Selasa, 25 Februari 2025

Pemandu lori lari dari JPJ, rempuh rumah didenda RM5,000


Tindakan seorang lelaki memandu lori secara melulu sehingga merempuh sebuah rumah gara-gara cuba meloloskan diri dari penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) minggu lalu membawa padah apabila didenda RM5,000 hari ini.


Majistret Mahkamah Alor Gajah, Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh, Muhammad Zulhairul Idham Zulkamal, 27, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghalang tugas penjawat awam dengan melarikan diri ketika diarahkan berhenti oleh anggota JPJ di susur keluar Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) menghala ke Lebuh Ayer Keroh pada 19 Februari lalu, kira-kira pukul 4.30 petang.


Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan baru bekerja sebagai pemandu lori selain perlu menanggung seorang anak yang masih kecil berusia dua bulan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana tindakannya bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.


Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Dr. Teoh Shu Yee menetapkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.


Dalam prosiding sama, Muhammad Zulhairul turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Alor Gajah pada hari sama kira-kira pukul 10.15 malam.


Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan patologi.


Pada 19 Februari lalu, media tempatan melaporkan penguat kuasa JPJ mengambil masa hampir satu jam mengejar suspek sejauh 25 kilometer ketika cuba menahan lori lima tan muatan bahan binaan itu.


Sepanjang aksi mengejar yang tular di media sosial, suspek memandu secara berbahaya termasuk melawan arus, melanggar lampu isyarat sehingga insiden itu tular di media sosial menerusi beberapa klip video yang dirakam orang ramai.


JPJ kemudian mengeluarkan lima notis saman terhadap pemandu atas kesalahan seperti tiada Lesen CDL dan GDL, tidak mematuhi lampu isyarat merah serta memandu secara cuai.


Tertuduh diiringi anggota polis sebaik keluar dari kamar Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini.- Foto Malaysia Gazette.


EmoticonEmoticon