Ahad, 13 April 2025

Sempat guna 130 hari, wanita jalani pembedahan buang buah pinggang babi


Seorang wanita telah menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang babi selepas badannya mula menolak organ berkenaan.


Menurut kenyataan doktor, sebelum ini wanita dari Alabama, Amerika Syarikat (AS) Towana Looney menjalani pemindahan buah pinggang babi dan menggunakannya selama 130 hari.


Beliau yang menjadi pesakit ujian dalam kajian pemindahan organ haiwan kepada manusia (xenotransplantasi), kini kembali menjalani rawatan dialisis selepas buah pinggang babi itu dikeluarkan pada 4 April lalu di NYU Langone Health.


Beliau kini telah pulang ke kediamannya di Gadsden, Alabama lima hari kemudian selepas pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.


Dalam satu kenyataan, Looney mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawatnya serta peluang untuk menjadi sebahagian daripada penyelidikan bersejarah itu.


"Walaupun hasilnya tidak seperti yang diharapkan, saya tahu banyak perkara telah dipelajari daripada pengalaman saya selama 130 hari menggunakan buah pinggang babi.


"Ini boleh membantu serta memberi inspirasi kepada ramai lagi dalam usaha mengatasi penyakit buah pinggang," katanya.


Para saintis kini giat melakukan pengubahsuaian genetik terhadap babi bagi menjadikan organ haiwan itu lebih menyerupai manusia dalam usaha menangani kekurangan organ penderma untuk pemindahan.


Di Amerika Syarikat, lebih 100,000 individu berada dalam senarai menunggu pemindahan organ, majoritinya memerlukan buah pinggang dan ribuan daripadanya meninggal dunia sebelum mendapat organ yang diperlukan.


Sebelum ini, hanya empat rakyat AS pernah menerima pemindahan organ babi yang telah diubah suai secara genetik secara eksperimen iaitu melibatkan dua jantung dan dua buah pinggang.


Namun semuanya bertahan kurang daripada dua bulan, kesemua penerima sebelum ini merupakan pesakit kritikal dan tidak dapat diselamatkan.


Walaupun percubaan kali ini tidak berjaya sepenuhnya, para penyelidik percaya ia membawa maklumat penting untuk kemajuan bidang xenotransplantasi dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan organ pemindahan.


Gambar fail Looney ketika rawatan sebelum menerima buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik di NYU Langone Health, New York pada 11 Disember lalu. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon