Memaparkan catatan dengan label Pembunuhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pembunuhan. Papar semua catatan

Isnin, 24 Mac 2025

Berang bakso yang digoreng hangit, lelaki cekik teman wanita hingga m*ti

Berang bakso yang digoreng hangit, lelaki cekik teman wanita hingga m*ti


Gara-gara berang bakso yang digoreng hangit, seorang lelaki di Bantul, Jogjakarta mencekik teman wanitanya hingga mati sebelum menyembunyikan mayat mangsa sejak September tahun lalu, lapor laman berita Tribunnews pada 23 Mac 2025.


Tulang rangka milik mangsa dikenali sebagai EDP, 23, ditemukan pada 20 Mac lalu di bilik tidur suspek, Muhammad Rafy Ramadhan, 24.


Ketua Perhubungan Awam Polis Bantul, Asisten Komisioner Polis I Nengah Jeffry Prana Widnyana berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menggoreng bakso, manakala suspek membasuh pinggan di rumah sewanya.


"Mangsa yang sedang menggoreng bakso meninggalkannya seketika di atas kuali ketika dia menyapu sampah.


"Namun, bakso itu hangit, menyebabkan suspek marah," katanya.



Tambah Jeffry, suspek mula memukul mangsa sebelum mencekik leher mangsa sehingga dia tidak bernafas.


Suspek kemudian menyimpan mayat mangsa di dalam bilik tidur rumah sewanya dan hidup bersama mayat tersebut selama dua minggu sehingga ia mula berbau busuk.


Ujarnya, suspek kemudian berpindah ke rumah sewa rakannya di Sleman sebelum kembali ke rumahnya pada 7 Disember 2024 dan mendapati mayat mangsa sudah menjadi rangka.


"Suspek membalas mesej daripada keluarga dan rakan-rakan mangsa supaya mereka menyangka dia masih hidup.


"Namun, beberapa penduduk mula berasa curiga apabila suspek dilihat sering menunggang motosikal mangsa, namun wanita tersebut sudah lama tidak dilihat.


"Laporan dibuat kepada polis mengenai kehilangan mangsa sebelum tulang rangkanya ditemukan pada 20 Mac lalu," kata Jeffry. - Sumber Tribun News.


Suspek menyimpan mayat mangsa di dalam bilik tidurnya (gambar atas) sehingga ia menjadi tulang rangka. - Foto Perhubungan Awam Polis Bantul.

Rabu, 26 Februari 2025

Lelaki jerut wanita hingga maut, curi emas disangka tulen rupanya 'fake'

Lelaki jerut wanita hingga maut, curi emas disangka tulen rupanya 'fake'


Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membunuh seorang wanita dan meninggalkan mayatnya di sebuah kawasan sawah padi di daerah Sampran, wilayah Nakhon Pathom, lapor portal berita Thaiger pada 26 Februari 2025.


Selepas melakukan pembunuhan, suspek mencuri barangan kemas milik mangsa, tetapi ia kemudian disahkan palsu.


Seorang nelayan Thailand menemui mayat wanita itu di sawah padi di daerah Sampran, Nakhon Pathom kira-kira jam 10 malam pada hari Isnin, 24 Februari. Mangsa dikenali sebagai Noi, 63, mati dijerut menggunakan tali pinggang merah.


Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan itu, mereka menemui rakaman mangsa sedang duduk di atas motosikal seorang lelaki warga Thailand, yang kemudian dikenali sebagai Pairat berusia 59 tahun.


Polis menjejaki Pairat dan menemuinya di kedai emas tempatan cuba menjual aksesori emas yang dicuri. Pemilik kedai memaklumkan kepada polis bahawa aksesori yang dibawa oleh Pairat adalah palsu, jadi dia tidak dapat menjualnya.


Disebabkan kelakuannya yang mencurigakan, polis menahan Pairat di rumahnya semalam, 25 Februari. Dia mengaku membunuh Noi, menyatakan bahawa dia menghadapi masalah kewangan dan mahukan barang berharganya.


Pairat mendedahkan bahawa Noi ialah rakan isterinya dan sebelum ini meminta mereka untuk membantunya mencari teman lelaki. Dia membawa Noi ke tempat kejadian dengan berpura-pura bahawa dia memperkenalkan dia kepada seorang lelaki.


Pairat mendakwa bahawa dia pada mulanya cuba memaksa Noi menyerahkan barang berharganya, apabila dia enggan, dia mencekiknya hingga mati dan mencuri dua cincin emas dan seutas rantai emas. Tanpa diduga, dia kemudiannya mendapati aksesori emas itu semua palsu.


Pairat menegaskan dia bertindak sendirian dan isterinya tidak terlibat. Saluran 7 melaporkan Pairat sebelum ini ditahan dua kali kerana mencuri di kawasan itu. - Sumber Thaiger.


Noi dipercayai menunggang sebuah skuter bersama Pairat. - Foto Facebook/Brickinfo News.

Selasa, 18 Februari 2025

Isteri hilang ditemui maut bersama 'kekasih gelap' dalam kereta

Isteri hilang ditemui maut bersama 'kekasih gelap' dalam kereta


Seorang lelaki di Thailand yang mencari isteri hilang dikejutkan dengan penemuan wanita itu yang maut bersama kekasihnya dalam kereta diletakkan di jalan dekat wilayah tengah Chachoengsao pada 17 Februari.


Portal Thaiger melaporkan, pegawai dari Balai Polis Mueang Chachoengsao dipanggil ke Jalan Nombor 304 dekat daerah Mueang untuk menyiasat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Isuzu MU-X berwarna putih yang mencurigakan kira-kira jam 9 pagi.


Ia selepas seorang pejalan kaki ternampak lubang tembakan di tingkap tempat duduk penumpang kiri kenderaan dan kemudiannya memaklumkan polis.


Selepas memeriksa kenderaan itu, pegawai polis menemui mayat lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, Chatchai Hongcharoen dan wanita, Natticha, 26, dalam keadaan tidak bernyawa.



Chatchai yang juga Ahli Majlis Perbandaran Daerah Kecil Plaeng Yao, ditemui di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di bahagian kanan kepalanya.


Dia masih memegang pistol Sig Sauer 9mm manakala Natticha, yang duduk di tempat duduk penumpang, juga mengalami luka tembakan di kepala kanannya.


Natticha dilaporkan hilang di Balai Polis Plaeng Yao oleh suaminya, Ttitiwat, 23, pada 16 Februari lalu.


Thitiwat memberitahu ThaiRath bahawa isterinya meninggalkan rumah dengan kenderaan SUV pada pagi 16 Februari dan tidak pulang.


Lelaki itu tidak dapat menghubungi isterinya yang keluar dengan memakai rantai dan gelang emas serta dikhuatiri menjadi mangsa rompakan.


Menerusi video yang dikongsi oleh Saluran 7, Thitiwat dilihat di tempat kejadian di mana mayat isterinya ditemui.


Kelihatan Thitiwat menangis dan seorang rakan terpaksa mengiringinya untuk membolehkan polis meneruskan siasatan mereka. - Sumber The Thaiger.


Lokasi kejadian di mana seorang wanita dipercayai hilang dan ditemui maut bersama 'kekasih gelap'. - Foto ThaiRath.

Ahad, 16 Februari 2025

Tikam lelaki Nepal, 5 warga Bangladesh disambung reman 7 hari lagi

Tikam lelaki Nepal, 5 warga Bangladesh disambung reman 7 hari lagi


Suspek utama kes bunuh lelaki warga Nepal bersama lima rakannya disambung reman selama tujuh hari lagi bermula esok.


Perintah lanjutan tempoh reman itu dikeluarkan Majistret Arun Noval Dass terhadap kelima-lima lelaki Bangladesh berusia 22 hingga 27 tahun sehingga Ahad depan.


Reman ke atas kesemua suspek bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, dalam kejadian pada 9 Februari lalu, seorang pekerja kilang warga asing berusia 30 tahun ditemui mati akibat ditikam oleh rakan sekerja di asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata, kejadian itu tercetus daripada provokasi membabitkan sekumpulan pekerja warga asing, pada pukul 11.30 malam.


Beliau berkata, suspek bekerja sebagai operator kilang ditikam beberapa kali di badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Suspek utama (tiga dari kanan) bersama lima warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga Nepal disambung reman tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini. - Foto Kosmo Online.

Rabu, 11 September 2024

Lelaki rempuh kedai bekas kekasih selepas berpisah dalam cubaan membunuh mangsa

Lelaki rempuh kedai bekas kekasih selepas berpisah dalam cubaan membunuh mangsa


Seorang lelaki berdepan hukuman penjara 'untuk tempoh lama' kerana merempuh kedai milik bekas kekasihnya dalam cubaan membunuh mangsa selepas hubungan mereka putus, lapor akhbar The Sun UK pada 9 September 2024.


William McBurnie, 57, merempuh cermin hadapan perniagaan pengebumian milik Zoe Turnbull, selepas wanita itu berpisah dengannya.


Ahli perniagaan berusia 46 tahun itu berada di pejabat bersama ibunya, Beverly Turnbull, 71, yang mengalami serangan jantung beberapa minit selepas kereta tertuduh merempuh premis di Jalan Utama Jedburgh, England.


Mahkamah Tinggi Livingston ketika perbicaraan diberitahu bahawa tertuduh mengganggu mangsa dengan teks, e-mel dan mesej tanpa henti selama beberapa bulan yang membawa kepada insiden pada Disember 2022 tersebut.


Menurut mangsa, tertuduh sering mempamerkan sikap ganas ketika mereka menjalin hubungan, menyebabkan dia nekad memutuskan hubungan mereka.


Hakim Mulholland berkata: "Anda cuba membunuh dua wanita yang tidak melakukan apa-apa selain bekerja. Ia adalah perkara yang sangat serius dan anda akan dijatuhkan hukuman penjara yang sangat lama." - Sumber The Sun UK.


McBurnie merempuh cermin hadapan perniagaan pengebumian milik Turnbull. - Foto Borders Press Agency.

Ahad, 1 September 2024

Bermula dengan pergaduhan mulut, lelaki tikam rakan sekerja

Bermula dengan pergaduhan mulut, lelaki tikam rakan sekerja


Seorang lelaki maut apabila ditikam dengan sebilah pisau dalam satu insiden perkelahian yang berlaku di pinggir jalan raya Pamulang, Banten, Indonesia pada Jumaat (30/08/2024).


Mengesahkan insiden itu, Ketua Polis Tangerang Selatan, AKBP V Inkiriwang berkata, kejadian bermula dengan pergaduhan mulut antara kedua-dua mereka.


"Sebelum itu, mereka bergaduh mulut dan ada perkataan mangsa yang menggores hati suspek yang diungkapkan ketika mereka bersama kawan-kawan yang lain.


"Oleh kerana itu suspek naik berang lalu berniat mahu membunuh mangsa," katanya dalam satu sidang media pada Sabtu.


Mangsa sebelum itu sempat dikejarkan ke hospital berdekatan, bagaimanapun dilaporkan sudah meninggal dunia.


Sementara itu, klip video yang memaparkan pergaduhan mereka tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.


Difahamkan kedua-dua mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang dan saling mengenali.


Menurut seorang pekerja kilang yang mengenali kedua-dua pengawal keselamatan itu berkata, kekecohan itu didakwa dicetuskan oleh pergaduhan yang telah berlaku di kilang tersebut. Bagaimanapun, dia mengakui tidak mengetahui secara pasti punca pergaduhan itu berlaku.


"Selalunya masalah kerja, semalam bergaduh. Saya tidak faham masalah yang jelas, setahu saya bergaduh semalam," jelasnya.


Menurutnya, Suspek disyaki menunggu mangsa pulang selepas bekerja syif malam di kilang. Mangsa telah dipintas dan ditikam oleh suspek sehingga dia terbaring berlumuran darah.


"Pada pukul 7 pagi itu saya melihat mangsa masih berada di kilang, bersiap-siap untuk pulang ke rumah," katanya.


Menurutnya, kekecohan itu telah menarik perhatian pengguna jalan raya. Suspek yang cuba melarikan diri segera dikejar penduduk dan berjaya ditahan. 


Suspek kini sudah ditahan polis berserta barang bukti iaitu sebilah pisau yang digunakan suspek ketika membunuh mangsa. - Sumber iNews.id.


Mangsa sempat dikerjakan di hospital berdekatan sebelum dilaporkan meninggal dunia. - Foto Istimewa.

Isnin, 26 Ogos 2024

Gara-gara adik mengadu, abang tikam bapa hingga maut bengang dimarahi

Gara-gara adik mengadu, abang tikam bapa hingga maut bengang dimarahi


Seorang anak tergamak menikam bapanya hingga maut gara-gara bengang dimarahi berpunca adiknya yang mengadu. Kejadian berlaku di di Desa Kesugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon pada Jumaat, 23 Ogos lalu.


Ketua Kampung Desa Kesugengan Kidul, Wardinah yang mengesahkan kejadian itu berkata, kejadian memilukan itu terjadi sekitar jam 3.30 petang (waktu tempatan) di belakang rumah mereka.


"Kronologinya begini, suspek pada mulanya pergi ke sungai yang terletak hanya 300 meter dari rumah, yang pada masa itu dia melihat adiknya sedang mencuci baju.


"Suspek kemudiannya melempar batu kepada adiknya, Aam, 24, yang membuatkan dia pulang dan mengadu kepada ayahnya," katanya kepada pemberita pada Sabtu (24/8/2024).


Susulan aduan adiknya itu, ayah suspek Jana, 79, segera pergi ke sungai lantas memarahi suspek K, 29, sementara Aam meneruskan kegiatannya membasuh pakaian dan mandi di sungai.


Maka dari situ berlakulah pertikaman lidah antara mereka, hingga akhirnya suspek mengeluarkan sebilah pisau.


"Pisau sepanjang 15 sentimeter itu digunakan suspek untuk menikam mangsa di bahagian perut sehingga mangsa meninggal dunia," katanya lagi.


Selepas kejadian itu, Aam yang melihat bapanya terbaring tidak berdaya segera meminta pertolongan.


Sementara itu, pelaku masih berada di lokasi malah sempat mencuci pisau yang digunakan untuk menikam bapanya.


Wardinah turut menambah, pelaku kemudian pulang ke rumah dan mencari Aam.


Setibanya di hadapan rumah, K memukul Aam dengan bongkah kayu berisi paku menyebabkan Aam mengalami kecederaan di kepala dan terpaksa mendapat dua jahitan.


Suspek kini telah ditahan polis dan akan dibawa ke balai polis Cirebon untuk tindakan lanjut. - Sumber Tribun Jabar.


Lokasi rumah mereka yang berada di Desa Kesugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon. - Foto Eki Yulianto/Tribun Jabar.

Lokasi K menikam ayahnya hingga mati di Desa Kesugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon. - Foto Eki Yulianto.

Lelaki disyaki pembunuh terbaring diikat ketika hendak ditangkap polis di Desa Kasugengan Kidul, Kecamatan Depok, Kabupaten Cirebon. - Foto Tribun Jabar.