Selasa, 18 Mac 2025

Tiga polis terbun*h ketika serbu judi sabung ayam haram


Seramai tiga anggota polis Indonesia maut ketika melakukan serbuan ke atas pusat perjudian sabung ayam haram di daerah Way Kanan, wilayah Lampung, yang terletak di hujung selatan Pulau Sumatera.


Ketiga-tiga anggota ditembak oleh individu tidak dikenali pada malam Isnin (17 Mac 2025) ketika mereka berada di Kampung Karang Manik, mukim Negara Batin.


Menurut kenyataan polis, kesemua mangsa cedera parah akibat tembakan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Ketua Polis Negara Batin, Inspektor Lusiyanto, serta dua anggota dari Unit Siasatan Jenayah Way Kanan, Ketua Brigedier Petrus Apriyanto dan Brigedier Dua Ghalib Surya Ganta.


Jurucakap Polis Lampung, Komisioner Yuni Iswandari memaklumkan bahawa seramai 17 anggota dikerah ke lokasi terbabit selepas menerima laporan berhubung aktiviti perjudian haram.


"Ketika tiba di lokasi, pasukan kami diserang individu tidak dikenali, mengakibatkan tiga pegawai terkorban ketika menjalankan tugas," katanya.


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lampung untuk bedah siasat.


Yuni berkata, pegawai kanan Polis Lampung turun ke lokasi kejadian bagi mempercepatkan siasatan dan memburu pihak yang bertanggungjawab.


Sabung ayam masih berleluasa di beberapa kawasan di Indonesia, sering dikaitkan dengan rangkaian perjudian haram. Pihak berkuasa kerap mengadakan operasi bagi membanteras kegiatan itu.


Indonesia menguatkuasakan undang-undang ketat terhadap perjudian, dengan Artikel 303 Kanun Jenayah menetapkan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam penganjuran atau penyertaan aktiviti itu. - Sumber Kompas.com.


Jenazah tiga anggota polisi tiba di ruang forensik RS Bhayangkara pada Selasa. - Foto Kompas.com.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon