Seorang buruh binaan memanjat menara kren setinggi kira-kira 126 meter di sebuah kawasan tapak pembinaan bangunan di Luyang, Penampang pada awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, lelaki berusia 40-an terbabit mendakwa dia tidak menyedari perbuatannya namun hanya terdengar bisikan untuk naik ke puncak kren sebaik bangun dari tidur.
Susulan kejadian itu, orang awam yang ternampak lelaki terbabit bertindak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.
"Menurut laporan, lelaki terbabit berada di hujung menara kren di kedudukan atas bangunan dan ketika kejadian, lelaki tersebut berjaya turun dengan sendiri dari ketinggian 126 meter dalam keadaan selamat.
"Menurut lelaki tersebut, dia bukan berniat mahu membunuh diri tetapi dalam keadaan tidak sedar seperti ada bisikan selepas bangun waktu subuh," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi turut ditamatkan pada jam 8.02 pagi selepas anggota kami memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.
EmoticonEmoticon