Sebuah kereta Honda HRV nyaris terjatuh dari tingkat tiga bangunan parkir Hospital Sultan Idris Shah, Serdang selepas dipercayai terbabas dan merempuh pagar besi serta sebahagian dinding konkrit, tengah hari tadi.
Menerusi beberapa gambar dan rakaman video yang tular di media sosial, kelihatan sebahagian bahagian badan dan tayar hadapan kenderaan itu sudah terkeluar dari bangunan terbabit.
Kejadian itu menggemparkan segelintir orang ramai yang kebetulan berada berhampiran lokasi terbabit apabila ada yang mendakwa terdengar bunyi detuman kuat.
"Nasib baik tak lalu bawah tu," tulis pengguna TikTok, Fazreennasir bersama satu rakaman video menunjukkan kenderaan berkenaan yang 'terkeluar' dari tembok di bangunan berkenaan.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Almaizah Umir dalam satu hantaran berkata kejadian yang turut tular di media sosial itu berlaku kira-kira pukul 1.22 petang tadi.
"Assalamualaikum. Parkir Hospital Serdang. Kereta Honda HRV langgar dinding parkir, baru saja berlaku.
"Masa cari parkir tu la bunyi kuat, ingat kan apa. Dah tak dapat parkir turun balik. Masa turun tu baru nampak kejadian ni, dalam pukul 1.22 petang," katanya.
Namun menurut perkongsian Almaizah, tiada sebarang kecederaan berlaku.
Sementara itu, sumber memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dikejarkan ke lokasi berikutan kejadian itu.
Kata sumber, laporan kejadian diterima pada jam 2.25 petang dan pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati pemandu kereta terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun terselamat.
"Mangsa (pemandu) selamat dan berjaya keluar dari kenderaan sebelum pihak bomba sampai ke tempat kejadian," kata sumber berkenaan.
EmoticonEmoticon