Hancur hati seorang suami melihat isterinya tergamak melakukan perbuatan keji bersama lelaki lain di sebuah bilik hotel bajet di Lunas, Kulim awal pagi hari ini.
Pasangan suami isteri tersebut dikatakan menetap di Pahang dan kedatangan isterinya ke Kedah dengan alasan untuk bertemu sepupu.
Bagaimanapun, lelaki terbabit mengesyaki sesuatu mencurigakan setelah mengesan kedudukan isterinya tidak pulang ke rumah sepupu selepas dikatakan mahu ke dobi.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim (PADK) Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, suami wanita terbabit berusia 30-an yang datang bersama ahli keluarganya berjaya mengesan keberadaan isterinya di hotel berkenaan seterusnya menghubungi penguat kuasa PADK dalam kejadian jam 3.40 pagi hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, wanita itu bersekedudukan bersama seorang lelaki yang masih bujang dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kulim Hi Tech.
"Wanita itu berusia 33 tahun bekerja di kedai makan di Pahang dan mempunyai tiga anak, suaminya datang dari Pahang 'trace location' isteri dan buat tangkapan kemudian hubungi PADK.
"Difahamkan, wanita dan lelaki itu mengenali antara satu sama lain tujuh tahun lalu sebelum terputus hubungan selepas berkahwin, namun baru-baru ini berhubung kembali setelah diberikan nombor telefon oleh sepupunya," katanya.
Beliau berkata, wanita itu memberi alasan sudah lama tidak bertemu teman lelakinya itu dan mempunyai masalah dengan suaminya.
"Ketika serbuan, lelaki itu hanya memakai seluar denim tanpa baju, manakala wanita itu berpakaian lengkap tanpa tudung.
"Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.
EmoticonEmoticon