Selasa, 8 April 2025

Lelaki 'joging' dalam keadaan bogel rupanya ada masalah mental


Seorang remaja lelaki ditahan selepas berlari dalam keadaan bogel di simpang tiga, Persiaran Kayangan, Seksyen 8 di Shah Alam pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden itu pada jam 8.30 pagi.


"Sepasukan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Seksyen 6 segera digerakkan ke lokasi dan menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.


"Remaja tersebut berjaya dipujuk dan ditenangkan sebelum dibawa ke balai polis.


"Anggota Balai Polis Seksyen 6 telah memberikan pakaian kepada remaja tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Iqbal berkata, remaja itu didapati hanya boleh berintraksi menggunakan isyarat tangan dan dia telah menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi.


"Seorang lelaki telah hadir ke balai polis dan memaklumkan bahawa anak saudaranya itu tinggal bersamanya di Seksyen 9, Shah Alam.


"Remaja itu mengalami masalah gangguan mental serta pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.


"Remaja terbabit kini diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam," katanya.


Tangkap layar video tular memaparkan seorang remaja lelaki berlari dalam keadaan bogel di Seksyen 8, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon