Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Ahad, 23 Mac 2025

'Raja ular' di India maut dipatuk ketika cuba selamatkan ular tedung

'Raja ular' di India maut dipatuk ketika cuba selamatkan ular tedung


Seorang penangkap ular di negeri Tamil Nadu, India meninggal dunia beberapa hari selepas dipatuk seekor ular tedung, lapor portal berita The Hindu pada 20 Mac 2025.


Santhosh Kumar, 39, menghembuskan nafas terakhir di Kolej Perubatan dan Hospital Coimbatore (CMCH) pada hari Rabu.


Dia yang juga ahli pertubuhan bukan kerajaan telah menyelamatkan beratus-ratus ular pelbagai spesies selama 15 tahun.


Santhosh dipatuk ular tedung ketika cuba menyelamatkan reptilia itu dari sebuah kawasan kejiranan pada petang Isnin lalu.


"Mangsa dibawa ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.


"Keadaan Santhosh semakin merosot pada petang Rabu. Dia disahkan meninggalkan dunia pada pukul 9.30 malam (waktu tempatan)," kata CMCH. - Sumber The Hindu.


Gambar menunjukkan Santhosh cuba menangkap ular tedung selar di bandar Coimbatore pada 2019 lalu. - Foto The Hindu.

Rabu, 12 Mac 2025

Lelaki suap makanan pada buaya ganas menggunakan tangannya

Lelaki suap makanan pada buaya ganas menggunakan tangannya


Sebuah video tular di laman sosial memaparkan seorang lelaki memberi makan pada buaya gergasi dengan menggunakan tangannya, lapor laman berita NDTV pada 10 Mac 2025.


Berdasarkan video yang dikongsikan di platform X, lelaki tersebut tenang menghulurkan makanan kepada buaya yang muncul dari gigi air yang keruh.


Tanpa sebarang peralatan keselamatan, lelaki tersebut mengumpan reptilia itu untuk memakan apa yang kelihatan seperti daging.


Buaya itu membaham makanan tersebut sebelum berundur ke dalam air.


Video itu tular dengan ada netizen berkata, dia individu terlatih dan pernah melakukan pekerjaan tersebut.


Namun, sebilangan pengguna media sosial lain mempersoalkan tindakannya yang tidak memakai sebarang peralatan keselamatan.


"Sebab itu wanita hidup lebih lama," kata seorang netizen.


"Hanya kerana anda boleh melakukan sesuatu, tidak bermaksud anda patut melakukannya. Ini tindakan melulu," kata pengguna media sosial lain. - Sumber NDTV.


Lelaki tersebut mengumpan makanan menggunakan tangan kosong. - Foto X.

Sabtu, 1 Mac 2025

Kanak-kanak lelaki empat tahun parah diserang sekumpulan anjing liar

Kanak-kanak lelaki empat tahun parah diserang sekumpulan anjing liar


Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Dedek dekat Langkawi, hari ini.


Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Ahmad Raihan Abdul Mukmin mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki akibat digigit haiwan itu sebelum diselamatkan orang ramai yang berada berdekatan.


Ibu mangsa, Nur Solehah Mat Hahir, 25, berkata, kejadian berlaku ketika Ahmad Raihan sedang bermain berhampiran rumah.


"Sejurus kejadian itu anak saya dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menerima rawatan.


"Ketika kejadian saya tiada di rumah dan hanya mendapat makluman mengenai kejadian anak saya digigit anjing selepas diberitahu oleh seorang jiran, disusuli panggilan telefon oleh ibu saya.


"Buat masa ini anak saya sedang dirawat di HSM. Luka di kepala agak teruk, selain beberapa kesan gigitan anjing di badan dan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Nur Solehah berkata, laporan polis berkaitan kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 12.30 tengah hari tadi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki diserang anjing sehingga cedera parah.


"Mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan pihak HSM serta ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, hari ini.


"Ketika kejadian, mangsa dilaporkan dikelilingi dan diserang sekumpulan anjing berhampiran rumahnya," katanya dalam kenyataan, petang tadi.


Mangsa diserang sekumpulan anjing berhampiran rumahnya di Kampung Dedek, Langkawi. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 17 Februari 2025

Penduduk gempar dengan kelahiran seekor anak babi bermata satu berwajah manusia

Penduduk gempar dengan kelahiran seekor anak babi bermata satu berwajah manusia


Penduduk wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia digemparkan dengan kelahiran seekor anak babi bermata satu dan berwajah seperti manusia, lapor portal berita Detik News pada 15 Februari 2025.


Haiwan itu dilahirkan di daerah Bikomi Selatan dan merupakan salah satu daripada tiga anak babi yang dilahirkan oleh seekor induk pada Sabtu (15/2/2025).


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @catchvox menunjukkan anak babi itu memiliki satu mata di bahagian tengah dahinya. Selain mempunyai telinga pendek, bentuk mukanya juga kelihatan muncung.


Ketua Polis Daerah Miomaffo Timur, Iptu Aris Salama, mengesahkan kejadian itu. Dia menjelaskan, babi betina milik seorang penduduk, Samuel Ledo, pada mulanya melahirkan tiga ekor anak babi. Dua daripada mereka dilahirkan secara normal, manakala seekor lagi mengalami gangguan genetik.


Selepas dilahirkan, anak babi itu hanya bertahan selama 15 minit. Briptu Ryan dan pemilik babi kemudian memutuskan untuk mengebumikannya.


"Saya tegaskan kejadian ini adalah semata-mata kerana kecelaruan genetik. Kami berharap tiada pihak yang akan mengaitkan kejadian ini dengan isu palsu," tegas Aris.


Yohana Jawa berkata, induknya mula menunjukkan tanda-tanda bersalin pada pukul 10 malam. Dia dan suaminya berkawal sehingga jam 3 pagi. 


Anak babi pertama dilahirkan dalam keadaan normal, tetapi anak babi kedua mempunyai kelainan fizikal yang menyerupai manusia. - Sumber Detik News.


Anak babi bermata satu yang dilahirkan di wilayah Nusa Tenggara Timur kelmarin. - Foto Instagram.

Ahad, 16 Februari 2025

Zoo kreatif tipu pengunjung, cat keldai jadi kuda belang

Zoo kreatif tipu pengunjung, cat keldai jadi kuda belang


Sebuah zoo di China menerima kecaman ramai selepas mempamerkan seekor keldai yang diwarnakan menyerupai kuda belang untuk menarik lebih ramai pengunjung, lapor akhbar Metro UK pada 14 Februari 2025.


Kejadian berlaku di Zoo Bandar Zibo, wilayah Shandong.


Rakaman video dimuat naik di platform Douyin menunjukkan bulu keldai itu dicat dengan warna hitam dan putih di seluruh badan serta muka.


Menurut pihak pengurusan zoo, haiwan itu terpaksa dicat menjadi kuda belang dalam usaha untuk meningkatkan bilangan pengunjung.


"Pewarna yang digunakan adalah tidak beracun dan tidak mendatangkan bahawa kepada keldai," kata seorang jurucakap zoo tersebut. 


Rakaman itu menjadi tular dengan rata-rata netizen menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak beretika.


Ramai yang menggesa peraturan yang lebih ketat untuk mencegah amalan sedemikian pada masa hadapan.


"Ia bukan sahaja tidak adil kepada haiwan, malah pengunjung," kata seorang netizen.


"Ini sangat mengelirukan dan tidak bertanggungjawab!" kata pengguna media sosial lain.


Lewat bulan lalu, sebuah lagi zoo di China mewarnakan anjing dengan warna oren dan hitam agar kelihatan seperti harimau. - Sumber Metro UK.


Tangkap layar menunjukkan seekor keldai yang dicat menyerupai kuda belang di sebuah zoo di China. - Foto Asia Wire/NX.

Khamis, 13 Februari 2025

Polis mengeluarkan poster buru seekor emu kerana didakwa laku jenayah

Polis mengeluarkan poster buru seekor emu kerana didakwa laku jenayah


Polis meminta orang ramai membantu memburu 'suspek' luar biasa berupa seekor emu, lapor portal berita United Press International (UPI) pada 12 Februari 2025.


Polis berkata, emu itu kali terakhir dilihat di Lebuh Raya 6, berhampiran sebuah kedai koperasi dan pengedar kenderaan Hyundai di bandar Batesville, Mississippi baru-baru ini.


Pihak berkuasa itu mengeluarkan poster suspek yang dikenali sebagai 'Emu the Great'.


Burung asal Australia itu dikehendaki kerana melarikan diri daripada 'jenayah' dan berkelakuan mengganggu ketenteraman, demikian menurut keterangan poster tersebut.


"Sila berhati-hati jika anda bertemu dengan 'suspek ini'.


"Emu ini akan 'menyerang' sesiapa sahaja yang menghalang kebebasannya," demikian menurut amaran polis pada poster tersebut.


Polis turut meminta sesiapa yang melihat emu itu supaya tidak membunyikan hon kereta mereka.


"Jika anda melihatnya, sila maklumkan kepada kami. Kami akan berhubung dengan pemiliknya," kata polis. - Sumber UPI.


Polis mengeluarkan poster bagi mencari seekor burung emu. - Foto Polis Batesville/Facebook.

Sabtu, 1 Februari 2025

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial


Satu klip video tular di media sosial memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung di udara di sebuah kawasan pedalaman di Brazil, lapor akhbar The Sun UK pada 30 Januari 2025.


Penemuan itu berlaku di Sao Thome das Letras, negeri Minas Gerais. Klip video itu yang dimuat naik ke media sosial pada 28 Disember lalu telah menghantui dan membingungkan netizen.


Rakaman yang dimuat naik menunjukkan ratusan labah-labah itu tergantung pada sarang gergasinya.


Jumlah yang banyak menyebabkan labah-labah tersebut kelihatan seperti sedang terbang atau jatuh dari langit.


Seorang netizen yang nampaknya pernah menyaksikan kejadian ngeri itu sebelum ini, berkata: "Ia berada di halaman belakang rumah abang saya di Tiradentes. Sentiasa lewat petang. Saya takut ketika pertama kali melihatnya."


Insiden itu kemudian diambil oleh media tempatan pada 24 Januari, menarik perhatian pakar biologi yang cuba menjelaskan apa yang berlaku.


Seorang pakar dan ahli biologi, Kayron Passos, menguraikan kejadian aneh itu untuk media tempatan, ia berlaku disebabkan cuaca panas lembap yang dialami di rantau tersebut.


"Ia bagaikan sebuah pesta. Labah-labah betina mempunyai spermatheca di mana haiwan itu menyimpan air mani jantan yang berbeza untuk menyuburkan telur.


"Dengan cara ini, labah-labah betina dapat meningkatkan kebolehubahan genetik spesiesnya," kata Passos. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung pada serang gergasinya di udara. - Foto Newsflash.