Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LuarNegara. Papar semua catatan

Sabtu, 29 Mac 2025

Lelaki bakar rumah majikan, kecewa gaji tak dibayar

Lelaki bakar rumah majikan, kecewa gaji tak dibayar


Kecewa gajinya tidak dibayar, seorang lelaki RG, 45, di Kabupaten Tapanuli Tengah (Tapteng), Sumatera Utara bertindak membakar rumah majikannya, lapor laman berita Detik.com pada 28 Mac 2025.


Ketua Polis Daerah Tapteng, Wahyu Endrajaya mengesahkan, kejadian itu berlaku di Jalan Prof M Hazairin, Daerah Pandan, 14 Februari lalu.


Katanya, suspek berjaya ditangkap di Jalan Faisal Tanjung, pada 21 Mac lalu.


"Suspek disyaki sengaja membakar rumah setelah berasa marah kepada majikannya.


"Kejadian berlaku jam 10 malam. Ketika itu mangsa terdengar bunyi letupan.


"Selepas diperiksa, api membakar bahagian hadapan rumah dan mangsa cuba menyelamatkan barang-barangnya yang diletakkan di hadapan rumah," katanya pada sidang media, kelmarin.


Dengan bantuan isteri mangsa, Wahyu berkata, api itu akhirnya berjaya dipadamkan.


"Dalam kejadian itu, sebahagian siling rumah, basikal kanak-kanak dan beberapa barangan lain hangus.


"Mangsa mengalami kerugian sehingga 5 juta rupiah (RM1,339.14).


Polis juga sedang menyiasat kejadian itu berdasarkan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia menunjukkan suspek melakukan perbuatan itu.


"Penjenayah mengaku kebakaran dimulakan dengan menyalakan api menggunakan palam pencucuh.


"Suspek membakar selipar terpakai yang dicampak ke arah barang di hadapan rumah," katanya.


Ketika disoal siasat, suspek itu mengaku nekad berbuat demikian kerana jengkel dengan mangsa kerana mangsa sering memarahinya dan tidak membayar gajinya. - Sumber Detiksumut.


Polis menunjukkan bahan bukti kejadian kebakaran sebuah rumah. - Foto Polis Daerah Tapteng.

Isnin, 24 Mac 2025

Berang bakso yang digoreng hangit, lelaki cekik teman wanita hingga m*ti

Berang bakso yang digoreng hangit, lelaki cekik teman wanita hingga m*ti


Gara-gara berang bakso yang digoreng hangit, seorang lelaki di Bantul, Jogjakarta mencekik teman wanitanya hingga mati sebelum menyembunyikan mayat mangsa sejak September tahun lalu, lapor laman berita Tribunnews pada 23 Mac 2025.


Tulang rangka milik mangsa dikenali sebagai EDP, 23, ditemukan pada 20 Mac lalu di bilik tidur suspek, Muhammad Rafy Ramadhan, 24.


Ketua Perhubungan Awam Polis Bantul, Asisten Komisioner Polis I Nengah Jeffry Prana Widnyana berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menggoreng bakso, manakala suspek membasuh pinggan di rumah sewanya.


"Mangsa yang sedang menggoreng bakso meninggalkannya seketika di atas kuali ketika dia menyapu sampah.


"Namun, bakso itu hangit, menyebabkan suspek marah," katanya.



Tambah Jeffry, suspek mula memukul mangsa sebelum mencekik leher mangsa sehingga dia tidak bernafas.


Suspek kemudian menyimpan mayat mangsa di dalam bilik tidur rumah sewanya dan hidup bersama mayat tersebut selama dua minggu sehingga ia mula berbau busuk.


Ujarnya, suspek kemudian berpindah ke rumah sewa rakannya di Sleman sebelum kembali ke rumahnya pada 7 Disember 2024 dan mendapati mayat mangsa sudah menjadi rangka.


"Suspek membalas mesej daripada keluarga dan rakan-rakan mangsa supaya mereka menyangka dia masih hidup.


"Namun, beberapa penduduk mula berasa curiga apabila suspek dilihat sering menunggang motosikal mangsa, namun wanita tersebut sudah lama tidak dilihat.


"Laporan dibuat kepada polis mengenai kehilangan mangsa sebelum tulang rangkanya ditemukan pada 20 Mac lalu," kata Jeffry. - Sumber Tribun News.


Suspek menyimpan mayat mangsa di dalam bilik tidurnya (gambar atas) sehingga ia menjadi tulang rangka. - Foto Perhubungan Awam Polis Bantul.

Selasa, 18 Mac 2025

Tiga polis terbun*h ketika serbu judi sabung ayam haram

Tiga polis terbun*h ketika serbu judi sabung ayam haram


Seramai tiga anggota polis Indonesia maut ketika melakukan serbuan ke atas pusat perjudian sabung ayam haram di daerah Way Kanan, wilayah Lampung, yang terletak di hujung selatan Pulau Sumatera.


Ketiga-tiga anggota ditembak oleh individu tidak dikenali pada malam Isnin (17 Mac 2025) ketika mereka berada di Kampung Karang Manik, mukim Negara Batin.


Menurut kenyataan polis, kesemua mangsa cedera parah akibat tembakan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Ketua Polis Negara Batin, Inspektor Lusiyanto, serta dua anggota dari Unit Siasatan Jenayah Way Kanan, Ketua Brigedier Petrus Apriyanto dan Brigedier Dua Ghalib Surya Ganta.


Jurucakap Polis Lampung, Komisioner Yuni Iswandari memaklumkan bahawa seramai 17 anggota dikerah ke lokasi terbabit selepas menerima laporan berhubung aktiviti perjudian haram.


"Ketika tiba di lokasi, pasukan kami diserang individu tidak dikenali, mengakibatkan tiga pegawai terkorban ketika menjalankan tugas," katanya.


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lampung untuk bedah siasat.


Yuni berkata, pegawai kanan Polis Lampung turun ke lokasi kejadian bagi mempercepatkan siasatan dan memburu pihak yang bertanggungjawab.


Sabung ayam masih berleluasa di beberapa kawasan di Indonesia, sering dikaitkan dengan rangkaian perjudian haram. Pihak berkuasa kerap mengadakan operasi bagi membanteras kegiatan itu.


Indonesia menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap perjudian, dengan Artikel 303 Kanun Jenayah menetapkan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam penganjuran atau penyertaan aktiviti itu. - Sumber Kompas.com.


Jenazah tiga anggota polisi tiba di ruang forensik RS Bhayangkara pada Selasa. - Foto Kompas.com.
Pasangan suami isteri baru 2 bulan kahwin ditahan curi bawang putih dari sebuah gudang

Pasangan suami isteri baru 2 bulan kahwin ditahan curi bawang putih dari sebuah gudang


Pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas dipercayai mencuri bawang putih dari sebuah gudang di Jalan Berlian, Medan Johor, Indonesia.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polrestabes Medan, Ajun Komisaris Besar Polisi (AKBP) Bayu Putro Wijayanto berkata, Wiellianto, 29, dan Umi Kalsum Pulungan, 27, ditahan selepas didapati mencuri lapan guni bawang putih milik peniaga, Winama Suhardi.


"Siasatan mendapati kejadian curi itu berlaku sejak Februari lalu dan pasangan ini telah beberapa kali masuk ke gudang bersama seorang lagi rakan mereka yang dikenali sebagai M.


"Wiellianto yang juga mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa ditahan ketika mencuri di gudang berkenaan pada 13 Mac lalu, kira-kira jam 9 malam," katanya pada sidang media di Medan, semalam.


Menurutnya, Wiellianto membuka gudang menggunakan kunci palsu sebelum melarikan bawang putih menaiki sebuah kereta.


"Kesemua hasil curi itu dijual kepada seorang lagi suspek dikenali sebagai R di Pasar Simpang Limun pada harga 400,000 rupiah Indonesia atau RM118 bagi setiap guni.


"Hasil jualan pula digunakan untuk menampung kehidupan harian mereka," jelasnya.


Tambah Bayu, kedua-dua suspek kini direman selepas disahkan sebagai tertuduh, manakala dua lagi suspek termasuk M dan R sedang dikesan pihak berkuasa.


"Pasangan suami isteri ini baru dua bulan berkahwin dan sudah terbabit dalam kes curi. Kita sedang buru dua lagi suspek," katanya. - Sumber Tribun News.


Pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas dipercayai mencuri bawang putih dari sebuah gudang di Jalan Berlian, Medan Johor, Indonesia. - Foto KOMPAS.com/GOKLAS WISELY.

Sabtu, 15 Mac 2025

Remaja bakar 3 gerabak kereta api kerana sakit hati diarah turun sebanyak 9 kali tidak memiliki tiket

Remaja bakar 3 gerabak kereta api kerana sakit hati diarah turun sebanyak 9 kali tidak memiliki tiket


Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Jakarta selepas membakar tiga gerabak kereta api di landasan Stesen Tugu, Yogyakarta, lapor portal berita Tribunnews semalam.


Suspek, yang dikenali sebagai M ditahan di kawasan Malioboro hanya beberapa jam selepas menyalakan api menggunakan kadbod dalam satu daripada gerabak, lalu menyebabkan kebakaran merebak.


Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan M membakar sekeping kadbod sebelum dicampakkan ke dalam gerabak kereta api.


Pesuruhjaya FX Endriadi dari Direktorat Siasatan Jenayah Polis Yogyakarta mendedahkan bahawa siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada kekecewaan suspek yang kerap diusir dari kereta api kerana tidak memiliki tiket sah.


"Suspek kerap dikeluarkan dari kereta api sebelum tiba di destinasi," katanya yang dipetik oleh MetroTV. Rekod menunjukkan bahawa antara 2023 hingga 2024, dia diarahkan turun dari kereta api sebanyak sembilan kali kerana tidak memiliki tiket.


Rakaman CCTV dan keterangan saksi membawa kepada penahanan remaja itu.


Memandangkan remaja berkenaan berstatus orang kurang upaya (OKU) dan tidak boleh bertutur, pihak polis menggunakan khidmat jurubahasa isyarat semasa sesi soal siasat.


Endriadi turut memaklumkan bahawa remaja terbabit dirujuk untuk penilaian psikiatri selama dua minggu.


Insiden kebakaran yang berlaku pada Rabu sekitar 6.44 pagi waktu tempatan berjaya dipadamkan sepenuhnya menjelang 7.30 pagi tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.


Perkhidmatan kereta api juga tidak terjejas. Ekoran kejadian itu, operator kereta api PT Kereta Api Indonesia berjanji untuk memperketat kawalan keselamatan serta meneliti isu kebolehcapaian bagi individu kurang upaya dalam pengangkutan awam.


Insiden kebakaran yang berlaku pada Rabu sekitar 6.44 pagi waktu tempatan berjaya dipadamkan sepenuhnya menjelang 7.30 pagi tanpa sebarang kecederaan dilaporkan. - Foto BPBD Yogyakarta.

Khamis, 13 Mac 2025

Lori kumbahan jatuh longkang, penduduk terpaksa tahan bau busuk najis

Lori kumbahan jatuh longkang, penduduk terpaksa tahan bau busuk najis


Sebuah kawasan kejiranan diselubungi bau busuk apabila tayar belakang sebuah lori kumbahan jatuh ke dalam longkang, menyebabkan tangkinya bocor dan air najis melimpah.


Laman berita MS News melaporkan, kejadian itu dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) seorang pemilik rumah pada Sabtu (8 Mac) kira-kira pukul 2.20 petang (waktu tempatan) di wilayah Roi Et, timur utara Thailand.


Ia berlaku apabila lori itu mengundur tetapi tayar belakang kirinya memasuki longkang saluran air yang tidak mempunyai penutup kukuh.


Keadaan itu menyebabkan tangki kenderaan tersebut bocor sebelum air sisa kumbahan melimpah dengan banyak.


Pemilik rumah tersebut berkongsi video rakaman kejadian di laman Facebook dan menjelaskan bahawa dia telah membuat aduan kepada majlis perbandaran agar menutup longkang tersebut, namun aduannya tidak diendahkan.


"Seluruh jalan berbau najis," tulisnya.


Dalam kemas kini pada hari berikutnya, majlis perbandaran dilaporkan sudah menghantar kenderaan dan pekerja untuk membantu kerja-kerja pembersihan. - Sumber MS News.


Air najis melimpah dari tangki lori kumbahan. - Foto Facebook.

Isnin, 10 Februari 2025

Lapan maut, 4 kritikal selepas minum alkohol tulen dengan kepekatan 96 peratus di Indonesia

Lapan maut, 4 kritikal selepas minum alkohol tulen dengan kepekatan 96 peratus di Indonesia


Lapan orang maut manakala empat lagi kritikal selepas meminum alkohol tulen dengan kepekatan 96 peratus di Cianjur, Jawa Barat, menurut pihak berkuasa tempatan semalam.


Ketua Polis Mande, Asisten Komisioner Dadeng berkata, mangsa yang terselamat dari Kampung Kademangan kini menerima rawatan rapi di hospital berhampiran.


Siasatan awal mendapati kesemua mangsa menelan alkohol bukan gred makanan, yang lazimnya digunakan untuk kegunaan luaran seperti pembasmi kuman.


Menurut laporan portal berita tempatan Kompas.com pada 9 Februari 2025, pihak berkuasa belum dapat menyoal siasat mangsa yang terselamat kerana dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.


Insiden berlaku ketika kumpulan terbabit memutuskan untuk mencuba minuman alkohol tulen minggu lalu dengan membuat pesanan dalam talian.


Alkohol itu kemudiannya dicampur dengan minuman berperisa, namun sejurus selepas meminumnya, mereka mengalami sakit dada, pening, dan loya.


Mangsa kemudian pulang ke rumah masing-masing, tetapi keadaan bertambah buruk hingga menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia pada petang Jumaat.


Angka kematian meningkat kepada lapan orang menjelang Sabtu. - Sumber Kompas.com.


Petugas mengevakuasi jenazah salah seorang korban pesta arak tulen 96 peratus di Kabupaten Cianjur, Jawa Barat, Sabtu (8/2/2025) untuk dibawa ke rumah jenazah. - Foto Kompas.com.