Khamis, 20 Mac 2025

Dapat lebih RM183,000 hanya kerja dukung wanita mendaki anak tangga


Seorang lelaki di China menjana pendapatan lumayan dengan menawarkan khidmat mendukung wanita kepenatan untuk mendaki gunung, lapor portal berita News.com.au pada 19 Mac 2025.


Xiao Chen, 26, menjalankan perkhidmatan itu di Gunung Tai, tapak Warisan Dunia UNESCO berketinggian 5,029 kaki di wilayah Shandong.


Ramai pelancong wanita mahu Chen mendukung mereka untuk mendaki 1,000 anak tangga terakhir menuju puncak Gunung Tai.


"Saya akan memegang tangan mereka di sepanjang laluan. Apabila mereka letih, saya akan mendukung mereka," kata Chen.


Menurutnya, dia mendapat bayaran sekitar 600 yuan (RM366) pada siang hari dan 700 yuan (RM427) untuk pendakian di sebelah malam.


Pada bulan yang baik, lelaki itu boleh memperoleh sekitar 45,548 yuan (RM27,788).


"Ia mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mendukung seseorang menaiki 1,000 anak tangga hingga ke puncak.


"Saya sudah memperoleh pendapatan lebih 300,000 yuan (RM183,223) sebagai 'teman pendakian',” tambahnya.


Kebanyakan pelanggan Chen terdiri daripada wanita berumur antara 25 hingga 40 tahun.


Dia juga mula mengupah beberapa pekerja lain selepas perkhidmatannya menerima pemermintaan tinggi. - Sumber News.com.au.


Xiao Chen mendukung beberapa pelangannya yang letih di Gunung Tai, wilayah Shandong. - Foto Jam Press.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon