Muzium Seni Moden Tokushima mengesahkan bahawa lukisan minyak dipamerkan, 'At the Cycle-Race Track' adalah palsu, angkara pemalsu seni terkenal dari Jerman, Wolfgang Beltracchi.
The Japan News melaporkan, muzium itu pada asalnya percaya lukisan itu karya artis Perancis, Jean Metzinger (1883-1956) dan membelinya dengan harga 67.2 juta yen (kira-kira RM2 juta) dari sebuah galeri di Osaka, pada 1999. Galeri itu kini sudah tidak lagi beroperasi.
Bagaimanapun, berdasarkan sijil kesahihan dan maklumat diberikan oleh polis Jerman, muzium itu kini secara pasti mengenal pasti karya itu sebagai palsu.
Akibatnya, muzium itu dalam satu kenyataan pada 25 Mac lalu sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan bayaran balik penuh sebanyak 67.2 juta yen (kira-kira RM2 juta) daripada penjual lukisan itu.
Siasatan ke atas keaslian lukisan itu bermula pada Jun tahun lalu selepas muzium menerima maklumat yang menunjukkan bahawa Beltracchi adalah artis yang disyaki terbabit dalam pemalsuan.
Dia disabitkan dengan pemalsuan pada 2011 dan menjalani hukuman tiga tahun di penjara Jerman, namun kini seorang artis yang berjaya menjual karyanya sendiri.
Menurut pengumuman muzium, pihaknya menghubungi organisasi pengurusan hak cipta artis di Perancis, dan pada Julai lalu, kumpulan itu menjawab bahawa sijil ketulenan karya itu adalah tidak sah.
Selain itu, Beltracchi sendiri mengaku kepada The Yomiuri Shimbun bahawa dia yang melukis karya seni itu.
Seorang penyiasat di Polis Berlin yang bertanggungjawab menyiasat Beltracchi pada 2010 dan 2011, juga dihubungi melalui e-mel sejak Ogos tahun lalu.
Muzium itu mengetahui bahawa pemilik asal lukisan minyak itu adalah peniaga seni Jerman yang disabitkan sebagai rakan sekongkol Beltracchi.
Selain itu, individu yang pada mulanya mengeluarkan sijil ketulenan karya itu mengesahkan lukisan itu tidak tulen.
Berikutan semua faktor itu, pihak muzium membuat kesimpulan bahawa lukisan itu adalah palsu. - Sumber The Straits Times.