Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Covid-19. Papar semua catatan

Ahad, 17 April 2022

'Syaitan manusia' potong telinga sendiri meraikan berakhirnya mandat pemakaian pelitup muka

'Syaitan manusia' potong telinga sendiri meraikan berakhirnya mandat pemakaian pelitup muka


Seorang lelaki yang digelar 'syaitan manusia' bertindak nekad memotong telinganya sebagai meraikan berakhirnya mandat pemakaian pelitup muka Covid-19 di Brazil, lapor akhbar The Sun pada 13 April 2022.


Michel Faro do Prado dari Sao Paulo, Brazil, telah menjalani mengubah suai sebahagian besar badannya selama bertahun-tahun, termasuk mencacah berpuluh-puluh tatu dan tindikan serta mengubah giginya untuk melengkapkan imej seperti syaitan.


Artis tatu itu kini memotong telinganya selepas kerajaan Brazil memansuhkan sekatan pemakaian pelitup muka akibat pandemik Covid-19.


Menurut Prado, dia mengalami kesakitan melampau selepas menjalani prosedur tersebut, namun tidak berputus asa untuk menanggung rasa sakit itu bagi memiliki tubuh seperti syaitan yang diidamkan.


"Sebenarnya, bagi beberapa prosedur, ia hampir mustahil untuk dilakukan jika tanpa kesan bius. Jika saya perlu merasa sakit untuk mencapai apa yang saya mahu, pasti saya akan mengharunginya," kata Prado.


Beberapa gambarnya telah disiarkan di laman sosial Reddit yang menunjukkan wajah baharunya, tanpa telinga. Gambar-gambar tersebut telah menarik perhatian orang ramai dan mengundang banyak reaksi.


"Saya tidak faham bagaimana seseorang boleh mengubah suai badan mereka sehingga ke tahap ini. Tidak ada jalan kembali, jika anda cuba membetulkannya, anda masih akan mengalami parut dan kecacatan. Anda perlu hidup dengan penampilan ini sepanjang hayat anda," kata seorang warganet.


Prado berkata, walaupun penampilannya tidak konvensional, keluarga dan rakannya sentiasa menyokongnya: "Keluarga saya menyukainya, yang terdiri daripada isteri dan anak saya serta beberapa rakan. Tidak penting bagi saya apa orang katakan, saya hanya menuntut penghormatan." - Sumber The Sun.


Prado membuang telinganya selepas Brazil melonggarkan mandat pemakaian pelitup muka. - Foto Reddit.

Rabu, 19 Januari 2022

Seorang lelaki bisu dan lumpuh dakwa pulih selepas terima vaksin Covid-19

Seorang lelaki bisu dan lumpuh dakwa pulih selepas terima vaksin Covid-19


Seorang lelaki yang lumpuh dan bisu selama empat tahun di India, mendakwa bahawa dirinya kembali pulih selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 Covieshield, lapor akhbar Mirror UK pada 17 Januari 2022.


Dularchand Munda, 55, cedera parah pada tulang belakang dalam satu kemalangan kereta pada 2017 yang menyebabkan dia terlantar dan tidak boleh bercakap.


Namun, selepas menerima suntikan vaksin pada 4 Januari lalu, Dularchand memberitahu, dia dapat menggerakkan semula kakinya selepas beberapa jam menerima vaksin Covieshield, dia juga boleh berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat.


Dalam masa sama, lelaki yang sudah empat tahun tidak boleh bercakap itu mampu bersuara buat kali pertama sejak kemalangan itu, lapor Mirror UK dipetik dari laporan NDTV.



"Saya sangat gembira kerana terpilih mengambil vaksin ini kerana ia mengembalikan semula kemampuan saya untuk berjalan dan bercakap.


Seorang pakar kesihatan, Dr. Jitendra Kumar berkata, situasi itu adalah satu keajaiban yang mengagumkan, namun menegaskan masih banyak yang perlu dikaji mengenai keberkesanan vaksin ke atas penyakit lain selain virus Covid-19.


Tambahnya, ramai yang kagum melihat perkara ini tetapi ia perlu dipastikan oleh saintis, pulih secara tiba-tiba selepas mengambil suntikan vaksin adalah sukar dipercayai.


"Jika vaksin dikatakan memberi kesan positif ke atas kecederaan yang baru berlaku beberapa hari, ia boleh difahami secara perubatan. Namun bagi keadaan yang sudah berlarutan empat tahun seperti Dularchand, kita perlu lakukan kajian lanjut," katanya.


Vaksin Covishield dihasilkan oleh Institut Serum India dan menggunakan formula sama untuk menghasilkan vaksin Oxford-AstraZeneca. - Sumber Mirror UK.


Dularchand mendakwa boleh berjalan dan bercakap semula selepas 24 jam menerima vaksin Covishield. - Foto The Mirror.

Ahad, 7 November 2021

Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas

Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas


Pasti ramai diantara kita kenal dengan chef selebriti, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae yang mempunyai pengikut hampir 40 juta di Instagram. Chef dari Turki ini adalah pemilik restoran mewah Nusr-Et yang mempunyai cawangan di seluruh dunia.


Restoran ini menyajikan menu khas, stik yang dibalut dalam daun emas 24 karat dengan harga lebih AS$1,000 (RM4,160). Antara selebriti antarabangsa yang pernah berkunjung ke restoran ini ialah David Beckham, Leonardo DiCaprio dan Naomi Campbell.


Baru-baru ini, sebuah video yang menunjukkan seorang menteri dari Vietnam menikmati stik yang dibalut dengan daun emas di sebuah restoran mewah di London mencetuskan kemarahan rakyatnya.


Menteri Keselamatan Awam, To Lam dilihat menyuap menu makanan itu di Nusr-Et Steakhouse di sebuah kawasan mewah di Knightsbridge. Video membabitkan Lam pada mulanya hanya dimuatnaik oleh restoran itu sebelum dipadamkan.


Namun ia tersebar di Tiktok dan Facebook di Vietnam, sejak beberapa hari lalu. Ia kemudiannya mengundang kemarahan warganet kerana pemimpin politik itu tidak peka dengan keadaan Vietnam yang terpaksa bergelut dengan kemerosotan ekonomi selepas gelombang dahsyat Covid-19.


Covid-19 menyebabkan banyak pekerjaan hilang di Vietnam, sekali gus menyebabkan penguncupan paling teruk dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.


Pham Viet Duc melalui Facebook menyatakan kemarahannya berikutan di saat rakyat sedang berdepan kesukaran yang teruk akibat pandemik, namun pemimpin kerajaan seronok menikmati kemudahan seperti selebriti antarabangsa.


"Kerajaan selalu menjelaskan mengenai masalah kewangan yang dihadapi negara, namun pada masa sama mencuri duit rakyat untuk menikmati kehidupan mewah seolah-olah tiada lagi hari esok," katanya.


Terdapat juga warganet yang memaparkan beberapa keping gambar membabitkan kanak-kanak miskin di wilayah paling mundur di negara itu. Menurut warganet, Tommy Lee, pihaknya percaya klip video itu hanya sebahagian daripada tindakan pemimpin yang banyak membelanjakan wang secara mewah.


"Ini hanya kebetulan rakyat dapat melihat video ini sedangkan mereka memang selalu berbelanja mewah ribuan kali lebih daripada ini," katanya di Facebook.


Menteri Keselamatan Awam Vietnam, To Lam dilihat menyuap menu stik mewah di Nusr-Et Steakhouse, di sebuah kawasan mewah di Knightsbridge, London. - Foto Facebook.

Jumaat, 3 September 2021

Wanita Dipenjara 18 Bulan, Ambil Vaksin Guna Pasport Orang Lain

Wanita Dipenjara 18 Bulan, Ambil Vaksin Guna Pasport Orang Lain


Padah menggunakan pasport milik individu lain untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.


Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas That That Mar, 27, setelah dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.


Mengikut pertuduhan satu dan dua, tertuduh didapati telah memperdayakan seorang doktor dan jururawat dengan menggunakan pasport milik Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.


Tindakan itu dilakukan tertuduh di Klinik Medidion, Taman Cheng Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Julai dan 18 Ogos lalu.


Bagi kedua-dua keslahan itu, tertuduh didakwa mengikut Sekyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai makan didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan dia ingin pulang ke negara asalnya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius, selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.


Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditangkap pada 18 Ogos lalu. Beliau bagaimanapun memerintah kesemua hukuman itu berjalan serentak.


Tertuduh seorang wanita warga Myanmar diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Selasa, 31 Ogos 2021

Tuan Rumah Pula Terpaksa Merempat Walaupun Ada 3 Rumah

Tuan Rumah Pula Terpaksa Merempat Walaupun Ada 3 Rumah


Seorang pesara tentera Amerika Syarikat yang juga ibu tunggal ini memiliki tiga rumah, namun terpaksa tinggal dalam kereta selain menumpang di rumah rakan-rakan bersama anak perempuannya buat sementara waktu, selepas penyewanya enggan membayar sewa.


Walaupun mempunyai portfolio hartanah yang sihat, Brandie LaCasse kini kehilangan tempat tinggal setelah penyewa berhenti membayar sewa sejak tahun lalu, bahkan wanita itu menanggung tunggakan lebih AS$23,000 (RM95,886). Setelah menempuh masa yang sukar, Brandie menyuruh penyewa untuk pindah agar dia dapat masuk, tetapi ketiga-tiganya menolak.


Lebih malang, Brandie tidak dapat mengambil apa-apa tindakan ke atas semua penyewanya itu berikutan masing-masing dilindungi di bawah dasar larangan pengusiran, susulan pandemik Covid-19 yang dikuatkuasakan negeri dan persekutuan.



"Saya menangis setiap malam memikirkan 'mana duit saya?' Saya tidak faham bagaimana mereka (kerajaan) boleh beri rumah saya kepada orang lain untuk mereka duduk secara percuma. Sedangkan saya yang membeli hartanah itu dengan segala kudrat dan kemampuan saya.


"Saya melabur dalam hartanah ini, tanpa menyangka saya tidak akan mempunyai tempat tinggal. Saya hanya mahukan rumah saya. Itu sahaja. Saya hanya mahukan rumah saya," kata Brandie LaCasse memberitahu kepada CBS.


Dasar larangan pengusiran diwujudkan untuk melindungi penyewa sepanjang tempoh pandemik, namun sesetengah pemilik hartanah menyifatkan mereka sebagai mangsa akibat dasar itu. Pakar polisi perumahan yang juga profesor di Universiti Pennsylvania, Vincent Reina berkata, hampir 10 peratus pemilih hartanah di AS mengutip kurang daripada separuh sewa rumah pada 2020.


Katanya, pemilik yang memiliki kurang daripada enam unit rumah adalah golongan paling terkesan. CBS menghubungi Carla McArthur iaitu seorang daripada penyewa Brandie, dan diberitahu wanita itu bahawa dia dan suaminya tidak dapat membayar sewa rumah kerana terjejas akibat Covid-19.


"Saya rasa bersalah kerana tidak dapat membayar sewa kepada dia tetapi kami hilang pendapatan. Saya dijangkiti Covid-19 dua kali, anak saya sekali dan suami saya juga sekali. Kami sangat terkesan dengan virus ini," katanya.


Brandie LaCasse terpaksa menumpang rumah rakannya dan tinggal di dalam kereta buat sementara waktu. - Foto CBS.

Rabu, 25 Ogos 2021

Antibodi haiwan llama hentikan penularan Covid-19 dalam ujian makmal

Antibodi haiwan llama hentikan penularan Covid-19 dalam ujian makmal


Antibodi haiwan llama kemungkinan besar akan mempunyai peranan global dalam membantu memerangi Covid-19. Ini sekiranya ujian klinikal dijalankan syarikat bioperubatan Belgium berjalan lancar seperti dijanjikan, lapor Reuters.


Penyelidik dari Pusat Bioteknologi Perubatan VIB-UGent di Ghent berkata, antibodi yang diekstrak daripada seekor llama yang dikenali dengan nama 'Winter' itu telah berjaya mematikan penularan koronavirus.


Ketua Pegawai Perubatan ExeVir VIB-UGent, Domunique Tersago, mengatakan teknologi yang merupakan kemajuan terbesar ini dilihat dapat meningkatkan peranan vaksin dalam melindungi orang ramai yang mempunyai sistem berdaya tahan yang lemah, selain merawat para individu yang dijangkiti di hospital.


"Antibodi llama yang luar biasa dapat bercantum dengan bahagian tertentu pada S Protein virus dan kami tidak melihat mutasi pada kadar tinggi di sana," katanya.


Tambahnya, antibodi juga menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular. Para penyelidik menjangkakan ujian klinikal terhadap sukarelawan sihat yang dimulakan minggu lalu akan menunjukkan kesan yang sama.


Menurut Ketua Kumpulan VIB-UGent, Xavier Saelens, seperti Ilama dan spesis unta yang lain, Winter menghasilkan versi antibodi yang lebih kecil dan stabil berbanding haiwan-haiwan yang lain.


"Saiznya yang kecil membolehkan ia untuk mencapai sasaran hingga ke bahagian virus yang sukar diakses oleh antibodi biasa," katanya.


Pencarian bagi rawatan Covid-19 itu adalah susulan kepada kajian yang dijalankan pada 2016 melibatkan penggunaan antibodi haiwan llama untuk melawan virus SARS dan MERS.


Pada 2018, syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi membayar 3.9 bilion euro kepada Ablynx, sebuah syarikat perubatan yang mempunyai kepakaran dalam penyelidikan antibodi llama.


Antibodi llama menunjukkan tahap peneutralan kuat terhadap varian Delta yang mudah menular. - Foto Getty Images.

Selasa, 24 Ogos 2021

Tumbuk muka dan mengejar jururawat sebelum cuba lari dari hospital

Tumbuk muka dan mengejar jururawat sebelum cuba lari dari hospital


Tindakan seorang pesakit Covid-19 cuba melarikan diri dari Hospital Sungai Buloh semalam mengundang padah apabila mengalami kecederaan selepas terjatuh dari tingkat lima.


Memetik laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku pada 3.20 petang semalam. Mangsa yang berusia 33 tahun dimasukkan di dalam wad hospital itu pada 3 pagi hari sama akibat positif Covid-19.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, pesakit yang kelihatan murung itu cuba keluar dari wad sebelum bergelut dengan jururawat yang cuba menghalangnya.


"Pesakit lelaki itu bertindak agresif terhadap jururawat dengan menumbuk muka dan mengejar jururawat yang menghalangnya untuk keluar dari wad berkenaan. Dia turut mengganggu pesakit lain sebelum pergi ke tepi tingkap wad dan cuba terjun," katanya.


Beliau berkata, kejadian itu disedari staf lain hospital dan cuba menyelamatkannya, namun pesakit itu akhirnya terjatuh ke aras bawah hospital.


Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera di badan dan muka. Kes masih dalam siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.


Lelaki positif Covid-19 tumbuk jururawat sebelum cuba lari dari hospital.