Sabtu, 12 April 2025

Hasrat PATI China cari kerja di Malaysia tak kesampaian apabila dicekup di Sungai Golok


Hasrat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China untuk bekerja di negara ini tidak kesampaian apabila dicekup di tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam.


Suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan Tentera Darat Malaysia (TDM) kira-kira pukul 10.30 malam sebaik sahaja mendarat di tebing sungai tersebut dengan menaiki sebuah bot.


Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) berkata, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan di kawasan itu mendapati sebuah bot di tebing Sungai Golok berhampiran kawasan hutan.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati, suspek merupakan warga China berdasarkan kepada penemuan dokumen peribadi iaitu kad pengenalan dan pasport yang masih sah.


"Suspek mendakwa telah membayar sejumlah wang kepada ejen yang menjanjikan peluang pekerjaan di negara ini.


"Nilai barangan peribadi termasuk mata wang China dan Thailand yang ditemui bersama PATI adalah dianggarkan sebanyak lebih RM13,900," katanya.


Tambahnya, suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya. - Sumber Kosmo Online.


Anggota tentera menahan seorang PATI warga China di kawasan hutan berhampiran tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam. - Foto Dua Divisyen.


EmoticonEmoticon