Berang kerana isteri lambat tiba selepas membeli nasi ayam dikatakan punca seorang lelaki menampar isterinya di pintu masuk sebuah pasar raya di Kota Warisan, di Sepang baru-baru ini.
Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi wartawan hari ini.
"Punca tampar isteri sebab lambat keluar mall (pasar raya) selepas beli nasi ayam," katanya ringkas.
Menurut Norhizam, suspek yang sebelum ini gagal dikesan selama enam hari selepas laporan polis dibuat terhadapnya dipercayai bersembunyi di dalam kereta sepanjang tempoh tersebut.
Jelasnya, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting pada pagi ini bagi tujuan permohonan reman," katanya.
Polis dilaporkan menahan lelaki itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Semalam, media tempatan melaporkan polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan selepas enam hari menghilangkan diri.
Sebelum ini, lelaki itu diburu polis susulan rakaman video tular memaparkan dia menampar isterinya di khalayak ramai di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Kota Warisan. - Sumber Kosmo Online.
EmoticonEmoticon