Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam kejadian banjir di rumahnya di Kampung Padang Jawa, Shah Alam petang tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, maklumat diterima pihaknya daripada orang awam pada jam 6.11 petang.
Menurutnya, mangsa yang maut berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pekerja penghantar barang.
"Mayat mangsa ditemui tertiarap dalam keadaan memakai t-shirt tanpa lengan warna biru gelap dan seluar pendek warna hitam.
"Tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematian. Siasatan awal mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik semasa menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim," ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Iqbal menasihati orang ramai agar lebih berwaspada menggunakan peralatan elektrik dan elektronik semasa musim banjir bagi mengelakkan risiko terkena renjatan elektrik.
EmoticonEmoticon