertruck dihasilkan oleh syarikat kenderaan elektrik Tesla, yang ketua eksekutifnya ialah oleh Elon Musk. Jutawan teknologi itu, yang juga pemilik platform Internet X, dianggap sebagai penasihat rapat kepada Presiden terpilih Donald Trump.


"Kami kini mengesahkan bahawa letupan itu disebabkan oleh bunga api bersaiz besar atau bom yang dibawa di bahagian belakang Cybertruck yang disewa, dan ia tidak kaitan dengan kenderaan itu sendiri." Beliau tidak memberikan bukti atau memetik sumber bagi kenyataan itu.


Sebelum itu, Musk menyatakan seluruh pasukan kanan Tesla sedang menyiasat kejadian itu, sambil berkata, belum pernah ada kejadian seumpamanya berlaku sebelum ini.


Eric Trump, anak Donald Trump, mengesahkan melalui platform X bahawa kebakaran sebuah pikap elektrik berlaku di hadapan hotel keluarganya di Las Vegas. Beliau berterima kasih kepada pasukan bomba dan polis atas tindakan pantas mereka.


Agensi berita Rusia RIA Novosti melaporkan bahawa agensi perisikan AS sedang menyiasat kemungkinan kaitan antara serangan pengganas di New Orleans dengan letupan Cybertruck berhampiran Trump Hotel di Las Vegas, memetik Presiden AS Joe Biden.


"Kami sedang menjejaki insiden letupan sebuah Cybertruck di luar Trump Hotel di Las Vegas. Pasukan penguat kuasa undang-undang dan komuniti perisikan sedang menyiasat perkara ini, termasuk sebarang kemungkinan kaitannya dengan serangan di New Orleans," kata Biden dalam ucapan kepada negara.


Letupan sebuah Tesla Cybertruck di hadapan Trump International Hotel di Las Vegas. - Foto AFP.

Sabtu, 28 Disember 2024

Kapal angkasa NASA tidak terbakar selepas lakukan misi paling hampir dengan matahari

Kapal angkasa NASA tidak terbakar selepas lakukan misi paling hampir dengan matahari


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) secara rasmi mencipta sejarah apabila sebuah kapal angkasa miliknya berada paling hampir dengan Matahari, lapor portal berita Daily Mail pada 27 Disember 2024.


Agensi angkasa lepas milik Amerika Syarikat (AS) itu mengesahkan bahawa kapal angkasa dikenali sebagai Parker Solar Probe terselamat ketika menghampiri Matahari dan kini beroperasi seperti biasa.


Agensi itu memaklumkan bahawa pasukan operasi di makmal fizik gunaan Universiti Johns Hopkins di Maryland menerima isyarat, iaitu nada suar, daripada probe itu sejurus sebelum tengah malam Khamis.


Kapal angkasa itu dijangka menghantar data telemetri terperinci tentang statusnya pada 1 Januari.


Kapal angkasa itu dilancarkan dari Cape Canaveral, negeri Florida pada Ogos 2018 sebelum memulakan perjalanan sejauh 149,668,992 kilometer menuju ke orbit Matahari.


"Parker Solar Probe telah 'menelefon' (menghubungi) ke rumah (pangkalan NASA di Florida)!


"Selepas berada hanya 6.1 juta kilometer dari permukaan Matahari pada 24 Disember lalu yang merupakan penerbangan terdekat dalam sejarah, kami telah menerima isyarat daripada Parker Solar Probe mengesahkan kapal angkasa itu selamat," kata NASA di platform X.


Semasa penerbangan, Parker Solar Probe menempuh suhu sehingga 982 darjah Celsius sambil bergerak pada kelajuan 692,017 kilometer sejam tetapi perisai haba melindungi kapal angkasa itu dengan berkesan.


Selain memecahkan rekod, saintis-saintis berharap misi itu akan membolehkan mereka mengukur cara material dipanaskan hingga berjuta-juta darjah Celsius, mengesan asal usul angin Matahari dan mempelajari cara zarah bertenaga mencapai hampir kelajuan cahaya. - Sumber Daily Mail.


Ilustrasi artis kapal angkasa NASA berada dekat dengan matahari. - Foto AFP.

Khamis, 19 Disember 2024

Lelaki guna 400 telefon serentak bagi meningkatkan peluang memenangi hadiah dalam talian

Lelaki guna 400 telefon serentak bagi meningkatkan peluang memenangi hadiah dalam talian


Seorang lelaki di China, baru-baru ini, menggunakan 400 telefon bimbit secara serentak bagi meningkatkan peluangnya memenangi hadiah dalam penstriman langsung.


Ma akhirnya ditangkap polis selepas ditemukan mengendalikan ratusan peranti itu di garaj kecil dalam kawasan kediaman di wilayah Jiangsu pada Ogos lalu, lapor South China Morning Post pada 18 Disember 2024.


Perlakuan pelik Ma itu dilaporkan seorang warga emas kepada polis selepas mengesyaki Ma menjalankan operasi penipuan.


Bagaimanapun, siasatan polis terhadap Ma mendedahkan senario berbeza.


Ma mengakui, dia menggunakan telefon masing-masing dipautkan ke akaun platform penstriman langsung yang berasingan untuk mengakses penstriman langsung sama dan meningkatkan peluangnya memenangi 'beg bertuah'.


Katanya, dia melakukan tindakan itu kerana beg bertuah hanya memerlukan penonton mengklik butang untuk menghantar mesej tertentu dan menunggu hadiah diberikan dengan pengendali penstriman langsung menyediakan hadiah dan menentukan kandungan beg bertuah.


"Saya memenangi pelbagai barangan, daripada barangan keperluan harian yang murah kepada pencetak dan model iPhone terkini, yang akhirnya saya jual di platform e-dagang terpakai.


"Saya memperoleh antara 10,000 hingga 20,000 yuan (RM 6,168.78 hingga RM12,337.56) sebulan," katanya.


Katanya, dia tidak memasukkan kad Sim ke dalam telefon yang diperlukan untuk mendaftar akaun baharu di platform media sosial China sebaliknya, membeli akaun sedia ada daripada orang lain, diperoleh secara dalam talian.


Memandangkan akaun berdaftar nama sebenar ini mengandungi maklumat peribadi, polis mendakwa Ma kerana melanggar maklumat peribadi orang lain yang menyalahi undang-undang.


Walaupun polis tidak mendedahkan hukuman khusus, menurut Undang-undang Jenayah China, individu yang memperoleh, menjual atau memberikan maklumat peribadi warganegara boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda. - Sumber South China Morning Post.


Ma menggunakan 400 telefon bimbit untuk menang hadiah beg bertuah. - Foto Weibo.

Sabtu, 26 Oktober 2024

Satelit Boeing tiba-tiba meletup,150 negara terputus internet, komunikasi

Satelit Boeing tiba-tiba meletup,150 negara terputus internet, komunikasi


Sebuah satelit Boeing mengalami 'kegagalan sistem' yang menyebabkannya meletup secara spontan di orbit, mengakibatkan internet dan komunikasi terputus secara meluas di seluruh dunia, lapor portal berita MailOnline pada 24 Oktober 2024.


Satelit seberat hampir 2,267 kilogram, iS-33e pecah menjadi lebih 50 serpihan pada Isnin lalu.


Ia dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan satelit antarabangsa, Intelsat yang menyediakan perkhidmatan komunikasi kepada pelbagai pelanggan yang merangkumi hampir 150 buah negara.


IS-33e ialah ialah satelit yang digunakan untuk telefon, internet dan komunikasi mudah alih dan penyiaran isyarat televisyen serta radio.



Punca sebenar kematian satelit itu belum didedahkan. Tetapi Intelsat menyatakan bahawa 'anomali' yang berlaku pada 19 Oktober menyebabkan iS-33e terputus secara spontan.


Pada masa lalu, satelit seperti iS-33e telah rosak akibat perlanggaran dengan serpihan angkasa atau meteoroid dan peningkatan aktiviti suria. Ada kemungkinan bahawa salah satu daripada ini boleh menyebabkan kematian satelit.


Angkatan Angkasa Amerika Syarikat kini sedang mengesan sekitar 20 serpihan yang dikaitkan dengan kejadian itu.


Ini akan menambahkan sampah angkasa yang semakin meningkat mengelilingi planet kita, yang meningkatkan risiko serpihan jatuh kembali ke Bumi.


Intelsat berkata, pihaknya sedang dalam proses memindahkan perkhidmatan iS-33e ke satelit lain dan analisis dilakukan bagi mengetahui apa yang menyebabkan satelit itu meletup. - Sumber Daily Mail.


Serpihan daripada letupan ini akan menambahkan sampah angkasa yang semakin meningkat mengelilingi planet kita, yang meningkatkan risiko serpihan jatuh kembali ke Bumi. - Foto MailOnline.

Sabtu, 19 Oktober 2024

Pengunjung terkejut jerung paus gergasi dalam akuarium sebenarnya robot

Pengunjung terkejut jerung paus gergasi dalam akuarium sebenarnya robot


Pengunjung akuarium di Shenzhen, China, terkejut apabila mendapati jerung paus gergasi yang dipamerkan sebenarnya adalah robot, lapor berita Portal Independent pada 17 Oktober 2024.


Xiaomeisha Sea World dibuka semula untuk kunjungan orang ramai pada 1 Oktober dengan menampilkan 'jerung' itu. Ia selepas tarikan pelancongan itu ditutup selama lima tahun untuk pengubahsuaian.


Pada minggu pertama pembukaan, tarikan berkeluasan 60,000 meter persegi itu menarik kira-kira 100,000 pengunjung. Bayaran masuk adalah kira-kira 30 pound sterling (kira-kira RM169).


Bagaimanapun, pengunjung kecewa selepas mengetahui jerung di akuarium di taman itu, ternyata adalah robot.


Beberapa pengunjung yang marah menuntut bayaran balik, manakala yang lain menggunakan media sosial untuk mengecam taman itu.


"Tempat itu tidak cukup besar, malah jerung paus itu tiruan.. menjelang 3 petang, orang ramai sudah meminta bayaran balik," kata salah seorang pengunjung seperti dilaporkan New York Post.


Pengurusan akuarium mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan pihaknya sudah membelanjakan jutaan yuan China untuk membina robot jerung itu.


Alasannya adalah bagi mematuhi undang-undang China yang mengharamkan perdagangan jerung paus.


Pada 2019, China mengharamkan sirip jerung dan penangkapan haiwan itu dengan sengaja di laut terbuka. Xiaomeisha Sea World juga menjelaskan, pihaknya tidak berniat menipu pengunjung.


"Walaupun ia demi perlindungan haiwan, saya lebih suka mereka tidak memilikinya sama sekali daripada menunjukkan yang palsu," kata seorang netizen di media sosial China. - Sumber Independent.


Tangkap layar daripada video CGTN menunjukkan robot jerung itu 'berenang' di dalam akuarium di China.

Ahad, 18 Ogos 2024

Penyelidikan terkini cadangkan ada takungan air bawah permukaan Marikh

Penyelidikan terkini cadangkan ada takungan air bawah permukaan Marikh


Hasil penyelidikan terkini mencadangkan kemungkinan terdapat takungan air di bawah permukaan Marikh, dengan jumlahnya berpotensi membentuk lautan global di planet merah itu.


Air dianggarkan berada pada kedalaman tujuh hingga 12 batu (11.5 hingga 20 km) di bawah kerak Marikh, tersembunyi dalam retakan batuan bawah tanah, lapor laman berita Xinhua pada 13 Ogos 2024.


Penemuan itu berasaskan pengukuran seismik daripada Mars InSight lander milik NASA yang menggunakan seismometer bagi mengesan bahagian dalam Marikh antara 2018 dan 2022.


Menurut saintis, Vashan Wright dari Scripps Institution of Oceanography, University of California, San Diego yang juga pengarang utama kajian dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences, air di Marikh dipercayai pernah wujud secara sementara di permukaan lebih 3 bilion tahun lalu.


"Ketika itu Marikh mempunyai sungai, tasik dan lautan.


"Bagaimanapun, apabila atmosfera Marikh semakin menipis, ia dianggap kehilangan air pada permukaan.


"Penemuan baharu itu menunjukkan bahawa air telah meresap ke dalam kerak Marikh.


"Memahami kitaran air Marikh adalah penting untuk memahami evolusi iklim, permukaan dan bahagian dalamnya," kata Wright. - Sumber Xinhua.


Menurut penyelidikan baharu yang dikeluarkan pada hari Isnin (12/8/2024), terdapat takungan air di bawah permukaan Marikh. - Foto Space Frontiers/Hulton Archive/Getty Images.