Sabtu, 1 Mac 2025

Kanak-kanak lelaki empat tahun parah diserang sekumpulan anjing liar


Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Dedek dekat Langkawi, hari ini.


Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Ahmad Raihan Abdul Mukmin mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki akibat digigit haiwan itu sebelum diselamatkan orang ramai yang berada berdekatan.


Ibu mangsa, Nur Solehah Mat Hahir, 25, berkata, kejadian berlaku ketika Ahmad Raihan sedang bermain berhampiran rumah.


"Sejurus kejadian itu anak saya dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menerima rawatan.


"Ketika kejadian saya tiada di rumah dan hanya mendapat makluman mengenai kejadian anak saya digigit anjing selepas diberitahu oleh seorang jiran, disusuli panggilan telefon oleh ibu saya.


"Buat masa ini anak saya sedang dirawat di HSM. Luka di kepala agak teruk, selain beberapa kesan gigitan anjing di badan dan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Nur Solehah berkata, laporan polis berkaitan kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 12.30 tengah hari tadi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki diserang anjing sehingga cedera parah.


"Mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan pihak HSM serta ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, hari ini.


"Ketika kejadian, mangsa dilaporkan dikelilingi dan diserang sekumpulan anjing berhampiran rumahnya," katanya dalam kenyataan, petang tadi.


Mangsa diserang sekumpulan anjing berhampiran rumahnya di Kampung Dedek, Langkawi. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon