Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan

Khamis, 24 Oktober 2024

Misteri penampakan tiang langit berwarna hitam di timur Thailand cetus tanda tanya

Misteri penampakan tiang langit berwarna hitam di timur Thailand cetus tanda tanya


Penduduk wilayah Ubon Ratchathani, Thailand digemparkan dengan penemuan tiang misteri di langit yang disifatkan menyerupai pokok kacang ajaib 'Giant Beanstalk' daripada kisah dongeng terkenal, lapor laman berita Must Share News semalam.


Fenomena menakjubkan yang dirakam dalam sebuah gambar dan dikongsi di media sosial Facebook itu, mencetuskan pelbagai tanda tanya dan spekulasi mengenai asal usulnya.


Menurut akaun Facebook berbahasa Thailand itu, fenomena tersebut tidak sengaja dirakam pada pukul 5.30 petang di Jalan Ubon Khueang Nai, 21 Oktober lalu.


Gambar yang dimuat naik menunjukkan satu 'tiang misteri' berlatarbelakangkan awan pada waktu siang.


"Langit sangat indah tetapi tiang itu muncul ketika saya sedang merakam gambar," demikian menurut keterangan hantaran itu.


Lebih menarik apabila ia didakwa tidak dapat dilihat dengan mata kasar sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai objek berkenaan.


Pakar dari Universiti Chulalongkorn, Prof. Madya Jessada Denduangboripant berkata, pihaknya boleh menganalisis imej tular itu sekiranya foto berkenaan tidak diubahsuai.


"Awan berwarna pelangi adalah fenomena semula jadi yang dikenali sebagai 'kemeriahan awan', yang berlaku apabila cahaya matahari berinteraksi dengan kristal ais, menghasilkan paparan yang ceria," katanya.


Walaupun terdapat banyak penampakan dan imej yang dikongsi mengesahkan kemeriahan awan, kemunculan tiang hitam misteri itu masih belum ada jawapan.


Kemunculan luar biasa itu tidak kelihatan dengan mata kasar dan hanya muncul dalam rakaman kamera.


Jessada berpendapat, bayang hitam itu mungkin 'distrail', iaitu jejak atau kesan ditinggalkan oleh pesawat yang sering disalah anggap sebagai jejak peluru berpandu.


Katanya, distrail muncul apabila haba dan pergolakan pesawat mengewapkan kristal ais dalam awan, meninggalkan ruang yang boleh dilihat.


"Jika ia adalah distrail, seharusnya ia kelihatan dengan mata kasar. Misteri tiang ini tetap wujud.


"Diharapkan ia bukan hasil pengubahsuaian foto atau masalah dengan kamera," katanya.


Foto ini mencetuskan pelbagai pertikaian dan persoalan oleh pengguna di media sosial. - Foto Facebook.

Ahad, 22 September 2024

Salji tebal turun di Afrika Selatan, kenderaan terperangkap lebih 13 jam di laluan utama

Salji tebal turun di Afrika Selatan, kenderaan terperangkap lebih 13 jam di laluan utama


Salji tebal luar biasa telah menyebabkan gangguan kepada laluan utama di Afrika Selatan pada Sabtu yang turut menyaksikan ramai mangsa terperangkap dan terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing.


Lebuh raya N3 yang menghubungkan Johannesburg dan bandar Durban antara yang paling teruk terjejas hingga mengakibatkan beberapa bahagian terpaksa ditutup malah laluan yang dilencongkan juga tidak dapat diakses.


"Perkhidmatan kecemasan berusaha keras untuk sampai ke lokasi mangsa terkandas. Selimut dan bekalan makanan diberikan kepada mereka," ujar jurucakap pemerintah di wilayah KwaZulu-Natal.


Difahamkan, banyak trak yang diparkir di tepi jalan sejak Jumaat lalu dan ada perkhidmatan bas antara wilayah terkandas di stesen petrol selama kira-kira tujuh jam akibat salji tebal tersebut.



Salah seorang mangsa, Muhammad Goolam turut berkongsi kisah bermalam di dalam kereta selama lebih 13 jam bersama anaknya di pinggir bandar Harrismith yang terletak kira-kira 270 kilometer (km) di tenggara Johannesburg.


Catatan mangsa terkandas dikongsikan di platform X mendakwa beberapa kawasan diselubungi salji setebal dua meter.


Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Sempadan memaklumkan ia menutup tiga pos sempadan dengan Lesotho berikutan situasi yang semakin berbahaya.


"Ancaman salji tebal dengan amaran peringkat jingga bakal dilaksanakan di beberapa bahagian di seluruh negara," jelas jurucakap Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan, Luthando Masimini yang menyifatkan ia sebagai 'keadaan ekstrem'.


Fenomena jarang berlaku itu turut menarik minat segelintir penduduk tempatan termasuk Justin Nadasem Baker yang sanggup memandu selama tiga jam dari Johannesburg ke Warden yang terletak kira-kira 50km dari Harrismith.


"Kami sekeluarga sangat teruja untuk melihat dan bermain salji," katanya. - Sumber NST.


Beberapa pengguna lalu lintas membantu kereta yang terperangkap di dalam salji tebal di Oliviershoekpass berhampiran Harrismith. - Foto AFP.

Ahad, 15 September 2024

Aneh, puluhan ribu pepatung tiba-tiba muncul kerumun 10 pemancing

Aneh, puluhan ribu pepatung tiba-tiba muncul kerumun 10 pemancing


Pemancing-pemancing di atas sebuah kapal nelayan di luar pantai Pulau Jeju berdepan cabaran luar biasa apabila segerombolan besar pepatung hinggap pada tubuh mereka, lapor akhbar The Korea Times hari ini.


Menurut Kapten kapal Jeju Bless, Lee Dong-hyun, puluhan ribu pepatung mula berkerumun sekitar tengah malam pada 8 September lalu ketika dia membawa kumpulan pemancing itu menangkap ikan di luar pantai Gimnyeong, Bandar Jeju.


Serangga itu menutupi seluruh badan kapal selama lebih dua jam dan hinggap pada tubuh 10 pemancing dan menyebabkan ketidakselesaan yang ketara.



"Apabila kita menggunakan lampu untuk memancing pada waktu malam, serangga itu sering berkumpul.


"Namun, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini.


"Berpuluh-puluh ribu datang serentak. Pepatung melekat pada muka dan badan menjadikannya mustahil untuk memancing dengan betul," ujarnya.


Pepatung itu pada kebiasaannya dilihat dari bulan April hingga Oktober di Korea Selatan. - Sumber The Korea Times.


Puluhan ribu pepatung membanjiri Bless, sebuah bot nelayan, ketika ia sedang memancing di luar pantai Bandar Jeju pada Ahad lalu. - Foto Jeju Bless.

Rabu, 4 September 2024

Perkampungan muncul semula selepas 30 tahun hilang

Perkampungan muncul semula selepas 30 tahun hilang


Suhu pecah rekod dan kemarau berpanjangan di Greece, menjadikan sebuah perkampungan yang tenggelam di empangan utama Athens, kembali dilihat buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.


Kampung Kallio ditenggelami air pada akhir 1970-an apabila Empangan Mornos dibina, 200 kilometer (km) di barat ibu negara. Ia membentuk tasik buatan daripada sumber air Sungai Mornos dan Sungai Evinos.


Paras air di tasik itu merosot 30 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut pengendali air negara, EYDAP. Ia menyebabkan sebuah runtuhan sekolah dan rumah di Kampung Kallio, kelihatan.



"Paras Tasik Mornos menurun sebanyak 40 meter," kata Yorgos Iosifidis, seorang pesara berusia 60 tahun yang terpaksa meninggalkan rumahnya ketika masih muda, bersama penduduk lain di Kampung Kallio, apabila kawasan itu dinaiki air.


"Kamu lihat tingkat satu yang tinggal di rumah dua tingkat (milik) bapa mentua saya... dan di sebelahnya, kamu boleh melihat apa yang tinggal di rumah sepupu saya," kata Iosifidis, yang kini tinggal di kawasan lebih tinggi di atas bukit, kepada AFP.


Kemarau bertambah buruk tahun ini di negara Mediterranean itu yang sudah terbiasa dengan gelombang musim panas.


Selepas musim sejuk paling sederhana, Greece mencatatkan suhu paling panas pada Julai menurut data cuaca awal dari Balai Cerap Negara.


Hampir 80 rumah di Kallio, sebagai tambahan kepada gereja dan sekolah itu terpaksa 'dikorbankan' untuk pembinaan empangan berkenaan.


Ia adalah kali kedua Kampung Kallio kembali dilihat, selepas satu tempoh kemarau pada awal 1990-an, kata Iosifidis.


"Sekiranya hujan tidak turun dalam masa terdekat, paras tasik akan menurun lagi dan masalahnya akan menjadi lebih meruncing daripada sebelum ini," katanya.


Anastasis Papageorgiou, 26, seorang doktor yang tinggal di Amygdalia, sebuah kampung berhampiran Mornos, berkata kawasan itu mengalami sedikit hujan dalam tempoh dua tahun lepas.


"Keadaan sukar pada masa ini, jadi kami perlu berhati-hati (tidak membazir) dengan air," katanya. - Sumber Daily Mail.


Gambar menunjukkan sisa-sisa rumah yang kelihatan apabila paras tasik buatan Mornos menurun berikutan kemarau, berhampiran perkampungan Lidoriki, kira-kira 240 km barat laut Athens, pada 1 September 2024. - Foto AFP.

Sisa-sisa bangunan perkampungan Kallio yang tenggelam kelihatan kerana paras air tasik buatan Mornos yang surut, berhampiran perkampungan Lidoriki di wilayah Fokida, kira-kira 240 km barat laut Athens, Greece, 29 Ogos 2024. - Foto EPA.

Yiorgos Iosifidis, pesara, 67, yang tinggal di rumah yang baru dibina semula di Kallio, berjalan melepasi tasik buatan Mornos. - Foto AFP.

Rabu, 28 Ogos 2024

Misteri jutaan 'ikan terbang' pada waktu malam mungkin petanda gempa besar dan tsunami

Misteri jutaan 'ikan terbang' pada waktu malam mungkin petanda gempa besar dan tsunami


Kemunculan jutaan ikan di pesisir pantai mencetuskan pelbagai spekulasi dan ada yang mengaitkannya dengan petanda gempa besar dan tsunami.


Kejadian 'ikan terbang' itu dilaporkan di sepanjang pantai Selatan Priangan Timur dan Pantai Cipatujuh, Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat di Indonesia pada minggu lalu.


Ia turut menjadi tular di media sosial setelah ada rakaman video pada waktu malam itu memaparkan sekumpulan penduduk cuba menangkap 'ikan terbang' berkenaan.


Dalam rasa seronok dengan rezeki berlimpah-limpah, timbul juga rasa takut jika bencana lebih dahsyat bakal berlaku.


"Bukan hanya di pesisir Cipatujah, ia turut terjadi di sepanjang pesisir Pangandaran, Tasikmalaya hingga ke Santolo, Garut," kata wakil Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (NHSI) Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat, Dedi Mulyadi pada Selasa (27/8/2024).


Menurutnya, fenomena pelik seperti itu adalah perkara biasa, namun tidak 'sebanyak' yang dirakamkan memandangkan ia berlaku ketika musim kemarau panjang.


"Ada mula khuatir jika ia mungkin memberi amaran awal tentang fenomena aneh lain di dasar laut," ujarnya.


Pada 2020, Ketua Bidang Mitigasi Gempa dan Tsunami (BMKG), Daryono pernah menyatakan fenomena ikan naik ke darat bukan petanda akan berlaku gempa.


"Ramalan sedemikian adalah tidak benar sama sekali," ujarnya. - Sumber Tribun News.


Kemunculan jutaan ikan di pesisir pantai mencetuskan pelbagai spekulasi dan ada yang mengaitkannya dengan petanda gempa besar dan tsunami. - Foto Tribun News.

Ahad, 25 Ogos 2024

Wanita rakam video menakjubkan saat tujuh matahari muncul di langit

Wanita rakam video menakjubkan saat tujuh matahari muncul di langit


Satu klip video yang dirakam dari sebuah hospital di China menunjukan terdapat tujuh matahari di langit, lapor portal berita Daily Mail pada 23 Ogos 2024.


Rakaman video itu menarik perhatian dan menyebabkan netizen di seluruh dunia keliru.


Ketika kejadian, seorang wanita sedang merakam fenomena matahari terbenam apabila sesuatu yang menakjubkan berlaku.


Imej yang dirakam menunjukkan terdapat lebih daripada sebuah matahari di langit.


Bagaimanapun, video berdurasi satu minit yang kelihatan seperti keajaiban kosmik itu sebenarnya adalah ilusi optik yang 'dicipta' oleh tingkap kaca di mana ia dirakam.


Video itu dirakam dari tingkat 11 sebuah hospital di Chengdu, China pada 18 Ogos lalu.


Wanita merakam video itu yang dikenali sebagai Wang berkata, penonton terpesona dengan paparan tersebut kerana kelihatan seperti di luar realiti, demikian menurut laman berita Jam Press.


Ramai netizen memberikan teori tentang bagaimana fenomena itu berlaku.


"Ia berlaku kerana gangguan medan magnet yang menjadikan alam semesta selari," tulis seorang netizen di platform media sosial China, Weibo.


"Sama seperti bagaimana anda akan melihat pantulan dalam cermin, cahaya dibiaskan dan dipantulkan dari kaca berlapis, dengan setiap lapisan mencipta salinan imej yang lain.


"Kecuali matahari paling terang di tengah, yang merupakan yang sebenar, yang lain adalah sebahagian daripada ilusi optik," menurut Biro Kosmik membetulkan isu itu. - Sumber Daily Mail.


Wang merakamkan video yang menunjukkan tujuh matahari. - Foto Tangkap Layar/Jam Press.

Sabtu, 29 Jun 2024

4 cahaya misteri muncul di Banjaran Himalaya berjaya dirakam

4 cahaya misteri muncul di Banjaran Himalaya berjaya dirakam


Himalaya, yang terkenal dengan puncak yang dilitupi salji dan landskap yang menakjubkan, sentiasa menjadi sumber daya tarikan dan misteri.


Pada minggu lalu, empat jaluran cahaya yang terang di Banjaran Himalaya di antara Bhutan dan China berjaya dirakam, lapor portal berita India TV pada 27 Jun 2024.


Kamera khas berkelajuan tinggi milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya merakamkan empat cahaya terang itu.


Foto komposit ini, yang dikeluarkan minggu lalu oleh NASA sebagai Astronomi Picture of the Day, menunjukkan empat jalur panjang. Cahaya itu sukar dirakamkan kerana terpancar selama beberapa milisaat sahaja.


Menurut Weather.com, cahaya itu atau dikenali sebagai 'jet gigantic' ialah sejenis kilat atmosfera yang berlaku di mesosfera, pada ketinggian kira-kira 50 hingga 90 kilometer di atas permukaan Bumi.


Menurut NASA, sambaran petir ini, yang hanya dilihat pada abad kedua puluh satu, menghubungkan ribut petir ke ionosfera - bahagian atmosfera yang terion oleh sinaran suria dan kosmik.


Salah satu sebab utama mengapa Jet Gigantic sangat sukar difahami adalah kerana ia mencabar untuk ditangkap dalam gambar. Tidak seperti kilat biasa, yang boleh diperhatikan dan diambil gambar dari jauh, Jet Gigantic terletak di atmosfera atas, menjadikannya sukar untuk menangkapnya dengan kamera tradisional.


Imej yang dikongsi oleh NASA itu dirakam menggunakan kamera berkelajuan tinggi khas yang dipasang pada kapal terbang yang terbang di atas ribut. - Sumber India TV News.


Empat jaluran cahaya yang terang berjaya dirakamkan menerusi kamera milik NASA. - Foto APOD/NASA/GOV.