Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fosil. Papar semua catatan

Khamis, 18 Julai 2024

Rangka dinosaur Stegosaurus berjaya dijual pada harga RM207.9 juta

Rangka dinosaur Stegosaurus berjaya dijual pada harga RM207.9 juta


Rangka dinosaur Stegosaurus memecah rekod lelongan untuk sebuah fosil apabila ia dijual pada harga AS$44.6 juta (RM207.9 juta), kata firma lelongan Sotheby's pada Rabu (17/7/2024).


Firma lelongan itu berkata, rangka, yang diberi nama Apex, setinggi 3.4 meter dan 8 meter panjang itu, merupakan antara rangka dinosaur yang paling lengkap pernah ditemui.


Apex ditemui pada Mei 2022 di tanah persendirian ahli paleontologi Jason Cooper di bandar Dinosaur yang terletak di negeri Colorado, AS.


Rumah lelong itu mengatakan ia telah bekerjasama dengan Cooper untuk mendokumentasikan keseluruhan proses, dari penemuan dan penggalian hingga pemulihan, persiapan dan pemasangan, untuk menjamin standard tertinggi dan ketelusan.


Rangka haiwan itu dijual kepada pembeli yang enggan dikenali.


"Apex dilahirkan di AS dan ia akan kekal di AS," katanya sambil memberi gambaran ia mungkin akan dipamerkan di sebuah institusi negara itu.


Dinosaur ini dipercayai hidup di bumi kira-kira 150 juta tahun dahulu pada Zaman Jurasik Akhir.


Sebelum ini rekod penjualan rangka dinosaur dicipta pada tahun 2020 dengan lelongan rangka Tyrannosaurus Rex, yang dikenali sebagai Stan, mencecah harga AS$31.8 juta.


Dinosaur ini dipercayai hidup di bumi kira-kira 150 juta tahun dahulu pada Zaman Jurasik Akhir. - Foto REUTERS.

Khamis, 21 Mac 2024

Fosil ikan lumba-lumba berusia 16 juta tahun ditemukan di Peru

Fosil ikan lumba-lumba berusia 16 juta tahun ditemukan di Peru


Saintis telah menemui tengkorak fosil ikan lumba-lumba sungai, daripada spesies yang dianggap telah 'melarikan diri' dari lautan dan mencari perlindungan di sungai Amazon Peru 16 juta tahun yang lalu, lapor akhbar The Guardian pada 20 Mac 2024.


Ahli Paleontologi, Rodolfo Salas berkata, fosil itu adalah milik ikan lumba-lumba sungai terbesar yang pernah ditemui berukuran tiga hingga 3.5 meter panjang, ia diketahui pernah mendiami perairan Amerika Selatan.


Katanya, ia dinamakan Pebanista yacuruna sempena Yacuruna, makhluk mitologi Peru yang hidup di dalam air.


"Ikan lumba-lumba yang ditemukan di Peru ini ada kaitan dengan ikan lumba-lumba Sungai Ganges di India. Nenek moyang kedua-dua ikan lumba-lumba ini dahulunya tinggal di lautan.


"Ia menduduki ruang lautan yang besar berhampiran pantai India dan Amerika Selatan.


"Haiwan ini kemudian tinggal di persekitaran air tawar di Amazon dan India. Malangnya, ia pupus di Amazon, tetapi terselamat di India," katanya.


Saintis menemukan fosil itu menerusi penggalian di Peru semasa ekspedisi 2018 yang ditaja National Geographic Society di Sungai Napo. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Science Advances.


Lembangan Sungai Amazon dan Sungai Orinoco masih menjadi rumah kepada spesies yang dikenali sebagai lumba-lumba Sungai Amazon juga dipanggil lumba-lumba sungai merah jambu atau boto. - Sumber The Guardian.


Ahli Paleontologi menggali tebing di Sungai Napo semasa ekspedisi 2018, apabila mereka menemui spesies baharu itu. - Foto John J Flynn.

Sabtu, 24 Februari 2024

Saintis akhirnya dedah gambaran penuh reptilia seperti naga berusia 240 juta tahun

Saintis akhirnya dedah gambaran penuh reptilia seperti naga berusia 240 juta tahun


Fosil reptilia marin Dinocephalosaurus orientalis yang dikatakan berusia 240 juta tahun buat pertama kali dapat digambarkan sepenuhnya hasil penyelidikan saintis, lapor Agensi Berita CNN, semalam.


Menurut penyelidik, reptilia itu memiliki leher yang panjang serta badannya bersisik dan ikan yang masih ada di dalam perutnya menunjukkan reptilia itu sesuai dengan kehidupan di laut.


Fosil itu ditemukan di wilayah Guizhou, selatan China dan mula dikenal pasti pada tahun 2003 dan berdasarkan penemuan spesimen tambahan yang lebih lengkap sejak itu, membolehkan pasukan saintis membuat gambaran penuh haiwan itu.


Nick Fraser dari Muzium Negara Scotland, antara yang terlibat dalam kajian itu berkata, penemuan tersebut membolehkan haiwan berleher panjang luar biasa itu 'digambarkan'.


"Kami pasti ia akan membangkitkan imaginasi berdasarkan penampilan yang menarik, mengingatkan mitos naga Cina yang panjang seperti ular," katanya dalam satu kenyataan pada hari Jumaat.


Leher Dinocephalosaurus orientalis telah dibandingkan dengan leher Tanystropheus hydroides, satu lagi reptilia marin aneh dari zaman Trias Pertengahan di Eropah dan China.


Kedua-dua reptilia itu mempunyai saiz dan ciri tengkorak yang sama. Namun Dinocephalosaurus mempunyai lebih banyak vertebra di leher dan di bahagian badan, merupai ular.


Penyelidik dari Scotland, Jerman, Ameria Syarikat dan China mengkaji Dinocephalosaurus orientalis selama 10 tahun di Institute of Vertebrate Palaeontology and Palaeoanthropology, di Beijing. - Sumber CNN.


Fosil reptilia marin Dinocephalosaurus orientalis yang dikatakan berusia 240 juta tahun buat pertama kali dapat digambarkan sepenuhnya hasil penyelidikan saintis. - Foto Muzium Negara Scotland/PA.

Fosil Dinocephalosaurus orientalis ditemui di wilayah Guizhou di selatan China pada tahun 2003. - Foto Muzium Negara Scotland/PA.

Rabu, 4 Oktober 2023

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden


Ahli paleontologi di University College Cork (UCC), Ireland telah menemui bukti sinar-X protein dalam bulu fosil yang memberi penerangan baharu tentang evolusi bulu.


Bulu dari burung zaman moden mempunyai lebih banyak persamaan dengan bulu dinosaur. Kajian terdahulu mencadangkan bahawa bulu purba mempunyai komposisi yang berbeza dengan bulu burung pada hari ini.


Penyelidikan baharu itu mendedahkan bahawa komposisi protein bulu zaman moden juga terdapat pada bulu dinosaur dan burung awal. Ini mengesahkan bahawa kimia bulu berasal lebih awal daripada yang difikirkan sebelumnya.


Menurut ketua penyelidik, Dr. Tiffany Slater, pasukannya menganalisis bulu berusia 125 juta tahun daripada dinosaur Sinornithosaurus dan burung awal, Confuciusornis dari China, serta bulu berusia 50 juta tahun dari Amerika Syarikat.


"Sangat menarik untuk menemui persamaan baharu antara dinosaur dan burung. Untuk melakukan ini, kami membangunkan kaedah baharu bagi mengesan kesan protein bulu purba.


"Kami juga menggunakan sinar-X dan cahaya inframerah. Kami dapati bahawa bulu daripada dinosaur Sinornithosaurus mengandungi banyak beta-protein sama seperti bulu burung pada hari ini," katanya.


Tambahnya, bagi membantu mentafsir isyarat kimia yang dipelihara dalam bulu fosil, pasukan itu menjalankan eksperimen untuk membantu memahami cara protein bulu terurai semasa proses fosil.


"Bulu burung moden kaya dengan beta-protein yang membantu menguatkan bulu untuk terbang," ujarnya lagi.


Kajian itu diterbitkan pada 21 September 2023 dalam jurnal Nature Ecology and Evolution. - Sumber Live Science.


Fosil bulu dinosaur yang digunakan untuk mendapatkan penerangan baharu tentang evolusi bulu. - Foto kundrát et al (Gondwana Research).

Bulu fosil berusia 50 juta tahun yang ditemukan di Green River Formation in Wyoming, Amerika Syarikat. - Foto Tiffany Slater.

Gambar ilustrasi dinosaur Sinornithosaurus. Fosilnya ditemui pada tahun 1999 di China. - Foto planet dinosaur wiki.

Ahad, 25 Disember 2022

Saintis Russia cuba hidupkan semula virus purba berusia 400,000 tahun

Saintis Russia cuba hidupkan semula virus purba berusia 400,000 tahun


Sekumpulan saintis yang cuba 'menghidupkan' semula sejenis virus purba telah mencetuskan kebimbangan terhadap kewujudan pandemik baharu, lapor portal berita Daily Star pada 18 Disember 2022 lalu.


Ia berikutan tindakan pakar-pakar di Pusat Penyelidikan Vektor di Novosibirsk, Siberia, Russia sedang menganalisis sisa bangkai haiwan gajah raksasa purba dikenali sebagai mamot, badak sumbu bulu dan sebilangan haiwan lain yang hidup semasa Zaman Ais.


Mereka cuba mengenal pasti dan menghidupkan semula virus prasejarah dikenali sebagai paleovirus yang tidak lagi aktif selama hampir setengah juta tahun.


Pasukan itu juga melakukan kajian dengan tujuan untuk mengekstrak dan mengkaji jangkitan yang menyebabkan kematian haiwan prasejarah tersebut.


Namun, pakar-pakar berkata, kajian tersebut sangat berisiko kerana virus yang membunuh mamot dan haiwan prasejarah lain juga boleh menjangkiti manusia.



Seorang pakar genom, Profesor Jean-Michel Claverie dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan di Universiti Aix-Marseille berkata, penyelidikan itu sangat berisiko.


"Penyelidikan Vektor adalah sangat sangat berisiko. Sistem imun kita tidak pernah menemui jenis virus ini. Sebahagian daripada virus tersebut berumur 200,000 atau bahkan 400,000 tahun," katanya.


Pada tahun 2019, letupan gas merebak melalui makmal yang dipanggil Pusat Penyelidikan Virologi Negara (Vector) di Koltsovo, Novosibirsk, Siberia yang mana penyakit yang sangat berbahaya termasuk Bubonik, Antraks dan Ebola disimpan.


Satu lagi kesilapan di sebuah makmal Ebola berlaku pada tahun 2004 di Russia sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja selepas dia secara tidak sengaja menusuk dirinya dengan jarum yang mengandungi virus tersebut.


Pusat Penyelidikan Virologi Negara itu juga dikenali sebagai salah satu daripada dua tempat di dunia di mana virus cacar yang dorman disimpan.


Seorang pakar biosekuriti di King’s College London, Filippa Lentzos memberi amaran bahawa makmal yang paling selamat pun tidak terkecuali daripada perlanggaran undang-undang.


"Walaupun dengan amalan yang umumnya selamat, kemalangan masih boleh berlaku," kata Lentzos.


Pada tahun 2016, seorang kanak-kanak meninggal dunia dan berpuluh-puluh orang lagi dimasukkan ke hospital selepas berlakunya wabak antraks yang disebabkan oleh bakteria bacillus antracis di Siberia.


Dalam pada itu, haiwan-haiwan yang dikaji di pusat penyelidikan tersebut ditemui di wilayah Yakutia di mana suhu boleh menjunam ke paras terendah -55 darjah Celsius. - Sumber Daily Star.


Tiga penyelidik di Universiti Persekutuan Utara-Timur di Yakutsk mengestrak tisu daripada seekor kuda prasejarah. - Foto : Nina Sleptsova/NEFU Press Service.

Sabtu, 17 September 2022

Jantung tertua di dunia berusia 380 juta tahun ditemui dalam fosil ikan prasejarah

Jantung tertua di dunia berusia 380 juta tahun ditemui dalam fosil ikan prasejarah


Penyelidik baru-baru ini telah menemui jantung berusia 380 juta tahun pada fosil ikan prasejarah. Penemuan itu adalah detik penting dalam evolusi organ berkenaan yang terdapat pada semua haiwan vertebrata dan manusia, lapor BBC News pada 15 September 2022.


Jantung itu milik seekor ikan yang dikenali sebagai Gogo, yang kini telah pupus. Penemuan itu telah diterbitkan dalam jurnal Science.


Ketua saintis, Prof Kate Trinajstic dari Curtin University di Perth memberitahu BBC mengenai saat dia dan rakan-rakannya menyedari bahawa mereka telah membuat penemuan terbesar dalam hidup mereka.


"Biasanya, tulang yang bertukar menjadi fosil, dan bukannya tisu lembut. Tetapi di sebuah lokasi ini di Kimberley, dikenali sebagai batuan Gogo, elemen mineral telah mengekalkan banyak organ dalaman ikan, termasuk hati, perut, usus dan jantung.


"Ini adalah detik penting dalam evolusi kita," kata Prof Trinajstic.


Rakan usaha samanya, Prof John Long dari Flinders University di Adelaide, menyifatkan penemuan itu sebagai 'penemuan yang membingungkan dan mengejutkan'.


"Kami tidak pernah mengetahui apa-apa mengenai organ lembut haiwan seusia ini, sehingga kini," katanya.


Ikan Gogo adalah yang pertama dari kelas ikan prasejarah yang dipanggil placoderm. Ia adalah ikan pertama yang mempunyai rahang dan gigi serta boleh membesar sehingga 29.5 kaki (9 meter) panjang.


Placoderm adalah hidupan dominan planet ini selama 60 juta tahun, wujud lebih daripada 100 juta tahun sebelum kewujudan dinosaur.


Imbasan fosil ikan Gogo menunjukkan bahawa jantungnya lebih kompleks daripada yang dijangkakan untuk ikan primitif. Ia mempunyai dua ruang di atas satu sama lain, struktur yang serupa dengan jantung manusia.


Penyelidik membuat kesimpulan, ia adalah faktor yang menjadikan jantung haiwan itu lebih cekap dan adalah langkah kritikal yang mengubahnya daripada ikan yang bergerak perlahan kepada pemangsa yang bergerak pantas.


Pemerhatian penting lain ialah kedudukan jantungnya berada lebih hadapan berbanding ikan yang lebih primitif. Kedudukan ini dikaitkan dengan bentuk leher ikan Gogo dan memberi ruang untuk paru-paru.


Dr Zerina Johanson dari Natural History Museum London, yang adalah peneraju dalam kajian placoderm, menyifatkan penyelidikan itu sebagai 'penemuan yang sangat penting' yang membantu menjelaskan mengapa tubuh badan manusia menjadi seperti hari ini.


"Terdapat banyak perkara yang berlaku pada placoderm ini yang kita lihat ada pada diri kita hari ini seperti leher, bentuk dan kedudukan jantung dalam badan," katanya.


Menurut Dr Martin Brazeau, pakar placoderm di Imperial College London berkata, penemuan itu mengisi satu langkah penting dalam evolusi kehidupan di Bumi.


Ia benar-benar mengujakan untuk melihat keputusan ini," katanya kepada BBC News.


"Ikan yang saya dan rakan sekerja saya kaji adalah sebahagian daripada evolusi kami. Ini adalah sebahagian daripada evolusi manusia dan haiwan lain yang hidup di darat dan ikan yang hidup di laut hari ini," tambahnya. - Sumber BBC News.


Jantung ikan Gogo mempunyai dua ruang, satu di atas, yang kemudian berkembang menjadi jantung manusia. - Foto BBC News.

Para penyelidik mengimbas di dalam batu kemudian menemui hati, perut, usus dan jantung, ditunjukkan dalam warna merah. - Foto KATE TRINAJSTIC/SCIENCE.

Ikan itu diawet dengan sempurna di dalam batu besar yang terdapat di wilayah Kimberley di Australia Barat. - Foto LINDSAY HATCHER.

Ilustrasi artis mengenai ikan Gogo. - Foto PALEOZOO.

Fosil kepala ikan Gogo dengan soket mata yang besar. - Foto BBC News.

Ahad, 11 September 2022

Ahli arkeologi Georgia menemui gigi manusia purba berusia 1.8 juta tahun

Ahli arkeologi Georgia menemui gigi manusia purba berusia 1.8 juta tahun


Sekumpulan ahli arkeologi menemukan gigi milik manusia purba yang dianggarkan berusia 1.8 juta tahun di Georgia. Penemuan itu mengukuhkan lagi dakwaan bahawa wilayah itu sebagai rumah bagi salah satu penempatan manusia prasejarah terawal di Eropah.


Gigi itu ditemukan berhampiran perkampungan Orozmani, terletak kira-kira 96.5 kilometer di barat daya ibu kota Georgia iaitu Tbilisi, berhampiran Dmanisi, di mana tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun ditemui pada akhir 1990-an dan awal 2000-an.


Penemuan Dmanisi merupakan penemuan tertua di dunia di luar Afrika malah mengubah pemahaman saintis mengenai evolusi awal dan corak penghijrahan manusia purba.


Menurut pakar, penemuan terbaharu di lokasi penggalian itu membuktikan kawasan pergunungan di selatan Caucasus, berkemungkinan merupakan antara tempat pertama manusia purba menetap setelah berhijrah keluar dari Afrika.


"Orozmani bersama dengan Dmanisi, mewakili pusat penemuan tertua manusia purba atau Homo sapiens di dunia di luar Afrika," jelas Pusat Penyelidikan Kebangsaan Arkeologi dan Prasejarah Georgia.


Menurut ketua pasukan penyelidik, Giorgi Bidzinashvili, dia menganggap gigi itu milik 'kenalan' Zezva dan Mzia, nama yang diberikan kepada dua fosil tengkorak manusia hampir lengkap berusia 1.8 juta tahun ditemukan di Dmanisi.


Dilaporkan, pelajar ahli arkeologi, Jack Peart menemukan gigi manusia purba itu di Orozmani.


"Implikasinya bukan sahaja untuk tapak penggalian ini tetapi ia sangat besar bagi Georgia dan kisah manusia meninggalkan Afrika 1.8 juta tahun lalu.


"Penemuan itu mengukuhkan lagi Georgia sebagai lokasi yang sangat penting untuk paleoantropologi dan kisah manusia secara umum," katanya kepada Reuters.


Fosil Homo masih merupakan fosil manusia tertua ditemui di dunia setakat ini yang bertarikh sekitar 2.8 juta tahun yang lalu. Rahang separa ditemui di Ethiopia zaman moden. - Sumber Reuters.


BACA: Gua Wonderwerk, rumah tertua dihuni manusia purba sejak 2 juta tahun dahulu.


Giorgi Bidzinashvili, ahli arkeologi dan ketua saintifik pasukan penggali, menunjukkan gigi kepunyaan manusia purba, yang ditemui dari lapisan batu yang mungkin bertarikh 1.8 juta tahun, berhampiran tapak penggalian di Dmanisi di luar kampung Orozmani di Georgia, pada 8 September 2022. - Foto REUTERS/David Chkhikvishvili.

Wartawan dan ahli arkeologi berkumpul di tapak penggalian berikutan penemuan gigi kepunyaa manusia purba, yang ditemui daripada lapisan batu yang mungkin bertarikh 1.8 juta tahun, berhampiran tapak penggalian di Dmanisi di luar kampung Orozmani di Georgia, pada  8 September 2022. - Foto REUTERS/David Chkhikvishvili.

Ahli arkeologi bekerja di tapak penggalian berikutan penemuan gigi kepunyaan manusia purba, yang ditemui daripada lapisan batu yang mungkin bertarikh 1.8 juta tahun, berhampiran tapak penggalian di Dmanisi di luar kampung Orozmani di Georgia, pada 8 September 2022. - Foto REUTERS/David Chkhikvishvili.