Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan

Selasa, 25 Februari 2025

Pemandu lori lari dari JPJ, rempuh rumah didenda RM5,000

Pemandu lori lari dari JPJ, rempuh rumah didenda RM5,000


Tindakan seorang lelaki memandu lori secara melulu sehingga merempuh sebuah rumah gara-gara cuba meloloskan diri dari penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) minggu lalu membawa padah apabila didenda RM5,000 hari ini.


Majistret Mahkamah Alor Gajah, Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh, Muhammad Zulhairul Idham Zulkamal, 27, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang tugas penjawat awam dengan melarikan diri ketika diarahkan berhenti oleh anggota JPJ di susur keluar Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) menghala ke Lebuh Ayer Keroh pada 19 Februari lalu, kira-kira pukul 4.30 petang.


Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan baru bekerja sebagai pemandu lori selain perlu menanggung seorang anak yang masih kecil berusia dua bulan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana tindakannya bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.


Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Dr. Teoh Shu Yee menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.


Dalam prosiding sama, Muhammad Zulhairul turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Alor Gajah pada hari sama kira-kira pukul 10.15 malam.


Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan patologi.


Pada 19 Februari lalu, media tempatan melaporkan penguat kuasa JPJ mengambil masa hampir satu jam mengejar suspek sejauh 25 kilometer ketika cuba menahan lori lima tan muatan bahan binaan itu.


Sepanjang aksi mengejar yang tular di media sosial, suspek memandu secara berbahaya termasuk melawan arus, melanggar lampu isyarat sehingga insiden itu tular di media sosial menerusi beberapa klip video yang dirakam orang ramai.


JPJ kemudian mengeluarkan lima notis saman terhadap pemandu atas kesalahan seperti tiada Lesen CDL dan GDL, tidak mematuhi lampu isyarat merah serta memandu secara cuai.


Tertuduh diiringi anggota polis sebaik keluar dari kamar Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini.- Foto Malaysia Gazette.

Isnin, 13 Januari 2025

Angkara ketum, suami isteri mengaku bersalah didenda RM24,000

Angkara ketum, suami isteri mengaku bersalah didenda RM24,000


Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Balik Pulau hari ini atas tuduhan memiliki cecair ketum di rumah sewa mereka di Bayan Lepas, awal Januari lalu.


Tertuduh, Mohd. Nasir Othman,47, dan isterinya, NorHafizah Mohd. Zamberi, 36, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.


Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Nasir didakwa memiliki cecair mitragynine (ketum) berjumlah 18 liter manakala bagi pertuduhan kedua yang dibaca secara bersama, pasangan terbabit didakwa memiliki cecair mitragynine (ketum) berjumlah 259.5 liter.


Perbuatan bagi pertuduhan pertama dan kedua didakwa dilakukan di hadapan rumah di Jalan Lintang Bayan 6, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira pukul 9 pagi pada 6 Januari lalu.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta yang sama dengan membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau boleh maksimum lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan berjumlah RM16,000 untuk Mohd. Nasir manakala isterinya pula dikenakan jaminan RM8,000 sekali gus menetapkan 12 Mac depan sebagai sebutan semula kes tersebut.


Mohd. Nasir (tengah) dan isterinya ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau, hari ini. - Foto Kosmo Online.


Selasa, 7 Januari 2025

Lelaki mabuk mengamuk sangkakan motosikal hilang, rupanya pergi kedai jalan kaki

Lelaki mabuk mengamuk sangkakan motosikal hilang, rupanya pergi kedai jalan kaki


Seorang lelaki di Sleman, Jogjakarta mengamuk sehingga mengadang sebatang jalan menggunakan bangku selepas mendapati motosikal miliknya hilang, lapor laman berita Detiksumut semalam.


Dia turut memekik dan memarahi orang ramai di kawasan itu sebelum ditahan oleh beberapa anggota tentera yang kemudian membawanya ke balai polis.


Namun, lelaki tersebut kemudian memohon maaf selepas mendapati bahawa motosikal miliknya sebenarnya bukan hilang, sebaliknya tidak dibawa ke kedai.


Dalam kejadian pada Sabtu lalu (4 Januari 2025), lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan baru selesai membeli rokok di sebuah kedai.


Dia kemudian mengamuk dengan menendang meja dan kerusi di sebuah warung apabila menyangka motosikal miliknya hilang.


"Beberapa bangku juga diambil dan diletakkan di tengah jalan. Sesiapa yang masih melalui jalan itu diherdik sehinggakan orang ramai terpaksa berpatah balik," kata seorang saksi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Depok Barat, Asisten Komisioner Polis Andika Arya Pratama berkata, lalaki dikenali sebagai W itu dibawa ke balai oleh beberapa anggota tentera yang kebetulan berada di kawasan tersebut.


Menurut Andika, W menyangka motosikalnya hilang semasa dia membeli rokok di kedai.


"Namun selepas diselidik, dia sebenarnya tidak membawa motosikal ke kedai. Dia keluar dari rumahnya dengan berjalan kaki dan dalam keadaan mabuk ketika itu," kata Andika.


Tambah Andika, W kemudian dibenarkan pulang ke rumah dan lelaki itu meminta maaf atas perbuatannya. - Sumber DetikSumut.


W meletakkan beberapa bangku di tengah jalan ketika mengamuk. - Foto Instagram.

Isnin, 2 Disember 2024

Lelaki tukang cat positif dadah dituduh belasah suami teman wanitanya

Lelaki tukang cat positif dadah dituduh belasah suami teman wanitanya


"Kalau saya mengaku salah, boleh tak kurangkan hukuman," demikian pertanyaan seorang tukang cat yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Muar, hari ini, atas pertuduhan memukul suami teman wanitanya, bulan lalu.


Tertuduh, Mohd Rashimi Mahmood, 43, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap suami teman wanitanya berusia 42 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan Salleh, Parit Setongkat di Muar, pada jam 6 petang, 27 November lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.


Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa ke rumah tertuduh untuk mengajak isterinya pulang selepas tiga hari berada di situ.


Mangsa pada ketika itu memarahi isterinya namun tertuduh masuk campur urusan rumah tangga pasangan terbabit.


Kemuncaknya apabila tertuduh memukul suami teman wanitanya hingga cedera di perut, lengan dan paha sebelum mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala tertuduh diwakili Siti Nurashikin Fuaddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetapkan 13 Januari ini untuk serahan dokumen serta membenarkannya diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.


Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.


Di mahkamah sama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah.


Tertuduh mengaku bersalah dengan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 serta perintah penjara lima bulan jika gagal membayarnya.


Tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, atas tuduhan mencederakan suami teman wanitanya. - Foto NSTP.

Khamis, 28 November 2024

Pesakit positif dadah mengamuk di hospital serang beberapa jururawat

Pesakit positif dadah mengamuk di hospital serang beberapa jururawat


Seorang pesakit yang berada di bawah pengaruh methamphetamine bertindak ganas dengan menyerang jururawat ketika dibawa ke sebuah hospital di wilayah Maha Sarakham, lapor laman berita Thaiger pada 27 November 2024.


Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, beberapa jururawat dilihat berlari keluar dari sebuah bilik.


Seorang pesakit lelaki yang tidak berbaju dan memegang rel katil kemudian keluar dari bilik itu sambil mengejar mereka.


Berdasarkan beberapa laporan, insiden itu berlaku selepas pesakit berkenaan dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya sendiri ekoran masalah ketagihan dadah yang teruk.


Kebiasaannya, pesakit yang menunjukkan gejala-gejala kegelisahan teruk akan diikat pada katil hospital di kedua-dua tangannya.


Bagaimanapun, ibu pesakit tersebut dilaporkan meminta agar anaknya hanya diikat sebelah tangan, menyebabkan dia mampu melepaskan diri dan menyerang jururawat.


Situasi mencemaskan itu bagaimanapun dapat dikawal sejurus polis tiba.


Tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu, manakala pesakit berkenaan ditahan polis sebelum dirujuk ke kemudahan psikiatri untuk penilaian dan penjagaan lanjut. 


Insiden itu telah mencetuskan perbincangan di media sosial tentang keperluan untuk perlindungan dan sokongan yang lebih baik untuk profesional penjagaan kesihatan. Ramai telah menyatakan empati mereka terhadap mereka yang terlibat, menyedari keadaan mencabar di mana mereka beroperasi.


Keadaan ini bukan sahaja memberi perhatian kepada risiko peribadi yang dihadapi oleh jururawat tetapi juga menggariskan cabaran sistemik dalam kemudahan penjagaan kesihatan apabila mengendalikan pesakit dengan isu tingkah laku yang teruk.


Memandangkan hospital sedang berusaha untuk menaik taraf infrastruktur, terdapat harapan bahawa insiden masa depan dapat dicegah, memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk pesakit dan kakitangan, lapor KhaoSod. - Sumber The Thaiger


Pesakit berkenaan keluar dari bilik sambil mengejar jururawat. - Foto Khaosod.

Sabtu, 2 November 2024

Pemandu lori rempuh tiga kenderaan di Jalan Salak Tinggi-Nilai positif dadah

Pemandu lori rempuh tiga kenderaan di Jalan Salak Tinggi-Nilai positif dadah


Pemandu lori muatan batu kuari yang merempuh tiga kenderaan di hadapan sebuah masjid ketika selesai solat Jumaat di Jalan Salak Tinggi-Nilai di Kampung Bukit Kadir, Nilai, petang semalam didapati positif dadah.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia 31 tahun itu direman empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.


Menurutnya, permohonan reman dibuat pagi hari ini di Mahkamah Majistret, Nilai, sebelum Pendaftar Mahkamah, Ain Nuraina Rohaizad membenarkan suspek direman empat hari.


"Suspek direman empat hari bermula hari ini dan hasil saringan awal urin juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine," katanya.


Tambah beliau, kejadian pada jam 2 petang itu tidak melibatkan kemalangan maut, hanya pemandu dan penumpang sebuah kereta yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.


Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori berkenaan dari arah Labu hendak menghala ke Salak Tinggi.


"Apabila sampai di lokasi kejadian, brek lori tidak berfungsi lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tiga buah kenderaan iaitu jenis Proton S70, Honda CRV dan Perodua Kenari.


"Perodua Kenari berkenaan berpusing melanggar pula sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di bahu jalan," katanya.


Justeru beliau berkata, kes disiasat mengikut 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(c) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Semalam tular satu klip video memaparkan sekumpulan penduduk kampung menggesa pemandu lori yang enggan keluar selepas dikatakan merempuh tiga kenderaan di lokasi kejadian.


Suspek diiringi pegawai dan anggota polis sebaik selesai permohonan reman hari ini. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 22 Ogos 2024

Polis siasat perbualan empat individu mengenai dadah, tunjuk bahan terlarang dalam live

Polis siasat perbualan empat individu mengenai dadah, tunjuk bahan terlarang dalam live


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan perbualan empat individu dipercayai berkaitan dadah.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman video terbabit dan sedang menjalankan siasatan lanjut.


"Pada masa yang sama, salah seorang individu yang dipercayai terbabit dalam video itu juga sudah membuat laporan polis hari ini di Melaka.


"Polis akan memanggil individu lain yang terbabit untuk membantu siasatan," katanya malam tadi.


Beliau berkata, JSJN sedang menjalankan risikan dan penelitian terhadap perbualan mereka yang didakwa berkaitan dadah dan objek ditunjukkan semasa siaran langsung berkenaan yang dikatakan bahan terlarang itu.


Terdahulu, satu rakaman video memaparkan perbualan empat individu dipercayai remaja yang dikatakan berkaitan pengambilan dadah tular di media sosial sejak semalam.


Dalam rakaman berdurasi 53 saat itu, dua daripada mereka turut menunjukkan satu plastik berwarna lut sinar didakwa bahan terlarang dan satu botol air didakwa peralatan menghisap dadah.


Rakaman video yang ditonton lebih 20,000 pengguna media sosial dan dikongsi lebih 10,000 akaun itu mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang meminta PDRM supaya menjalankan siasatan.


Tangkap layar video tular.