Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Mac 2025

Pasangan suami isteri jumpa rangka mirip ikan duyung di tepi pantai

Pasangan suami isteri jumpa rangka mirip ikan duyung di tepi pantai


Penemuan satu rangka yang mempunyai sirip dan mirip ikan duyung mengejutkan pasangan suami isteri di tepi pantai Margate, Britain, lapor akhbar New York Post pada 21 Mac 2025.


Menurut Paula Regan yang menemui rangka itu bersama suaminya, Dave ketika bersiar-siar di tepi pantai, ia adalah perkara yang paling ganjil pernah ditemuinya.


"Pada mulanya, saya fikir ia adalah kayu hanyut atau mungkin anjing laut mati kerana saya dapat melihat sirip ekor," ujarnya.


Penemuan itu telah menarik sekumpulan pengunjung yang kemudian datang untuk melihat rangka pelik tersebut.


"Ada yang menyangka ia mungkin terjatuh dari bot manakala yang lain mencadangkan ia boleh menjadi patung dari kapal, seperti salah satu daripada ikan duyung yang diukir.


"Saya hanya tahu tiada siapa yang akan mempercayai kami jika kami tidak merakamkan gambar itu," ujarnya. - Sumber New York Post.


Satu rangka mirip ikan duyung ditemukan di tepi pantai. - Foto Paula Regan/SWNS.

Isnin, 24 Februari 2025

Burung jatuhkan tangan manusia milik kanak-kanak di halaman sekolah

Burung jatuhkan tangan manusia milik kanak-kanak di halaman sekolah


Tangan manusia ditemukan di halaman sekolah di Ireland, minggu ini dan ia disyaki milik seorang kanak-kanak, menurut laporan media tempatan.


People pada 22 Februari melaporkan, polis negara, Gardaí dan perkhidmatan keselamatan Ireland berkata, mereka dimaklumkan mengenai penemuan itu di sebuah sekolah di Darndale di Dublin, pada Jumaat lalu.


Dalam kenyataan sama, pakar patologi negeri dimaklumkan bahawa tangan manusia itu sudah dialihkan untuk pemeriksaan.


Katanya, analisis asid deoksiribonukleik (DNA) akan membantu Gardaí dalam mengesahkan pemilik kepada tangan itu. Polis Ireland berkata, siasatan kes itu masih berterusan.


Dalam pada itu, penyiar berita tempatan RTE melaporkan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tangan itu dijatuhkan oleh seekor burung di lokasi berkenaan pada 10.30 pagi waktu tempatan.


Pihak yang menemukan tangan manusia itu kemudian melaporkan penemuan berkenaan kepada polis kira-kira dua jam kemudian.


Difahamkan, tiada kanak-kanak di sekolah ketika itu kerana murid keluar untuk rehat.


The Irish Independent pula melaporkan tangan yang putus itu menunjukkan tanda-tanda kecederaan dan mungkin milik kanak-kanak lelaki tempatan berusia 12 tahun yang mengalami kecederaan serius akibat letupan gas pada petang hari sebelumnya.


Namun, Gardaí setakat ini tidak dapat mengesahkan dakwaan itu. RTE juga menekankan tiada sebarang tanda yang menunjukkan ada unsur jenayah dalam kes ini.


Dalam pada itu, pihak berkuasa juga akan menyemak daftar orang hilang sebagai sebahagian daripada proses siasatan. - Sumber People.

Ahad, 23 Februari 2025

Misteri lebih 1,000 kubur ada kod QR, polis menjalankan siasatan dari mana asal atau sebabnya

Misteri lebih 1,000 kubur ada kod QR, polis menjalankan siasatan dari mana asal atau sebabnya


Sebuah bandar di Jerman diselubungi misteri dengan kewujudan pelekat Sistem Kod Respons Pantas (QR) di lebih 1,000 kubur, tanpa sebarang petunjuk dari mana asal atau sebabnya.


Metro UK melaporkan, pelekat QR berukuran 5×3.5 sentimeter itu pertama kali dikesan di tiga tanah perkuburan di Munich, akhir tahun lalu.


Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, lebih banyak pelekat itu ditemukan hingga memaksa polis menjalankan siasatan.


Setiap pelekat segi empat tepat putih mengandungi kod QR hitam, bersama-sama dengan nama keluarga dan koleksi huruf dan nombor.


Apabila diimbas, hanya nama individu dikebumikan di kubur dan lokasinya muncul dan tidak ada yang lain.


"Kami belum menemukan sebarang motif di sebalik ini," kata jurucakap polis, Christian Drexler.


Pelekat itu diletakkan pada kedua-dua batu nisan pada kubur lama dan kubur baharu.


"Orang ramai yang melihat sesiapa meletakkan pelekat pada kubur diminta menghubungi pihak pengurusan tanah perkuburan masing-masing," katanya.


Pelekat kod QR itu juga dilihat di tanah perkuburan Waldfriedhof, Sendlinger Friedhof dan Friedhof Solln.


Polis berkata, pelekat itu menyebabkan kerosakan pada beberapa kubur apabila dialihkan, termasuk perubahan warna, jadi pesalah perlu bertanggungjawab atas kerosakan harta benda.


Penyelia pengurusan tanah perkuburan di bandar itu, Bernd Hoerauf berkata, penemuan pelekat berkenaan adalah sesuatu yang pelik.


Bagaimanapun, tiada apa yang menunjukkan pelekat QR di tanah perkuburan Munich itu mempunyai kaitan dengan jenayah kebencian, atau berhubung kait dengan mana-mana etnik atau agama. - Sumber Metro UK.


Kod QR boleh dilihat di belakang batu nisan. - Foto Tizian Gerbing/picture-alliance/dpa/AP Images.

Sabtu, 15 Februari 2025

UFO dikesan 'tersadai' di kawasan pergunungan pada ketinggian 7,400 kaki

UFO dikesan 'tersadai' di kawasan pergunungan pada ketinggian 7,400 kaki


Sebuah struktur misteri ditemui oleh seorang pengguna aplikasi Peta Google (Google Maps) di kawasan pergunungan negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita Daily Mail pada 13 Februari 2025.


Pengguna itu melihat sebuah cakera besar berwarna putih mirip objek terbang tidak dikenali (UFO) terjulur keluar dari tanah pada ketinggian 7,400 kaki. Koordinatnya ialah 34°24'21.6"N 107°05'44.5"W.


Lokasi itu terletak kira-kira 55 kilometer dari Kawasan Perlindungan Nasional Sevilleta di La Joay, tanpa jalan yang jelas atau rumah berdekatan.


Imej Peta Google menunjukkan bahagian atas cakera mempunyai perkakasan logam dan sebahagian daripada sebelah telah ditutupi oleh tumbuh-tumbuhan.


"Sesuatu dalam bentuk cakera yang 'tertanam' di kawasan pergunungan New Mexico pada ketinggian 7,400 kaki," kata pengguna itu, Steph Kent yang berkongsi imej tersebut di platform X.


Netizen membuat spekulasi bahawa ia mungkin UFO yang telah 'bersarang' di kawasan pergunungan itu berabad-abad lamanya.


Sebilangan netizen pula berkata, mereka melihat tingkap, fiuslaj dan litar elektrik pada objek itu. - Sumber Daily Mail.


Sebuah UFO ditemui di kawasan pergunungan New Mexico. - Foto Twitter.

Jumaat, 14 Februari 2025

Cahaya ganjil lut sinar muncul umpama 'pintu ke dunia lain'

Cahaya ganjil lut sinar muncul umpama 'pintu ke dunia lain'


Satu cahaya ganjil lut sinar ditemukan oleh seorang peluncur salji di cerun Resort Skiwelt, Austria, lapor portal berita Daily Mail pada 14 Februari 2025.


Penemuan aneh itu dirakam oleh seorang pengguna platform TikTok, Lenka Lanci, manakala klip video kejadian menjadi tular dan mencatatkan berjuta-juta tontonan serta beribu-ribu komen netizen.


Sebilangan netizen berkata, cahaya itu adalah satu keajaiban dan yang lain mendakwa bahawa ia adalah 'pintu ke dunia lain.'


Namun, terdapat penjelasan mudah bagi merungkai fenomena itu.


Ia dikenali sebagai submatahari yang merupakan paparan optikal sangat jarang berlaku tetapi cantik.


Fenomena itu berlaku apabila cahaya matahari mengenai hablur-hablur halus ais di atmosfera pada sudut yang tepat untuk mencipta cahaya submatahari.


Seorang netizen memberikan komen menarik apabila menyatakan: "Ia adalah sebuah pintu (ke alam lain) dan anda tidak boleh memberitahu saya sebaliknya." - Sumber Daily Mail.


Satu cahaya ganjil terbentuk ketika ribut salji. - Foto TikTok/lenkalancitiande.

Rabu, 5 Februari 2025

Bumbung berlubang, asal usul bongkah ais gergasi jatuh dari langit masih misteri

Bumbung berlubang, asal usul bongkah ais gergasi jatuh dari langit masih misteri


Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menjalankan siasatan selepas menerima laporan berhubung insiden bongkah ais terhempas ke atas bumbung sebuah rumah di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS), lapor laman berita Fox Weather pada 4 Februari 2025.


Kejadian berlaku sekitar pukul 3.30 petang (waktu tempatan) di sebuah kawasan kejiranan dekat bandar Palm Coast.


Menurut Jabatan Bomba Palm Coast, bongkah ais itu jatuh ketika langit cerah dengan suhu sekitar 24 darjah Celsius.


"Selepas tiba di tempat kejadian, anggota bomba menemui lubang pada bahagian bumbung, manakala serpihan ais berada di dalam rumah.


"Rumah itu selamat untuk diduduki selepas pemeriksaan dilakukan. Kami juga meletakkan kanvas pada bumbung yang rosak bagi melindungi harta benda.


"Tiada kecederaan dilaporkan," tambahnya.


Pejabat Syerif Daerah Flagler berkata, pihaknya sedang mengenal pasti asal usul bongkah ais itu dan menghubungi FAA untuk membantu menentukan sumbernya termasuk kemungkinan terjatuh dari pesawat.


Jurucakap FAA berkata, kebocoran air boleh berlaku pada pesawat, seterusnya membentuk ais di bahagian luar.


Apabila pesawat mengurangkan altitud, ais tersebut boleh mencair dan tertanggal, tambahnya. - Sumber Fox Weather.


Bumbung rumah berlubang selepas dihempap bongkah ais di Palm Coast, Florida kelmarin. - Foto Jabatan Bomba Palm Coast.

Sabtu, 1 Februari 2025

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial


Satu klip video tular di media sosial memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung di udara di sebuah kawasan pedalaman di Brazil, lapor akhbar The Sun UK pada 30 Januari 2025.


Penemuan itu berlaku di Sao Thome das Letras, negeri Minas Gerais. Klip video itu yang dimuat naik ke media sosial pada 28 Disember lalu telah menghantui dan membingungkan netizen.


Rakaman yang dimuat naik menunjukkan ratusan labah-labah itu tergantung pada sarang gergasinya.


Jumlah yang banyak menyebabkan labah-labah tersebut kelihatan seperti sedang terbang atau jatuh dari langit.


Seorang netizen yang nampaknya pernah menyaksikan kejadian ngeri itu sebelum ini, berkata: "Ia berada di halaman belakang rumah abang saya di Tiradentes. Sentiasa lewat petang. Saya takut ketika pertama kali melihatnya."


Insiden itu kemudian diambil oleh media tempatan pada 24 Januari, menarik perhatian pakar biologi yang cuba menjelaskan apa yang berlaku.


Seorang pakar dan ahli biologi, Kayron Passos, menguraikan kejadian aneh itu untuk media tempatan, ia berlaku disebabkan cuaca panas lembap yang dialami di rantau tersebut.


"Ia bagaikan sebuah pesta. Labah-labah betina mempunyai spermatheca di mana haiwan itu menyimpan air mani jantan yang berbeza untuk menyuburkan telur.


"Dengan cara ini, labah-labah betina dapat meningkatkan kebolehubahan genetik spesiesnya," kata Passos. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung pada serang gergasinya di udara. - Foto Newsflash.