Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Ahad, 16 Mac 2025

Polis menahan 8 remaja lelaki pecah kedai, curi alat ganti motosikal

Polis menahan 8 remaja lelaki pecah kedai, curi alat ganti motosikal

 

Polis menahan lapan remaja lelaki termasuk pelajar tingkatan satu selepas terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan kes curi pelbagai alat ganti motosikal di Kota Marudu, awal pagi semalam (15 Mac).


Semua suspek berusia 13 hingga 17 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, di tiga lokasi berbeza menerusi Op Kesan dan Op Pintu, kira-kira jam 3 pagi.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi diketuai Pegawai Risikan dan Operasi (RO) BSJ IPK Kota Marudu, Inspektor Bahrun Dining.


"Hasil operasi berjaya menahan beberapa suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan kes curi pelbagai alat ganti motosikal yang berlaku di daerah ini.


"Dengan tertangkapnya semua suspek, pasukan operasi merampas barang yang disyaki dicuri bernilai kira-kira RM20,000," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Antara remaja (muka dikaburkan) yang ditahan kerana terbabit kes pecah masuk kedai dan curi alat ganti motosikal. - Foto PDRM.

Sabtu, 25 Januari 2025

5 kes keracunan makan ikan buntal di Sabah, 2 masih dirawat di hospital

5 kes keracunan makan ikan buntal di Sabah, 2 masih dirawat di hospital


Lima kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal dilaporkan di Sabah bulan ini, dengan dua mangsa masih menerima rawatan di hospital.


Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman berkata daripada jumlah itu, satu kes dilaporkan di daerah Kota Kinabalu pada 10 Januari lepas, manakala empat kes lagi membabitkan satu keluarga di daerah Kota Marudu semalam.


Beliau berkata kesemua mangsa berusia antara 15 hingga 48 tahun mengalami gejala pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas selepas memakan ikan buntal yang dibeli dari pasar setempat.


"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum mesej tular di media sosial mengenai kejadian itu. Tiga daripada mangsa dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan, manakala dua lagi masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dr Maria berkata ikan buntal atau pufferfish mengandungi racun tetrodotoksin (TTX), sejenis toksin yang tergolong dalam kumpulan neurotoksin (toksin yang menyerang sistem saraf), yang boleh menyebabkan gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit selepas pengambilan.


Beliau berkata tanda-tanda keracunan itu termasuk kebas pada bibir, lidah dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit dan muntah, serta kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan.


"Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam," katanya.


Dr Maria menambah, selain ikan buntal, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas dan siput laut, serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun.


"JKNS telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan termasuk pendidikan kesihatan kepada individu terlibat dan komuniti setempat," katanya.


Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada mengambil makanan yang disyaki mengandungi TTX dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan. - Sumber Harian Metro.


Seekor ikan buntal mempunyai toksin yang boleh membunuh sehingga 30 orang dewasa. Racun TTX ini dikatakan 1,200 kali lebih kuat daripada racun sianida. TTX dihasilkan oleh bakteria yang hidup dalam ikan beracun ini yang biasa ditemui dalam telur, hempu, hati, usus dan kulitnya. - Foto The Guardian.

Khamis, 2 Januari 2025

Polis tahan 5 wanita serang, pukul janda di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel

Polis tahan 5 wanita serang, pukul janda di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel


Polis tahan lima wanita berusia antara 16 hingga 62 tahun termasuk dua beranak selepas disyaki menyerang dan memukul seorang wanita di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Tawau, Isnin lalu (30 Disember).


Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mereka itu ditahan susulan laporan dibuat mangsa pada 4.41 petang semalam (Rabu).


Menurutnya, mangsa dalam laporannya mendakwa kejadian berlaku pada 11 pagi ketika dia mahu memasuki kenderaan sebelum mendapati empat tayar Proton X50 itu pancit.


"Tidak lama kemudian, dia didatangi oleh lima orang wanita yang tidak dikenali sebelum menyerang dan memukul pengadu hingga mengakibatkan dia mengalami beberapa kecederaan dan pendarahan di muka, belakang dan sebelah kiri kepala.


"Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh abang mangsa yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu," katanya ketika di hubungi hari ini.


Jasmin berkata, mangsa juga turut mendakwa barang kemas miliknya iaitu seutas gelang tangan emas dan sepasang anting-anting dianggarkan bernilai RM4,000 hilang dipercayai diambil oleh seorang daripada suspek terbabit.


Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa berusia 36 tahun berstatus janda yang mempunyai seorang anak dan mengenali seorang lelaki yang tinggal sekampung sebelum menjalin hubungan sebagai pasangan kekasih lebih kurang sebulan.


"Punca kejadian disebabkan mangsa dituduh sebagai perampas suami orang. Bagaimanapun, mangsa mendakwa hanya mengetahui teman lelakinya itu masih bujang," katanya.


Sementara itu, Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan permohonan perintah tahanan reman oleh pegawai penyiasat Inspektor Robiatul Adawiyah Japri ke atas semua suspek sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.


Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan terima laporan dari seorang wanita yang mendakwa diserang kerana dituduh menjalinkan hubungan dengan suami orang. - Foto Harian Metro.

Selasa, 31 Disember 2024

Aktivis Fahmi Reza ditahan polis berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan

Aktivis Fahmi Reza ditahan polis berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan


Aktivis yang juga pereka grafik, Fahmi Reza ditahan bagi membantu siasatan susulan 30 laporan polis berhubung karikatur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberitahu, pereka grafik itu diberkas kira-kira pukul 5 petang selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang semalam.


Katanya, Fahmi ditahan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas perbuatan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.



"Siasatan masih dijalankan dan reman akan dipohon pagi ini mengikut prosedur Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi memudahkan proses siasatan," katanya.


Perintah reman terhadap Fahmi dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali, di Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini.


Karikatur kontroversi itu menggambarkan Musa Aman memakai tanjak dengan wang kertas RM100 di dalam mulutnya. Versi awal karikatur tersebut turut memaparkan frasa "Perasuah Nombor Satu Sabah" dalam Bahasa Melayu.


Musa Aman dilantik Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 17 Disember dan akan memulakan tugas pada 1 Januari 2025.


Sebelum ini, dia menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram tetapi telah dibebaskan.


Menurut hantaran media sosial Fahmi, dia memaparkan poster tersebut pada dinding di Asia City, Kota Kinabalu, pada 27 Disember yang diturunkan hanya beberapa jam kemudian.


Pelbagai kumpulan dan individu telah mengecam penahanan Fahmi, menuntut pembebasannya segera serta mengkritik tindakan undang-undang terhadapnya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara. - Sumber Malaysia Kini.


Fahmi Reza ditahan reman selama sehari bermula hari ini atas siasatan kes membabitkan karikatur Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman. - Foto Facebook/Fahmi Reza.

Ahad, 29 Disember 2024

Pemandu mabuk, tiada lesen rempuh pintu bank di Tawau

Pemandu mabuk, tiada lesen rempuh pintu bank di Tawau


Tindakan seorang lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pintu sebuah premis bank dalam kejadian di Jalan Mahkamah Tawau pada awal pagi Ahad (hari ini).


Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, pemandu berusia 25 tahun turut didapati tiada lesen memandu.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga di lokasi tersebut.


"Hasil siasatan mendapati, lelaki tersebut memandu seorang diri dari Bandar Tawau menuju ke rumahnya di Tanjung Batu.


"Pemandu yang tiada lesen memandu turut didapati memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kerosakan harta benda apabila melanggar pintu bank di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bagaimanapun Jasmin berkata, kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan tetapi pemandu tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020)," katanya.


Sebelum itu, tular satu video berdurasi lapan saat memaparkan sebuah kenderaan dilihat berada di dalam premis sebuah bank di Tawau.


Sebuah kenderaan merempuh pintu sebuah premis bank di Tawau. - Foto Sinar Harian.

Sabtu, 21 Disember 2024

Didakwa hamilkan teman wanita, lelaki dikurung, dipukul, ditekap seterika panas

Didakwa hamilkan teman wanita, lelaki dikurung, dipukul, ditekap seterika panas


Seorang lelaki bukan saja cedera akibat dipukul malah turut melecur akibat ditekap dengan seterika panas selepas mendakwa dikurung ahli keluarga teman wanitanya dalam kejadian di Kampung Merotai Besar, di Tawau pada Khamis.


Mangsa berusia 27 tahun itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan bertindak mendapatkan bantuan orang ramai sebelum laporan polis dibuat.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula berlaku pada Selasa lalu selepas mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada teman wanitanya yang memberitahu bahawa dia sedang mengandung.


Menurutnya, mangsa sekali lagi menerima pesanan ringkas dari pada keesokkan harinya yang meminta mangsa datang ke rumahnya.



"Selepas tiga jam kemudian, mangsa tiba di rumah keluarga teman wanitanya dan diarah masuk ke dalam bilik dan mendakwa telah dikurung oleh bapa wanita tersebut.


"Situasi bertambah tegang apabila mangsa mendakwa dipukul dengan kepala tali pinggang dan ditumbuk di bahagian kepala oleh abang teman wanitanya selain turut diancam dengan pedang samurai.


"Teman wanita mangsa pula didakwa turut mencederakannya dengan alat seterika panas yang menyebabkan lengan sebelah kiri mangsa melecur," katanya dalam kenyataan, semalam.


Jasmin berkata, mangsa berjaya melarikan diri dengan memecahkan tingkap bilik dan berlari ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan orang awam.


"Susulan kejadian itu, kira-kira jam 10.30 malam, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai berjaya menahan dua suspek lelaki berusia antara 30 tahun dan 64 tahun serta seorang suspek wanita berusia 25 tahun selepas cuba untuk melarikan diri.


"Turut dirampas seterika, telefon bimbit dan pedang samurai bersarung yang disyaki digunakan semasa kejadian," katanya.


Ujarnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.


"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan sengaja dan membuat ugutan jenayah," katanya.


Ahad, 13 Oktober 2024

Budak maut dibaham buaya ketika mandi di pantai Lahad Datu ditemukan tanpa kepala, tangan

Budak maut dibaham buaya ketika mandi di pantai Lahad Datu ditemukan tanpa kepala, tangan


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut akibat dibaham buaya ketika mandi di Pantai Sinakut Felda Sahabat Desa Kencana, Lahad Datu, hari ini.


Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mayat Denis Rodi ditemui selepas kira-kira tiga jam kemudian dalam keadaan tanpa kepala dan tangan kanan.


Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama lima lagi rakannya sedang mandi di pantai tersebut.


"Ketika sedang mandi, mangsa telah disambar dan diheret oleh seekor buaya ke tengah laut.


"Usaha mencari dan menyelamat segera dilakukan oleh ahli keluarga serta penduduk kampung tetapi gagal menemuinya.


"Seorang lelaki kemudian membuat laporan di Balai Polis Desa Kencana untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa dan pada jam 9.26 pagi, mangsa ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.


"Mangsa mengalami kecederaan putus kepala dan tangan sebelah kanan serta disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi.


Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menghubungi Inspektor Junis Bulansor di talian 013-8742128 untuk siasatan lanjut.


Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar, Silvester Saimin memaklumkan pihaknya turut menerima laporan berhubung kejadian tersebut.


"Menurut maklumat, keluarga mangsa dari Bandar Lahad Datu datang ke kampung itu untuk melawat keluarga mereka.


"Sekitar jam 7 pagi kanak-kanak itu dibawa ibu saudara mereka untuk mandi di pantai tersebut. Mangsa yang berada di tengah kumpulan kanak-kanak itu telah dibaham buaya dan telah ditarik ke dalam air.


"Mangsa ditemui di Kampung Sinakut Lama dan keluarga mangsa telah menghalang buaya tersebut menggunakan bot sehingga mayat mangsa dilepaskan di tepi pantai," katanya.


Silvester berkata, pihaknya telah menemui dua ekor buaya dan telah melepaskan satu das tembakan terhadap setiap haiwan tersebut.


"Namun buaya itu telah tenggelam ke dalam air. Pihaknya akan sentiasa memantau kawasan ini kerana buaya itu sering dilihat di kawasan pantai," katanya.


Mayat kanak-kanak tanpa kepala dan tangan kanan ditemui penduduk kampung selepas diheret buaya dalam kejadian di Pantai Sinakut Felda Sahabat Desa Kencana, Lahad Datu. - Foto Sinar Harian.