Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Februari 2025

China tubuh pasukan lindungi Bumi bimbang 'kiamat' asteroid

China tubuh pasukan lindungi Bumi bimbang 'kiamat' asteroid


China menubuhkan pasukan pertahanan planet selepas saintis-saintis mengesan seketul asteroid bersaiz besar sedang meluncur ke Bumi, lapor laman berita Devon Live pada 12 Februari 2025.


NASA serta Agensi Angkasa Eropah meletakkan asteroid 2024 YR4 dalam senarai ancaman serius berikutan kebarangkalian ia menghentam Bumi agak tinggi.


Asteroid itu digelar sebagai 'pemusnah negara' kerana boleh memusnahkan rantau yang luas. Letupan yang berlaku sekiranya 2024 YR4 melanggar Bumi, adalah 100 kali ganda lebih kuat daripada bom atom.


Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri China untuk Pertahanan Negara kini merekrut untuk jawatan 'pertahanan planet'.


Badan itu sedang merekrut orang ramai untuk menghasilkan cara mengesan, memantau dan mungkin memesongkan asteroid YR4.


Penyelidik Pusat Sains Angkasa Kebangsaan Akademi Sains China, Li Mingtao berkata: "Kita bukan sahaja perlu mengukuhkan konfigurasi dan prestasi peralatan secara menyeluruh, malah mewujudkan pasukan bakat yang berdedikasi untuk pertahanan Bumi."


Beijing mendedahkan rancangan untuk menghentam asteroid tersebut dengan kapal angkasa bagi mengubah laluannya.


Mingtao berkata, jika asteroid YR4 menghentam Bumi, ia berkemungkinan akan hancur dalam atmosfera atau terhempas di lautan.


Namun jika malapetaka ini berlaku, gelombang kejutan dan radiasi boleh memusnahkan bandar bersaiz sederhana serta mencederakan berpuluh-puluh ribu orang.


Asteroid YR4 diramal tiba di Bumi pada 2 Disember 2032. - Sumber Devon Live.


Asteroid YR4 yang bersaiz besar sedang menuju ke Bumi. - Foto Devon Live.

Khamis, 13 Februari 2025

NASA buat persiapan kecemasan, asteroid 'gergasi' diramal hentam bumi

NASA buat persiapan kecemasan, asteroid 'gergasi' diramal hentam bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid 'pembunuh bandar raya'.


Memetik lapor Metro UK pada Selasa (11/2/2024), langkah berkenaan dibuat selepas timbul kebarangkalian tinggi batuan angkasa tersebut diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032.


Ahli astronomi kini sedang mempergiat dan memantau Asteroid 2024 YR4 yang kini mempunyai peluang sebanyak 2.3 peratus untuk berlanggar dengan bumi.


Jurucakap Agensi Angkasa Eropah (ESA) berkata, batuan selebar 91.44 meter mempunyai saiz yang sama dengan Patung Liberty di New York atau Menara Jam Big Ben di London.


"Ia telah berada dalam senarai pantauan NASA selepas pertama kali ditemui pada Disember 2024. Asteroid itu kini meluncur laju ke arah bumi pada kadar membimbangkan.


"Ahli astronomi di seluruh dunia menggunakan teleskop berkuasa untuk mengukur orbit asteroid itu setepat mungkin," katanya.


Sebelum ini, asteroid baharu dikesan dan hampir sebesar padang bola sepak dijangka memiliki peluang lebih satu peratus untuk bertembung dengan bumi beberapa tahun lagi.


Asteroid dikenali 2024 YR4 itu pertama kali dikesan Balai Cerap El Sauce di Chile pada 27 Disember lalu dengan ahli astronomi menganggarkan saiz antara 40 hingga 90 meter lebar, mengikut tahap kecerahannya.


Dalam pada itu, pihak NASA telah meminta bantuan daripada Teleskop Angkasa James Webb untuk mengkaji asteroid tersebut dan mengukur berapa banyak kerosakan yang akan berlaku jika ia menghentam bumi.


Berdasarkan pengiraan semasa, hentaman YR4 akan menjadi lebih kurang sama dengan asteroid Tunguska yang telah meratakan kawasan seluas 2,150 kilometer persegi hutan Siberia, Rusia pada tahun 1908. - Sumber Mentro UK.


NASA sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid yang diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032. - Foto AFP.

Sabtu, 28 Disember 2024

Kapal angkasa NASA tidak terbakar selepas lakukan misi paling hampir dengan matahari

Kapal angkasa NASA tidak terbakar selepas lakukan misi paling hampir dengan matahari


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) secara rasmi mencipta sejarah apabila sebuah kapal angkasa miliknya berada paling hampir dengan Matahari, lapor portal berita Daily Mail pada 27 Disember 2024.


Agensi angkasa lepas milik Amerika Syarikat (AS) itu mengesahkan bahawa kapal angkasa dikenali sebagai Parker Solar Probe terselamat ketika menghampiri Matahari dan kini beroperasi seperti biasa.


Agensi itu memaklumkan bahawa pasukan operasi di makmal fizik gunaan Universiti Johns Hopkins di Maryland menerima isyarat, iaitu nada suar, daripada probe itu sejurus sebelum tengah malam Khamis.


Kapal angkasa itu dijangka menghantar data telemetri terperinci tentang statusnya pada 1 Januari.


Kapal angkasa itu dilancarkan dari Cape Canaveral, negeri Florida pada Ogos 2018 sebelum memulakan perjalanan sejauh 149,668,992 kilometer menuju ke orbit Matahari.


"Parker Solar Probe telah 'menelefon' (menghubungi) ke rumah (pangkalan NASA di Florida)!


"Selepas berada hanya 6.1 juta kilometer dari permukaan Matahari pada 24 Disember lalu yang merupakan penerbangan terdekat dalam sejarah, kami telah menerima isyarat daripada Parker Solar Probe mengesahkan kapal angkasa itu selamat," kata NASA di platform X.


Semasa penerbangan, Parker Solar Probe menempuh suhu sehingga 982 darjah Celsius sambil bergerak pada kelajuan 692,017 kilometer sejam tetapi perisai haba melindungi kapal angkasa itu dengan berkesan.


Selain memecahkan rekod, saintis-saintis berharap misi itu akan membolehkan mereka mengukur cara material dipanaskan hingga berjuta-juta darjah Celsius, mengesan asal usul angin Matahari dan mempelajari cara zarah bertenaga mencapai hampir kelajuan cahaya. - Sumber Daily Mail.


Ilustrasi artis kapal angkasa NASA berada dekat dengan matahari. - Foto AFP.

Selasa, 12 November 2024

Model cantik ini berhasrat ingin jadi wanita pertama lahirkan anak di Marikh

Model cantik ini berhasrat ingin jadi wanita pertama lahirkan anak di Marikh


Seorang model yang pernah menyatakan hasrat untuk menjadi individu pertama melakukan hubungan seks di angkasa, kini beralih kepada cita-cita yang lebih luar biasa, iaitu melahirkan anak di planet Marikh, lapor akhbar Daily Star semalam.


Elsa Thora yang berasal dari Sweden merupakan bintang OnlyFans yang berpusat di Britain berkata, dia mahu membantu membina populasi planet tersebut dan berharap jutawan terkenal, Elon Musk dapat merealisasikannya.


Wanita berusia 22 tahun yang terkenal dengan penampilan beraninya sebelum ini pernah meluahkan keinginannya untuk melakukan hubungan seks di angkasa.


"Itu adalah sesuatu yang saya benar-benar ingin lakukan, bayangkan semua posisi yang boleh dilakukan dalam graviti sifar," katanya ketika ditemubual oleh Daily Star.


Namun, Elsa kini beralih fokus kepada matlamat baharu yang lebih pelik selepas melihat permintaan daripada penstriman terkenal, Kai Cenat yang mengharapkan Elon Musk membantunya menjadi orang pertama yang melakukan penstriman secara langsung dari angkasa lepas.


"Setelah melihat permintaan besar dari seorang penstriman yang mahu menjadi orang pertama menstrim dari Marikh, saya rasa matlamat sekarang adalah untuk melahirkan bayi pertama di Marikh dan membantu membina populasi manusia," katanya.


Elsa turut mengaku dia memerlukan bantuan Elon Musk untuk membawa dirinya ke planet tersebut bagi memulakan penempatan baharu di planet tersebut.


"Dia (Musk) sudah mempunyai 12 anak, jadi dia tahu apa yang dia lakukan," ujar Elsa sambil bergurau.


Sementara itu, menurut Pakar Fizik dan Astronomi, John Millis, melakukan hubungan seks di angkasa adalah tidak menyenangkan kerana ia seperti melakukannya ketika terjun bebas.


"Semua masalah berkaitan dengan persekitaran graviti mikro yang dialami oleh angkasawan. Bayangkan melakukan aktiviti seksual ketika terjun bebas, setiap dorongan atau hentakan menyebabkan anda bergerak ke arah bertentangan," katanya. - Sumber Daily Star.


Elsa Thora menyatakan hasrat untuk menjadi individu pertama melahirkan anak di planet Marikh. - Foto Elsa Thora.

Sabtu, 26 Oktober 2024

Satelit Boeing tiba-tiba meletup,150 negara terputus internet, komunikasi

Satelit Boeing tiba-tiba meletup,150 negara terputus internet, komunikasi


Sebuah satelit Boeing mengalami 'kegagalan sistem' yang menyebabkannya meletup secara spontan di orbit, mengakibatkan internet dan komunikasi terputus secara meluas di seluruh dunia, lapor portal berita MailOnline pada 24 Oktober 2024.


Satelit seberat hampir 2,267 kilogram, iS-33e pecah menjadi lebih 50 serpihan pada Isnin lalu.


Ia dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan satelit antarabangsa, Intelsat yang menyediakan perkhidmatan komunikasi kepada pelbagai pelanggan yang merangkumi hampir 150 buah negara.


IS-33e ialah ialah satelit yang digunakan untuk telefon, internet dan komunikasi mudah alih dan penyiaran isyarat televisyen serta radio.



Punca sebenar kematian satelit itu belum didedahkan. Tetapi Intelsat menyatakan bahawa 'anomali' yang berlaku pada 19 Oktober menyebabkan iS-33e terputus secara spontan.


Pada masa lalu, satelit seperti iS-33e telah rosak akibat perlanggaran dengan serpihan angkasa atau meteoroid dan peningkatan aktiviti suria. Ada kemungkinan bahawa salah satu daripada ini boleh menyebabkan kematian satelit.


Angkatan Angkasa Amerika Syarikat kini sedang mengesan sekitar 20 serpihan yang dikaitkan dengan kejadian itu.


Ini akan menambahkan sampah angkasa yang semakin meningkat mengelilingi planet kita, yang meningkatkan risiko serpihan jatuh kembali ke Bumi.


Intelsat berkata, pihaknya sedang dalam proses memindahkan perkhidmatan iS-33e ke satelit lain dan analisis dilakukan bagi mengetahui apa yang menyebabkan satelit itu meletup. - Sumber Daily Mail.


Serpihan daripada letupan ini akan menambahkan sampah angkasa yang semakin meningkat mengelilingi planet kita, yang meningkatkan risiko serpihan jatuh kembali ke Bumi. - Foto MailOnline.

Sabtu, 10 Ogos 2024

Kapal angkasa rosak, 2 angkasawan NASA terkandas di orbit Bumi hingga tahun depan

Kapal angkasa rosak, 2 angkasawan NASA terkandas di orbit Bumi hingga tahun depan


Dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang terkandas di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) berkemungkinan tidak akan kembali ke Bumi sehingga Februari 2025, lapor akhbar Daily Mail pada 8 Ogos 2024.


Sunita Williams, 58, dan Butch Wilmore, 61, terkandas selepas kapal angkasa keluaran Boeing, Starliner yang mereka naiki menuju ke ISS rosak lebih dua bulan lalu.


Kakitangan di Bumi bergelut untuk menyelesaikan isu tersebut. Bagaimanapun, pendedahan kelmarin menyatakan bahawa mereka mungkin tidak dapat pulang sehingga Februari tahun depan.


NASA berkongsi pelan kecemasan untuk menghantar dua angkasawan dalam misi syarikat aeroangkasa SpaceX, Crew-9 pada September ini. Namun, ia tidak akan membawa pulang dua angkasawan tersebut sehingga beberapa bulan kemudian.



Sunita dan Butch pada asalnya dijadualkan pulang ke Bumi pada 13 Jun lalu. Mereka sepatutnya menghabiskan masa tidak lebih seminggu di ISS.


Namun, kapal angkasa Starliner berdepan pelbagai masalah semasa penerbangan selama 25 jam itu. Rentetan itu, misi mereka telah dilanjutkan selama dua minggu lagi.


Bagaimanapun, kedua-dua angkasawan tersebut telah berada di angkasa lepas selama 63 hari kerana kapal angkasa Starliner dilanda masalah kegagalan pendorong dan kebocoran gas helium. 


Masalah itu memaksa mereka berada di orbit lebih lama kerana bimbang perjalanan pulang ke bumi dengan menaiki kapal angkasa sama akan berakhir dengan bencana.


Memetik laporan NDTV News, NASA menegaskan bahawa angkasawan itu dan lapan angkasawan lain di dalam ISS adalah selamat.


Menurut Boeing, Starliner boleh kekal berlabuh dengan stesen angkasa selama maksimum 90 hari, selepas itu bateri di dalam kapal angkasa mungkin habis.


Akibatnya, ahli teknologi angkasa AS mempunyai lebih kurang 35 hari lagi untuk menentukan sama ada Sunita dan Butch Wilmore akan kembali ke Bumi dengan Boeing Starliner yang terjejas, atau jika mereka akan menggunakan SpaceX's Crew Dragon atau kapal angkasa Soyuz Rusia.


Kedua-dua kenderaan siap sedia ini sudah pun berlabuh di stesen angkasa, jadi Sunita mahupun lapan angkasawan yang lain tidak benar-benar terkandas di angkasa.


Dalam satu kenyataan, NASA berkata, ujian tanah untuk pendorong Sistem Kawalan Reaksi (RCS) selesai dan pembongkaran dan pemeriksaan menyimpulkan, pasukan Starliner sedang menyemak data yang akan membantu dalam misi masa depan dan membuka jalan bagi angkasawan NASA Butch Wilmore dan Sunita Williams untuk kembali ke Bumi. - Sumber Daily Mail.


Foto yang disediakan oleh NASA ini menunjukkan kapal angkasa Starliner Boeing yang melancarkan angkasawan Butch Wilmore dan Sunita Williams ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto AP.

Sunita Williams dan Butch Wilmore kini telah berada di angkasa selama 63 hari. - Foto AFP.

Ahad, 28 Julai 2024

Batu bentuk anak panah, menunjukkan kemungkinan ada kehidupan mikrob di Marikh

Batu bentuk anak panah, menunjukkan kemungkinan ada kehidupan mikrob di Marikh


Kenderaan Rover Perseverance Mars NASA menemukan batu berbentuk anak panah dengan ciri-ciri yang mungkin menunjukkan kehidupan mikrob berbilion tahun yang lampau di Planet Marikh, lapor Xinhua.


Semasa penerokaannya pada 21 Julai di Neretva Vallis, sebuah lembah sungai purba di Marikh, rover Perseverance menemui batu menarik yang dikenali sebagai "Cheyava Falls."


Pasukan sains Perseverance menganalisis batu berkenaan menggunakan sinar-X dan laser. Analisis mereka mendedahkan kehadiran urat kalsium sulfat putih, kawasan tengah berwarna kemerahan, dan tompok-tompok kecil berwarna putih di atas batu itu.


"Di Bumi, ciri-ciri seperti ini dalam batu sering dikaitkan dengan rekod fosil mikrob yang hidup di bawah permukaan," kata David Flannery, seorang ahli "astrobiologist" di Universiti Queensland Australia dan ahli pasukan sains itu.


Walaupun ciri-ciri yang diperhatikan pada batu itu mencadangkan kemungkinan kehidupan mikrob di Marikh semasa tempoh yang lebih panas dan lembap, penjelasan alternatif seperti suhu tinggi yang menjadikan persekitaran tidak boleh didiami tidak boleh diketepikan.


Untuk mengesahkan sama ada batu itu memang mengandungi bukti kehidupan mikrob, pemeriksaan lanjut di Bumi diperlukan.


Bagaimanapun, misi membawa pulang sampel Marikh NASA menghadapi cabaran, termasuk belanjawan terkurang dan kelewatan yang ketara, menyebabkan jangkaan penyelesaiannya ditolak ke tahun 2040-an.


Berikutan kekangan ini, NASA sedang giat meneroka pendekatan alternatif untuk mempercepatkan usaha membawa pulang sampel Marikh, dengan matlamat untuk mencapai tujuan ini lebih awal dan pada kos yang lebih rendah.


Versi beranotasi imej "Cheyava Falls" menunjukkan tanda bintik harimau bintang, yang telah menarik perhatian saintis dan olivin (sejenis mineral) di dalam batu. Imej itu ditangkap oleh instrumen WATSON pada rover Perseverance Mars NASA pada 18 Julai lalu. - Foto NASA/JPL-Caltech/MSSS.