Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Selasa, 18 Mac 2025

Pasangan suami isteri baru 2 bulan kahwin ditahan curi bawang putih dari sebuah gudang

Pasangan suami isteri baru 2 bulan kahwin ditahan curi bawang putih dari sebuah gudang


Pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas dipercayai mencuri bawang putih dari sebuah gudang di Jalan Berlian, Medan Johor, Indonesia.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polrestabes Medan, Ajun Komisaris Besar Polisi (AKBP) Bayu Putro Wijayanto berkata, Wiellianto, 29, dan Umi Kalsum Pulungan, 27, ditahan selepas didapati mencuri lapan guni bawang putih milik peniaga, Winama Suhardi.


"Siasatan mendapati kejadian curi itu berlaku sejak Februari lalu dan pasangan ini telah beberapa kali masuk ke gudang bersama seorang lagi rakan mereka yang dikenali sebagai M.


"Wiellianto yang juga mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa ditahan ketika mencuri di gudang berkenaan pada 13 Mac lalu, kira-kira jam 9 malam," katanya pada sidang media di Medan, semalam.


Menurutnya, Wiellianto membuka gudang menggunakan kunci palsu sebelum melarikan bawang putih menaiki sebuah kereta.


"Kesemua hasil curi itu dijual kepada seorang lagi suspek dikenali sebagai R di Pasar Simpang Limun pada harga 400,000 rupiah Indonesia atau RM118 bagi setiap guni.


"Hasil jualan pula digunakan untuk menampung kehidupan harian mereka," jelasnya.


Tambah Bayu, kedua-dua suspek kini direman selepas disahkan sebagai tertuduh, manakala dua lagi suspek termasuk M dan R sedang dikesan pihak berkuasa.


"Pasangan suami isteri ini baru dua bulan berkahwin dan sudah terbabit dalam kes curi. Kita sedang buru dua lagi suspek," katanya. - Sumber Tribun News.


Pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas dipercayai mencuri bawang putih dari sebuah gudang di Jalan Berlian, Medan Johor, Indonesia. - Foto KOMPAS.com/GOKLAS WISELY.

Rabu, 5 Mac 2025

Lori bawa 46 motosikal hangus terbakar ketika sedang bergerak

Lori bawa 46 motosikal hangus terbakar ketika sedang bergerak


Satu klip video tular di media sosial memaparkan sebuah lori yang membawa 46 motosikal terbakar secara tiba-tiba di sebatang jalan di Indonesia, lapor portal berita NTB Satu semalam.


Rakaman itu dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @maymunahtj. Ia memaparkan lori tersebut hangus dijilat api ketika sedang bergerak seperti dalam adegan filem Ghost Rider.


Orang ramai mula panik dan menjauhkan diri ketika menyaksikan motosikal-motosikal itu terbakar sambil mengeluarkan asap tebal ke udara.


Pemandu lori bahkan sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk menjauhkan kenderaan itu dari kawasan penduduk.


Seorang saksi berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada bahagian enjin salah sebuah motosikal yang diangkut.


Menurut Kompas.com, lori itu terbakar ketika melintas di Kecamatan Torgamba, Kabupaten Labuhanbatu Selatan, Sumatera Utara hujung minggu lalu (2/3/2025) sekitar pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan).


Rakaman itu mencatatkan lebih 189,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Pemandu lori sanggup fikir tentang keselamatan orang lain dari dirinya sendiri," kata seorang netizen.


Tangkap layar menunjukkan lori membawa motosikal itu dijilat api di Indonesia. - Foto TikTok.

Rabu, 19 Februari 2025

Terengganu bakal jadi lokasi bina pesawat, sekali gus lahirkan ramai pakar aeroangkasa

Terengganu bakal jadi lokasi bina pesawat, sekali gus lahirkan ramai pakar aeroangkasa


Terengganu bakal menjadi lokasi bagi membina pesawat, sekali gus dapat memacu ekonomi serta membuka ruang melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah menerima kunjungan delegasi Putra Aerospace Industries (PAI) diketuai Tuan Hassanuddin Tuan Kob untuk berbincang mengenai perancangan tersebut.


"Berbesar hati menerima kunjungan daripada delegasi PAI diketuai Tuan Hassanuddin Tuan Kob yang datang bagi menyampaikan hasrat mereka untuk membina pesawat di Terengganu.


"Kita telah kenal pasti lokasi strategik untuk projek fasa pertama ini iaitu dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar (20.2 hektar).


"Manakala cadangan bagi fasa kedua dan seterusnya juga telah dikenal pasti di kawasan sama," katanya menerusi satu kenyataan di hantaran Facebook rasminya hari ini.


Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, PAI bukan hanya mampu membuat alat ganti pesawat bahkan memiliki lesen membina pesawat baharu.


"Semoga kerjasama antara kerajaan negeri dan PAI dapat meningkatkan ekonomi dan membuka ruang melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang aeroangkasa serta bermanfaat buat rakyat secara menyeluruh," jelasnya.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAI bakal menjalin kerjasama dengan Terengganu sebagai lokasi membina pesawat.

Khamis, 13 Februari 2025

Polis mengeluarkan poster buru seekor emu kerana didakwa laku jenayah

Polis mengeluarkan poster buru seekor emu kerana didakwa laku jenayah


Polis meminta orang ramai membantu memburu 'suspek' luar biasa berupa seekor emu, lapor portal berita United Press International (UPI) pada 12 Februari 2025.


Polis berkata, emu itu kali terakhir dilihat di Lebuh Raya 6, berhampiran sebuah kedai koperasi dan pengedar kenderaan Hyundai di bandar Batesville, Mississippi baru-baru ini.


Pihak berkuasa itu mengeluarkan poster suspek yang dikenali sebagai 'Emu the Great'.


Burung asal Australia itu dikehendaki kerana melarikan diri daripada 'jenayah' dan berkelakuan mengganggu ketenteraman, demikian menurut keterangan poster tersebut.


"Sila berhati-hati jika anda bertemu dengan 'suspek ini'.


"Emu ini akan 'menyerang' sesiapa sahaja yang menghalang kebebasannya," demikian menurut amaran polis pada poster tersebut.


Polis turut meminta sesiapa yang melihat emu itu supaya tidak membunyikan hon kereta mereka.


"Jika anda melihatnya, sila maklumkan kepada kami. Kami akan berhubung dengan pemiliknya," kata polis. - Sumber UPI.


Polis mengeluarkan poster bagi mencari seekor burung emu. - Foto Polis Batesville/Facebook.

Isnin, 3 Februari 2025

Pasangan kekasih direman 7 hari bantu siasatan kes bunuh ibu kandung

Pasangan kekasih direman 7 hari bantu siasatan kes bunuh ibu kandung


Mahkamah Majistret Butterworth membenarkan perintah reman tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek yang dipercayai membunuh ibu kandungnya di Pangsapuri Seri Orkid di Seberang Perai pada Jumaat lalu.


Perintah itu dikeluarkan Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal pagi tadi.


Sebelum itu, suspek yang bergari dan memakai baju lokap tiba di pekarangan mahkamah dengan dikawal anggota polis pada pukul 10.49 pagi. Reman ke atas suspek berusia 24 tahun itu dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Dalam pada itu, kekasih kepada suspek utama turut direman bagi tempoh sama untuk membantu siasatan.


Difahamkan, ibu suspek yang berusia 60 tahun dipercayai telah dibunuh tiga hari lalu ekoran berlakunya pertengkaran antara dua beranak itu antara pukul 6 petang hingga 8 malam.


Mangsa dipercayai dipukul pada bahagian kepala menggunakan objek tumpul dan susulan itu, suspek dan kekasihnya yang berusia 20 tahun ditahan di kediaman bapa suspek di Paya Terubong kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.


Hasil semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan memukul ibu bapanya.


Suspek dan kekasihnya ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 2 Februari 2025

Lelaki tampar isteri kerana lambat keluar dari mall selepas beli nasi ayam

Lelaki tampar isteri kerana lambat keluar dari mall selepas beli nasi ayam


Berang kerana isteri lambat tiba selepas membeli nasi ayam dikatakan punca seorang lelaki menampar isterinya di pintu masuk sebuah pasar raya di Kota Warisan, di Sepang baru-baru ini.


Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi wartawan hari ini.


"Punca tampar isteri sebab lambat keluar mall (pasar raya) selepas beli nasi ayam," katanya ringkas.


Menurut Norhizam, suspek yang sebelum ini gagal dikesan selama enam hari selepas laporan polis dibuat terhadapnya dipercayai bersembunyi di dalam kereta sepanjang tempoh tersebut.


Jelasnya, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.


"Lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting pada pagi ini bagi tujuan permohonan reman," katanya.


Polis dilaporkan menahan lelaki itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.


Semalam, media tempatan melaporkan polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan selepas enam hari menghilangkan diri.


Sebelum ini, lelaki itu diburu polis susulan rakaman video tular memaparkan dia menampar isterinya di khalayak ramai di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Kota Warisan. - Sumber Kosmo Online.


Tangkap layar kejadian memaparkan seorang suami yang menampar isterinya di khlayak ramai dalam satu kejadian di Kota Warisan, Sepang, baru-baru ini.

Rabu, 29 Januari 2025

Lelaki dipenjara 6 bulan kerana tumbuk anggota polis

Lelaki dipenjara 6 bulan kerana tumbuk anggota polis


Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kemaman di Chukai hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk seorang anggota polis berpangkat koperal minggu lalu.


Tertuduh, Rosidi Muhamed, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan jenayah terhadap seorang penjawat awam berusia 38 tahun.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Januari lalu di Mahkamah Majistret Kemaman pada jam 12.45 tengah hari.


Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda.


Wan Suhaila kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap tertuduh.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi bersama Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Tertuduh, Rosidi Muhamed (tengah) dipenjara enam bulan atas kesalahan menumbuk anggota polis. - Foto NSTP/Rosli Ilham.