Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Isnin, 24 Februari 2025

Burung jatuhkan tangan manusia milik kanak-kanak di halaman sekolah

Burung jatuhkan tangan manusia milik kanak-kanak di halaman sekolah


Tangan manusia ditemukan di halaman sekolah di Ireland, minggu ini dan ia disyaki milik seorang kanak-kanak, menurut laporan media tempatan.


People pada 22 Februari melaporkan, polis negara, Gardaí dan perkhidmatan keselamatan Ireland berkata, mereka dimaklumkan mengenai penemuan itu di sebuah sekolah di Darndale di Dublin, pada Jumaat lalu.


Dalam kenyataan sama, pakar patologi negeri dimaklumkan bahawa tangan manusia itu sudah dialihkan untuk pemeriksaan.


Katanya, analisis asid deoksiribonukleik (DNA) akan membantu Gardaí dalam mengesahkan pemilik kepada tangan itu. Polis Ireland berkata, siasatan kes itu masih berterusan.


Dalam pada itu, penyiar berita tempatan RTE melaporkan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tangan itu dijatuhkan oleh seekor burung di lokasi berkenaan pada 10.30 pagi waktu tempatan.


Pihak yang menemukan tangan manusia itu kemudian melaporkan penemuan berkenaan kepada polis kira-kira dua jam kemudian.


Difahamkan, tiada kanak-kanak di sekolah ketika itu kerana murid keluar untuk rehat.


The Irish Independent pula melaporkan tangan yang putus itu menunjukkan tanda-tanda kecederaan dan mungkin milik kanak-kanak lelaki tempatan berusia 12 tahun yang mengalami kecederaan serius akibat letupan gas pada petang hari sebelumnya.


Namun, Gardaí setakat ini tidak dapat mengesahkan dakwaan itu. RTE juga menekankan tiada sebarang tanda yang menunjukkan ada unsur jenayah dalam kes ini.


Dalam pada itu, pihak berkuasa juga akan menyemak daftar orang hilang sebagai sebahagian daripada proses siasatan. - Sumber People.

Sabtu, 22 Februari 2025

Pengantin guna petua aneh lempar seluar dalam agar hujan berhenti

Pengantin guna petua aneh lempar seluar dalam agar hujan berhenti


Seorang pengantin perempuan di Indonesia mengundang perhatian ramai selepas melemparkan seluar dalam ke bumbung rumah, dipercayai untuk memberhentikan hujan, lapor portal berita HaiJakarta pada 22 Februari 2025.


Perbuatan itu dilakukan ketika majlis perkahwinannya dilanda hujan lebat.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @ujarjua_69 memaparkan wanita yang memakai pakaian pengantin berjalan menuju ke pelamin.


Namun, hujan tiba-tiba turun sehingga mengganggu acara.


Diiringi seseorang untuk membantunya, pengantin perempuan itu menanggalkan seluar dalamnya dan melemparkannya ke atas bumbung.


Selepas aksi itu, dia ketawa sambil berjalan menuju di atas pelamin.


Menariknya, selepas lima minit kejadian, hujan berhenti sepenuhnya membuatkan tetamu dan netizen terpegun.


Rakaman itu mencatatkan lebih 1.1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Petua orang lama memang mujarab," kata seorang netizen. - Sumber HaiJakarta.


Tangkap layar menunjukkan pengantin perempuan melepaskan seluar dalamnya sebelum dilemparkan ke bumbung rumah. - Foto TikTok.

Isnin, 17 Februari 2025

Penduduk gempar dengan kelahiran seekor anak babi bermata satu berwajah manusia

Penduduk gempar dengan kelahiran seekor anak babi bermata satu berwajah manusia


Penduduk wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia digemparkan dengan kelahiran seekor anak babi bermata satu dan berwajah seperti manusia, lapor portal berita Detik News pada 15 Februari 2025.


Haiwan itu dilahirkan di daerah Bikomi Selatan dan merupakan salah satu daripada tiga anak babi yang dilahirkan oleh seekor induk pada Sabtu (15/2/2025).


Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @catchvox menunjukkan anak babi itu memiliki satu mata di bahagian tengah dahinya. Selain mempunyai telinga pendek, bentuk mukanya juga kelihatan muncung.


Ketua Polis Daerah Miomaffo Timur, Iptu Aris Salama, mengesahkan kejadian itu. Dia menjelaskan, babi betina milik seorang penduduk, Samuel Ledo, pada mulanya melahirkan tiga ekor anak babi. Dua daripada mereka dilahirkan secara normal, manakala seekor lagi mengalami gangguan genetik.


Selepas dilahirkan, anak babi itu hanya bertahan selama 15 minit. Briptu Ryan dan pemilik babi kemudian memutuskan untuk mengebumikannya.


"Saya tegaskan kejadian ini adalah semata-mata kerana kecelaruan genetik. Kami berharap tiada pihak yang akan mengaitkan kejadian ini dengan isu palsu," tegas Aris.


Yohana Jawa berkata, induknya mula menunjukkan tanda-tanda bersalin pada pukul 10 malam. Dia dan suaminya berkawal sehingga jam 3 pagi. 


Anak babi pertama dilahirkan dalam keadaan normal, tetapi anak babi kedua mempunyai kelainan fizikal yang menyerupai manusia. - Sumber Detik News.


Anak babi bermata satu yang dilahirkan di wilayah Nusa Tenggara Timur kelmarin. - Foto Instagram.

Sabtu, 15 Februari 2025

UFO dikesan 'tersadai' di kawasan pergunungan pada ketinggian 7,400 kaki

UFO dikesan 'tersadai' di kawasan pergunungan pada ketinggian 7,400 kaki


Sebuah struktur misteri ditemui oleh seorang pengguna aplikasi Peta Google (Google Maps) di kawasan pergunungan negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita Daily Mail pada 13 Februari 2025.


Pengguna itu melihat sebuah cakera besar berwarna putih mirip objek terbang tidak dikenali (UFO) terjulur keluar dari tanah pada ketinggian 7,400 kaki. Koordinatnya ialah 34°24'21.6"N 107°05'44.5"W.


Lokasi itu terletak kira-kira 55 kilometer dari Kawasan Perlindungan Nasional Sevilleta di La Joay, tanpa jalan yang jelas atau rumah berdekatan.


Imej Peta Google menunjukkan bahagian atas cakera mempunyai perkakasan logam dan sebahagian daripada sebelah telah ditutupi oleh tumbuh-tumbuhan.


"Sesuatu dalam bentuk cakera yang 'tertanam' di kawasan pergunungan New Mexico pada ketinggian 7,400 kaki," kata pengguna itu, Steph Kent yang berkongsi imej tersebut di platform X.


Netizen membuat spekulasi bahawa ia mungkin UFO yang telah 'bersarang' di kawasan pergunungan itu berabad-abad lamanya.


Sebilangan netizen pula berkata, mereka melihat tingkap, fiuslaj dan litar elektrik pada objek itu. - Sumber Daily Mail.


Sebuah UFO ditemui di kawasan pergunungan New Mexico. - Foto Twitter.

Sabtu, 1 Februari 2025

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial

Kejadian aneh ratusan labah-labah 'jatuh' dari langit tular di media sosial


Satu klip video tular di media sosial memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung di udara di sebuah kawasan pedalaman di Brazil, lapor akhbar The Sun UK pada 30 Januari 2025.


Penemuan itu berlaku di Sao Thome das Letras, negeri Minas Gerais. Klip video itu yang dimuat naik ke media sosial pada 28 Disember lalu telah menghantui dan membingungkan netizen.


Rakaman yang dimuat naik menunjukkan ratusan labah-labah itu tergantung pada sarang gergasinya.


Jumlah yang banyak menyebabkan labah-labah tersebut kelihatan seperti sedang terbang atau jatuh dari langit.


Seorang netizen yang nampaknya pernah menyaksikan kejadian ngeri itu sebelum ini, berkata: "Ia berada di halaman belakang rumah abang saya di Tiradentes. Sentiasa lewat petang. Saya takut ketika pertama kali melihatnya."


Insiden itu kemudian diambil oleh media tempatan pada 24 Januari, menarik perhatian pakar biologi yang cuba menjelaskan apa yang berlaku.


Seorang pakar dan ahli biologi, Kayron Passos, menguraikan kejadian aneh itu untuk media tempatan, ia berlaku disebabkan cuaca panas lembap yang dialami di rantau tersebut.


"Ia bagaikan sebuah pesta. Labah-labah betina mempunyai spermatheca di mana haiwan itu menyimpan air mani jantan yang berbeza untuk menyuburkan telur.


"Dengan cara ini, labah-labah betina dapat meningkatkan kebolehubahan genetik spesiesnya," kata Passos. - Sumber The Sun UK.


Tangkap layar memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung pada serang gergasinya di udara. - Foto Newsflash.

Selasa, 14 Januari 2025

Wanita bersuamikan anak patung umum hamil 'anak' keempat

Wanita bersuamikan anak patung umum hamil 'anak' keempat


Wanita Brazil ini pernah menjadi bualan kerana berkahwin dengan anak patung kain dalam satu upacara pelik, dan kini meraih perhatian lagi apabila mengumumkan hamil 'anak' keempat dengan pasangannya itu.


Meirivone Rocha Moraes, 37, mendakwa dia mengalami mabuk hamil dan mengidam sos tomato sebelum mengumumkan mengenai kehamilan itu di akaun TikToknya yang mempunyai 734,000 pengikut.


Wanita berusia 37 tahun itu sebelum ini mendakwa menyambut kelahiran 'bayi kembar' dengan suaminya dikenali Marcelo iaitu anak patung kain bersaiz manusia, pada Disember 2023.


Selepas lebih setahun, kini 'anak' keempat akan menyertai keluarga besarnya, yang termasuk 'anak' patung kain berusia dua tahun, Marcelinho dan 'anak perempuan' kembarnya, Marcela dan Emilia.


Ibu Meirivone, Dona Filó mencadangkan wanita itu mengambil ujian kehamilan selepas Meirivone mengadu mengenai simptom dialaminya.



Meirivone merakam detik melakukan ujian kehamilan terbabit untuk dikongsi dengan pengikutnya dan mendapat lebih 70,000 tontonan.


Dalam video itu, Meirivone dilihat menunggu keputusan ujian dan melompat kegembiraan apabila mendapati positif hamil dan segera memaklumkan Marcelo.


"Kejutan itu sangat besar dengan anak kembar yang berusia satu tahun dan ada tiga bayi di rumah.


"Sukar untuk membayangkan yang keempat akan datang. Saya tidak tipu. Saya fikir saya tidak akan mempunyai anak lagi terutama kerana kembar lahir pun satu kejutan. Sepatutnya hanya seorang sahaja," katanya.


Dakwa wanita itu yang mengahwini Marcelo pada 2018, dia mengambil kawalan kehamilan termasuk pil dan kondom tetapi mendakwa doktor memaklumkan dia 'sangat subur'.


Warganet meninggalkan komen dengan ramai yang tidak mempercayai apa yang berlaku.


Seorang meninggalkan komen, "ia sangat mustahil" sementara seorang berjenaka "Marcelo akan lebih sibuk." - Sumber Mirror UK.


Meirivone bersama suaminya Marcelo (anak patung kain). - Foto TikTok.

Ahad, 27 Oktober 2024

Elak wajah dicam mangsa 'scammer' tukar wajah lepas tipu RM929,000

Elak wajah dicam mangsa 'scammer' tukar wajah lepas tipu RM929,000


Seorang wanita dari China menjalani pembedahan plastik dengan hasil penipuan berjumlah 1.52 juta yuan (RM929,132) sebelum melarikan diri ke Thailand, lapor saluran berita South China Morning Post pada 23 Oktober 2024.


Dia dilaporkan menjalani pembedahan plastik untuk mengelakkan diri daripada ditangkap selepas menipu enam mangsa dengan tawaran pekerjaan sebagai pramugari.


Penduduk sebuah blok apartmen di Bangkok melaporkan bahawa suspek yang hanya dikenali sebagai Xie, 30, itu sering menutup wajahnya dengan pelitup muka sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa dia ialah pendatang tanpa izin.


Menurut pegawai Imigresen Thailand, beberapa anggota kastam dikerahkan ke rumah suspek di Bangkok dan memeriksa pasportnya semasa dia turun untuk mengambil makanan.


"Xie memasuki Thailand pada penghujung 2022 dengan menggunakan visa dan mempunyai tempoh 15 hari untuk melancong di negara ini.


"Namun, tarikh visanya menunjukkan dia tinggal lebih daripada 650 hari di Thailand, menyebabkan suspek ditahan pada 7 Oktober lalu," jelas pegawai berkenaan minggu ini.


Semasa siasatan, Xie mendakwa pernah menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan terkenal sebelum dipecat.


Bagaimanapun, polis Thailand mendedahkan bahawa dia dikehendaki di bawah Notis Biru Interpol.


"Antara tahun 2016 hingga 2019, dia didakwa menipu enam mangsa sebanyak 1.52 juta yuan dengan berjanji mendapatkan kerja pramugari untuk mereka.


"Sebahagian daripada wang itu digunakan untuk menjalani pembedahan plastik sebelum melarikan diri ke Thailand," tambahnya.


Bahagian Biro Imigresen Thailand menegaskan bahawa Xie akan dihukum mengikut undang-undang Thailand kerana tinggal lebih masa sebelum dihantar pulang ke China. - Sumber South China Morning Post.


Xie menggunakan sebahagian wang untuk menjalani pembedahan plastik bagi elak ditangkap pihak berkuasa. - Foto Weixin.