Kegagalan seorang lelaki untuk merompak bank di Korea Selatan dengan menggunakan senjata air mainan berbentuk dinosaur, malah dapat diberkas oleh seorang bekas anggota pasukan khas dalam tempoh dua minit, menarik perhatian pengguna media sosial.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, dalam kejadian baru-baru ini, seorang lelaki berusia 30-an memasuki sebuah bank di Gijang-gun, Busan, Korea Selatan, dengan memakai selendang dan topi, lapor outlet berita Hankook Ilbo.
Lelaki itu turut membawa bagasi pengembara dan naik ke tingkat dua bangunan.
Suspek kemudian mengeluarkan beg plastik hitam, mengangkatnya untuk menunjukkan dia membawa senjata dan menjerit dengan kuat memberi amaran, "Semua melutut!"
Pada masa itu, terdapat kira-kira tujuh kakitangan dan beberapa pelanggan di kaunter bank. Pelanggan yang ketakutan mula menjerit kerana panik.
Lelaki itu kemudian menghalang pintu masuk, mendekati kaunter, membuka beg perjalanannya, dan menuntut kakitangan mengisi beg berkenaan dengan wang kertas 50,000 won (kira-kira RM154), denominasi wang tertinggi di negara itu.
Namun, suspek dengan cepat ditangkap apabila seorang pelanggan lelaki berusia 53 tahun, Park Cheon Gyu, yang juga bekas anggota pasukan khas menyerangnya dari belakang sambil dibantu oleh beberapa kakitangan bank.
Perompak itu ditangkap hanya dua minit selepas memasuki bank berkenaan.
Apabila polis membuka beg plastik hitam itu, mereka terkejut apabila mendapati di dalamnya bukan pistol, sebaliknya senjata air mainan berbentuk dinosaur.
Seorang pegawai bank berkata, orang ramai melihat rakaman insiden mungkin menganggap ia memalukan bahkan lucu sebab senjata mainan air yang ada di dalam beg plastik itu.
"Tetapi pada waktu itu keadaan sangat serius dan menakutkan hingga menyebabkan pekerja dan pelanggan sangat cemas," katanya.
Dilaporkan kemudian bahawa pelanggan yang dianggap wira dalam kejadian itu, Park Cheon Gyu, pernah berkhidmat dalam unit pasukan khas.
Pada masa kejadian, dia berada di bank bersama isterinya yang kebetulan hari lahir isterinya itu jatuh pada hari berkenaan.
"Saya di bank menguruskan urusan peribadi apabila tiba-tiba saya mendengar seseorang menjerit, 'Semua melutut!'. Saya menoleh dan melihat perompak itu.
"Pada masa itu, saya terfikir bahawa ada seorang perompak sahaja. Saya hanya perlu merampas beg hitam berisi 'senjata' daripadanya. Saya rasa pada masa kecemasan itu, saya adalah satu-satunya pelanggan yang dapat menangani situasi dan saya mahu menamatkannya secepat mungkin," kata Park.
"Isteri saya berkata ini akan menjadi hari lahir yang dia takkan lupakan," tambahnya.
Polis mengatakan bahawa perompak berkenaan mempunyai masalah kewangan dan sudah menganggur selama lima tahun.
Selain itu, bukan sahaja "senjata" yang digunakan adalah mainan, malah dia juga tidak menyediakan kenderaan pelarian atau mempunyai rancangan untuk melarikan diri. - Sumber South China Morning Post.
EmoticonEmoticon