Ahad, 27 April 2025

Bos bayar gaji pekerja bermasalah guna duit syiling sebanyak RM938


Seorang bekas pekerja sebuah kedai minuman di Taiwan menerima gaji terakhir sebanyak NT$6,972 (RM938) dalam bentuk syiling kerana kerap membuat masalah di tempat kerja, lapor portal berita South China Morning Post.


Wanita dikenali sebagai Liu, 19, berkongsi perkara itu di media sosial selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti.


Menurut Liu, gaji terakhirnya diserahkan dalam bentuk syiling yang diletakkan di dalam beg plastik.


Syiling itu berdominasi NT$1 (RM0.13), NT$5 (RM0.67) dan NT$10 (RM1.34). Ia juga mengambil masa selama sejam untuk dimasukkan ke dalam bank.


"Saya dapati syiling NT$20 (RM3) pula tidak cukup dan apabila saya bertanya kepada majikan, dia bergurau dengan orang lain 'ada pengemis datang, beri dia NT$20'," kata Liu.


Majikan itu mempertahankan tindakannya dengan menyatakan, tindakan itu sebagai pengajaran kepada Liu yang mempunyai sikap buruk terhadap rakan sekerja dan kerap ponteng kerja.


"Saya memberitahu Liu, apabila kita bekerja, kita perlu hormat orang lain dan berkomunikasi dengan baik. Tetapi dia menjawab bahawa sikap tidak sabarnya disebabkan baru bangun tidur.


"Liu turut meminta pendahuluan gaji meskipun baru bekerja selama sebulan. Dia juga pernah tidak hadir tanpa makluman selama tiga hari.


"Penggubal undang-undang perlu menyemak semula undang-undang di Taiwan. Saya menyokong mencegah eksploitasi buruh, tetapi mungkin saya bertanya mengapa tidak ada langkah yang sepadan untuk menangani pekerja yang tidak hadir tanpa cuti atau gagal hadir bekerja tanpa sebab?" kata majikannya.


Tambah majikan itu, dia telah menawarkan untuk menukar syiling dengan wang kertas jika Liu meminta maaf, tetapi tawarannya ditolak.


Li Xuanchang, pesuruhjaya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Biro Hal Ehwal Buruh Kerajaan Bandaraya Tainan memberitahu TVBS News: "Majikan tidak menangguhkan pembayaran atau mengurangkan jumlah, jadi secara teknikalnya tidak ada pelanggaran undang-undang buruh. Bagaimanapun, pendekatan ini pastinya tidak bertimbang rasa atau beretika."


Kes itu telah mendapat kritikan meluas di Taiwan, dengan ramai yang mengutuk majikan tersebut. - Sumber South China Morning Post.


Liu menerima gaji terakhirnya dalam bentuk duit syiling yang diletakkan di dalam beg plastik. - Foto YouTube.


EmoticonEmoticon