Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan

Rabu, 30 November 2022

Muzium Taiwan didakwa pecahkan artifak bernilai lebih RM368 juta

Muzium Taiwan didakwa pecahkan artifak bernilai lebih RM368 juta


Muzium istana negara Taiwan telah mengakui kerosakan yang tidak didedahkan sebelum ini terhadap tiga artifak dari era dinasti Ming (1368-1644) dan dinasti Qing (1644-1911), bernilai AS$77.85 juta (RM368.5 juta), lapor laman berita Wion News.


Sebiji mangkuk, cawan teh dan pinggan pecah dalam tiga insiden berasingan sepanjang 18 bulan lalu, tetapi kerosakan itu diketahui hanya minggu lepas apabila pihak muzium menjawab soalan seorang wakil rakyat tempatan.


Pada Jumaat lalu, ketua pembangkang Taiwan, Chen I-shin menuduh pengarah muzium, Wu Mi-cha cuba menyem­bunyikan laporan bahawa Muzium Istana Nasional memecahkan khazanah pulau itu.


Namun, dalam satu sidang akhbar, Mi-cha menafikan tuduhan terhadap dirinya dan berkata, mereka tidak menyem­bunyikan berita tersebut selain mengaku tiga item daripada arkib muzium itu pecah.


Katanya, semua artifak yang pecah bukan dipamerkan dan diinsuranskan, manakala nilai keseluruhannya tidak melebihi AS$77.85 juta (RM368.5 juta). Menurut laporan, muzium terletak di pinggir Taipei itu menyimpan koleksi artifak Cina terbesar di dunia.


Artifak itu pecah antara 2021 dan 2022. Menurut Mi-cha, kejadian pertama berlaku pada Februari 2021, diikuti insiden pada 7 April 2021 dan kejadian ketiga Mei lalu.


Kakitangan muzium sedang menyusun artifak Cina apabila mendapati 'cawan teh berukir dua naga hijau' era Dinasti Ming dan 'cawan teh kuning' rosak.


Kata Mi-cha, pemeriksaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) gagal menemui orang yang bertanggungjawab me­lakukan kerosakan itu. Beliau sebaliknya percaya artifak itu rosak kerana kaedah penyimpanan tidak memuaskan.


Pengarah itu seterusnya memberi jaminan bahawa pihak muzium sedang berusaha menaik taraf kaedah penyim­panan dan menambah baik pembungkusan arkib porselin pada tahun depan. - Sumber Wion News.


Artifak yang pecah ini berasal dari abad ke-15 dan 17. - Foto Muzium Istana Nasional.

Isnin, 28 November 2022

Ahli arkeologi menemui sejumlah mumia miliki lidah emas di dalam mulut

Ahli arkeologi menemui sejumlah mumia miliki lidah emas di dalam mulut


Ahli-ahli arkeologi Mesir menemui makam-makam purba yang mengandungi sejumlah mumia dengan lidah emas di dalam mulut di Qewaisna, iaitu sebuah tapak perkuburan di negara tersebut baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 25 November 2022.


Lidah sebenar telah dibuang semasa kerja-kerja pengawetan dilakukan dan ia digantikan dengan objek emas, supaya si mati boleh bercakap dengan Dewa Osiris di akhirat mengikut kepercayaan penduduk purba di negara berkenaan.


Menurut Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Arkeologi Mesir, Dr. Mustafa Waziri, sebahagian mumia itu ditemui dengan lidah emas manakala yang lain ditutup dengan kepingan emas nipis dan diletakkan di dalam keranda kayu.


Mumia-mumia lain masih disalut dengan emas pada tulang tepat di bawah pembalut linen yang digunakan dalam proses pengawetan.


Turut ditemui ialah kepingan emas antaranya dibentuk seperti bunga teratai serta beberapa perhiasan pengkebumian, lesung batu dan tembikar yang juga mungkin digunakan untuk kerja-kerja pengawetan.


Penemuan itu diumumkan di laman Facebook Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir. Bagaimanapun, tidak jelas jumlah mumia yang baru ditemui itu atau berapa banyak daripadanya mempunyai lidah emas.


Pada tahun 2021, ahli-ahli arkeologi yang melakukan penggalian di kuil Taposiris Magna di Iskandariah turut menemui mumia berusia kira-kira 2,000 tahun dengan lidah emas di dalam mulut. - Sumber Daily Mail.


Ahli arkeologi Mesir telah menemui makam purba yang mengandungi mumia dengan lidah emas di dalam mulut mereka. - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Misi penggalian baru-baru ini juga berjaya menemui sejumlah kepingan emas (gambar). - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Pihak berkuasa berkata beberapa mumia ditemui di nekropolis Qewaisna, sebuah tapak perkuburan di Mesir dengan ratusan makam dari zaman berbeza dalam sejarah negara itu. - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Lidah sebenar telah dibuang semasa kerja-kerja pengawetan dilakukan dan ia digantikan dengan objek emas supaya si mati boleh bercakap dengan Dewa Osiris. - Foto Ministry of Tourism and Monuments.

Rabu, 25 Mei 2022

Pasu yang dibeli dengan harga murah dijadikan hiasan dapur rupanya bernilai RM8 juta

Pasu yang dibeli dengan harga murah dijadikan hiasan dapur rupanya bernilai RM8 juta


Sebuah pasu Cina abad ke-18 yang 'sangat jarang ditemui' dibeli pada 1980-an dengan harga beberapa ratus paun sahaja dan disimpan di dapur, kini dijual pada harga 1,449,000 Pound Sterling (kira-kira RM8 juta).


Menerusi lapor BBC News pada 18 Mei 2022, pasu berlapis biru, perak dan emas setinggi 60 sentimeter itu dicipta untuk istana Maharaja Qianlong.


Dihiasi dengan pelbagai corak seperti kelawar dan burung flying crane, pada awalnya ia dianggarkan dijual pada acara lelongan antara 100,000 Pound Sterling (kira-kira RM550,664) hingga 150,000 Pound Sterling (kira-kira RM825,815).



Pasu itu dimiliki seorang pakar bedah yang menyerahkan kepada anaknya dan tidak mengetahui nilainya. Pasu itu mempunyai tanda enam aksara 'tersendiri' zaman Qianlong (1736-1795) di tapaknya, kata rumah lelong Newbury.


Dreweatts Auctioneers berpangkalan di Berkshire berkata, nilai dan sejarah sebenarnya terbongkar hanya apabila pakar antik melihatnya.


Ia dijual kepada pembeli antarabangsa melalui telefon. Harga permulaan adalah 1,200,000 Pound Sterling, namun pembida membayar hampir RM8 juta termasuk premium pembeli.


"Kami gembira dengan penjualan luar biasa ini. Kami melihat minat terhadap pasu ini amat tinggi dari China, Hong Kong, Amerika Syarikat dan United Kingdom, sekali gus menjadikan pembidaan yang sangat kompetitif.


"Amat jarang melihat pasu biru dicat dalam kedua-dua penyepuhan dan perak dinaikkan sedikit, mungkin disebabkan mediumnya sukar dikawal.


"Tiada porselin lain yang dihiasi dengan subjek sama dalam emas dan perak yang pernah didokumenkan," katanya. - Sumber BBC News.


Pasu Abad ke-18 mempunyai tanda enam aksara zaman Qianlong. - Foto Dreweatts.

Pasu yang dilelong pada harga RM8 juta. - Foto Dreweatts.

Ahad, 23 Januari 2022

Pesawat Perang Dunia Kedua ditemui di India selepas hampir 80 tahun hilang

Pesawat Perang Dunia Kedua ditemui di India selepas hampir 80 tahun hilang


Sebuah pesawat yang dilaporkan hilang hampir 80 tahun lalu, selepas terhempas ketika Perang Dunia Kedua telah ditemui dekat kawasan pergunungan Himalaya yang terpencil di India, lapor laman berita Wion News pada 21 Januari 2022.


Penemuan serpihan pesawat itu dibuat selepas operasi mencari yang sangat berbahaya, oleh sebuah pasukan pencari di sebuah puncak gunung bersalji pada bulan lalu.


Menurut laporan agensi berita AFP, pesawat pengangkut C-46 itu dikatakan membawa 13 penumpang dari bandar Kunming di selatan China. Ia tiba-tiba hilang ketika ribut yang berlaku di kawasan pergunungan di negeri Arunachal Pradesh, India, pada minggu pertama tahun 1945.


Tiga pemandu arah yang terlibat dengan operasi pencarian dilaporkan meninggal dunia kerana mengalami hipotermia, iaitu suhu badan yang menurun pada peringkat awal projek itu dijalankan pada September tahun lalu.


Seorang pengembara dari Amerika Syarikat, Clayton Kuhles dilaporkan mengetuai misi itu setelah mendapat kebenaran daripada anak kepada salah seorang anak kapal yang terlibat dalam kejadian itu bernama Bill Scherer.


"Pesawat itu sudah tidak pernah didengari sebelum ini. Ia hilang begitu saja," jelas Kuhles ketika bercakap mengenai kejadian itu.


"Apa yang boleh saya katakan adalah saya sangat gembira hanya kerana dapat mengetahui keberadaannya. Saya membesar tanpa bapa," tulis Scherer memberitahu agensi berita AFP menerusi emel.


"Saya fikir akan perasaan ibu saya yang menerima telegram mengenai kematian suaminya dan ditinggalkan dengan seorang bayi lelaki berusia 13 bulan, iaitu saya sendiri," jelas beliau.


Gambar menunjukkan serpihan pesawat C-46 telah ditemui setelah dilaporkan terhempas ketika Perang Dunia Kedua sejak 80 tahun yang lalu. - Foto AFP.
Tengkorak manusia berusia 10,000 tahun ditemui di Perlis

Tengkorak manusia berusia 10,000 tahun ditemui di Perlis


Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis pada Oktober 2021 lalu. Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah ribuan tahun dahulu.


Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong.


Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.



"Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah. Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia.


"Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi, berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu.


"Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul pula digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.


"Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu," katanya selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong pada 14 Oktober tahun lalu.


Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah. Dia juga berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan tersebut supaya mereka dapat membuat kajian lanjut.


"Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab," katanya.


Sehubungan itu, beliau memohon agar orang ramai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47 AWK 2005.




Ahad, 31 Oktober 2021

Puluhan 'Kapal Hantu' Dari Era Perang Dunia Kedua Tiba-Tiba Timbul

Puluhan 'Kapal Hantu' Dari Era Perang Dunia Kedua Tiba-Tiba Timbul


TOKYO - Dua dozen 'kapal hantu' dari era Perang Dunia Kedua timbul di permukaan Laut Pasifik susulan aktiviti gelombang seismik akibat gempa bumi. Kapal perang itu terdampar kira-kira 1,280 kilometer dari Tokyo berdasarkan rakaman dan gambar tersiar, lapor Mirror UK pada 28 Oktober 2021 lalu.


Aktiviti seismik di dasar gunung berapi Fukutoku-Okanoba menghasilkan pulau kecil berbentuk C berdiameter 1 kilometer, namun ia perlahan-lahan tenggelam dan kini dianggarkan satu pertiga daripada saiz asalnya.


Menurut agensi Pengawal Pantai Jepun, pulau kecil itu dibentuk oleh lava yang mengalir keluar ketika letusan berlaku kemudian ia mengeras, diperbuat daripada campuran batu apung dan debu gunung berapi.


Namun, letusan sama mengeluarkan 24 kapal yang tenggelam ketika perang Iwo Jima pada tahun 1945, membabitkan 70,000 tentera laut Amerika Syarikat (AS) dan 20,000 tentera Jepun.



Kapal yang timbul itu dikatakan milik tentera Jepun yang karam selepas ditawan tentera laut AS dalam pertempuran berkenaan. Disebabkan Iwo Jima tidak mempunyai pelabuhan, kapal itu ditenggelamkan untuk bertindak pemecah ombak, menurut Akrib AS.


Ini bukan kejadian pertama kapal perang naik ke permukaan, memandangkan ia pernah berlaku 35 tahun lalu kerana aktiviti seismik sebelum karam semula.


Pengarah Pusat Promosi Kajian Gunung Berapi, Setsuya Nakada berkata, perubahan air laut yang merebak ke kawasan sekitar menandakan aktiviti gunung berapi belum selesai. - Sumber Mirror UK.


Aktiviti gunung berapi menyebabkan kapal timbul di permukaan laut. - Foto Agensi.

Pertempuran Iwo Jima berlaku pada tahun 1945. - Foto Bettmann Archive.

Sabtu, 4 September 2021

Penduduk Dikejutkan Penemuan 'Kuali Raksasa Zaman Purba' Ketika Melakukan Kerja Penggalian

Penduduk Dikejutkan Penemuan 'Kuali Raksasa Zaman Purba' Ketika Melakukan Kerja Penggalian


Penduduk dikejutkan dengan penemuan objek yang menyerupai kuali berukuran 'raksasa' tertanam dalam tanah pada kedalaman tiga meter, ketika seorang pekerja melakukan kerja penggalian, lapor DetikNews pada 1 September 2021.


Penemuan itu bermula ketika penduduk Kretek, Desa Jambidan, Kapanewon Banguntapan, Bantul, Yogyakarta, ingin membina padang permainan untuk kanak-kanak pada selasa 31 Ogos lalu. Namun, ketika menggali tanah menggunakan backhoe, mereka menjumpai objek seperti kuali.


Pada awalnya, penduduk memberitahu penemuan objek tersebut sebagai kuali raksasa zaman purba. Ramai yang mendakwa 'kuali' itu digunakan oleh makhluk gergasi. Bagaimanpun, andaian itu tidak benar, objek itu bukan kuali seperti yang mereka katakan.


Memetik laporan DetikNews, Supardi, 57, penyewa tanah di kawasan itu menjelaskan objek berkenaan ditemukan ketika salah seorang pekerja projek melakukan penggalian, dan objek disangka kuali itu merupakan pangkalan pam air yang telah digunakan sejak zaman penjajahan Belanda.



"Orang tua pernah beritahu kawasan ini merupakan tempat pam air oleh Belanda. Ini (objek) bukan untuk memasak tetapi sebahagian daripada mesin pam air," katanya.


Menurut Supardi, wilayah Jambidan termasuk Kretek pernah dikenali sebagai ladang tebu. Jelasnya, pemerintah Belanda membina pam air di kawasan itu untuk mengairi kawasan ladang.


Katanya, kerajaan dan penduduk tempatan pada tahun 1980 telah merancang untuk mengaktifkan semula sistem pengepaman ini dengan mengambil air dari sungai Opak untuk tujuan pengairan. Namun rancangan itu gagal diteruskan kerana air tidak dapat mengalir ke semua kawasan.


Sementara itu, ketua kampung, Riyan Hidayat juga mengesyaki bahawa objek itu merupakan peninggalan zaman Belanda berdasarkan catatan sejarah. Katanya, warisan budaya telah memeriksa lokasi dan mengatakan bahawa objek itu bukan dari zaman purba.