Pulau Nangka, dinamakan berdasarkan bentuk fizikalnya seperti buah nangka terletak kira-kira empat kilometer dari Pulau Besar, Melaka. Pulau yang berbatu itu berukuran kira-kira 20 hektar, mempunyai tarikannya yang tersendiri dari segi sejarah dan keindahan pantainya.
Pulau ini dikatakan menyimpan kisah misteri, rahsia tersendiri yang belum terungkai sehingga kini. Terdapat juga makam pahlawan di sekitar lereng bukit itu yang menghadap ke arah laut. Namun, tidak dapat dipastikan makam siapa ia sebenarnya.
Di tengah Pulau Nangka ini pula terdapat sebuah bukit dengan ketinggian sekitar kira-kira 50 meter dari paras laut, manakala di puncak bukit itu pula terdapat banyak tumbuhan renek, pokok besar, makam lama dan pelbagai lagi tinggalan sejarah. Pulau Nangka diwartakan sebagai milik Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada tahun 1997.
Antara teori mengenai harta karun yang ditanam di Pulau Nangka bahawa ia mungkin merupakan sebahagian daripada kekayaan yang dipegang oleh sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mahmud, dipercayai ditanam di pulau itu dengan nilainya dianggarkan berbilion ringgit.
Asal Usul Harta Karun Di Pulau Nangka
Dikatakan ketika Melaka diserang Portugis pada 1511, Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud Shah telah mengarahkan untuk disembunyikan sebahagian besar hartanya berupa wang emas, pakaian dan jongkong emas dari pengetahuan Portugis, manakala sebahagian lagi dibawanya bersama.
Portugis hanya berjaya memperoleh 1/3 daripada harta kekayaan Melaka yang sebenar. Sebanyak 2/3 harta kekayaan Melaka yang lain dipercayai masih tersimpan di sekitar kota dan negeri Melaka di ruang-ruang bawah tanah dengan dinding kebal dan kukuh.
Menerusi setiap pemerintahan, harta kekayaan Melaka yang terkumpul adalah melalui ufti yang dihantar, transaksi perdagangan dan juga rampasan perang yang didapati dari kerajaan sekitar yang menentang Melaka. Harta-harta itu disimpan di gedung bawah tanah Istana.
Bangunan bawah tanah ini tidak musnah selepas istana tersebut hangus terbakar. Pihak Portugis telah menemuinya di sebalik runtuhan kebakaran Istana Melaka semasa penggeledahan antaranya kapur barus, kasturi yang disimpan di dalam belanga, peti-peti yang menyimpan sutera, kain satin, kain taf, sutera putih, kapur, kayu cendana, jongkong emas, mutiara, tembikar dan kayu gaharu.
Harta karun peninggalan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dipercayai terdapat di sekitar Pulau Nangka. - Foto Rasul Azli Samad.
Barangan itu telah menjadi harta rampasan kepada askar Portugis yang menawan Kota Melaka. Mereka mengambil masa beberapa hari bagi mengambil semua harta bersebut kerana jumlah yang terlalu banyak. Namun, sebahagian besar harta sultan Mahmud Shah itu dikatakan disembunyikan di pulau Nangka.
Pada 2014 lalu, pencarian harta karun di pulau Nangka mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Melaka melantik sebuah syarikat, bagi mengkaji dan mengeluarkan harta dipercayai masih tertanam di pulau itu. Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Idris Haron sendiri mendedahkan usaha mencari harta karun itu sebenarnya sudah bermula secara senyap sejak kira-kira 30 tahun lalu.
"Emas yang ada di situ bukan berbentuk jongkong, tetapi berbentuk seperti timun. Sebelum ini, ada individu yang sudah berjaya menembusi tempat itu. Tapi, apabila mereka pegang emas untuk bawa keluar, kaki mereka tidak boleh melangkah. Apabila diletakkan kembali emas itu, barulah mereka boleh melangkah semula," katanya.
Perbadanan Muzium Melaka, menunjukkan duit syiling yang dijumpai semasa pencarian harta karun di Pulau Nangka pada April 2014 lalu. - Foto Rasul Azli Samad.
Setakat ini, hanya dua syiling lama saja yang berjaya ditemui sepanjang kerja pencarian harta karun di pulau ini. Dua syiling berkenaan ditemui pada April 2014 oleh syarikat yang dilantik ketika melakukan kerja penggalian di lokasi dipercayai laluan ke pintu masuk tempat harta itu ditemui.
Syiling itu dikatakan dibuat oleh kerajaan Majapahit berdasarkan tulisan yang tertera di atasnya. Melalui teknik imbasan yang dilakukan oleh syarikat berkenaan, sebanyak 96 peti besi dikesan mengandungi pelbagai syiling emas berada dalam satu ruang kosong di bawah lubang di kawasan tempat syiling itu ditemui.
Bagaimanapun, menurut Pengurus Besar PERZIM, mengatakan segala kerja pencarian harta karun yang dikendalikan syarikat itu sudah dihentikan selepas beberapa bulan melakukan pencarian, ia berikutan kegagalan syarikat mematuhi syarat yang ditetapkan apabila merosakkan alam sekitar pulau berkenaan.
Pun begitu, penduduk tempatan mengatakan tidak pernah mendengar mengenai kewujudan harta karun di pulau Nangka. Ada yang kurang percaya dengan dakwaan mengenai harta karun itu kerana jika tidak sudah tentu ramai masyarakat di sekitar Umbai dan Serkam mengetahuinya lebih awal.
"Pulau ini sudah tentu menjadi rata sekarang jika benar ada harta karun di dalamnya, tetapi sehingga kini tiada sesiapa yang pernah menjumpainya," kata seorang penduduk tempatan, Yaakop Husin, 75, merupakan pesara kakitangan kerajaan, dipetik dari lapor Berita Harian 2015.
Kerajaan Melaka tidak pernah berhenti mencari harta karun bernilai berbilion ringgit yang didakwa disembunyikan oleh Sultan Mahmud Shah di Pulau Nangka. Harta yang disembunyikan di dalam 96 buah peti oleh sultan terakhir Melaka sebelum dijajah Portugis pada tahun 1511.
Harta karun itu masih tersimpan rapi kerana pihak berkuasa masih belum diberi 'kata kunci' untuk membawa keluar harta yang didakwa dikawal 'penunggu'. Harta-harta itu disimpan di dalam peti yang setiap satunya sepanjang 1.8 meter bersamaan saiz keranda mayat orang.
Kerja menebuk bahagian bongkah batu oleh syarikat yang dilantik pada 2014 di Pulau Nangka. - Foto Rasul Azli Samad.