Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Khamis, 27 Mac 2025

Suami tolak isteri dari tebing, pukul kepala dengan batu kerana enggan bergambar

Suami tolak isteri dari tebing, pukul kepala dengan batu kerana enggan bergambar


Seorang doktor dari Maui pada Isnin bertindak kejam apabila cuba menolak isterinya dari tebing kerana wanita itu enggan bergambar bersamanya dalam kejadian di lokasi pelancongan terkenal di Hawaii, lapor Hawaii News Now pada 24 Mac 2025.


Gerhardt Konig, 46, seorang pakar bius, dipercayai menyerang isterinya, Arielle Konig, 36, seorang jurutera nuklear, selepas wanita itu menolak permintaannya untuk bergambar bersama di Pali Lookout.


Selain cuba menolak mangsa, dia juga bertindak ganas dengan menumbuk dan memukul kepala mangsa dengan batu.


Lebih mengejutkan, Konig turut cuba menyerang isterinya menggunakan dua picagari, namun kandungan cecair tersebut masih belum dapat dipastikan.


Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan muka sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan berlumuran darah.


Selepas kejadian, Konig melarikan diri namun berjaya diberkas polis berhampiran Lebuhraya Pali sekitar jam 6.45 petang waktu tempatan pada Isnin, 8 jam selepas insiden berlaku. Dalam pada itu pihak berkuasa menutup sementara Pali Lookout bagi tujuan siasatan.


Hospital tempat Konig bertugas mengambil tindakan menggantung tugasnya serta-merta dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.


Kes masih dalam siasatan dan suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat. - Sumber Hawaii News Now.


Pasangan itu berada di Pali Lookout ketika Konig dilaporkan cuba menolak isterinya. - Foto Facebook.

Rabu, 26 Mac 2025

Tukang rumah dipenjara enam tahun mengaku terima wang tebusan RM50,000 kes culik wanita

Tukang rumah dipenjara enam tahun mengaku terima wang tebusan RM50,000 kes culik wanita


Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang tebusan dalam kes penculikan seorang wanita di ladang kelapa sawit, Kampung Kuala Akob, dekat Hulu Terengganu, lapan tahun lalu.


Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan bahawa hukuman ke atas tertuduh, Suparman Aman, 46, dijalankan bermula dari tarikh tangkap pada 15 Mac 2022.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima harta tebusan, iaitu wang tunai berjumlah RM50,000 milik sebuah syarikat, CASA HARTAMAS Sdn Bhd dengan mengetahui bahawa harta tersebut adalah harta tebusan.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi tersebut sekitar jam 3 pagi pada 24 Januari 2017.


Dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan balik ke rumah selepas bersarapan di kedai berhampiran sebelum ditahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dibawa ke beberapa tempat.


Mangsa hanya dilepaskan dengan selamat pada jam 1.30 pagi pada 24 Januari 2017 selepas wang tebusan sebanyak RM400,000 dibayar majikannya.


Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5 Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) [Akta 365].


Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi sepuluh tahun serta dikenakan sebatan.


Pada 2 Julai 2020, tiga rakan subahat Suparman, iaitu Mohd Zairol Nizan Md Nor, Mohd Khairul Anuar Musa, dan Abdul Hadi Abu Bakar, masing-masing berusia 40, 42, dan 25 tahun ketika itu, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu.


Hukuman itu diputuskan selepas mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 3 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Mohd Zairol Nizan dihukum tujuh sebatan, manakala Mohd Khairul Anuar serta Abdul Hadi masing-masing menerima hukuman lima sebatan.


Seorang tukang rumah dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang tebusan dalam kes penculikan seorang wanita di ladang kelapa sawit, Kampung Kuala Akob, dekat Hulu Terengganu, lapan tahun lalu. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 24 Mac 2025

Berang bakso yang digoreng hangit, lelaki cekik teman wanita hingga m*ti

Berang bakso yang digoreng hangit, lelaki cekik teman wanita hingga m*ti


Gara-gara berang bakso yang digoreng hangit, seorang lelaki di Bantul, Jogjakarta mencekik teman wanitanya hingga mati sebelum menyembunyikan mayat mangsa sejak September tahun lalu, lapor laman berita Tribunnews pada 23 Mac 2025.


Tulang rangka milik mangsa dikenali sebagai EDP, 23, ditemukan pada 20 Mac lalu di bilik tidur suspek, Muhammad Rafy Ramadhan, 24.


Ketua Perhubungan Awam Polis Bantul, Asisten Komisioner Polis I Nengah Jeffry Prana Widnyana berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menggoreng bakso, manakala suspek membasuh pinggan di rumah sewanya.


"Mangsa yang sedang menggoreng bakso meninggalkannya seketika di atas kuali ketika dia menyapu sampah.


"Namun, bakso itu hangit, menyebabkan suspek marah," katanya.



Tambah Jeffry, suspek mula memukul mangsa sebelum mencekik leher mangsa sehingga dia tidak bernafas.


Suspek kemudian menyimpan mayat mangsa di dalam bilik tidur rumah sewanya dan hidup bersama mayat tersebut selama dua minggu sehingga ia mula berbau busuk.


Ujarnya, suspek kemudian berpindah ke rumah sewa rakannya di Sleman sebelum kembali ke rumahnya pada 7 Disember 2024 dan mendapati mayat mangsa sudah menjadi rangka.


"Suspek membalas mesej daripada keluarga dan rakan-rakan mangsa supaya mereka menyangka dia masih hidup.


"Namun, beberapa penduduk mula berasa curiga apabila suspek dilihat sering menunggang motosikal mangsa, namun wanita tersebut sudah lama tidak dilihat.


"Laporan dibuat kepada polis mengenai kehilangan mangsa sebelum tulang rangkanya ditemukan pada 20 Mac lalu," kata Jeffry. - Sumber Tribun News.


Suspek menyimpan mayat mangsa di dalam bilik tidurnya (gambar atas) sehingga ia menjadi tulang rangka. - Foto Perhubungan Awam Polis Bantul.

Jumaat, 21 Mac 2025

Lelaki warga asing menyamar 'Ariff Aiman' dituduh rogol remaja perempuan

Lelaki warga asing menyamar 'Ariff Aiman' dituduh rogol remaja perempuan


Pemotong rumput berketurunan Rohingya yang menggunakan nama 'Ariff Aiman' di media sosial, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Muar hari ini, atas tuduhan merogol remaja perempuan dalam garaj sebuah rumah, dua bulan lalu.


Tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 29, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol remaja berusia 17 tahun di Batu Pahat antara jam 12.15 tengah malam hingga 1 pagi, 29 Januari lalu.


Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh mengenali mangsa menggunakan gambar orang lain serta nama palsu di akaun media sosial bagi memancing remaja perempuan yang diminati.


Mangsa menyangka gambar digunakan tertuduh adalah asli sebelum berkenalan dengan lelaki itu.


Pada hari kejadian, tertuduh yang menetap di Muar sanggup datang ke Batu Pahat menggunakan e-hailing semata-mata mahu berjumpa dan melakukan perbuatan itu.


Pada masa sama, tertuduh juga mengugut mahu menyebabkan gambar dan video mangsa jika enggan menuruti arahannya.


Bagaimanapun, kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada rakan yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Faruzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh atas faktor lelaki itu warga asing.


Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 25 April ini untuk sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam.


Lelaki Rohingya, Mohamad Osman menyamar 'Ariff Aiman' dituduh merogol remaja dikenali melalui gambar palsu di media sosial. - Foto Alias Abd Rani.

Selasa, 18 Mac 2025

Tiga polis terbun*h ketika serbu judi sabung ayam haram

Tiga polis terbun*h ketika serbu judi sabung ayam haram


Seramai tiga anggota polis Indonesia maut ketika melakukan serbuan ke atas pusat perjudian sabung ayam haram di daerah Way Kanan, wilayah Lampung, yang terletak di hujung selatan Pulau Sumatera.


Ketiga-tiga anggota ditembak oleh individu tidak dikenali pada malam Isnin (17 Mac 2025) ketika mereka berada di Kampung Karang Manik, mukim Negara Batin.


Menurut kenyataan polis, kesemua mangsa cedera parah akibat tembakan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Ketua Polis Negara Batin, Inspektor Lusiyanto, serta dua anggota dari Unit Siasatan Jenayah Way Kanan, Ketua Brigedier Petrus Apriyanto dan Brigedier Dua Ghalib Surya Ganta.


Jurucakap Polis Lampung, Komisioner Yuni Iswandari memaklumkan bahawa seramai 17 anggota dikerah ke lokasi terbabit selepas menerima laporan berhubung aktiviti perjudian haram.


"Ketika tiba di lokasi, pasukan kami diserang individu tidak dikenali, mengakibatkan tiga pegawai terkorban ketika menjalankan tugas," katanya.


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lampung untuk bedah siasat.


Yuni berkata, pegawai kanan Polis Lampung turun ke lokasi kejadian bagi mempercepatkan siasatan dan memburu pihak yang bertanggungjawab.


Sabung ayam masih berleluasa di beberapa kawasan di Indonesia, sering dikaitkan dengan rangkaian perjudian haram. Pihak berkuasa kerap mengadakan operasi bagi membanteras kegiatan itu.


Indonesia menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap perjudian, dengan Artikel 303 Kanun Jenayah menetapkan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam penganjuran atau penyertaan aktiviti itu. - Sumber Kompas.com.


Jenazah tiga anggota polisi tiba di ruang forensik RS Bhayangkara pada Selasa. - Foto Kompas.com.
Pasangan suami isteri baru 2 bulan kahwin ditahan curi bawang putih dari sebuah gudang

Pasangan suami isteri baru 2 bulan kahwin ditahan curi bawang putih dari sebuah gudang


Pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas dipercayai mencuri bawang putih dari sebuah gudang di Jalan Berlian, Medan Johor, Indonesia.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polrestabes Medan, Ajun Komisaris Besar Polisi (AKBP) Bayu Putro Wijayanto berkata, Wiellianto, 29, dan Umi Kalsum Pulungan, 27, ditahan selepas didapati mencuri lapan guni bawang putih milik peniaga, Winama Suhardi.


"Siasatan mendapati kejadian curi itu berlaku sejak Februari lalu dan pasangan ini telah beberapa kali masuk ke gudang bersama seorang lagi rakan mereka yang dikenali sebagai M.


"Wiellianto yang juga mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa ditahan ketika mencuri di gudang berkenaan pada 13 Mac lalu, kira-kira jam 9 malam," katanya pada sidang media di Medan, semalam.


Menurutnya, Wiellianto membuka gudang menggunakan kunci palsu sebelum melarikan bawang putih menaiki sebuah kereta.


"Kesemua hasil curi itu dijual kepada seorang lagi suspek dikenali sebagai R di Pasar Simpang Limun pada harga 400,000 rupiah Indonesia atau RM118 bagi setiap guni.


"Hasil jualan pula digunakan untuk menampung kehidupan harian mereka," jelasnya.


Tambah Bayu, kedua-dua suspek kini direman selepas disahkan sebagai tertuduh, manakala dua lagi suspek termasuk M dan R sedang dikesan pihak berkuasa.


"Pasangan suami isteri ini baru dua bulan berkahwin dan sudah terbabit dalam kes curi. Kita sedang buru dua lagi suspek," katanya. - Sumber Tribun News.


Pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas dipercayai mencuri bawang putih dari sebuah gudang di Jalan Berlian, Medan Johor, Indonesia. - Foto KOMPAS.com/GOKLAS WISELY.

Ahad, 16 Mac 2025

Polis menahan 8 remaja lelaki pecah kedai, curi alat ganti motosikal

Polis menahan 8 remaja lelaki pecah kedai, curi alat ganti motosikal

 

Polis menahan lapan remaja lelaki termasuk pelajar tingkatan satu selepas terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan kes curi pelbagai alat ganti motosikal di Kota Marudu, awal pagi semalam (15 Mac).


Semua suspek berusia 13 hingga 17 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, di tiga lokasi berbeza menerusi Op Kesan dan Op Pintu, kira-kira jam 3 pagi.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi diketuai Pegawai Risikan dan Operasi (RO) BSJ IPK Kota Marudu, Inspektor Bahrun Dining.


"Hasil operasi berjaya menahan beberapa suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan kes curi pelbagai alat ganti motosikal yang berlaku di daerah ini.


"Dengan tertangkapnya semua suspek, pasukan operasi merampas barang yang disyaki dicuri bernilai kira-kira RM20,000," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Antara remaja (muka dikaburkan) yang ditahan kerana terbabit kes pecah masuk kedai dan curi alat ganti motosikal. - Foto PDRM.