Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Khamis, 20 Mac 2025

Dapat lebih RM183,000 hanya kerja dukung wanita mendaki anak tangga

Dapat lebih RM183,000 hanya kerja dukung wanita mendaki anak tangga


Seorang lelaki di China menjana pendapatan lumayan dengan menawarkan khidmat mendukung wanita kepenatan untuk mendaki gunung, lapor portal berita News.com.au pada 19 Mac 2025.


Xiao Chen, 26, menjalankan perkhidmatan itu di Gunung Tai, tapak Warisan Dunia UNESCO berketinggian 5,029 kaki di wilayah Shandong.


Ramai pelancong wanita mahu Chen mendukung mereka untuk mendaki 1,000 anak tangga terakhir menuju puncak Gunung Tai.


"Saya akan memegang tangan mereka di sepanjang laluan. Apabila mereka letih, saya akan mendukung mereka," kata Chen.


Menurutnya, dia mendapat bayaran sekitar 600 yuan (RM366) pada siang hari dan 700 yuan (RM427) untuk pendakian di sebelah malam.


Pada bulan yang baik, lelaki itu boleh memperoleh sekitar 45,548 yuan (RM27,788).


"Ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mendukung seseorang menaiki 1,000 anak tangga hingga ke puncak.


"Saya sudah memperoleh pendapatan lebih 300,000 yuan (RM183,223) sebagai 'teman pendakian',” tambahnya.


Kebanyakan pelanggan Chen terdiri daripada wanita berumur antara 25 hingga 40 tahun.


Dia juga mula mengupah beberapa pekerja lain selepas perkhidmatannya menerima pemermintaan tinggi. - Sumber News.com.au.


Xiao Chen mendukung beberapa pelangannya yang letih di Gunung Tai, wilayah Shandong. - Foto Jam Press.

Selasa, 18 Mac 2025

Suami tangkap isteri berkhalwat dengan lelaki bujang di Kedah

Suami tangkap isteri berkhalwat dengan lelaki bujang di Kedah


Hancur hati seorang suami melihat isterinya tergamak melakukan perbuatan keji bersama lelaki lain di sebuah bilik hotel bajet di Lunas, Kulim awal pagi hari ini.


Pasangan suami isteri tersebut dikatakan menetap di Pahang dan kedatangan isterinya ke Kedah dengan alasan untuk bertemu sepupu.


Bagaimanapun, lelaki terbabit mengesyaki sesuatu mencurigakan setelah mengesan kedudukan isterinya tidak pulang ke rumah sepupu selepas dikatakan mahu ke dobi.


Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim (PADK) Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, suami wanita terbabit berusia 30-an yang datang bersama ahli keluarganya berjaya mengesan keberadaan isterinya di hotel berkenaan seterusnya menghubungi penguat kuasa PADK dalam kejadian jam 3.40 pagi hari ini.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati, wanita itu bersekedudukan bersama seorang lelaki yang masih bujang dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kulim Hi Tech.


"Wanita itu berusia 33 tahun bekerja di kedai makan di Pahang dan mempunyai tiga anak, suaminya datang dari Pahang 'trace location' isteri dan buat tangkapan kemudian hubungi PADK.


"Difahamkan, wanita dan lelaki itu mengenali antara satu sama lain tujuh tahun lalu sebelum terputus hubungan selepas berkahwin, namun baru-baru ini berhubung kembali setelah diberikan nombor telefon oleh sepupunya," katanya.


Beliau berkata, wanita itu memberi alasan sudah lama tidak bertemu teman lelakinya itu dan mempunyai masalah dengan suaminya.


"Ketika serbuan, lelaki itu hanya memakai seluar denim tanpa baju, manakala wanita itu berpakaian lengkap tanpa tudung.


"Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.


Wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan lelaki lain. - Foto PADK.

Isnin, 17 Mac 2025

Individu jual air limau RM10, mihun sup RM20 rupanya peniaga haram

Individu jual air limau RM10, mihun sup RM20 rupanya peniaga haram


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNWPKL) menerima empat aduan melibatkan bazar Ramadan menerusi sistem a-aduan.


KPDNWPKL dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menjalankan penguatkuasaan melalui Ops Pantau dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Tiga daripadanya susulan video viral melibatkan air limau harga RM10, mihun sup harga RM20 di Bazar Ramadan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) dan kuih apam talam (tambah kelapa parut RM2) di Bazar Ramadan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).


"Siasatan anggota penguat kuasa mendapati, individu menjual air limau dan mihun sup adalah peniaga haram dan tidak lagi berniaga di lokasi tersebut, manakala peniaga apam talam tidak beroperasi," katanya dalam kenyataan.


Sehubungan itu, KPDNWPKL berkata, lawatan dan pemeriksaan semula akan dijalankan oleh anggota penguat kuasa selama mana bazar beroperasi Ramadan ini.


Tangkap layar video tular air limau yang didakwa dijual pada harga RM10 di bazar Ramadan Jalan TAR. - Foto Kosmo Online.

Selasa, 11 Mac 2025

Lelaki putus cinta menangis teresak-esak, baring di tengah jalan raya

Lelaki putus cinta menangis teresak-esak, baring di tengah jalan raya


Seorang lelaki mengundang perhatian ramai kerana meniarap sambil menangis di tengah jalan raya selepas putus cinta dengan teman wanitanya, lapor portal berita Abatanews pada 10 Mac 2025.


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @fakta.indo memaparkan lelaki itu berbaring di atas jalan sebelum dipujuk oleh warga setempat.


Dia menangis teresak-esak sehingga jalan tersebut menjadi basah. Kejadian berlaku di Blitar, wilayah Jawa Timur.


Perbuatan itu menyebabkan pengguna jalan raya terganggu dan terpaksa memandu kenderaan mereka di laluan bertentangan.


Tidak diketahui secara pasti mengapa pemuda itu terbaring di tengah jalan sambil menangis. Namun, dia diduga patah hati selepas putus cinta.


"Seorang pemuda di Blitar terbaring di tengah jalan sambil menangis di utara Terminal Patria. Tindakan melulu ini disangka berpunca daripada patah hati selepas putus cinta," tulis akaun @fakta.indo dalam kenyataan video itu.


Tiba-tiba kejadian itu menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai komen netizen. Beberapa netizen berasa simpati dengan apa yang dialami pemuda itu.


Sementara itu, netizen lain memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.


"Cinta itu tidak selama-lamanya indah. Seeloknya pergi kerja, cari duit banyak," kata seorang netizen.


"Yang putus cinta seorang sahaja, yang terjejas semua pengguna jalan raya," kata netizen lain. - Sumber Abata News.


Tangkap layar menunjukkan lelaki itu berbaring sambil menangis di tengah jalan selepas putus cinta. - Foto Instagram.

Isnin, 10 Mac 2025

Pesohor 'cosplay' wanita meninggal dunia selepas dua hari tidak jamah makanan

Pesohor 'cosplay' wanita meninggal dunia selepas dua hari tidak jamah makanan


Kematian seorang pesohor 'cosplay' berusia 24 tahun mencetuskan kesedihan besar kepada pengguna internet di China yang bersimpati dengan keadaan kewangan mangsa, lapor portal berita South China Morning Post (SCMP) pada 8 Mac 2025.


Menurut saluran berita QQ, keluarga pesohor itu, Maoyouyou atau nama sebenarnya Shi Ye berkata di media sosial bahawa dia meninggal dunia pada pukul 5.20 petang (waktu tempatan), 25 Februari lalu.


"Kami tahu masih ramai menyukainya. Jadi, kami tidak akan membatalkan nombor telefon bimbitnya atau akaun media sosialnya," kata kenyataan keluarga Shi Ye.


Menurut beberapa peminat sehari sebelum kematiannya, Maoyouyou berasa lemah semangat dengan menyatakan dia mempunyai status mental yang lemah ketika melakukan penstriman video.


Gadis itu juga mendedahkan bahawa dia tinggal di flat yang disewa di Beijing selama tiga tahun tetapi tidak mempunyai wang untuk membayar sewa selama beberapa bulan.


Menyifatkan dirinya sebagai 'di ambang kematian', Maoyouyou berkata, dia tidak makan selama dua hari dan tidak mempunyai selera.


Beberapa jam sebelum kematiannya, gadis itu berkata di media sosial bahawa dia tidak akan bertemu lagi dengan pengikutnya. - Sumber South China Morning Post.


Gambar fail Maoyouyou. - Foto 163.com.

Sabtu, 8 Mac 2025

Lelaki muat naik video di TikTok mengaku Imam Mahdi, jeneral empat bintang

Lelaki muat naik video di TikTok mengaku Imam Mahdi, jeneral empat bintang


Seorang lelaki berusia 60 tahun mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi dan jeneral empat bintang, lapor laman berita Serambi News pada 7 Mac 2025.


Pengakuan kontroversi itu dibuat Abdul Rosid warga Desa Panyindangan, Kecamatan Pakenjeng, Kabupaten Garut, Jawa Barat di Indonesia hingga mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat setempat.


Ia disampaikan menerusi video yang dimuat naik di TikTok pada 26 Februari lalu.


Kepala Badan Kesatuan Bangsa dan Politik (Bakesbangpol) Garut, Nurrodhin mendakwa Abdul Rosid pernah mengarahkan para pengikutnya supaya solat menghadap ke arah timur, serupa dengan ajaran Sensen Komara, tokoh dari Negara Islam Indonesia (NII) beberapa tahun lalu.


"Setakat ini, pengikutnya adalah ahli keluarganya sendiri. Kami sedang menyiasat jumlah keseluruhan pengikutnya," ujarnya.


Menerusi pertemuan bersama pemerintah desa dan komuniti setempat, Abdul Rosid menyatakan dia tidak pernah memaksa sesiapa untuk menjadi pengikutnya.


"Jika ada masyarakat yang berminat, saya mengalu-alukannya," tambahnya.


Dalam video tular itu, Abdul Rosid juga menyampaikan doa perlindungan bagi berbagai pihak, termasuk masyarakat Indonesia dan para pemimpin negara.


Abdul Rosid juga menegaskan identitasnya sebagai Imam Mahdi dan menyampaikan doa bagi sejumlah tokoh nasional, termasuk Presiden Prabowo Subianto dan Wakil Presiden Gibran Rakabuming Raka, Kapolri, serta jajaran TNI.


"Tak lupa bagi orang yang mendengarkan kabar gembira dari saya sebagai Imam Mahdi, dan tentunya juga, semua Ulil Amri yang ada di pusat, pada khususnya Pak Prabowo sekeluarga, juga wakilnya Bapak Gibran, sama ada dalam perlindungan Tuhan," ucapnya.


Dalam video yang dirakam di dalam ruangan itu terlihat 12 orang dewasa dan sejumlah anak-anak yang ikut serta mendengarkan Abdul Rosid berbicara.


Sebagai mengakhiri kenyataannya, Abdul Rosid turut menggelarkan dirinya sebagai Jeneral Tentera Udara 4 Bintang dan menjemput pengikutnya di dalam dan di media sosial untuk berdoa bersama-sama agar semua orang mendapat perlindungan. - Sumber Serambi News.


Pengikut Abdul Rosid terdiri daripada ahli keluarganya sendiri. - Foto TikTok.

Isnin, 3 Mac 2025

Pengantin buat majlis pada bulan puasa, tiada hidangan makanan disediakan

Pengantin buat majlis pada bulan puasa, tiada hidangan makanan disediakan


Sepasang pengantin baharu di Banjarnegara, wilayah Jawa Tengah menjadi perhatian pengguna media sosial apabila melangsungkan perkahwinan pada hari pertama bulan Ramadan, lapor portal berita Wolipop pada 3 Mac 2025.


Menurut jurusolek pengantin, Desta Prayoga, majlis tersebut tetap diadakan meskipun pada bulan puasa bagi mengikut kiraan weton kalendar Jawa.


"Akad nikah dan majlis pada 1 Mac 2025.


"Sebenarnya, dari awal lagi sudah dijangkakan puasa bermula pada 1 Mac. Namun, disebabkan kiraan hari baik (weton Jawa), majlis tetap diadakan," katanya.


Tambah Desta, keluarga pengantin dan tetamu yang hadir tetap berpuasa ketika majlis berlangsung dan tiada hidangan makanan disediakan.


"Alhamdulillah, ramai tetamu datang. Tuan rumah memberikan bungkusan makanan kepada tetamu untuk dibawa pulang," katanya.


Video mengenainya yang dimuat naik di platform TikTok menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.


"Setahu saya, mengikut adat Jawa, tidak boleh mengadakan kenduri kahwin ketika bulan puasa," kata seorang netizen.


"Kenapa tidak langsungkan akad nikah sahaja dulu? Kemudian, buatlah majlis selepas raya," kata pengguna media sosial lain. - Sumber Wolipop.


Pasangan pengantin melangsungkan perkahwinan pada 1 Ramadan. - Foto TikTok @prayoga_makeup.