Seorang penjual bebola daging mengaku mengelar telinga bekas suaminya di hadapan gerainya di Pattaya, lapor laman berita Thaiger pada 16 April 2025.
Kejadian berlaku pada pukul 2.36 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Menurut wanita dikenali sebagai Uraiwan itu, dia mula bertengkar dengan bekas suaminya, Adisak selepas mangsa melihat dia berbual dengan pelanggan lelaki.
"Dia dalam keadaan mabuk dan cemburu. Saya menyuruhnya pulang dan tidur tetapi dia menampar saya.
"Saya mengambil pisau dan mengelar telinganya. Saya tidak bermaksud untuk mencederakannya seteruk itu," kata Uraiwan.
Selepas serangan itu, Uraiwan berasa panik lalu segera menelefon perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Anggota kecemasan dan polis bergegas ke Soi Kor Pai selepas menerima laporan kejadian itu di luar gerai makanan jalanan lewat malam.
Setibanya di tempat kejadian, responden mendapati Adisak, 41, dari Chon Buri, berlumuran darah dan memegang telinganya, yang telah dikelar teruk. Dia diberi pertolongan cemas segera sebelum dibawa ke hospital tempatan.
Bercakap kepada polis, wanita berusia 48 tahun itu mendakwa walaupun mereka telah bercerai selama lebih lima tahun, Adisak berulang kali menganggunya terutama ketika dia mabuk.
Polis sedang menyiasat kes itu. - Sumber The Thaiger.
EmoticonEmoticon