Seorang penganggur dihukum penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Baling hari ini atas tiga pertuduhan membakar lima buah motosikal dan beranda kayu di Kupang, Baling sejak Disember lalu.
Tertuduh, Afif Jazimin Jamaluddin, 23, dari Kampung Pisang, Kupang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Hakim Najwa menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan ia berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapan pada 20 Januari lepas.
Afif Jazimin kelihatan tenang sepanjang berada dalam kandang tertuduh dan hanya menggelengkan kepala ketika ditanya sama ada mahu membuat rayuan.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan cara membakar Modenas Kriss dan SM Sport milik Mazlan Saad, 50, serta Honda EX5 milik Nafisah Saad, 43, di sebuah rumah di Kampung Pisang, Kupang pukul 3.30 pagi, 24 Disember lalu.
Anak sulung daripada empat beradik itu juga didakwa melakukan perbuatan sama dengan membakar motosikal Honda EX5 milik Wahab Md. Hasan, 87, di Kampung Jerai, Kupang kira-kira pukul 3.15 pagi, 27 Disember lalu.
Afif Jazimin turut dituduh membakar sebuah motosikal Modenas Kriss dan beranda kayu milik Zaherah Jusoh, 59, di Kampung Hangus, Kupang kira-kira pukul 3.30 pagi, 2 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nursyafina Baharudin dalam rayuannya berkata, tertuduh menganggur dan belum berkahwin serta masih tinggal dan menjaga ibu bapanya berusia 43 dan 52 tahun.
"Saya memohon mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang menjimatkan masa pihak-pihak. Saya percaya tertuduh sudah insaf dan memohon hukuman berbentuk penjara paling minimum dan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md. Salleh bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.
EmoticonEmoticon