Memaparkan catatan dengan label Mitos. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mitos. Papar semua catatan

Rabu, 30 Ogos 2023

Ratusan sukarelawan sertai pencarian makhluk gergasi di tasik Loch Ness

Ratusan sukarelawan sertai pencarian makhluk gergasi di tasik Loch Ness


Beratus-ratus sukarelawan menyertai usaha mencari makhluk gergasi yang dikatakan bersembunyi dalam tasik Loch Ness di Scotland, selepas ada pelancong mendakwa 'ternampak' raksasa terkenal itu semasa menaiki bot, lapor Daily Mail pada 27 Ogos 2023.


Misi pencarian membabitkan seramai 200 sukarelawan yang berlangsung sejak hujung minggu lalu, merupakan yang terbesar pernah dilakukan dalam tempoh lebih 50 tahun.


Pasukan penyelidikan bebas, Loch Ness Centre dan Loch Ness Exploration akan melakukan pencarian di tasik itu dengan menggunakan dron yang dilengkapi kamera inframerah dan pengesan bawah air.


Sukarelawan pula akan membantu merekodkan sebarang penampakan biasa dan luar biasa berhubung makhluk berkenaan dari kawasan darat.


Pencarian itu dilakukan beberapa hari selepas seorang pelancong mendakwa melihat 'bentuk hitam' di tasik tersebut.


Pada hujung minggu lalu, saintis dan sukarelawan menyertai pencarian terbesar di perairan tersebut sejak Biro Penyiasatan Loch Ness mengkaji tasik itu pada 1972.


Pelannya adalah menggabungkan teknologi baharu untuk mengimbas dan mendengar isyarat bawah air daripada makhluk itu. Para sukarelawan pula memantau permukaan air untuk mengesan sebarang pergerakan makhluk itu.


Meskipun tiada bukti konkrit, mereka yang terlibat dalam operasi itu merakam empat 'bunyi tidak dapat dijelaskan' di kawasan yang dikatakan antara lokasi kegemaran raksasa Loch Ness selama ini.


Jurucakap Loch Ness Exploration, Ian McKenna berkata, bunyi berkenaan dikesan di kawasan Teluk Urquhart.


"Ia dirakam oleh hidrofon ketika kami sedang menyediakan peralatan, malah empat bunyi itu amat berbeza.


"Kami tidak boleh menyatakan ia merupakan Nessie (raksasa Loch Ness), cuma bunyi itu tidak dapat dijelaskan," katanya.


Cerita mengenai raksasa Loch Ness yang bersembunyi di tasik itu sudah kedengaran lebih 1,500 tahun.


Setakat ini, teori mengenai rupa sebenar raksasa Loch Ness dibesar-besarkan. Ia diperincikan sebagai 'kuda air' sama seperti spesis haiwan zaman dinosaur. - Sumber Daily Mail.


Pencarian raksasa Loch Ness itu merupakan terbesar pernah dilakukan dalam tempoh lebih 50 tahun. - Foto Daily Mail.

Ahad, 6 Mac 2022

Saintis cuba rungkai misteri mumia ikan duyung berusia 300 tahun

Saintis cuba rungkai misteri mumia ikan duyung berusia 300 tahun


Sekumpulan saintis Jepun akan mengkaji satu mumia 'ikan duyung' yang ditemui sekitar tahun 1736 hingga 1741 di luar Pulau Shikoku, Lautan Pasifik, lapor akhbar New York Post pada 3 Mac 2022.


Mumia makhluk misteri yang mempunyai wajah menyerupai manusia dan ekor seperti ikan itu menyebabkan pakar-pakar keliru selama beberapa abad.


Kedua-dua tangan makhluk itu berada dalam keadaan memegang wajahnya, selain rambutnya juga masih boleh dilihat serta terdapat gigi yang tajam.


Pasukan penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashiki telah melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) bagi mendedahkan misteri makhluk itu.


Menurut seorang penyelidik, Hiroshi Kinoshita, mumia yang kini disimpan di sebuah tokong di bandar Asakuchi itu dipercayai berkemungkinan mempunyai kepentingan dari sudut agama.


"Ikan duyung Jepun mempunyai legenda keabadian. Masyarakat percaya sekiranya seseorang itu makan daging ikan duyung, dia tidak akan mati.



"Beberapa legenda di Jepun menyatakan bahawa terdapat seorang wanita yang memakan daging ikan duyung, dan dia mampu hidup selama 800 tahun," kata Kinoshita.


Namun, tidak jelas bagaimana atau sejak bila mumia itu berada di kuil tersebut, tetapi ketua kuil, Kozen Kuida, berkata ia telah dipamerkan dalam bekas kaca kira-kira 40 tahun lalu dan kini disimpan dalam peti besi kalis api.


Sementara itu, mumia tersebut turut disimpan bersama sepucuk surat bertarikh tahun 1903 yang ditulis oleh pemilik terdahulu untuk memberitahu mengenai latar belakang penemuan makhluk tersebut.


"Seekor ikan duyung telah ditangkap menggunakan jala ikan di laut wilayah Kochi. Nelayan yang menangkapnya tidak mengetahui bahawa ia adalah seekor duyung bahkan membawanya ke Osaka untuk dijual sebagai ikan biasa.


Hiroshi Kinoshita bagaimanapun mengambil pandangan yang lebih pragmatik tentang makhluk itu. Dia percaya ia telah dihasilkan pada satu ketika semasa zaman Edo - era sejarah Jepun yang menjangkau dari 1603 hingga 1867.


"Sudah tentu, saya tidak fikir ia adalah ikan duyung sebenar. Saya rasa ini dibuat untuk eksport ke Eropah semasa zaman Edo.


"Lagenda ikan duyung kekal di Eropah, China dan Jepun serta seluruh dunia. Oleh itu, saya dapat membayangkan bahawa orang pada masa itu juga sangat berminat dengannya.


"Saya fikir ia diperbuat daripada haiwan hidup dan kami ingin mengenal pasti mereka melalui imbasan CT atau ujian DNA," katanya.


Mumia tersebut mungkin dihasilkan daripada badan dan kepala monyet yang dijahit pada bahagian belakang ikan. Para saintis yang memeriksa mumia itu akan menerbitkan penemuan mereka pada akhir tahun ini.


Kedua-dua tangan makhluk itu berada dalam keadaan memegang wajahnya, selain rambutnya juga masih boleh dilihat serta terdapat gigi yang tajam. - Foto Hiroshi Kinoshita.

Sabtu, 22 Januari 2022

Bakul berisi buah-buahan berusia 2,400 tahun ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion

Bakul berisi buah-buahan berusia 2,400 tahun ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion


Sebuah bakul anyaman berisi buah-buahan yang masih kelihatan elok sejak abad keempat sebelum Masihi ditemukan dalam runtuhan kota Thonis-Heracleion di pesisir pantai Mesir, lapor The Guardian pada 2 Ogos 2021 lalu.


Turut ditemukan adalah ratusan artifak seramik kuno dan khazanah gangsa. Artifak dan barangan itu tidak tersentuh sejak kota itu hilang di bawah gelombang air semasa abad kedua sebelum Masihi.


Kemudian, ia ditengggelamkan lebih jauh pada abad kelapan sebelum Masihi akibat bencana alam yang dahsyat termasuk gempa bumi dan ombak pasang surut.


Ahli Arkeologi Marin Perancis, Franck Goddio terkejut dengan penemuan baharu itu dan menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa kerana belum pernah disentuh sejak lebih 2,000 tahun.


Katanya, bakul bersejarah itu masih dipenuhi buah doum dan anggur. Bakul itu berkemungkinan diletakkan dalam bilik bawah tanah sehingga menyebabkan ia mampu bertahan sehingga hari ini.



Thonis-Heracleion merupakan pelabuhan terbesar Mesir sejak berabad-abad di kepulauan Mediterranean sebelum Alexander The Great mendirikan Alexandria pada 331 sebelum Masihi.


Selepas itu, kewujudan kota Thonis-Heracleion telah dilupakan sehingga penemuan semula oleh ahli arkeologi marin Perancis Franck Goddio dua dekad yang lalu, dalam salah satu penemuan arkeologi yang paling hebat sejak kebelakangan ini.


BACA: Kota Thonis Hanya Dianggap Mitos Sebelum Ini Ditemui Terkubur Dasar Laut Mediterranean, Mesir.


Prasasti ini mendedahkan bahawa Thonis (Mesir) dan Heracleion (Greek) adalah bandar yang sama. - Foto Franck Goddio/Hilti Foundation.

Bakul berisi buah-buahan di bawa ke permukaan oleh sepasukan arkeologi. - Foto The Guardian.

Sabtu, 5 Jun 2021

UFO Dirakam Mengelilingi Kapal Perang AS, Membuktikan 'Alien' Miliki Pangkalan Di Dasar Laut

UFO Dirakam Mengelilingi Kapal Perang AS, Membuktikan 'Alien' Miliki Pangkalan Di Dasar Laut


Salah satu misteri yang belum terungkap sehingga sekarang adalah penampakan makhluk asing yang sering dikaitkan dengan objek tidak dikenali (UFO), adakah mereka benar-benar wujud? atau sekadar mitos, boleh jadi juga hanya propaganda sesebuah organisasi berkuasa tertentu yang hanya mahu mengaburi mata kita manusia yang tidak berkepentingan.


Kewujudan makhluk asing ini seringkali menjadi perdebatan dan menjadi sesuatu hal yang menarik untuk dibincangkan. Dalam dunia ini pelbagai teori telah diperkatakan bagi menyokong kewujudan makhluk asing tersebut. Kebanyakan teori itu percaya bahawa UFO ini datang dari luar angkasa.


Terbaru, menurut laporan akhbar Daily Star, kelmarin, beberapa pengkaji makhluk asing percaya bahawa UFO berasal dari dasar laut dan bukannya angkasa lepas seperti yang digembar-gemburkan.


Naib Presiden Gabungan Antarabangsa untuk Penyelidikan Makhluk Asing (ICER), Gary Heseltine berkata, satu klip video tular baru-baru ini yang memaparkan beberapa objek terbang didakwa sedang mengelilingi kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) adalah petunjuk penting kepada asal-usul UFO.


Kejadian itu mendorong pengkaji-pengkaji UFO untuk mempercayai bahawa makhluk asing berasal dari dasar lautan. Mereka mengatakan UFO sering dilihat keluar dan masuk ke dalam laut. Sekaligus mengesyaki dasar laut mungkin menempatkan pangkalan makhluk asing.


"Meskipun kedengaran tidak munasabah, namun jika difikirkan, kita hanya ada lima peratus pengetahuan mengenai dasar lautan, malah kita lebih banyak mengetahui tentang angkasa lepas," katanya.


Dakwaan Heseltine turut disokong penerbit dokumentari, Jeremy Corbell yang turut mempercayai makhluk asing berasal dari dasar laut. Menurut Corbell, objek terbang yang mengelilingi kapal tentera laut AS disifatkan sebagai transmedium iaitu kemampuan untuk beroperasi di udara dan di dalam air.


"UFO mungkin berasal dari tempat yang jauh, namun kebiasaannya, kita melihat objek itu datang dari lokasi lebih dekat.


"Sama seperti manusia yang mempunyai wakil kedutaan di negara asing, terdapat kemungkinan bahawa adanya 'stesen' makhluk asing di dasar lautan, di mana pesawat UFO boleh berhenti seketika apabila berada di Bumi. Ini adalah bukti yang menunjukkan bahawa UFO melakukan transit di Bumi di dasar lautan," jelasnya.


Baru-baru ini, rakaman video radar yang memaparkan kapal tentera laut AS dikelilingi oleh beberapa buah UFO telah didedahkan kepada umum. Menurut sumber, video itu dirakam pada pada 15 Julai 2019 beberapa tahun lalu.


Susulan kejadian itu, pegawai-pegawai perisikan AS telah diarah untuk mengumpulkan dokumen mengenai UFO untuk dibentangkan kepada Kongres dan laporan tersebut dijangka disiarkan pada bulan ini. - Sumber Daily Star.


Rakaman video radar tentera memaparkan objek didakwa UFO menghampiri kapal tentera laut AS di perairan California baru-baru ini. Foto Twitter JeremyCorbell/WION

Isnin, 19 April 2021

Kisah Penampakan Naga Bermata Merah Di Tasik Chini, Pelancong Trauma Seminggu

Kisah Penampakan Naga Bermata Merah Di Tasik Chini, Pelancong Trauma Seminggu

Gambar Hiasan (Foto wattpad.com)

Naga adalah haiwan yang sering dikaitkan dengan cerita fantasi. Namun, naga juga dikatakan sebagai sejenis legenda haiwan dan dituduh telah wujud lama di bumi ini. Misteri kewujudan naga sebagai makhluk mistik bersaiz besar yang memiliki kuasa sakti sememangnya mencetuskan fenomena membingungkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.


Hal ini disebabkan jasad makhluk mistik itu masih gagal ditemui di mana-mana pelosok dunia tetapi kisah legenda membabitkan naga wujud dan diceritakan dalam budaya pelbagai bangsa di seluruh dunia.


Ahli paleontologi dan kajian sejarah belum menemui bukti bahawa naga pernah menghuni bumi. Setakat ini, fosil dinosaur yang ditemui pada zaman dahulu sering dijumpai. Mungkin dinosaur itu disalah anggap sebagai naga oleh manusia pada masa itu.


Ada juga penyelidik yang berpandangan naga mungkin spesies haiwan purba yang hidup sezaman dengan dinosaur tetapi sudah pupus. Teori itu dikemukakan berdasarkan gambaran naga dalam legenda Barat, yang memiliki fizikal menyamai dinosaur.


Tasik Chini - Foto Libur

Misteri Kewujudan Naga Tasik Chini


Di Malaysia, legenda naga terkenal pastinya Naga Seri Gumum yang didakwa mendiami Tasik Chini di Pekan, Pahang. Kisah ini wujud dalam mitos kepercayaan masyarakat negara ini. Kewujudan naga dalam tasik kedua terbesar di Malaysia itu tercetus berdasarkan dakwaan penduduk yang terserempak makhluk berkenaan.


Antara cerita yang kerap disebarkan kononnya berlaku pada tahun 1986 apabila seorang lelaki ingin menangkap ikan mendapati dua 'ular besar' terlekat pada jaringnya. Ular itu dibunuh dan ketika pulang ke pangkalan, lelaki terbabit melihat tiga bahagian badan naga besar muncul di permukaan air.


Akibat membunuh ular besar itu, lelaki terbabit kononnya terkena bala sehingga menyebabkan badannya gatal dan berkudis selama 13 tahun. Sejak itu, beberapa lagi penduduk terutama Orang Asli Tasik Chini mendakwa terserempak naga di tasik itu yang digambarkan seperti ular tetapi kepalanya sebesar kepala lembu dan lilitan badannya sebesar tayar motosikal.


Tasik Chini - Foto Libur
Selain itu, cerita legenda tentang Tasik Chini banyak menyebut tentang dua ekor naga yang dikatakan telah dimakan sumpahan tasik itu pada zaman dahulu, iaitu Naga Sisik Emas dan Naga Sisik Perak. Naga Sisik Emas dipercayai sebagai jelmaan seorang lelaki, manakala Naga Sisik Perak pula adalah seorang perempuan.


Sekitar tahun 70-an dan 80-an, jelmaan kedua-dua ekor naga dapat dilihat di kawasan tasik terutamanya ketika musim banjir. Kepercayaan ini dikuatkan lagi dengan cerita seorang pelancong England yang pergi menyelam di kawasan jeti.


Sebaik sahaja tiba di dasar tasik, dia ternampak pagar batu. Pelancong tersebut kemudian menyusuri pagar batu itu sehingga terjumpa pintu pagar utama. Di sebalik pintu utama pula, dia ternampak sepasang mata berwarna merah dan dengan pantasnya beliau naik keatas kembali. Kejadian itu mengakibatkan beliau tidak bercakap selama seminggu.


Misteri membabitkan naga sememangnya membingungkan kerana selain Malaysia, cerita membabitkan makhluk itu turut wujud di banyak negara lain sekali gus membuktikan ia bukan sekadar kepercayaan atau mitos bangsa tertentu saja.


Malah, seperti juga budaya sesuatu kaum pribumi yang berbeza dari satu benua ke benua lain, ciri dan gambaran naga juga berlainan mengikut legenda setempat. Terdapat lebih 30 jenis naga yang berbeza fizikal dan peranan dalam pelbagai legenda dan kebudayaan di seluruh dunia.


Antara perbezaan fizikal naga mengikut bangsa adalah masyarakat Cina cenderung mengatakan ia memiliki badan ular, muka seakan kuda, tanduk seperti rusa, kuku helang, sisik ikan dan mampu terbang. Masyarakat Barat pula menggambarkan naga menyerupai dinosaur tetapi memiliki kepak untuk terbang.


Kebanyakan naga digambarkan sebagai reptilia dan menetas daripada telur. Di Thailand pula, terdapat ukiran naga berbentuk ular tetapi memiliki tujuh kepala, manakala naga di Vietnam menggabungkan imej buaya, ular, biawak dan burung.


Selain jasad fizikal menggerunkan, naga juga diceritakan memiliki kuasa mistik yang belum ditemui pada mana-mana haiwan dalam katalog biologi dunia. Berdasarkan kisah legenda, naga dikatakan mampu mengeluarkan semburan api untuk merentungkan apa saja.


Naga juga mampu terbang pantas, manakala sesetengahnya menyelam dalam air. Ada juga kisah naga menyimpan mutiara di mulutnya dan mutiara itu kononnya menghasilkan kuasa sakti untuk memberikan pelbagai kelebihan kepada sesiapa yang memperolehnya. Dalam usaha merungkai misteri naga, beberapa teori dikemukakan antaranya ada pihak percaya makhluk itu berasal daripada alam mistik.


Sekitar tahun 300 Sebelum Masihi (SM), satu rangka aneh ditemui di Wucheng, Wilayah Sichuan di China dan ahli sejarah purba China, Chang Qu, mencatatkan rangka itu diyakininya sebagai rangka naga. Bagaimanapun, ada penyelidik yang mengkaji sejarah penemuan itu yakin rangka itu sebenarnya fosil dinosaur dan bukannya naga.


Tasik Chini - Foto Libur

Jumaat, 4 Disember 2020

Kita Tak Sendirian, Ada 36 Tamadun Maju Lain Dalam Galaksi Bima Sakti

Kita Tak Sendirian, Ada 36 Tamadun Maju Lain Dalam Galaksi Bima Sakti


Persoalan ini sudah lama menjadi perdebatan sama ada manusia bersendirian di alam semesta ini, ia menyentuh fikiran kita sedalam-dalamnya hingga tumbul macam-macam andaian. Bahkan, pelbagai usaha diambil untuk mencari tanda-tanda kehidupan lain di luar Bumi.


Nampaknya misteri ini perlahan-lahan mulai dirungkai, kumpulan penyelidik dari Universiti Nottingham mendakwa kemungkinan terdapat lebih daripada 30 tamadun pintar di seluruh galaksi Bima Sakti. Makhluk tersebut pandai seperti manusia dan mampu berkomunikasi dari jarak jauh.


Malah ahli astrofizik mendakwa berjaya mengesan berjuta-juta isyarat daripada tamadun pintar yang dipanggil technosignatures, dalam usaha mencari kehidupan lain di angkasa (SETI).


Kenapa para ahli fizik astronomi berpendapat sedemikian? Berdasarkan jurnal astrofizik yang diterbitkan Jun lalu, ia mengambil idea evolusi, tetapi pada skala kosmik di mana tempoh lima bilion tahun dapat membentuk mahkluk yang cerdas, seperti yang berlaku di Bumi.


Jumlah tamadun wujud dianggarkan dengan menggunakan kiraan dalam astrofizik yang dipanggil Astrobiological Copernican limits. 


Kehidupan di bumi bermula 4.54 bilion tahun yang lalu dan para pengkaji membuat andaian berdasarkan kiraan yang kita tak akan faham, di mana kehidupan boleh wujud pada sebuah planet dalam tempoh kurang daripada lima bilion tahun. Itu kriteria yang pertama, kajian itu kata ada dua kriteria.


Kriteria kedua adalah membuat andaian planet yang menempatkan kehidupan lain itu turut mengelilingi bintang, sama seperti Bumi mengelilingi Matahari. Menggunakan kriteria tersebut, pengkaji membuat kiraan dan mendapati terdapat sebanyak 36 tamadun aktif di dalam Bima sakti.



Bagaimanapun, jarak makhluk asing tersebut dengan Bumi adalah sekitar 17,000 tahun cahaya, dan teknologi yang sedia ada tidak berupaya untuk berhubung dengan tamadun itu. 


Pendapatan tersebut hanya sekadar andaian, dan kemungkinan wujudnya mahkluk asing masih tidak jelas, walaupun ada ahli astronomi yang yakin kita tidak bersendirian dalam galaksi Bima Sakti.


Namun, jika tidak ada tamadun moden yang aktif di Bima sakti hari ini, ia bukan pertanda baik bagi kita. Menurut Conselice, andaian itu boleh dijadikan petunjuk bahawa peluang bertahan hidup untuk peradaban seperti kita cukup kecil dan tidak akan bertahan lama.


Kata Conselice, hasil penyelidikan terbaru itu menunjukkan bahawa pencarian peradaban luar angkasa yang cergas tidak hanya mengungkapkan keberadaan bagaimana kehidupan, tetapi juga memberi kita petunjuk tentang berapa lama peradaban kita akan bertahan. - Sumber Sciencealert.com.

Sabtu, 10 Mac 2018

Misteri penemuan 7 piramid di Tasik Chini cetus kegemparan

Misteri penemuan 7 piramid di Tasik Chini cetus kegemparan

Gambar hiasaan

Sebelum ini, bangunan berbentuk piramid dijumpai dalam banyak tamadun purba seluruh dunia sejak ribuan tahun lalu antaranya di Mesir, Mexico, Peru, Iraq dan China sehingga menimbulkan persoalan mengenai fungsinya yang merentasi benua dan budaya tamadun berbeza.


Beberapa tahun dahulu, heboh diceritakan bahawa terdapat piramid tersembunyi di bawah bukit di pedalaman kawasan hutan di Pahang, Malaysia, piramid tersebut kini dilitupi hutan dan kelihatan seperti sebuah bukit atau gunung kecil, namun kesahihan berita ini tidak dapat dipastikan.


Pada 10 Disember 2007, akhbar New Straits Times ada melaporkan penemuan tujuh bukit yang berkemungkinan berasal daripada piramid yang dibina di Tasik Chini, Pahang hampir 1,000 tahun lalu. Laporan itu mencetuskan rasa terkejut di kalangan rakyat Malaysia yang tidak menyangka binaan misteri piramid turut wujud dalam alam Melayu pada zaman dulu kala.


Mengikut laporan akhbar berkenaan, piramid itu berkemungkinan dibina Kerajaan Khmer kuno yang berpusat di Kemboja serta memerintah dari tahun 802 hingga 1432 serta meluaskan jajahan takluknya sehingga Tasik Chini sepanjang tempoh itu.


Mengikut teori, ratusan tahun selepas empayar itu berakhir, piramid itu ditinggalkan sehingga ditimbus tanah dan ditumbuhi pohon menyebabkan ia berubah menjadi bukit yang dipenuhi belantara. Tapak kota sekitar piramid pula dipercayai tenggelam dalam Tasik Chini.


Kini, kawasan di sekitar bukit telah dibersihkan untuk memberi ruang kepada aktiviti pertanian di sekitarnya. Beberapa serpihan mangkuk porselin telah ditemui di sekitar bukit tersebut dan menguatkan lagi bukti bahawa kawasan tersebut suatu masa dahulu merupakan sebuah kawasan peradaban yang pesat sewaktu kegemilangan empayar Khmer.


Ketenangan Tasik Chini menyimpan 1,001 misteri.

Menurut catatan sejarah, ibukota empayar Khmer ialah di Siem Reap dan berkemungkinan Tasik Chini merupakan antara kota jajahan takluk empayar tersebut. Merujuk kepada sejarah empayar ini mencapai kemuncak kegemilangan sekitar abad ke-13, sebelum berlaku perebutan kuasa antara pembesar hingga menyaksikan empayar ini terkubur pada abad ke-15.


Sejak laporan akhbar itu diterbitkan, dipercayai tiada kajian lanjutan dilakukan tetapi pendedahan itu timbulkan banyak persoalan dan teka-teki mengenai misteri binaan piramid yang sudah ribuan tahun membingungkan minda penyelidik di seluruh dunia.


Mitos piramid di Tasik Chini terus dirungkai. 


Proses pembinaan piramid amat misteri


Dengan tanggapan kemampuan sains dan teknologi di dunia baru berkembang beberapa ratus tahun kebelakangan ini, pasti sukar mengandaikan bagaimana bangunan amat besar itu mampu dibina pada ribuan tahun lalu.


Bayangkan, untuk membina bangunan raksasa pada masa kini, manusia memerlukan pakar kaji bumi, jurutera, arkitek dan pelbagai jentera yang dibina berasaskan teknologi bagi mengangkat bahan berat dan menyudahkan binaan.


Justeru, adakah terdapat pakar dalam bidang fizik, kejuruteraan, binaan dan jentera hebat pada ribuan tahun lalu yang digunakan untuk membina piramid? Pembinaan piramid ternyata amat rumit dan piramid di Mesir misalnya dibangun menggunakan anggaran kira-kira dua juta batu dengan berat setiap satu antara dua tan hingga 15 tan.


Walaupun proses pembinaan piramid amat sukar, suatu yang aneh ialah bangunan itu dibina dengan banyaknya iaitu terdapat 138 piramid di Mesir, sekali gus membayangkan pentingnya piramid dibina dalam kepercayaan Mesir kuno, kira-kira 3,000 tahun lalu.


Piramida di Giza, Mesir.

Sabtu, 27 Januari 2018

Lebih 500 Rangka Manusia Terkubur Di Pergunungan Himalaya Ditemui

Lebih 500 Rangka Manusia Terkubur Di Pergunungan Himalaya Ditemui


Di ketinggian 16 ribu kaki dari permukaan air laut, di lembah gunung Himalaya terdapat sebuah tasik cantik dengan air berwarna kehijauan lelehan salji yang cair. Tasik ini terletak di wilayah Roopkund, Uttarakhand, India. Kedalaman tasik ini hanya sedalam dua meter saja, namun airnya membeku hampir sepanjang tahun.

Walaupun begitu, tasik ini masih menjadi tarikan sejumlah pelancong dari serata dunia. Bukan pelancong saja yang datang menempuh perjalanan bergunung dan sukar itu, malah kumpulan penyelidik turut berkunjung disini. Setahun sekali di tempat ini ada berlangsung Nanda Devi Raj, ritual pemujaan dewi Nanda.

Bukan itu alasan utama para pelawat memburu tasik ini, namun ada sesuatu kisah aneh dengan tasik ini. Di dasar tasik tersebut terkubur sekitar 500 kerangka manusia yang masih misteri asal usulnya. Ketika salji yang meliputi tasik dan kawasan sekitarnya mencair maka terlihatlah tulang-belulang yang bergelimpangan di mana-mana.


Diyakini masih banyak lagi tulang yang terbenam di dasar tasik dan terkubur di lembah. Oleh sebab itu, tasik ini digelar tasik tengkorak atau tasik misteri oleh sesetengah pengunjung. Menurut laman web Historic Mysteries, kerangka-kerangka tersebut pertama kali dijumpai oleh seorang penjaga hutan pada tahun 1942.

Sejak berita mengenai penemuan tulang-tulang ini tersebar, kabar angin mengenai asal-usulnya mula diperkatakan pelbagai versi. Ada juga yang mengatakan kerangka tersebut milik pasukan Jepun yang terkorban saat menyeberangi jalur pergunungan ketika perang Dunia ke-2.

Sebahagian lagi teori percaya kerangka-kerangka itu dulunya adalah tentera Kashmir yang terkorban dalam cuaca buruk, setelah kembali dari pertempuran di Tibet. Teori yang lebih seram menyebut, tulang-belulang tersebut milik sekumpulan anggota Sekte yang melakukan ritual bunuh diri massal. Pada tahun 2004 penyelidik melakukan penelitian terhadap kerangka-kerangka tersebut.


Tulang-belulang tersebut bukan berasal dari zaman perang dunia ke-2, bukan pula milik anggota Sekte. Kerangka di tasik tengkorak sebenarnya berasal dari abad ke-9. Menurut laman web India Today, pakaian dan perbekalan yang tersisa dari rangka tulang tersebut, menunjukkan kemungkinan mereka adalah pelancong.

Teori penyebab kematian yang dikemukakan para ahli peneliti ini adalah hujan ais ekstrem menghantam mereka. Sebab kematian mereka adalah trauma kerana hentakan objek tumpul berbentuk bulat sebesar bola tenis disekitar kepala dan bahu, kawasan lembah kemungkinan tidak ada tempat untuk berteduh.

Mereka mungkin tidak meninggal disekitar tasik, tetap dikawasan pergunungan yang saling berjauhan. Kemudian mayat mereka terdorong ke tasik kerana pergerakan salji yang meleleh. Kawasan lembah Roopkund ini memang terkenal sangat berbahaya, cuaca buruk sering melanda.

Ahad, 14 Mei 2017

Kewujudan Kota Emas Paititi Kekal Misteri Sehingga Kini

Kewujudan Kota Emas Paititi Kekal Misteri Sehingga Kini


Berdasarkan cerita lisan turun temurun tradisi Inca, diceritakan bahawa jauh di dalam hutan Amazon di timur wilayah Andes di Peru terdapat sebuah kota misteri. Tempat ini disebut Paititi 'the lost city of gold' atau kota emas yang hilang. Sejak dulu lagi ramai pemburu harta karun cuba menjejaki kota ini termasuk ahli arkeologi yang turut mencari kota legenda ini.

Namun bukan perkara yang mudah untuk menjejaki kota emas ini. Hutan Amazon adalah tempat yang amat berbahaya kerana perdagangan kokain dan pembalak haram aktif di dalam hutan ini. Banyak penjalajah yang ditembak mati ketika memasuki kawasan ini. Malah ada yang dilaporkan hilang dan sehingga kini tidak dapat dikesan.

Selain itu, kehilangan mereka turut dikaitkan dengan unsur mistik yang sukar dijelaskan. Hal ini mungkin boleh menjelaskan mengapa ramai orang mati ketika melakukan pencarian di hutan itu. Ada juga antara mereka mencari kota ini bertujuan untuk belajar lebih banyak tentang sejarah kewujudan Paititi.

Menurut legenda, Paititi dibina oleh pahlawan Inca yang bernama Inkarri. Dia juga membangunkan kota Cusco sebelum berundur masuk ke hutan apabila para penakluk Sepanyol tiba. Ketika penakluk Sepanyol memasuki Cusco, mereka mengambil emas dan perak tetapi mereka hanya menemui sebahagian kecil daripada jumlah sebenar.

Kebanyakan harta seperti emas tidak pernah ditemui sehingga sekarang, dipercayai bangsa Inca menyembunyikannya sebelum kedatangan penjajah ketika itu. Menurut kabar angin, barangan berharga dan emas miliki peradaban Inca disembunyikan di kota Paititi (kewujudan kota emas Paititi hanya legenda).

Pada tahun 2001, arkeologi Italia yang bernama Mario Polia menemui laporan dari seorang mubaligh bernama Andres Lopez yang disimpan di arkib di kota Vatikan, Itali. Dalam dokumen tersebut bertarikh pada tahun 1600, Lopez menjelaskan secara terperinci sebuah kota besar yang kaya dipenuhi emas, perak dan hiasan mewah.

Ia terletak di tengah-tengah hutan tropika yang disebut Paititi oleh penduduk asli. Lopez memberitahu tentang penemuan tersebut namun tidak menyatakan dengan jelas lokasi kota emas itu. Satu kumpulan berusaha menyelidik kebarangkalian kewujudan kota Paititi. Mereka kemudian menghabiskan masa selama dua tahun berada di hutan Amazon pada tahun 2001 hingga 2002.

Mereka menemui beberapa sisa runtuhan menarik berdekatan bandar Riberalta di utara Bolivia, dipercayai pecahan seramik Inca, namun mereka tidak menemui emas ataupun perak serta barang berharga lain di tempat itu. Pada tahun 2008 sekali lagi dihebohkan dengan berita penemuan runtuhan purba di Kabupaten di Peru.

Dalam laporan menyatakan bahawa penemuan itu adalah antara sepihan kota yang hilang. Sekali gus menarik minat ramai terutama ahli arkolegi, namun penyelidik tidak yakin bahawa runtuhan itu ada kaitan dengan kota emas yang disebut-sebut. Pemburu harta karun masih mencari kota emas itu walaupun kewujudannya masih diragui dan terus menjadi misteri dunia hingga kini.