Khamis, 13 Februari 2025

NASA buat persiapan kecemasan, asteroid 'gergasi' diramal hentam bumi


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid 'pembunuh bandar raya'.


Memetik lapor Metro UK pada Selasa (11/2/2024), langkah berkenaan dibuat selepas timbul kebarangkalian tinggi batuan angkasa tersebut diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032.


Ahli astronomi kini sedang mempergiat dan memantau Asteroid 2024 YR4 yang kini mempunyai peluang sebanyak 2.3 peratus untuk berlanggar dengan bumi.


Jurucakap Agensi Angkasa Eropah (ESA) berkata, batuan selebar 91.44 meter mempunyai saiz yang sama dengan Patung Liberty di New York atau Menara Jam Big Ben di London.


"Ia telah berada dalam senarai pantauan NASA selepas pertama kali ditemui pada Disember 2024. Asteroid itu kini meluncur laju ke arah bumi pada kadar membimbangkan.


"Ahli astronomi di seluruh dunia menggunakan teleskop berkuasa untuk mengukur orbit asteroid itu setepat mungkin," katanya.


Sebelum ini, asteroid baharu dikesan dan hampir sebesar padang bola sepak dijangka memiliki peluang lebih satu peratus untuk bertembung dengan bumi beberapa tahun lagi.


Asteroid dikenali 2024 YR4 itu pertama kali dikesan Balai Cerap El Sauce di Chile pada 27 Disember lalu dengan ahli astronomi menganggarkan saiz antara 40 hingga 90 meter lebar, mengikut tahap kecerahannya.


Dalam pada itu, pihak NASA telah meminta bantuan daripada Teleskop Angkasa James Webb untuk mengkaji asteroid tersebut dan mengukur berapa banyak kerosakan yang akan berlaku jika ia menghentam bumi.


Berdasarkan pengiraan semasa, hentaman YR4 akan menjadi lebih kurang sama dengan asteroid Tunguska yang telah meratakan kawasan seluas 2,150 kilometer persegi hutan Siberia, Rusia pada tahun 1908. - Sumber Mentro UK.


NASA sedang membuat persiapan kecemasan untuk berhadapan asteroid yang diramal bakal menghentam bumi pada tahun 2032. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon