Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan

Khamis, 31 Oktober 2024

Bandar berkubu 4,000 tahun ditemukan semula di oasis di Arab Saudi

Bandar berkubu 4,000 tahun ditemukan semula di oasis di Arab Saudi


Penemuan sebuah bandar berkubu berusia 4,000 tahun yang tersembunyi di sebuah oasis di Arab Saudi mendedahkan bagaimana kehidupan pada masa itu perlahan-lahan berubah daripada nomad kepada kewujudan bandar, kata ahli arkeologi pada Rabu.


Sisa-sisa bandar itu yang digelar al-Natah, lama 'disembunyikan' oleh oasis berdinding Khaybar, hijau dan subur dikelilingi padang pasir di barat laut Semenanjung Arab.


Tembok purba sepanjang 14.5 kilometer ditemukan di tapak itu, menurut penyelidikan diketuai oleh ahli arkeologi Perancis, Guillaume Charloux yang diterbitkan awal tahun ini.


Untuk kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal PLOS One, pasukan penyelidik Perancis-Saudi memberikan 'bukti bahawa benteng ini disusun di sekitar habitat', Charloux memberitahu AFP.


Pekan besar itu yang menempatkan sehingga 500 penduduk, dibina sekitar 2,400 sebelum masihi semasa awal Zaman Gangsa, kata penyelidik.


Ia ditinggalkan sekitar 1,000 tahun kemudian. "Tiada siapa yang tahu mengapa," kata Charloux.


Apabila al-Natah dibina, bandar-bandar berkembang pesat di rantau 'Levant' iaitu di sepanjang Laut Mediterranean dari Syria sekarang hingga ke Jordan.


Barat Laut Arab pada masa itu dianggap sebagai padang pasir yang tandus, dilintasi oleh pengembara dan dipenuhi dengan tapak pengebumian.


Itu adalah sehingga 15 tahun lalu, apabila ahli arkeologi menemukan benteng sejak Zaman Gangsa di oasis Tayma, utara Khaybar.


"Penemuan penting pertama ini menyebabkan saintis melihat lebih dekat oasis ini.


"Batuan gunung berapi hitam yang dipanggil basalt menyembunyikan dinding al-Natah dengan begitu baik sehingga ia 'melindungi tapak daripada penggalian haram'", kata Charloux. - Sumber NST Online.


Lakaran maya tiga dimensi menunjukkan al-Natah, sebuah penempatan Zaman Gangsa di Arab Saudi. - Foto PLOS One.

Oasis 4,000 tahun ditemukan di Arab saudi. - Foto Wikimedia Commons/Hardscarf.

Sabtu, 24 Februari 2024

Saintis akhirnya dedah gambaran penuh reptilia seperti naga berusia 240 juta tahun

Saintis akhirnya dedah gambaran penuh reptilia seperti naga berusia 240 juta tahun


Fosil reptilia marin Dinocephalosaurus orientalis yang dikatakan berusia 240 juta tahun buat pertama kali dapat digambarkan sepenuhnya hasil penyelidikan saintis, lapor Agensi Berita CNN, semalam.


Menurut penyelidik, reptilia itu memiliki leher yang panjang serta badannya bersisik dan ikan yang masih ada di dalam perutnya menunjukkan reptilia itu sesuai dengan kehidupan di laut.


Fosil itu ditemukan di wilayah Guizhou, selatan China dan mula dikenal pasti pada tahun 2003 dan berdasarkan penemuan spesimen tambahan yang lebih lengkap sejak itu, membolehkan pasukan saintis membuat gambaran penuh haiwan itu.


Nick Fraser dari Muzium Negara Scotland, antara yang terlibat dalam kajian itu berkata, penemuan tersebut membolehkan haiwan berleher panjang luar biasa itu 'digambarkan'.


"Kami pasti ia akan membangkitkan imaginasi berdasarkan penampilan yang menarik, mengingatkan mitos naga Cina yang panjang seperti ular," katanya dalam satu kenyataan pada hari Jumaat.


Leher Dinocephalosaurus orientalis telah dibandingkan dengan leher Tanystropheus hydroides, satu lagi reptilia marin aneh dari zaman Trias Pertengahan di Eropah dan China.


Kedua-dua reptilia itu mempunyai saiz dan ciri tengkorak yang sama. Namun Dinocephalosaurus mempunyai lebih banyak vertebra di leher dan di bahagian badan, merupai ular.


Penyelidik dari Scotland, Jerman, Ameria Syarikat dan China mengkaji Dinocephalosaurus orientalis selama 10 tahun di Institute of Vertebrate Palaeontology and Palaeoanthropology, di Beijing. - Sumber CNN.


Fosil reptilia marin Dinocephalosaurus orientalis yang dikatakan berusia 240 juta tahun buat pertama kali dapat digambarkan sepenuhnya hasil penyelidikan saintis. - Foto Muzium Negara Scotland/PA.

Fosil Dinocephalosaurus orientalis ditemui di wilayah Guizhou di selatan China pada tahun 2003. - Foto Muzium Negara Scotland/PA.

Khamis, 15 Februari 2024

Gincu purba tertua ditemukan di Iran berusia 4,000 tahun

Gincu purba tertua ditemukan di Iran berusia 4,000 tahun


Ahli arkeologi menemukan bekas kecil klorit yang mengandungi penyediaan kosmetik merah tua dipercayai gincu purba, di wilayah Jiroft di tenggara Iran.


Penemuan yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal saintifik itu menunjukkan bahawa komponen mineral daripada bahan berwarna kemerahan, termasuk hematit menjadi gelap disebabkan oleh manganit dan braunit, selain kesan kemerah-merahan dan anglesit.


Bahan-bahan itu, bercampur dengan lilin tumbuh-tumbuhan dan bahan organik lain serta hampir sama dengan resipi gincu kontemporari, lapor Agensi Berita Iran IRNA pada 13 Februari lalu.


Penemuan berusia 4,000 tahun itu, menonjolkan pengetahuan canggih orang Iran purba dalam pemprosesan kimia.


Seorang profesor di Universiti Tehran dan ahli arkeologi yang menyumbang kepada penemuan itu, Dr Nasir Eskandari memberitahu IRNA bahawa kajian itu bertujuan untuk mendedahkan peranan perintis orang Iran purba dalam bidang sains kimia.


Beliau berkata bahan yang ditemukan itu menunjukkan bahawa orang Iran adalah pencipta pertama gincu. - Sumber IRNA.


Gincu tertua yang ditemukan di Iran. - Foto IRNA.

Jumaat, 9 Februari 2024

Ahli arkeologi menemukan tapak kaki manusia berusia 90,000 tahun

Ahli arkeologi menemukan tapak kaki manusia berusia 90,000 tahun


Ahli arkeologi di Maghribi menemukan lebih 80 tapak kaki manusia purba yang berusia kira-kira 90,000 tahun lalu, dan dipercayai yang tertua di Afrika Utara, lapor New York Post pada 8 Februari lalu.


Jejak kaki yang mungkin ditinggalkan oleh lima homo sapiens, termasuk kanak-kanak, ditemukan di pantai di Larache, sebuah bandar 90 kilometer di selatan Tangier, oleh ahli arkeologi dari Maghribi, Sepanyol, Perancis, dan Jerman.


Kurator di tapak arkeologi Lixus Larache, Anass Sedrati berkata, kumpulan (homo sapiens) itu dipercayai sedang menyeberangi pantai menuju ke laut kira-kira 90,000 tahun yang lalu semasa Pleistocene Akhir, juga dikenali sebagai Zaman Ais.


"Kumpulan ini mungkin untuk mencari makanan dan kerang. Mereka mungkin nelayan atau pengumpul," katanya.



Pasukan penyelidik, yang kajiannya diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature pada Januari berkata, tapak kaki itu adalah sebahagian daripada kesan manusia yang paling terpelihara di dunia dan yang tertua di Afrika Utara dan selatan Mediterranean.


"Penemuan ini dibuat semasa misi lapangan pada Julai 2022, sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan saintifik mengenai asal-usul dan aspek dinamik batu-batu yang bertaburan di sepanjang pantai," kata penyelidik yang diketuai oleh Universiti Bretagne Sud dari Perancis.


Menurut Anass Sedrati lagi, kesan tapak kaki di Larache adalah bukti lanjut mengenai kepentingan wilayah itu dalam sejarah manusia.


Sementara itu, ketua projek penyelidikan, Mouncef Sedrati berkata, tapak warisan itu harus dikekalkan.


"Kita mesti mengekalkan tapak warisan yang luar biasa ini, walaupun ia diancam oleh kenaikan paras laut dan ribut.


"Jejak kaki lain akan ditemukan apabila sedimen terhakis. Adalah menarik untuk mengikuti hakisan ini dan mendedahkan jejak baharu yang akan memberikan lebih banyak butiran mengenai homo sapiens yang tinggal di sepanjang pantai ini," katanya. - Sumber New York Post.


Jejak itu ialah tapak kaki tertua yang dikaitkan dengan manusia yang pernah ditemui di Afrika Utara dan Mediterranean Selatan. - Foto Nature.com.

Penyelidik tidak pasti apa yang dilakukan kumpulan itu (homo sapiens) di pantai. - Foto AFP.

Anass Sedrati di kawasan penemuan tapak kaki itu. - Foto AFP.

Tapak kaki itu dipercayai kesan jejak lima homo sapiens. Foto AFP.

Rabu, 4 Oktober 2023

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden


Ahli paleontologi di University College Cork (UCC), Ireland telah menemui bukti sinar-X protein dalam bulu fosil yang memberi penerangan baharu tentang evolusi bulu.


Bulu dari burung zaman moden mempunyai lebih banyak persamaan dengan bulu dinosaur. Kajian terdahulu mencadangkan bahawa bulu purba mempunyai komposisi yang berbeza dengan bulu burung pada hari ini.


Penyelidikan baharu itu mendedahkan bahawa komposisi protein bulu zaman moden juga terdapat pada bulu dinosaur dan burung awal. Ini mengesahkan bahawa kimia bulu berasal lebih awal daripada yang difikirkan sebelumnya.


Menurut ketua penyelidik, Dr. Tiffany Slater, pasukannya menganalisis bulu berusia 125 juta tahun daripada dinosaur Sinornithosaurus dan burung awal, Confuciusornis dari China, serta bulu berusia 50 juta tahun dari Amerika Syarikat.


"Sangat menarik untuk menemui persamaan baharu antara dinosaur dan burung. Untuk melakukan ini, kami membangunkan kaedah baharu bagi mengesan kesan protein bulu purba.


"Kami juga menggunakan sinar-X dan cahaya inframerah. Kami dapati bahawa bulu daripada dinosaur Sinornithosaurus mengandungi banyak beta-protein sama seperti bulu burung pada hari ini," katanya.


Tambahnya, bagi membantu mentafsir isyarat kimia yang dipelihara dalam bulu fosil, pasukan itu menjalankan eksperimen untuk membantu memahami cara protein bulu terurai semasa proses fosil.


"Bulu burung moden kaya dengan beta-protein yang membantu menguatkan bulu untuk terbang," ujarnya lagi.


Kajian itu diterbitkan pada 21 September 2023 dalam jurnal Nature Ecology and Evolution. - Sumber Live Science.


Fosil bulu dinosaur yang digunakan untuk mendapatkan penerangan baharu tentang evolusi bulu. - Foto kundrát et al (Gondwana Research).

Bulu fosil berusia 50 juta tahun yang ditemukan di Green River Formation in Wyoming, Amerika Syarikat. - Foto Tiffany Slater.

Gambar ilustrasi dinosaur Sinornithosaurus. Fosilnya ditemui pada tahun 1999 di China. - Foto planet dinosaur wiki.

Isnin, 14 Ogos 2023

Penyelidik Thailand jumpa parasit dalam najis berusia 200 juta tahun

Penyelidik Thailand jumpa parasit dalam najis berusia 200 juta tahun


Penyelidik daripada Universiti Mahasarakham di Kham Riang, Thailand menemui lima sisa parasit prasejarah dalam ketulan najis fosil berusia 200 juta tahun, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2023.


Penyelidik menganalisis najis bersaiz 7.4 sentimeter (cm) sebelum menemui parasit berkenaan yang setiap satu sepanjang antara 0.005cm ke 0.01cm.


Menurut laporan kajian itu, pakar menghiris ketulan seperti telur menjadi kepingan sangat nipis menggunakan gergaji (diamond saw), yang membolehkan mereka melihat keratan mikrob melalui mikroskop.


Pasukan penyelidik itu mula-mula mengetahui mengenai fosil berkenaan pada 2010 dan melakukan ekspedisi di lapangan, yang dibantu penduduk kampung, terus ke tapak fosil.


"Penampilan pelik fosil itu menarik minat penduduk kampung yang menganggap mereka mungkin bertuah dan akan dikurnia nasib baik jika menggunakan semula sebagai azimat," kata seorang penyelidik kepada portal berita Inverse.


Nonsrirach daripada Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Palaeontologi Universiti Mahasarakham berkata, parasit mempunyai beberapa spesies termasuk telur Ascaridida yang boleh ditemui dalam Coprolite.


"Spesies ini mungkin dihasilkan reptilia seperti buaya dan phytosaur. Ia adalah penemuan pertama telur Ascaridida dan bukti pelbagai jangkitan yang boleh dipindahkan kepada Crurotarsi dari kumpulan Triassic (Trias) terakhir Asia.


"Penemuan ini sangat penting kepada pemahaman saintifik tentang peredaran dan ekologi parasit pada zaman lampau," katanya. - Sumber Daily Mail.


Gambar di atas adalah sampel parasit yang ditakrifkan oleh ahli paleontologi sebagai 'morphotype IV' ditemui dalam najis purba. Para penyelidik berkata bahawa 'permukaan berhias' ini dipercayai sisa-sisa spora pakis atau lumut yang ditelan tetapi tidak dihadam oleh haiwan purba. - Foto Daily Mail.

Parasit moden ialah komponen ekosistem yang biasa dan penting, tetapi parasit purba dan peranannya dalam ekosistem prasejarah sukar untuk dikaji, kerana  begitu sedikit contoh yang terselamat dalam rekod fosil. Di atas adalah sampel parasit 'morphotype II,' yang mungkin spora lumut. - Foto Daily Mail.

Ketulan najis fosil berusia 200 juta tahun yang ditemui pasukan penyelidik Universiti Mahasarakham, Thailand. - Foto Daily Mail.

Ahad, 30 Julai 2023

Saintis hidupkan semula cacing selepas 46,000 tahun beku di Siberia

Saintis hidupkan semula cacing selepas 46,000 tahun beku di Siberia


Sekumpulan saintis 'menghidupkan' semula seekor cacing bulat yang berada dalam keadaan beku sejak 46,000 tahun lalu semasa zaman gajah mamut berbulu, harimau bertaring tajam dan rusa gergasi berkeliaran di Bumi, lapor portal berita CNN pada 28 Julai 2023.


Haiwan daripada spesies tidak diketahui itu terselamat 40 meter di bawah permukaan beku di kawasan permafrost Siberia.


Ia berada dalam keadaan tidak aktif dikenali sebagai cryptobiosis, demikian menurut Profesor Emeritus Teymuras Kurzchali daripada Institut Biologi dan Genetik Sel Molekul Max Planck.


Beliau ialah salah seorang saintis yang terlibat dalam penyelidikan tersebut.


Organisma dalam keadaan cryptobiosis boleh bertahan tanpa air atau oksigen di samping dalam persekitaran suhu tinggi, beku atau masin.


Cacing itu dikatakan berada dalam fasa di antara kematian dan kehidupan, di mana kadar metabolismenya menurun pada tahap yang tidak dapat dikesan, jelas Kurzchalia.


"Ia boleh menghentikan kehidupan dan kemudian memulakannya dari awal. Ini penemuan utama," katanya sambil menambah, organisma lain yang sebelum ini dihidupkan semula dari kawasan itu berasal dari tempoh beberapa dekad sahaja dan bukannya beribu-ribu tahun.


Lima tahun lalu, beberapa saintis menemui dua spesies cacing gelang di permafrost Siberia. - Sumber CNN.


Imej imbasan mikroskop menunjukkan salah satu cacing purba dikenali sebgai nematodes dan berada dalam tanah sejak beku selama 46,000 di Siberia. - Foto Institute of Physicochemical and Biological Problems in Soil Science RAS.