Sebuah kawasan kejiranan diselubungi bau busuk apabila tayar belakang sebuah lori kumbahan jatuh ke dalam longkang, menyebabkan tangkinya bocor dan air najis melimpah.
Laman berita MS News melaporkan, kejadian itu dirakam menerusi kamera televisyen litar tertutup (CCTV) seorang pemilik rumah pada Sabtu (8 Mac) kira-kira pukul 2.20 petang (waktu tempatan) di wilayah Roi Et, timur utara Thailand.
Ia berlaku apabila lori itu mengundur tetapi tayar belakang kirinya memasuki longkang saluran air yang tidak mempunyai penutup kukuh.
Keadaan itu menyebabkan tangki kenderaan tersebut bocor sebelum air sisa kumbahan melimpah dengan banyak.
Pemilik rumah tersebut berkongsi video rakaman kejadian di laman Facebook dan menjelaskan bahawa dia telah membuat aduan kepada majlis perbandaran agar menutup longkang tersebut, namun aduannya tidak diendahkan.
"Seluruh jalan berbau najis," tulisnya.
Dalam kemas kini pada hari berikutnya, majlis perbandaran dilaporkan sudah menghantar kenderaan dan pekerja untuk membantu kerja-kerja pembersihan. - Sumber MS News.
EmoticonEmoticon