Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bencana. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Februari 2025

China tubuh pasukan lindungi Bumi bimbang 'kiamat' asteroid

China tubuh pasukan lindungi Bumi bimbang 'kiamat' asteroid


China menubuhkan pasukan pertahanan planet selepas saintis-saintis mengesan seketul asteroid bersaiz besar sedang meluncur ke Bumi, lapor laman berita Devon Live pada 12 Februari 2025.


NASA serta Agensi Angkasa Eropah meletakkan asteroid 2024 YR4 dalam senarai ancaman serius berikutan kebarangkalian ia menghentam Bumi agak tinggi.


Asteroid itu digelar sebagai 'pemusnah negara' kerana boleh memusnahkan rantau yang luas. Letupan yang berlaku sekiranya 2024 YR4 melanggar Bumi, adalah 100 kali ganda lebih kuat daripada bom atom.


Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri China untuk Pertahanan Negara kini merekrut untuk jawatan 'pertahanan planet'.


Badan itu sedang merekrut orang ramai untuk menghasilkan cara mengesan, memantau dan mungkin memesongkan asteroid YR4.


Penyelidik Pusat Sains Angkasa Kebangsaan Akademi Sains China, Li Mingtao berkata: "Kita bukan sahaja perlu mengukuhkan konfigurasi dan prestasi peralatan secara menyeluruh, malah mewujudkan pasukan bakat yang berdedikasi untuk pertahanan Bumi."


Beijing mendedahkan rancangan untuk menghentam asteroid tersebut dengan kapal angkasa bagi mengubah laluannya.


Mingtao berkata, jika asteroid YR4 menghentam Bumi, ia berkemungkinan akan hancur dalam atmosfera atau terhempas di lautan.


Namun jika malapetaka ini berlaku, gelombang kejutan dan radiasi boleh memusnahkan bandar bersaiz sederhana serta mencederakan berpuluh-puluh ribu orang.


Asteroid YR4 diramal tiba di Bumi pada 2 Disember 2032. - Sumber Devon Live.


Asteroid YR4 yang bersaiz besar sedang menuju ke Bumi. - Foto Devon Live.

Khamis, 13 Februari 2025

NASA buat persiapan kecemasan, asteroid 'gergasi' diramal hentam bumi

NASA buat persiapan kecemasan, asteroid 'gergasi' diramal hentam bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid 'pembunuh bandar raya'.


Memetik lapor Metro UK pada Selasa (11/2/2024), langkah berkenaan dibuat selepas timbul kebarangkalian tinggi batuan angkasa tersebut diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032.


Ahli astronomi kini sedang mempergiat dan memantau Asteroid 2024 YR4 yang kini mempunyai peluang sebanyak 2.3 peratus untuk berlanggar dengan bumi.


Jurucakap Agensi Angkasa Eropah (ESA) berkata, batuan selebar 91.44 meter mempunyai saiz yang sama dengan Patung Liberty di New York atau Menara Jam Big Ben di London.


"Ia telah berada dalam senarai pantauan NASA selepas pertama kali ditemui pada Disember 2024. Asteroid itu kini meluncur laju ke arah bumi pada kadar membimbangkan.


"Ahli astronomi di seluruh dunia menggunakan teleskop berkuasa untuk mengukur orbit asteroid itu setepat mungkin," katanya.


Sebelum ini, asteroid baharu dikesan dan hampir sebesar padang bola sepak dijangka memiliki peluang lebih satu peratus untuk bertembung dengan bumi beberapa tahun lagi.


Asteroid dikenali 2024 YR4 itu pertama kali dikesan Balai Cerap El Sauce di Chile pada 27 Disember lalu dengan ahli astronomi menganggarkan saiz antara 40 hingga 90 meter lebar, mengikut tahap kecerahannya.


Dalam pada itu, pihak NASA telah meminta bantuan daripada Teleskop Angkasa James Webb untuk mengkaji asteroid tersebut dan mengukur berapa banyak kerosakan yang akan berlaku jika ia menghentam bumi.


Berdasarkan pengiraan semasa, hentaman YR4 akan menjadi lebih kurang sama dengan asteroid Tunguska yang telah meratakan kawasan seluas 2,150 kilometer persegi hutan Siberia, Rusia pada tahun 1908. - Sumber Mentro UK.


NASA sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid yang diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032. - Foto AFP.

Selasa, 1 Oktober 2024

Kereta Tesla tiba-tiba terbakar sejurus terkena air banjir

Kereta Tesla tiba-tiba terbakar sejurus terkena air banjir


Sebuah kereta elektrik Tesla terbakar ketika disimpan di dalam sebuah garaj yang dimasuki air masin akibat Taufan Helene di negeri Florida, lapor akhbar New York Post pada 29 September 2024.


Dalam satu rakaman video kejadian, api kelihatan bermula di bawah kenderaan elektrik (EV) itu sebelum menyambar ke seluruh bahagian kereta dalam masa kurang satu minit.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) garaj menunjukkan ruang garaj itu dipenuhi asap tebal.


Beberapa pegawai pentadbiran Pinellas County menyiarkan video itu pada Sabtu lalu sebagai amaran kepada pemilik-pemilik EV agar waspada ketika Taufan Helene melanda Florida, Carolina Utara dan beberapa negeri lain di tenggara Amerika Syarikat.


Amaran turut dikeluarkan bagi menggesa pemilik kereta dan basikal elektrik supaya mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi gelombang ribut air masin, termasuk tidak meletakkan kenderaan mereka di dalam rumah atau garaj.


Pemilik turut diarah memindahkan EV pada jarak 15 meter dari mana-mana bahan mudah terbakar lain.


Sekurang-kurangnya 118 orang maut akibat Taufan Helene dan angka tersebut dijangka meningkat. - Sumber New York Post.


Api bermula di bawah Tesla tersebut dan menyambar ke seluruh bahagian dalam masa kurang dari satu minit. - Foto Pinellas County/Facebook.

Ahad, 22 September 2024

Salji tebal turun di Afrika Selatan, kenderaan terperangkap lebih 13 jam di laluan utama

Salji tebal turun di Afrika Selatan, kenderaan terperangkap lebih 13 jam di laluan utama


Salji tebal luar biasa telah menyebabkan gangguan kepada laluan utama di Afrika Selatan pada Sabtu yang turut menyaksikan ramai mangsa terperangkap dan terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing.


Lebuh raya N3 yang menghubungkan Johannesburg dan bandar Durban antara yang paling teruk terjejas hingga mengakibatkan beberapa bahagian terpaksa ditutup malah laluan yang dilencongkan juga tidak dapat diakses.


"Perkhidmatan kecemasan berusaha keras untuk sampai ke lokasi mangsa terkandas. Selimut dan bekalan makanan diberikan kepada mereka," ujar jurucakap pemerintah di wilayah KwaZulu-Natal.


Difahamkan, banyak trak yang diparkir di tepi jalan sejak Jumaat lalu dan ada perkhidmatan bas antara wilayah terkandas di stesen petrol selama kira-kira tujuh jam akibat salji tebal tersebut.



Salah seorang mangsa, Muhammad Goolam turut berkongsi kisah bermalam di dalam kereta selama lebih 13 jam bersama anaknya di pinggir bandar Harrismith yang terletak kira-kira 270 kilometer (km) di tenggara Johannesburg.


Catatan mangsa terkandas dikongsikan di platform X mendakwa beberapa kawasan diselubungi salji setebal dua meter.


Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Sempadan memaklumkan ia menutup tiga pos sempadan dengan Lesotho berikutan situasi yang semakin berbahaya.


"Ancaman salji tebal dengan amaran peringkat jingga bakal dilaksanakan di beberapa bahagian di seluruh negara," jelas jurucakap Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan, Luthando Masimini yang menyifatkan ia sebagai 'keadaan ekstrem'.


Fenomena jarang berlaku itu turut menarik minat segelintir penduduk tempatan termasuk Justin Nadasem Baker yang sanggup memandu selama tiga jam dari Johannesburg ke Warden yang terletak kira-kira 50km dari Harrismith.


"Kami sekeluarga sangat teruja untuk melihat dan bermain salji," katanya. - Sumber NST.


Beberapa pengguna lalu lintas membantu kereta yang terperangkap di dalam salji tebal di Oliviershoekpass berhampiran Harrismith. - Foto AFP.

Sabtu, 10 Ogos 2024

Kapal angkasa rosak, 2 angkasawan NASA terkandas di orbit Bumi hingga tahun depan

Kapal angkasa rosak, 2 angkasawan NASA terkandas di orbit Bumi hingga tahun depan


Dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terkandas di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berkemungkinan tidak akan kembali ke Bumi sehingga Februari 2025, lapor akhbar Daily Mail pada 8 Ogos 2024.


Sunita Williams, 58, dan Butch Wilmore, 61, terkandas selepas kapal angkasa keluaran Boeing, Starliner yang mereka naiki menuju ke ISS rosak lebih dua bulan lalu.


Kakitangan di Bumi bergelut untuk menyelesaikan isu tersebut. Bagaimanapun, pendedahan kelmarin menyatakan bahawa mereka mungkin tidak dapat pulang sehingga Februari tahun depan.


NASA berkongsi pelan kecemasan untuk menghantar dua angkasawan dalam misi syarikat aeroangkasa SpaceX, Crew-9 pada September ini. Namun, ia tidak akan membawa pulang dua angkasawan tersebut sehingga beberapa bulan kemudian.



Sunita dan Butch pada asalnya dijadualkan pulang ke Bumi pada 13 Jun lalu. Mereka sepatutnya menghabiskan masa tidak lebih seminggu di ISS.


Namun, kapal angkasa Starliner berdepan pelbagai masalah semasa penerbangan selama 25 jam itu. Rentetan itu, misi mereka telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.


Bagaimanapun, kedua-dua angkasawan tersebut telah berada di angkasa lepas selama 63 hari kerana kapal angkasa Starliner dilanda masalah kegagalan pendorong dan kebocoran gas helium. 


Masalah itu memaksa mereka berada di orbit lebih lama kerana bimbang perjalanan pulang ke bumi dengan menaiki kapal angkasa sama akan berakhir dengan bencana.


Memetik laporan NDTV News, NASA menegaskan bahawa angkasawan itu dan lapan angkasawan lain di dalam ISS adalah selamat.


Menurut Boeing, Starliner boleh kekal berlabuh dengan stesen angkasa selama maksimum 90 hari, selepas itu bateri di dalam kapal angkasa mungkin habis.


Akibatnya, ahli teknologi angkasa AS mempunyai lebih kurang 35 hari lagi untuk menentukan sama ada Sunita dan Butch Wilmore akan kembali ke Bumi dengan Boeing Starliner yang terjejas, atau jika mereka akan menggunakan SpaceX's Crew Dragon atau kapal angkasa Soyuz Rusia.


Kedua-dua kenderaan siap sedia ini sudah pun berlabuh di stesen angkasa, jadi Sunita mahupun lapan angkasawan yang lain tidak benar-benar terkandas di angkasa.


Dalam satu kenyataan, NASA berkata, ujian tanah untuk pendorong Sistem Kawalan Reaksi (RCS) selesai dan pembongkaran dan pemeriksaan menyimpulkan, pasukan Starliner sedang menyemak data yang akan membantu dalam misi masa depan dan membuka jalan bagi angkasawan NASA Butch Wilmore dan Sunita Williams untuk kembali ke Bumi. - Sumber Daily Mail.


Foto yang disediakan oleh NASA ini menunjukkan kapal angkasa Starliner Boeing yang melancarkan angkasawan Butch Wilmore dan Sunita Williams ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto AP.

Sunita Williams dan Butch Wilmore kini telah berada di angkasa selama 63 hari. - Foto AFP.

Sabtu, 20 Julai 2024

Jambatan runtuh beberapa kenderaan terjunam dalam sungai, 11 maut lebih 30 hilang

Jambatan runtuh beberapa kenderaan terjunam dalam sungai, 11 maut lebih 30 hilang


Sebuah jambatan runtuh disebabkan hujan lebat di wilayah Shaanxi, utara China dalam bencana yang menyebabkan 11 orang terbunuh dan lebih 30 lagi hilang, lapor media pemerintah hari ini.


Jambatan itu, yang terletak di Daerah Zhashui di Bandar Shangluo, wilayah Shaanxi runtuh sekitar pukul 8.40 malam semalam (waktu tempatan), 'disebabkan hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku secara tiba-tiba', kata agensi berita Xinhua.


Badan penyiaran rasmi CCTV melaporkan, hampir 20 kenderaan dan lebih 30 orang masih hilang selepas jambatan menghubungkan sebuah lebuh raya itu runtuh ke dalam sungai berkenaan.


Kesemua 11 mangsa yang terbunuh ditemui di dalam lima kenderaan yang terjatuh ke dalam sungai.


Stesen-stesen televisyen pemerintah menyiarkan rakaman menunjukkan sebahagian jambatan itu tenggelam digenangi air sungai yang mengalir deras.


Seorang saksi berkata, dia telah menghampiri jambatan itu tetapi pemandu lain mula 'menjerit kepada saya supaya memberhentikan kereta.'


"Sebuah lori di hadapan saya tidak berhenti dan jatuh ke dalam air," kata saksi yang bernama Meng.


Sebahagian besar utara dan tengah China dilanda hujan lebat sejak Selasa lalu yang menyebabkan banjir dan kerosakan ketara.


Semalam media pemerintah melaporkan sekurang-kurangnya lima orang maut dan lapan hilang selepas hujan mencetuskan banjir dan tanah runtuh di bandar Baoji, wilayah Shaanxi. - Sumber Xinhua.


Sebahagian jambatan yang runtuh di Shangluo, wilayah Shaanxi semalam. - Foto Xinhua.

Jumaat, 14 Jun 2024

Ribuan ikan mati, lagun kering kontang, lumpur dasar tasik retak

Ribuan ikan mati, lagun kering kontang, lumpur dasar tasik retak


Sebuah lagun di utara Mexico sebahagiannya kering kerana kemarau yang melanda negara itu. Bukan sahaja lagun, tetapi seluruh negeri Chihuahua di negara ini menghadapi kemarau teruk yang telah menghabiskan takungan airnya, lapor laman berita Wion News pada 13 Jun 2024.


Kemarau telah menimbulkan risiko kepada sektor pertanian dan penternakan di rantau ini. Situasi krisis itu menyebabkan kematian beribu-ribu ikan di lagun Bustillos, berhampiran bandar Anahuac di Chihuahua. 


Paras air di Lagun Bustillos susut hingga bawah 50 peratus daripada paras air biasa disebabkan cuaca panas dan kekurangan hujan, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu.


Ini bermakna bahan pencemar lebih tertumpu dan berbahaya kepada spesies yang mendiaminya.



Ikan mati mula berlonggok di dalam lumpur retak dasar tasik sejak seminggu lalu dan bau busuk menyelubungi kawasan ketika pekerja membersihkan sisa ikan yang reput. Keadaan itu juga boleh menyebarkan penyakit.


"Terdapat lebih sedikit air di lagun untuk ikan hidup di dalamnya sehingga mereka mati. Apabila jumlah air berkurangan, bahan pencemar menjadi lebih pekat, dan oleh itu ia juga menjejaskan spesies yang hidup di sini," kata Irma De La Pena ketua jabatan ekologi di bandar Cuauhtemoc, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.


Saul Sausameda, yang merupakan presiden komuniti Anahuac, berkata seperti yang dipetik oleh agensi berita itu, "Kami tidak dapat membetulkan fakta bahawa lebih banyak ikan mati, kami memerlukan hujan untuk mengisi lagun dengan air semula. Namun, kebimbangan sekarang adalah isu kebersihan."


Pihak berkuasa kesihatan berkata 125 orang meninggal dunia dalam musim panas semasa, yang bermula pertengahan Mac. - Sumber Wion News.


 

Pandangan dari udara menunjukkan ikan mati akibat kemarau di Lagun Bustillos, berhampiran Anahuac, Negeri Chihuahua, Mexico. - Foto AFP.