Selasa, 4 Mac 2025

Isteri didakwa belasah suami guna penyapu, pisau berhadapan hukuman penjara 10 tahun


Seorang pendandan rambut yang patah kaki kanan didakwa di Mahkamah Sesyen, Seremban hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap suaminya menggunakan batang penyapu, alat pemberat (dumbbell) dan sebilah pisau pada hujung Februari lalu.


Tertuduh, Sharifah Nurul Ainasama Syed Omar, 40, yang hadir ke mahkamah dalam keadaan bertongkat bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Danial Zafri Zairi, 31, yang merupakan suaminya dengan menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau.


Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5 pagi di Taman Iringan Bayu, Seremban pada 26 Februari lalu.


Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Sharifah Nurul Ainasama boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua kali tempoh maksimum atau denda atau sebat.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun jika mahkamah membenarkannya, pihaknya memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan.


Norazihah berkata, suami tertuduh mengalami kecederaan lecetan kerana tertuduh menggunakan pisau, selain terdapat beberapa kesan lebam di belakang badan akibat dipukul dengan penyapu dan kesan gigitan serta kecederaan tisu lembut.


Sementara itu, Sharifah Nurul Ainasama yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia menggunakan tongkat kerana kakinya patah selepas bergaduh dan dipukul suaminya terlebih dulu.


Dalam rayuannya, wanita itu memohon jaminan rendah kerana mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu, namun belum menimang cahaya mata hasil perkahwinan dengan mangsa.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 14 April depan.


Nurul Ainasama didakwa memukul suaminya di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. - Foto Kosmo Online.


EmoticonEmoticon