Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alien. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Februari 2025

UFO dikesan 'tersadai' di kawasan pergunungan pada ketinggian 7,400 kaki

UFO dikesan 'tersadai' di kawasan pergunungan pada ketinggian 7,400 kaki


Sebuah struktur misteri ditemui oleh seorang pengguna aplikasi Peta Google (Google Maps) di kawasan pergunungan negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita Daily Mail pada 13 Februari 2025.


Pengguna itu melihat sebuah cakera besar berwarna putih mirip objek terbang tidak dikenali (UFO) terjulur keluar dari tanah pada ketinggian 7,400 kaki. Koordinatnya ialah 34°24'21.6"N 107°05'44.5"W.


Lokasi itu terletak kira-kira 55 kilometer dari Kawasan Perlindungan Nasional Sevilleta di La Joay, tanpa jalan yang jelas atau rumah berdekatan.


Imej Peta Google menunjukkan bahagian atas cakera mempunyai perkakasan logam dan sebahagian daripada sebelah telah ditutupi oleh tumbuh-tumbuhan.


"Sesuatu dalam bentuk cakera yang 'tertanam' di kawasan pergunungan New Mexico pada ketinggian 7,400 kaki," kata pengguna itu, Steph Kent yang berkongsi imej tersebut di platform X.


Netizen membuat spekulasi bahawa ia mungkin UFO yang telah 'bersarang' di kawasan pergunungan itu berabad-abad lamanya.


Sebilangan netizen pula berkata, mereka melihat tingkap, fiuslaj dan litar elektrik pada objek itu. - Sumber Daily Mail.


Sebuah UFO ditemui di kawasan pergunungan New Mexico. - Foto Twitter.

Jumaat, 25 Oktober 2024

UFO 'kunjungi' pangkalan tentera udara di Amerika Syarikat

UFO 'kunjungi' pangkalan tentera udara di Amerika Syarikat


Pangkalan Tentera Udara di negeri Indiana, Amerika Syarikat (AS) menjadi lokasi panas terbaharu bagi objek terbang tidak dikenali (UFO) selepas penduduk melihat sejumlah 'bola lampu' yang bergerak pantas dan bercahaya di langit, lapor portal berita MailOnline pada 24 Oktober 2024.


Ramai orang di Kokomo yang terletak hanya 20.92 kilometer dari Pangkalan Simpanan Tentera Udara Bersama Grissom melaporkan melihat lampu-lampu berkelip sebelum hilang di langit.


"Apa itu? Saya rasa ia adalah UFO dan saya benar-benar tidak selesa untuk tidur malam ini," kata seorang penduduk tempatan.


Penampakan luar biasa itu, kebanyakannya dilaporkan pada 7 Oktober lalu.


Penampakan serupa pernah berlaku berhampiran lokasi tentera termasuk Pangkalan Bersama Langley-Eustis di negeri Virginia di mana beberapa pegawainya melaporkan melihat lampu merah, hijau dan putih berkelip dan bergerak laju.


Penampakan objek misteri di Indiana itu bagaimanapun dikongsi oleh orang awam di internet di mana pakar-pakar mengkaji untuk mengenal pasti sumbernya. 


Disebabkan tiada penjelasan telah diberikan secara terbuka oleh kakitangan Tentera Udara AS tentang kehadiran UFO, ada yang mencadangkan lampu itu adalah suar yang dijatuhkan dari pesawat, mungkin kapal tentera.


Tetapi seorang saksi berkongsi bukti radar cuaca doppler kehadiran UFO 'segi empat tepat besar' dengan 'gelombang kejutan wap yang jelas' dilihat pada pagi selepasnya, 8 Oktober.


Seorang warga tempatan tanpa nama telah menyerahkan laporan kepada Pusat Pelaporan UFO Kebangsaan (NUFORC) pada 8 Oktober tentang peristiwa yang mungkin berkaitan.


Orang itu menyatakan bahawa pencerobohan ringkas pada radar cuaca doppler menunjukkan apa yang kelihatan seperti UFO segi empat tepat besar yang meluncur laju. - Sumber Daily Mail.


Sejumlah UFO kelihatan dekat Pangkalan Simpanan Tentera Udara Bersama Grissom. - Foto Foto Reddit/littlespacemochi.

Isnin, 9 September 2024

Isteri menangis selepas lihat UFO bercahaya di langit

Isteri menangis selepas lihat UFO bercahaya di langit


Seorang lelaki di sebuah pekan dalam negeri Montana merakam penampakan objek terbang tidak dikenal (UFO) dan berkongsi video mengejutkan tersebut di laman Reddit, lapor laman berita Daily Mail hari ini.


Isterinya dilihat menangis dalam klip video tersebut.


Video itu dirakam pada Jumaat lalu antara pukul 10.10 hingga 10.15 malam (waktu tempatan). Ia menunjukkan sebuah objek bercahaya berkelip-kelip melintasi langit malam yang cerah.


Objek itu terbang di langit pekan Choteau yang mempunyai sekitar 1,700 penduduk.


Pada mulanya, lelaki itu dan isterinya menganggap UFO  itu sebagai sebutir meteor.


"Malam Jumaat lalu, saya dan isteri sedang duduk di geladak untuk melihat bintang," katanya yang menggunakan nama PoneThePoon.


Menurutnya, selepas pukul 10 malam (waktu tempatan), isterinya bertanya sama ada cahaya itu adalah sebutir meteor.


"Pokok berhampiran menghalang pemandangan menyebabkan saya bangun untuk melihatnya.


"Kami berdua melompat dari geladak dan bergegas ke halaman rumah untuk pemandangan yang lebih baik," katanya.


Isterinya menangis selepas melihat cahaya misteri itu berada di langit selama beberapa minit sebelum hilang dari pandangan mereka.


"Kraf itu kelihatan besar, berbatu-batu jauhnya, ia mempunyai beberapa lampu berkelip dan berputar, dan lampu merah jingga berputar di bahagian bawah.


"Anda hanya boleh melihat lampu oren/merah dalam video," jelasnya. - Sumber Daily Mail.


Sebuah  UFO muncul di langit Choteau pada waktu malam, Jumaat lalu. - Foto Reddit/PoneThePoon.

Isnin, 26 Ogos 2024

Gambar UFO, cakera logam di atas tasik paling terbaik pernah dirakam

Gambar UFO, cakera logam di atas tasik paling terbaik pernah dirakam


Sekeping gambar objek terbang tidak dikenali (UFO) di Costa Rica dianggap paling terbaik pernah dirakamkan, lapor portal berita Daily Star.


Seorang jurugambar, Sergio Loaiza merakamkan gambar itu lebih 50 tahun lalu dengan menggunakan kamera pembuatan peta ketika dia terbang melintasi Costa Rica.


Dia yang dalam misi meninjau tanah untuk pembinaan projek hidroelektrik berhampiran Gunung Berapi Arenal tetapi ternampak sesuatu yang ganjil.


Semasa terbang melintasi Tasik Cote pada kira-kira ketinggian 3.048 meter, Loaiza merakamkan banyak gambar hitam putih beresolusi tinggi di atas tasik tersebut dan hutan hujan di sekelilingnya.


Bagaimanapun, dalam satu gambar itu, terdapat sebuah cakera logam metalik yang berkilat.


Ia merupakan imej yang sering terdapat dalam filem-filem klasik dan dikenali sebagai piring terbang.


Seorang wartawan, Leslie Kean kemudian menganggap gambar UFO itu sebagai yang terbaik pernah dirakamkan.


"Anda dapat melihat dengan jelas matahari memantulkan objek bulat ini dan apa yang penting ialah ia adalah gambar kerajaan," katanya.


Sebuah UFO (kiri) dirakamkan lebih 50 tahun lalu. - Foto Instituto Geográfico Nacional de Costa Rica.

Isnin, 22 Julai 2024

Orang ramai tidak sabar naik teksi terbang menyerupai 'UFO'

Orang ramai tidak sabar naik teksi terbang menyerupai 'UFO'

 

Sebuah kenderaan elektrik menyerupai piring terbang berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) semasa melakukan ujian penerbangan di China, lapor akhbar The Sun UK pada 19 Julai 2024.


Kelihatan seperti objek terbang tidak dikenali (UFO), teksi terbang itu mempunyai kapasiti dua penumpang.


Juruterbang boleh menerbangkannya secara manual atau menggunakan sistem autopilot secara kawalan jauh.


Dibina oleh syarikat UAV Zhenzhen Zhihang berpangkalan di selatan China, ia boleh mencapai ketinggian sehingga 198.12 meter dan berada di ruang udara selama kira-kira 15 minit.


Ujian awal dijalankan di taman utama di bandar, dengan pelancaran dilakukan pada waktu malam untuk menambah suasana.



Video lepas landas menunjukkan kenderaan itu menyala terang ketika ia naik ke langit malam, dengan orang ramai mengangkat telefon mereka untuk merakamnya.


Pembangun kenderaan itu, Wang Yang berkata: "Ia akan mempunyai pemandangan 360 darjah tanpa titik buta dan sistem pencahayaan yang besar."


Setakat ini, tiada tarikh ditetapkan berhubung tempoh ia akan mula digunakan dan tiada maklumat harga dikeluarkan.


Namun, teksi terbang itu yang dirancang untuk kenderaan pelancong telah melepasi semua pemeriksaan keselamatan dan diberikan sijil layak terbang pada Mac lalu. - Sumber The Sun UK.


Juruterbang boleh menerbangkannya secara manual atau menggunakan sistem autopilot. - Foto Jam Press.

Selasa, 16 Julai 2024

Wanita rakam gambar makhluk misteri dipercayai anak Bigfoot hendap rusa

Wanita rakam gambar makhluk misteri dipercayai anak Bigfoot hendap rusa


Seorang wanita berjaya merakam imej dipercayai anak Bigfoot sedang menghendap beberapa ekor rusa, lapor portal berita Daily Star pada 14 Julai 2024.


Wanita berkenaan, Stephanie Wood pada mulanya menyangka makhluk tersebut ialah seorang kanak-kanak yang memakai kostum Bigfoot.


Bagaimanapun, dia kini berpendapat bahawa imej yang dirakam adalah sesuatu yang lebih serius.


"Reaksi kami ialah ia mungkin seorang kanak-kanak. Namun, selepas menganalisis gambar ini untuk seketika, kami tidak begitu pasti lagi.


"Adakah ia anak Sasquatch (Bigfoot) atau salah seorang daripada orang kecil berbulu?" tulis wanita itu di laman Facebook.


Foto itu telah menarik minat pengguna di media sosial sekaligus mendapat banyak ulasan.


Robert Anthony berkata: "Sejujurnya, rusa dalam foto menjadikan ini 99.9% boleh dipercayai. Ini kelihatan seperti sasquatch remaja yang saya lihat dalam mimpi."


Richard Mckenzie menambah: " Bigfoot? Rusa di latar depan itu lebih besar daripada kanak-kanak berkostum itu."


Mona Hernandez turut mengulas: "Tangan itu kelihatan sangat manusia. Cara rambut diikat di pergelangan tangan juga. Saya fikir ia adalah satu penipuan, ia sebenarnya manusia."


Lokasi gambar itu dirakam tidak didedahkan tetapi pada kebiasaannya, Bigfoot dilaporkan hidup di rantau Amerika Utara. - Sumber Daily Star.


Anak seekor Bigfoot menghendap beberapa ekor rusa yang berjaya dirakamkan. - Foto Stephanie Wood/Facebook.

Sabtu, 6 Julai 2024

Lelaki rakam objek ganjil memanjang bergerak di langit lintasi Bulan

Lelaki rakam objek ganjil memanjang bergerak di langit lintasi Bulan

 

Seorang lelaki mencetuskan perdebatan hangat di internet selepas menyiarkan rakaman video memaparkan objek misteri meluncur di langit kota raya London, lapor portal berita Daily Star pada 5 Julai 2024.


Dalam rakaman itu, objek itu kelihatan memanjang dan merentasi langit London.


Klip berdurasi 40 saat itu dikongsi di platform Reddit. Ia menunjukkan objek terbang tidak dikenali (UFO) tersebut bergerak sangat perlahan dari arah kiri menuju ke kanan sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan).


Rakaman itu memaparkan bulan berwarna oren terang dan berada pada kedudukan rendah di langit ketika kejadian.


Namun, terdapat seperti satu garisan ganjil di bahagian tengahnya.


Individu yang menghasilkan klip video itu berkata: "Saya melihat objek ini bergerak melintasi bulan (bulan oren yang cantik). Saya boleh memberitahu anda bahawa ia tepat pada pukul 11.06 malam (waktu tempatan)."


"Saya melihat sesuatu yang hampir serupa beberapa hari lalu di timur laut England tetapi dari sudut pandangan lebih dekat," kata netizen lain. - Sumber Daily Star.


Satu objek ganjil seperti warna hitam yang memanjang melintasi bulan di London. - Foto Reddit/r/UFO's.