Ahad, 16 Mac 2025

Polis menahan 8 remaja lelaki pecah kedai, curi alat ganti motosikal

 

Polis menahan lapan remaja lelaki termasuk pelajar tingkatan satu selepas terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan kes curi pelbagai alat ganti motosikal di Kota Marudu, awal pagi semalam (15 Mac).


Semua suspek berusia 13 hingga 17 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, di tiga lokasi berbeza menerusi Op Kesan dan Op Pintu, kira-kira jam 3 pagi.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi diketuai Pegawai Risikan dan Operasi (RO) BSJ IPK Kota Marudu, Inspektor Bahrun Dining.


"Hasil operasi berjaya menahan beberapa suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah pecah masuk kedai dan kes curi pelbagai alat ganti motosikal yang berlaku di daerah ini.


"Dengan tertangkapnya semua suspek, pasukan operasi merampas barang yang disyaki dicuri bernilai kira-kira RM20,000," katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Antara remaja (muka dikaburkan) yang ditahan kerana terbabit kes pecah masuk kedai dan curi alat ganti motosikal. - Foto PDRM.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon