Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Isnin, 14 April 2025

Seorang lelaki maut dalam letupan gas yang memusnahkan rumah

Seorang lelaki maut dalam letupan gas yang memusnahkan rumah

 

Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an terbunuh dalam insiden letupan gas di Nottinghamshire yang memusnahkan sebuah rumah, lapor akhbar The Sun UK pada 13 April 2025.


Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke John Street, bandar Worksop pada pukul 7.39 malam (waktu tempatan) selepas letupan berlaku di sebuah rumah semalam.


Rumah teres itu musnah, manakala kerosakan ketara turut berlaku pada beberapa kediaman lain.


Mayat mangsa kemudian ditemukan di bawah runtuhan kediaman tersebut.


"Ini adalah kejadian sangat serius yang menyebabkan kematian seorang lelaki. Saya pasti insiden mengejutkan masyarakat di Worksop," kata Ketua Inspektor Polis Nottinghamshire, Clive Collings.


Sebahagian penduduk di John Street telah dipindahkan, manakala siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan.


Penduduk Jonathan Hodson, 51, menyifatkan mendengar 'letupan yang hebat' sambil menambah: "Panel pagar bergegar dan tingkap bergegar."


Karolina Ciolko, yang tinggal berdekatan, berkata: "Saya segera melihat ke luar tingkap dan melihat asap.


"Kereta di hadapan saya bergoyang dan penggera berbunyi. Kami segera berlari keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku." - Sumber The Sun UK.


Sebuah rumah musnah dalam letupan gas di John Street. - Foto LNP.

Ahad, 13 April 2025

Sempat guna 130 hari, wanita jalani pembedahan buang buah pinggang babi

Sempat guna 130 hari, wanita jalani pembedahan buang buah pinggang babi


Seorang wanita telah menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang babi selepas badannya mula menolak organ berkenaan.


Menurut kenyataan doktor, sebelum ini wanita dari Alabama, Amerika Syarikat (AS) Towana Looney menjalani pemindahan buah pinggang babi dan menggunakannya selama 130 hari.


Beliau yang menjadi pesakit ujian dalam kajian pemindahan organ haiwan kepada manusia (xenotransplantasi), kini kembali menjalani rawatan dialisis selepas buah pinggang babi itu dikeluarkan pada 4 April lalu di NYU Langone Health.


Beliau kini telah pulang ke kediamannya di Gadsden, Alabama lima hari kemudian selepas pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Dalam satu kenyataan, Looney mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawatnya serta peluang untuk menjadi sebahagian daripada penyelidikan bersejarah itu.


"Walaupun hasilnya tidak seperti yang diharapkan, saya tahu banyak perkara telah dipelajari daripada pengalaman saya selama 130 hari menggunakan buah pinggang babi.


"Ini boleh membantu serta memberi inspirasi kepada ramai lagi dalam usaha mengatasi penyakit buah pinggang," katanya.


Para saintis kini giat melakukan pengubahsuaian genetik terhadap babi bagi menjadikan organ haiwan itu lebih menyerupai manusia dalam usaha menangani kekurangan organ penderma untuk pemindahan.


Di Amerika Syarikat, lebih 100,000 individu berada dalam senarai menunggu pemindahan organ, majoritinya memerlukan buah pinggang dan ribuan daripadanya meninggal dunia sebelum mendapat organ yang diperlukan.


Sebelum ini, hanya empat rakyat AS pernah menerima pemindahan organ babi yang telah diubah suai secara genetik secara eksperimen iaitu melibatkan dua jantung dan dua buah pinggang.


Namun semuanya bertahan kurang daripada dua bulan, kesemua penerima sebelum ini merupakan pesakit kritikal dan tidak dapat diselamatkan.


Walaupun percubaan kali ini tidak berjaya sepenuhnya, para penyelidik percaya ia membawa maklumat penting untuk kemajuan bidang xenotransplantasi dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan organ pemindahan.


Gambar fail Looney ketika rawatan sebelum menerima buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik di NYU Langone Health, New York pada 11 Disember lalu. - Foto AFP.

Sabtu, 5 April 2025

Penumpang wanita bergaduh kerana bau badan, penerbangan terpaksa ditangguhkan selama 2 jam

Penumpang wanita bergaduh kerana bau badan, penerbangan terpaksa ditangguhkan selama 2 jam


Dua penumpang wanita yang menaiki penerbangan Shenzhen Airlines dari Shenzhen ke Jingdezhen, China saling menarik rambut ketika bergaduh tentang isu bau badan, lapor laman berita MSNews semalam.


Pengguna platform Weibo dikenali sebagai Terminal Lady berkata, pertengkaran bermula apabila salah seorang penumpang itu mengadu bahawa badan seorang lagi wanita berbau busuk.


Menurutnya, kekecohan tercetus sebelum pesawat berlepas apabila penumpang pertama menyembur minyak wangi.


Salah seorang daripada mereka juga didakwa menggigit pramugari yang cuba meleraikan pergaduhan itu.


Menurut Sing Tao Daily, insiden itu berlaku pada Selasa (1 April) sebelum pesawat itu berlepas.


Penumpang-penumpang terbabit diserahkan kepada polis, manakala Shenzhen Airlines sedang menyiasat kejadian itu.


Penerbangan itu terpaksa ditangguhkan selama lebih dua jam berikutan pergaduhan tersebut. - Sumber MSNews.


Pramugari dan penumpang meleraikan dua wanita bergaduh dalam sebuah pesawat. - Foto Weibo.

Rabu, 2 April 2025

Pencuri yang sering guna muslihat 'berak dan lari' akhirnya tumpas

Pencuri yang sering guna muslihat 'berak dan lari' akhirnya tumpas


Pihak berkuasa akhirnya berjaya memberkas pencuri yang terkenal dengan 'muslihat pelik' iaitu berak dalam seluar untuk melarikan diri.


Suspek dikenali sebagai Deepak, 27, di New Delhi, India itu beberapa kali lolos apabila dia menggunakan taktik menjijikkan sedemikian.


Polis turut memberi gelaran 'berak dan lari' kepadanya selepas mereka gagal menangkap pencuri tersebut beberapa kali.


Pihak berkuasa kemudiannya tampil dengan idea untuk memakai topeng muka dan sarung tangan ketika cuba memberkasnya.


"Seperti dijangkakan, Deepak cuba menggunakan taktik kotor itu, namun gagal kerana 'persediaan awal' dibuat anggota kami untuk menahan bau busuk najisnya," ujar jurucakap polis.


Susulan penahanan 'bersejarah' itu, Deepak didakwa di bawah Akta Senjata di Balai Polis Sadar Bazar.


Dia turut mengaku terlibat beberapa kes kecurian dan jenayah bersenjatakan pisau di kawasan berkenaan.


Menurut polis, Deepak mempunyai lebih enam rekod jenayah, tetapi, mekanisme pertahanan diri luar biasa itu menyebabkannya terselamat daripada dicekup. - Sumber India Today.


Deepak (tengah) mempunyai lebih enam rekod jenayah. - Foto India Today.

Sabtu, 29 Mac 2025

Muzium di Jepun terbeli lukisan palsu pada harga RM2 juta

Muzium di Jepun terbeli lukisan palsu pada harga RM2 juta


Muzium Seni Moden Tokushima mengesahkan bahawa lukisan minyak dipamerkan, 'At the Cycle-Race Track' adalah palsu, angkara pemalsu seni terkenal dari Jerman, Wolfgang Beltracchi.


The Japan News melaporkan, muzium itu pada asalnya percaya lukisan itu karya artis Perancis, Jean Metzinger (1883-1956) dan membelinya dengan harga 67.2 juta yen (kira-kira RM2 juta) dari sebuah galeri di Osaka, pada 1999. Galeri itu kini sudah tidak lagi beroperasi.


Bagaimanapun, berdasarkan sijil kesahihan dan maklumat diberikan oleh polis Jerman, muzium itu kini secara pasti mengenal pasti karya itu sebagai palsu.


Akibatnya, muzium itu dalam satu kenyataan pada 25 Mac lalu sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan bayaran balik penuh sebanyak 67.2 juta yen (kira-kira RM2 juta) daripada penjual lukisan itu.


Siasatan ke atas keaslian lukisan itu bermula pada Jun tahun lalu selepas muzium menerima maklumat yang menunjukkan bahawa Beltracchi adalah artis yang disyaki terbabit dalam pemalsuan.


Dia disabitkan dengan pemalsuan pada 2011 dan menjalani hukuman tiga tahun di penjara Jerman, namun kini seorang artis yang berjaya menjual karyanya sendiri.


Menurut pengumuman muzium, pihaknya menghubungi organisasi pengurusan hak cipta artis di Perancis, dan pada Julai lalu, kumpulan itu menjawab bahawa sijil ketulenan karya itu adalah tidak sah.


Selain itu, Beltracchi sendiri mengaku kepada The Yomiuri Shimbun bahawa dia yang melukis karya seni itu.


Seorang penyiasat di Polis Berlin yang bertanggungjawab menyiasat Beltracchi pada 2010 dan 2011, juga dihubungi melalui e-mel sejak Ogos tahun lalu.


Muzium itu mengetahui bahawa pemilik asal lukisan minyak itu adalah peniaga seni Jerman yang disabitkan sebagai rakan sekongkol Beltracchi.


Selain itu, individu yang pada mulanya mengeluarkan sijil ketulenan karya itu mengesahkan lukisan itu tidak tulen.


Berikutan semua faktor itu, pihak muzium membuat kesimpulan bahawa lukisan itu adalah palsu. - Sumber The Straits Times.


Lukisan bertajuk "At the Cycle-Race Track", yang kini disahkan palsu. - Foto Muzium Seni Moden Tokushima.

Khamis, 27 Mac 2025

Suami tolak isteri dari tebing, pukul kepala dengan batu kerana enggan bergambar

Suami tolak isteri dari tebing, pukul kepala dengan batu kerana enggan bergambar


Seorang doktor dari Maui pada Isnin bertindak kejam apabila cuba menolak isterinya dari tebing kerana wanita itu enggan bergambar bersamanya dalam kejadian di lokasi pelancongan terkenal di Hawaii, lapor Hawaii News Now pada 24 Mac 2025.


Gerhardt Konig, 46, seorang pakar bius, dipercayai menyerang isterinya, Arielle Konig, 36, seorang jurutera nuklear, selepas wanita itu menolak permintaannya untuk bergambar bersama di Pali Lookout.


Selain cuba menolak mangsa, dia juga bertindak ganas dengan menumbuk dan memukul kepala mangsa dengan batu.


Lebih mengejutkan, Konig turut cuba menyerang isterinya menggunakan dua picagari, namun kandungan cecair tersebut masih belum dapat dipastikan.


Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan muka sebelum dikejarkan ke hospital dalam keadaan berlumuran darah.


Selepas kejadian, Konig melarikan diri namun berjaya diberkas polis berhampiran Lebuhraya Pali sekitar jam 6.45 petang waktu tempatan pada Isnin, 8 jam selepas insiden berlaku. Dalam pada itu pihak berkuasa menutup sementara Pali Lookout bagi tujuan siasatan.


Hospital tempat Konig bertugas mengambil tindakan menggantung tugasnya serta-merta dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.


Kes masih dalam siasatan dan suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat. - Sumber Hawaii News Now.


Pasangan itu berada di Pali Lookout ketika Konig dilaporkan cuba menolak isterinya. - Foto Facebook.

Selasa, 25 Mac 2025

Wanita ditemui mati selepas doktor tersilap cabut gigi yang sihat

Wanita ditemui mati selepas doktor tersilap cabut gigi yang sihat


Seorang wanita ditemui maut akibat kesilapan doktor yang mencabut gigi salah dan menyebabkan dia menderita kesakitan berpanjangan.


Mangsa, Wu, 34, dari wilayah Anhui, menjalani prosedur di Hospital Perbandaran Anqing pada 12 Mac lalu untuk mencabut gigi geraham bongsu.


Doktor tersilap mencabut gigi yang sihat sebelum memasukkannya semula secara paksa dan mengikatnya dengan dawai bersama beberapa gigi lain tanpa anestesia atau ubat tahan sakit.


Akibatnya, Wu mengalami kerosakan gigi, bengkak muka, tidak boleh makan dan hanya mampu minum air selama beberapa hari. Kesakitan itu juga mengganggu tidurnya.


Dia telah melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tetapi tiada tindakan diambil. Wu juga memuat naik video menangis di media sosial, mendakwa rekod perubatannya diubah untuk menutup kesilapan doktor.


Wu kembali ke hospital pada 17 Mac untuk berbincang tetapi kemudian ditemui terjatuh dari tingkat 11 hospital berkenaan dan disahkan meninggal dunia.


Suaminya berkata, polis tidak menemui unsur jenayah dalam kejadian itu, manakala keluarganya menolak tawaran pampasan sebanyak 100,000 yuan (RM61,266).


Hospital mengesahkan doktor terlibat telah digantung tugas, dan kes ini sedang disiasat oleh pihak kesihatan dan polis.


Kes ini menarik perhatian ramai di media sosial China, dengan lebih 100 juta tontonan dan kecaman terhadap kecuaian hospital tersebut. - Sumber SCMP.


Seorang wanita ditemui maut akibat kesilapan doktor yang mencabut gigi salah dan menyebabkan dia menderita kesakitan berpanjangan. - Foto Mothership.