Kemunculan cahaya misteri berwarna-warni di langit pada waktu malam menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak, lapor laman berita NDTV pada 17 April 2025.
Rakaman fenomena aneh di Vancouver, Kanada yang dikongsikan pemilik akaun @dom_lucer di platform X itu turut menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Sebahagian daripadanya mendakwa ia sebagai objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO) dan ada yang percaya ia adalah dron.
"Cahaya misteri itu direkodkan di Amerika Syarikat dan Kanada. Ia tidak dapat dijelaskan," menurut kapsyen video tersebut.
Klip itu jelas menunjukkan objek tersebut berlegar-legar di ruang udara dan memancarkan pelbagai warna.
"Adakah ia UFO? Semua orang teruja melihat objek aneh itu," kata salah seorang pengguna media sosial di ruang komentar rakaman video tersebut yang telah meraih hampir lima juta tontonan.
Ia turut mencuri perhatian pentaasub teori konspirasi dan pemburu makhluk asing.
"UFO yang boleh berubah bentuk dan bercahaya dikesan di Kanada. Memandangkan ramai yang tidak percaya dengan kewujudan makhluk asing, sudah tiba masanya anda membuka mata dan yakin bahawa ia sedang mengawasi kita," ujar seorang lagi warganet.
Bagi pengguna media sosial yang cuba berfikir logik, dia berpendapat ia jelas dron berdasarkan rekaan teknologi tersebut. - Sumber NDTV.
EmoticonEmoticon