Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seram. Papar semua catatan

Selasa, 11 Februari 2025

Puntianak dirakam bertenggek di atas bumbung rumah penduduk

Puntianak dirakam bertenggek di atas bumbung rumah penduduk


Satu penampakan lembaga putih dipercayai puntianak dirakam berada di atas bumbung sebuah rumah di Indonesia, lapor portal berita RCTI pada 9 Februari 2025.


Rakaman video kejadian dimuat naik di platform TikTok menggunakan akaun @vitosena8.


Jika dilihat pada rakaman video, terdapat makhluk berambut panjang dan berbaju putih sedang duduk di atas bumbung rumah tersebut.


Perakam video juga percaya bahawa penampakan itu adalah puntianak.


"Kakak punti (puntianak), asyik terbang di atas rumah?" kata pemilik akaun itu.


Dalam video tular di media sosial itu, lembaga tersebut dilihat memiliki susuk tubuh yang kelihatan seperti puntianak kanak-kanak sedang duduk di atas bumbung.


Seorang netizen menganggap kehadiran puntianak itu disebabkan ada bayi atau wanita hamil di rumah tersebut.


"Penampilannya sangat jelas," kata seorang netizen.


"Kawasan saya, setiap kali ada ibu mengandung, ada puntianak hinggap di situ," tambah seorang lagi netizen. - Sumber RCTI.


Penampakan makhluk seperti kuntilanak (dalam bulatan) di atas bumbung rumah. - Foto TikTok/@vitosena8.

Isnin, 20 Januari 2025

Bomba berjaya tangkap hantu ganggu wanita di rumah sewa

Bomba berjaya tangkap hantu ganggu wanita di rumah sewa


Pasukan bomba dan penyelamat di Indonesia berdepan detik menyeramkan apabila mereka menerima panggilan kecemasan untuk menangkap hantu, lapor portal berita Tribunnews pada 20 Januari 2025.


Kejadian berlaku di bandar Pekanbaru, wilayah Riau, baru-baru ini.


Ketua Agensi Bomba dan Penyelamat Pekanbaru, Hendro Putra Gautama berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan) daripada seorang wanita.


"Wanita itu meminta kami menangkap hantu di rumah sewanya kerana rimas sering diganggu.


"Kami memutuskan untuk membantu wanita berkenaan kerana salah seorang anggota kami mampu menghalau hantu," kata Hendro.


Tambah Hendro, proses 'penangkapan' itu mengambil masa yang sangat lama.


"Ia mengambil masa selama dua jam. Hantu itu kemudian dipindahkan pada sebatang pokok," tambahnya.


Selepas selesai hantu itu dipindahkan, Hendro mendedahkan anggota pasukan itu tidak membuat laporan seperti biasa.


"Kita tak buat laporan. Lagipun macam mana nak buat laporan kononnya orang yang dipindahkan itu tidak kelihatan," katanya sambil ketawa. - Sumber Tribun News.


Hendro menjelaskan, terdapat seorang ahli pasukan mereka iaitu Rahmat yang mempunyai kebolehan istimewa untuk menghalau makhluk ghaib. - (Gambar hiasan) Foto Istimewa.

Sabtu, 4 Januari 2025

Penampakan susuk misteri menyerupai puntianak gemparkan penduduk kampung

Penampakan susuk misteri menyerupai puntianak gemparkan penduduk kampung


Satu rakaman video memaparkan lembaga menyerupai puntianak menyebabkan penduduk Desa Bonongslawi, wilayah Jawa Barat menjadi gempar, lapor portal berita Indramayunnews.id hari ini.


Video itu menjadi tular di media sosial semalam (3/1/2025) memaparkan susuk misteri berambut panjang dan memakai pakaian putih.


Penampakan itu menyebabkan penduduk kampung keluar rumah membawa kayu dan lampu suluh untuk memburu puntianak tersebut.


Sebilangan penduduk menganggap lembaga itu ialah puntianak jadi-jadian, manakala yang lain percaya ia adalah penampakan asli.


"Kejadian seperti ini baru pertama kali terjadi di desa kami.


"Kami berharap ini tidak membawa kesan buruk kepada penduduk," ujar seorang penduduk kampung itu yang enggan namanya didedahkan.


Keresahan penduduk terus meningkat dan ramai yang berharap agar kejadian itu dapat dirungkai dengan segera. Di tengah-tengah kekeliruan, penduduk diminta bertenang dan berhati-hati. - Sumber Indramayunnews.id.


Ratusan penduduk mengunjungi rumah penduduk yang disyaki terdapat kuntilanak. - Foto Indramayunnews.id.

Khamis, 26 Disember 2024

Lelaki ceroboh bangunan 'nak tangkap hantu' dipenjara 3 bulan

Lelaki ceroboh bangunan 'nak tangkap hantu' dipenjara 3 bulan


Pembantu kedai cuci kenderaan dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas pertuduhan menceroboh bangunan untuk melakukan aktiviti paranormal, Sabtu lalu.


Muhammad Haikal Mesrol, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bangunan terbiar milik pengurus berusia 66 tahun, di Bukit Pasir, Batu Pahat, 7.10 pagi, 21 Disember lalu.


Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan berkuatkuasa dari tertuduh ditahan, 21 Disember lalu.


Muhammad Haikal Mesrol, 24, dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh bangunan untuk melakukan aktiviti paranormal. - Foto Harian Metro.

Selasa, 23 Julai 2024

Saluran Youtube, TikTok suka-suka buat 'content' rumah seram, pemilik buat laporan polis

Saluran Youtube, TikTok suka-suka buat 'content' rumah seram, pemilik buat laporan polis


Waris kepada pemilik sebuah rumah kosong di Semarang, wilayah Jawa Tengah membuat laporan polis ke atas tiga saluran YouTube dan dua akaun TikTok kerana menghasilkan kandungan seram di hartanah itu tanpa pengetahuan mereka, lapor laman berita Detiksumut pada 22 Julai 2024.


Individu yang hanya dikenali sebagai AH berkata, kandungan laman sosial itu mendatangkan kerugian kepada mereka kerana rumah tersebut dalam proses untuk dijual.


Disebabkan kandungan-kandungan itu, hartanah tersebut tidak laku dijual malah, beberapa calon pembeli juga menarik diri.


"Lapan calon pembeli menarik diri disebabkan kandungan-kandungan seram mengenai rumah itu," katanya.


Tambah AH, kediaman itu kosong sejak enam bulan lalu dan masih terdapat banyak barangan berharga di dalamnya.


"Namun, keadaan dalam rumah bersepah serta banyak barangan yang rosak dan pecah kerana diceroboh. Saya juga temui sisa kemenyan semasa saya periksa di situ.


"Banyak barangan hilang seperti sembilan unit penyaman udara, perhiasan diperbuat daripada emas 28 gram dan televisyen. Kami tidak tahu siapa yang mencurinya," jelasnya.


Kata AH, sepanduk yang bertulis 'Untuk dijual' di luar pagar rumah juga dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.


"Penghasil kandungan masuk ke rumah itu melalui tingkap. Dalam video yang mereka rakam ada buktinya," ujarnya.


Selain itu, AH meluahkan rasa kesal kerana dokumen-dokumen peribadi milik keluarganya dipaparkan dalam video yang disebar.


"Gambar-gambar bapa saya juga dipaparkan, perhiasan rumah turut ditayang. Mereka juga membuat cerita palsu yang mengatakan bahawa rumah itu sudah ditinggalkan 10 tahun dan milik orang kaya Arab," jelasnya.


Sementara itu, ketua polis tempatan, Komisioner Polis Andika Dharma Sena mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan sedang menyiasat kes tersebut. - Sumber Detiksumut.


Rumah milik bapa AH dijadikan lokasi rakaman kandungan seram oleh pempengaruh media sosial. - Foto Detik Jateng.

Khamis, 18 Julai 2024

Polis buru penunggang motosikal bonceng pocong cetuskan resah masyarakat

Polis buru penunggang motosikal bonceng pocong cetuskan resah masyarakat


Polis kini sedang giat memburu seorang penunggang motosikal yang didakwa membonceng pocong setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perbuatan berkenaan tular di media sosial.


Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Kulon Progo, AKP Triatmi Noviartuti berkata, ini bagi menghilangkan rasa resah masyarakat selain bagi memastikan kejadian sebenar di sebalik rakaman CCTV itu.


"Sekarang kami sedang memburu penunggang tersebut, adakah benar sama ada dia membonceng pocong, selain sama ada ia terkait dengan perkara mistik" katanya kepada pemberita pada Selasa (16/7/2024).


Terdahulu, rakaman CCTV yang dirakam di Polsek Lendah, Indonesia itu tersebar di pelbagai platform media sosial, antaranya Facebook, Instagram, dan TikTok sehingga menghebohkan masyarakat setempat.


Rakaman itu difahamkan dirakam di sekitar laluan di Kalurahan Jatirejo, Kapanewon Lendah, Kulon Progo minggu lalu (14/7/2024).


Tambah Triatmi, berdasarkan rakaman awal difahamkan pembonceng ketiga motosikal itu dipercayai pocong.


"Adakah pada malam itu terdapat dua orang pembonceng, yang mana ketiga itu pocong, namun kita masih menunggu siasatan lanjut," katanya lagi.


Rakaman CCTV itu tular di semua platform media sosial malah mendapat tontonan yang tinggi di platform Instagram dengan 350,000 jumlah tontonan. - Sumber Detik.com.


Tangkap layar CCTV yang tular memaparkan seorang penunggang motosikal didakwa membonceng pocong. - Foto Detikjogja.

Jumaat, 17 Mei 2024

Lembaga putih renung kanak-kanak tidur atas lantai

Lembaga putih renung kanak-kanak tidur atas lantai


Satu lembaga putih yang merenung seorang kanak-kanak sedang tidur dirakam oleh sebuah kamera keselamatan di sebuah rumah lama berusia 100 tahun, lapor laman berita Daily Star pada 13 Mei 2024.


Imej ngeri itu dikongsikan di laman Facebook pada Sabtu lalu, 11 Mei 2024 oleh Jon Kipke dari Michigan, Amerika Syarikat (AS).


Jon sebelum itu menemui pemandangan menyeramkan tersebut pada Ogos 2022, hanya sebulan selepas bapanya meninggal dunia.


Jon menulis: "Saya tidak pasti apakah ini (lembaga putih). Namun, salah satu kamera saya merakamnya.


"Saya tidak pernah dihubungi dari alam lain (alam ghaib) atau apa-apa perkara pelik berlaku di rumah. Bagaimanapun, saya tinggal di rumah ladang berusia 100 tahun itu. Itu adalah anak bongsu saya yang tidur di atas lantai."


Pengguna Facebook pantas berkongsi teori mereka tentang lembaga itu.


"Ia kelihatan seperti seorang lelaki budiman. Anda boleh melihat badan besar, kepala, bahu, lengan. Ia juga memakai topi."


Seorang lagi menambah: "Ia sedang merenung anak anda." - Sumber Daily Star.


Satu lembaga putih misteri 'merenung' anak kecil di rumah berusia 100 tahun di AS. - Foto Kamera Keselamatan/JonKipke/Facebook.