Empat warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana dipercayai menjadi ejen haram sejak setahun lalu yang menawarkan perkhidmatan imigresen kepada golongan bermasalah.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, empat suspek lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 22 hingga 38 tahun itu ditahan semasa Operasi Khas pada Rabu (12 Mac) dan Khamis (13 Mac) di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan tiga lokasi di Bandar Bukit Raja, Selangor.
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan perkhidmatan imigresen kepada warganegara asing yang berada di negara ini seperti pas khas.
Kata beliau, ejen haram itu menyasarkan pelanggan warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang telah tinggal lebih masa ataupun telah tamat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
"Pas Khas akan diuruskan oleh ejen haram ini untuk membolehkan warga asing yang menggunakan perkhidmatan disediakan untuk terus tinggal dan berada di negara ini.
"Ejen haram ini turut menyediakan perkhidmatan mengubah suai ePASS secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Zakaria berkata, bayaran yang dikenakan kepada pelanggan antara RM2,000 hingga RM2,500 untuk setiap perkhidmatan ditawarkan.
"Semakan awal mendapati dua suspek yang ditahan ini memiliki PLKS dalam sektor pembinaan manakala dua lagi telah tinggal lebih masa," katanya.
Dalam pada itu katanya, pasukan operasi telah merampas 134 naskhah pasport pelbagai negara di premis yang digunakan suspek.
Jelasnya, ia terdiri daripada 117 pasport Bangladesh, Nepal (4), Myanmar dan Indonesia masing-masing (6) serta India (1).
"Kami juga merampas empat unit telefon bimbit, satu unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM69,380.
"Turut disita dua buah kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza untuk siasatan lanjut," katanya.
EmoticonEmoticon