Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rare. Papar semua catatan

Rabu, 12 Februari 2025

Lelaki hilang RM3.3 bilion di tapak pelupusan sampah pada 2013, hingga kini belum ditemukan

Lelaki hilang RM3.3 bilion di tapak pelupusan sampah pada 2013, hingga kini belum ditemukan


Seorang lelaki nekad membeli sebuah tapak pelupusan sampah di Wales, United Kingdom selepas dia kehilangan sejumlah besar Bitcoin secara tidak sengaja, lapor laman berita Sky News pada 11 Februari 2025.


Pekerja sektor teknologi maklumat (IT), James Howells, 39, berkata, kejadian berlaku apabila bekas teman wanitanya membuang cakera keras yang mengandungi beribu-ribu Bitcoin miliknya pada 2013.


"Bitcoin itu dianggarkan bernilai lebih £600 juta (RM3.3 bilion) dalam pasaran hari ini.


"Saya mahu membeli tapak itu sebelum ditutup oleh Majlis Bandar Raya Newport supaya saya boleh mencari harta yang hilang ini," kata Howells. 


Howells membawa kes itu ke mahkamah, namun pada bulan lalu, hakim tidak memihak kepadanya.


Dalam samannya, Howells meminta dia dibenarkan menggeledah tapak pelupusan sampah itu atau pihak dewan bandar raya membayar pampasan sebanyak £495 juta (RM2.7 bilion) kepadanya.


Pihak pentadbiran Newport memberikan hujah di mahkamah bahawa penutupan tapak pelupusan itu semata-mata untuk membolehkan Howells mencari Bitcoin miliknya akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.


"Saya menjangkakan tapak tersebut akan ditutup beberapa tahun lagi tetapi tidak menyangka ia secepat ini.


"Sekiranya Majlis Bandar Raya Newport bersedia, saya berminat untuk membeli tapak pelupusan itu dan telah membincangkan pilihan ini dengan rakan kongsi pelaburan saya," tambah Howells. - Sumber Sky News.


James Howells mahu membeli tapak pelupusan sampah selepas kehilangan Bitcoin bernilai RM3.3 bilion. - Foto Shutterstock.

Sabtu, 4 Januari 2025

Lelaki meninggal dunia hidup semula selepas ambulans langgar bonggol penghalang kelajuan

Lelaki meninggal dunia hidup semula selepas ambulans langgar bonggol penghalang kelajuan


Seorang lelaki yang diisytiharkan meninggal dunia akibat sakit jantung, kembali bernyawa selepas ambulans membawanya melanggar bonggol penghalang kelajuan dalam kejadian bulan lalu di Kolhapur, India, lapor portal berita Mint pada 3 Januari 2025.


Lelaki berkenaan, Pandurang Ulpe yang berusia 65 tahun akhirnya dibenarkan pulang dari sebuah hospital selepas menjalani pembedahan meluaskan salur darah pada minggu ini.


Dua minggu sebelum itu, 'mayat' lelaki itu dibawa pulang ke rumah untuk upacara terakhir pengebumian.


"Ketika kami membawa mayat Pandurang pulang dari hospital, ambulans melanggar bonggol penghalang kelajuan dan kami perasan ada pergerakan pada jarinya," kata isteri pesakit kepada agensi berita PTI.


Ambulans itu kemudian melencong ke hospital lain dan Ulpe tidak lama kemudian dimasukkan ke wad unit rawatan rapi.


Seorang ahli keluarga mengesahkan dia telah menjalani pembedahan angioplasti sepanjang dua minggu berada di hospital berkenaan sebelum dibenarkan keluar awal minggu ini.


Pada 16 Disember tahun lalu, dia telah dihantar ke sebuah hospital swasta selepas mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia oleh doktor.


Jiran dan saudara mara telah berkumpul di rumahnya sebaik mendengar berita itu dan persiapan untuk upacara pengebumian telah dilakukan. - Sumber Live Mint.

Khamis, 19 Disember 2024

Lelaki guna 400 telefon serentak bagi meningkatkan peluang memenangi hadiah dalam talian

Lelaki guna 400 telefon serentak bagi meningkatkan peluang memenangi hadiah dalam talian


Seorang lelaki di China, baru-baru ini, menggunakan 400 telefon bimbit secara serentak bagi meningkatkan peluangnya memenangi hadiah dalam penstriman langsung.


Ma akhirnya ditangkap polis selepas ditemukan mengendalikan ratusan peranti itu di garaj kecil dalam kawasan kediaman di wilayah Jiangsu pada Ogos lalu, lapor South China Morning Post pada 18 Disember 2024.


Perlakuan pelik Ma itu dilaporkan seorang warga emas kepada polis selepas mengesyaki Ma menjalankan operasi penipuan.


Bagaimanapun, siasatan polis terhadap Ma mendedahkan senario berbeza.


Ma mengakui, dia menggunakan telefon masing-masing dipautkan ke akaun platform penstriman langsung yang berasingan untuk mengakses penstriman langsung sama dan meningkatkan peluangnya memenangi 'beg bertuah'.


Katanya, dia melakukan tindakan itu kerana beg bertuah hanya memerlukan penonton mengklik butang untuk menghantar mesej tertentu dan menunggu hadiah diberikan dengan pengendali penstriman langsung menyediakan hadiah dan menentukan kandungan beg bertuah.


"Saya memenangi pelbagai barangan, daripada barangan keperluan harian yang murah kepada pencetak dan model iPhone terkini, yang akhirnya saya jual di platform e-dagang terpakai.


"Saya memperoleh antara 10,000 hingga 20,000 yuan (RM 6,168.78 hingga RM12,337.56) sebulan," katanya.


Katanya, dia tidak memasukkan kad Sim ke dalam telefon yang diperlukan untuk mendaftar akaun baharu di platform media sosial China sebaliknya, membeli akaun sedia ada daripada orang lain, diperoleh secara dalam talian.


Memandangkan akaun berdaftar nama sebenar ini mengandungi maklumat peribadi, polis mendakwa Ma kerana melanggar maklumat peribadi orang lain yang menyalahi undang-undang.


Walaupun polis tidak mendedahkan hukuman khusus, menurut Undang-undang Jenayah China, individu yang memperoleh, menjual atau memberikan maklumat peribadi warganegara boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda. - Sumber South China Morning Post.


Ma menggunakan 400 telefon bimbit untuk menang hadiah beg bertuah. - Foto Weibo.

Rabu, 4 Disember 2024

Pemancing ditendang jerung 'terbang' yang muncul secara tiba-tiba dalam kegelapan

Pemancing ditendang jerung 'terbang' yang muncul secara tiba-tiba dalam kegelapan


Sekumpulan pemancing mengalami detik cemas apabila mereka diserang seekor jerung yang melompat naik secara tiba-tiba dari permukaan laut dan mendarat di dalam bot, lapor akhbar The Sun UK pada 3 Disember 2024.


Kejadian berlaku di luar pantai Korea pada 18 November lalu.


Rakaman yang dimuat naik di platform YouTube memaparkan sejumlah orang sedang memancing di atas bot dalam keadaan gelap.


Situasi tenang bertukar ngeri apabila salah seorang pemancing diserang secara mengejut oleh seekor jerung yang 'terbang' dari laut dan menghempaskan badannya ke arah mereka.



Lebih mengerikan apabila jerung tersebut mendarat di dalam bot dan berhempas pulas untuk kembali ke dalam air.


"Selepas jerung itu berhenti bergelut, ia disukat dan ditimbang.


"Kami mendapati jerung itu berukuran 2.2 meter panjang, manakala beratnya melebihi 150 kilogram," kata salah seorang pemancing.


Rakaman itu mencatatkan lebih 1.9 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.


"Wah, ini adalah video memancing Korea terbaik yang pernah saya lihat dalam hidup. Tiada perbandingan," komen seorang netizen. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar menunjukkan seekor jerung yang muncul dalam kegelapan dan menghempaskan badannya ke arah pemancing. - Foto Jam Press.

Sabtu, 23 November 2024

Sebuah keluarga berhabis lebih RM20,000 kebumi kereta kesayangan

Sebuah keluarga berhabis lebih RM20,000 kebumi kereta kesayangan


Sebuah keluarga memberi penghormatan unik kepada kenderaan banyak berjasa kepada mereka, dalam satu 'majlis pengebumian' mewah bernilai lebih RM20,000 dengan dihadiri 1,500 penduduk tempatan.


Keluarga Polara dari Padarshinga, Gujarat di India mengucapkan selamat tinggal kepada kenderaan mereka yang berusia hampir 12 tahun dengan melakukan upacara pengebumian.


Patriark Sanjay Polara memberitahu wartawan, dia memiliki beberapa kereta yang lebih mahal termasuk Audi, namun memuji Wagon R lama itu kerana banyak berjasa dalam kemakmuran keluarganya.



"Kereta ini lebih daripada sekadar kenderaan. Ia sebahagian daripada perjalanan kami ke arah kejayaan.


"Daripada menjualnya, kami mahu menghormatinya dengan ingatan yang berkekalan untuk generasi akan datang.


"Jadi kami mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk kereta ini," katanya.


Sanjay Polara, yang memiliki perniagaan pembinaan di Surat berkata, dia juga merancang untuk menanam pokok di atas kubur yang luar biasa itu untuk mengingatkan generasi akan datang bahawa ia adalah tempat berehat kereta bertuah keluarga itu.


Sebuah kubur sedalam 4.6 meter digali dalam kawasan hartanah mereka sebelum kereta itu ditanam didalamnya.


Seperti kelaziman majlis pengebumian kereta itu turut ditutup dengan kelopak bunga dan dihiasi dengan kalungan berwarna-warni dengan iringan muzik daripada pembesar suara mudah alih.


Keluarga itu kemudian menutupnya dengan kain hijau dan melakukan beberapa ritual sebagai sebahagian daripada upacara yang dilaporkan menelan belanja lebih AS$4,500 (RM20,106).


Mereka juga mendirikan samadhi (tempat suci) untuk Suzuki Wagon R kesayangan itu. Selepas semua upacara selesai, sebuah jengkaut digunakan untuk menutup gerabak dengan tanah dan tanah liat. - Sumber NDTV.


Suzuki Wagon R 'dikebumikan'. - Foto NDTV.

Isnin, 4 November 2024

Seorang wanita hidup dengan ibu bapa 'palsu' selama 24 tahun

Seorang wanita hidup dengan ibu bapa 'palsu' selama 24 tahun


Seorang wanita di utara China mendapati dia bukan anak kandung ibu bapanya selepas melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) disebabkan gurauan rakan sekerja yang mengatakan dia tidak kelihatan seperti penduduk tempatan.


South China Morning Post (SCMP) melaporkan, susulan keputusan ujian itu, pengguna media sosial China memberi galakan kepada wanita terbabit untuk mencari ibu bapa kandungnya.


Dalam temubual dengan stesen penyiaran Henan pada 24 Oktober lalu, wanita dikenali Dong, 24, itu berkongsi kisah bagaimana rakan sekerjanya sering mengulas mengenai penampilan dia yang berbeza.


"Saya tinggal di Xinxiang sepanjang hidup saya tetapi selepas mula bekerja, rakan-rakan saya selalu kata, 'awak tidak kelihatan seperti kami sama sekali. Hidung awak lebar, bibir awak tebal dan mata awak besar dan lebih dalam berbanding kami'.


"Mereka kata lagi 'awak tidak kelihatan seperti orang dari Henan langsung'," kata Dong mengimbas kembali komen rakan sekerjanya.


Terganggu dengan ulasan itu, Dong bertanya ibu bapanya namun mereka mengelak untuk menjawab, sebaliknya memberikan maklumat berkaitan kelahiran yang bercanggah.


Disebabkan rasa ingin tahu yang mendalam dan kekeliruan mengenai asal usulnya, Dong membuat keputusan untuk mengambil ujian genetik.


"Setiap malam saya berfikir, dari mana sebenarnya saya berasal," katanya.


Akhirnya, keputusan ujian menunjukkan dia berkemungkinan berasal dari wilayah Guangxi, terletak jauh di selatan China, sekali gus menafikan sebarang kaitan dengan Henan.


Selepas media melaporkan insiden itu, seorang wanita dengan nama keluarga Qi dari Guangxi menghubungi kerana mengesyaki Dong mungkin anaknya yang hilang sejak sekian lama.


"Ini kebetulan yang agak menarik kerana wanita muda itu juga (Dong) berusia 24 tahun (seperti anaknya yang hilang). Saya melihatnya dan merasakan dia mirip anak perempuan saya walaupun saya tidak pernah berpeluang melihatnya selepas dia dilahirkan.


"Saya mengalami kesakitan yang agak teruk selepas melahirkan dan menangis depan suami setiap hari, tertanya ke mana anak perempuan menghilang," kenang Qi.


Qi dan Dong mempunyai persamaan ketara termasuk ciri-ciri wajah yang serupa.


Nama didaftarkan kepada Dong juga mengandungi perkataan 'Lan', sama seperti nama anak perempuan Qi yang hilang.


"Jika ia benar-benar terbukti mereka adalah keluarga kandung saya, maka inilah berita yang paling menggembirakan saya," kata Dong.


Difahamkan ketika ini, Qi dan anak lelakinya sedang merancang perjalanan ke Henan bagi bertemu Dong.


Sukarelawan dari Baobei Huijia, pertubuhan kebangsaan yang aktif dalam pencarian orang hilang di wilayah Guangxi, turut dihubungi untuk membantu mengumpulkan sampel DNA dan menjalankan ujian buat pasangan berkenaan. - Sumber South China Morning Post.


Wanita yang yakin bahawa Dong adalah anak kandungnya merancang untuk pergi ke Henan untuk bertemu dengannya. - Foto Shutterstock.

Rabu, 16 Oktober 2024

Seorang lelaki Rusia terselamat selepas dua bulan terapung di laut

Seorang lelaki Rusia terselamat selepas dua bulan terapung di laut


Seorang pemerhati ikan paus, lelaki Rusia, baru-baru ini ditemukan selamat selepas dua bulan hanyut bersama dua mayat saudaranya di atas bot pelampung.


Mikhail Pichugin, 45, terselamat dengan berat badannya hanya tinggal 50 kilogram (kg), manakala abang dan anak saudaranya meninggal dunia.


Pendakwa raya pengangkutan berkata, Pichugin, abangnya dan anak saudaranya yang berusia 15 tahun berlepas ke Pulau Sakhalin dari wilayah timur jauh Khabarovsk, 9 Ogos lalu, menggunakan bot pelampung katamaran sepanjang 15 kaki.


Bot itu ditemukan kira-kira jam 10 malam Isnin lalu ketika ia terapung melepasi bot nelayan di Laut Okhotsk, kira-kira 1,000 kilometer (km) dari lokasi ia bertolak dan 66 hari selepas ia berlepas.



Mayat abangnya, Sergei, 49, dan anak saudara Ilya, 15, masih berada di dalam bot berkenaan.


Pasukan penyelamat menaiki helikopter dan pesawat untuk mencari ketiga-tiga mereka beberapa hari selepas hilang, mengesyaki bot itu dibawa arus ke arah Kamchatka.


Isteri Pichugin, Yekaterina, memberitahu RIA Novosti, penemuan suaminya satu keajaiban.


"Suami hanya mengambil makanan dan air yang mencukupi untuk bertahan dua minggu. Faktor berat badan suami 100 kg mungkin membantu menyelamatkan nyawanya," katanya.


Ketua doktor hospital wilayah, Yury Lednev berkata, keadaan lelaki itu kurang stabil.


"Dia mungkin mengalami hipotermia," katanya.


Polis pengangkutan membuat siasatan kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan keselamatan yang boleh menyebabkan Pichugin menghadapi pertuduhan jenayah dan risiko hukuman penjara sehingga tujuh tahun.


Saluran Telegram Baza, yang dianggap mempunyai hubungan rapat dengan penguatkuasaan undang-undang berkata, mangsa memiliki kira-kira 20 liter air dan mengumpul air hujan serta makan mi kering dan kacang pis.


Saluran itu melaporkan, Pichugin memberitahu nelayan bahawa anak saudaranya meninggal dunia pada awal September.


Mereka mula mengalami ulser tekanan (bedsore) kerana duduk terlalu lama dan abangnya cuba membersihkan dirinya sebelum terjatuh ke dalam air berais.


Pichugin berjaya menyelamatkan abangnya, namun lelaki itu meninggal dunia tidak lama kemudian, lapor Baza.


Pichugin kemudian mengikat mayat abang dan anak saudaranya pada bot. - Sumber Daily Mail.


Mangsa diselamatkan selepas 67 hari terapung di laut. - Foto Kementerian Kecemasan Rusia/ Reuters.